Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Saturday, December 19, 2009

Jangan Ada Benci (Casey)

.
Sudah lama saya tidak pulang ke teratak maya. Banyak rancangan dan keinginan yang sering tertunda dan terbatal oleh takdir Tuhan. Dan tahun masihi ini saya sering diperingatkan Tuhan bahawa kuasa-Nya mengatasi segala rencana, mahupun makar makhluk. Sungguh saya akur kebesaran-Nya. Allahu Akbar itu besar maknanya.
.
Disember 4, saya dan Imin pulang ke Batu Enam. Perjalanan yang tidak dirancang awal, tapi penuh bermakna dan berfaedah buat saya. Perjalanan tanpa rehat, saya kira. Sampai jam 2.00 pagi di rumah, bonda buka pintu dan terkejut bagai terlihat hantu. Saya sengih bodoh, it's me again! Makin jauh, makin dekat. Selang lima hari saya kembali lagi, bonda mula berfikir bukan-bukan. Saya tunjuk ke arah Imin di rumah sebelah, bonda pun tarik nafas lega.
.
Pukul 8.30 pagi saya bertolak ke Pasir Mas. Punggung dan kaki mula sengal kerana banyak duduk. 12.30 tengahari, kembali semula ke Batu Enam selepas singgah di KB Mall. Sewaktu menaiki lif KB Mall, Ayie sempat mengomel, besarnya lif, kalau putus tali penyeklah kita. Huish, saya jerkah Ayie, mulut cabul!
.
Disember 6, saya bertolak pulang ke kota batu. Masih seperti dua hari lepas, Imin pecut 160 dan sesekali 170. Perjalanan lancar, sempat singgah di Pantai Batu Hitam, Pahang untuk makan tengahari. Sudah berbelas tahun saya tidak melalui jalan pantai Terengganu-Pahang, semenjak bermastautin di Pasir Mas. Hari ini saya berasa seolah-olah pelajar Pusat Matrikulasi UIAM suatu ketika dahulu. Saya masuk ke hutan kenangan, termanggu mengimbas silam. Dan Imin pun mengheret saya ke ruang sedar, minta saya hayati lagu "Jangan Ada Benci". Sesuai untuk saya, katanya, sambil sengih bermakna. Romeo juga kau ya, balas saya. Tengok oranglah, Imin sengih.
.
.
Andainya ada di antara kita nanti
Berubah hala serta janji
Jangan ada benci
Suka dan duka dilalui
Jadikan kenangan di sudut hati

Andainya cita-cita tidak kesampaian
Ikatan murni terputus di pertengahan
Jangan dikesalkan
Jangan lantaran kegagalan
Kita saling berdendam saling bermusuhan

Ungkit-mengungkiti
Sakit-menyakiti
Memusnahkan diri

Kita harus tabah dan bersedia
Cekal hadapi kemungkinan yang tiba
Kadangkala yang berlaku
Di luar kemahuan kau dan aku.
.
Bandar Baru Bangi


Tuesday, November 03, 2009

Anak-Anak Cyber Cafe

.
Hari ini, setelah beberapa hari memerap di rumah, hujan panas bersilih ganti, saya ke cyber cafe macam biasa. Menapak ke sana, rasa otak mahu cair dek mentari yang menyinga. Cc penuh dengan budak dan remaja sekolah, berpakaian seragam hijau, dan kebanyakan pelanggan pun berpakaian rona serupa, termasuk saya. Semua komputer penuh, dan mereka main tembak-menembak sehingga telinga saya hampir pekak. Bukan hanya bunyi tembakan, suara mereka bertempik tambah membingitkan. Hanya komputer saya yang bisu. Teman yang menelefon juga menjangka saya berada di pasar. Sesekali saya jerkah juga, dan ada daripada mereka tersengih-sengih malu, terkejut pun ada dengar saya menjerkah, "woi, kau masuk hantu ke?" Apa tidaknya, saya terpaksa membaca emel saya berkali dan berpuluh kali untuk membalasnya, apatah lagi berurusan dengan perkara penting, bimbang juga tersilap ayat.

Saya senyum sendiri setiap kali dengar alunan lagu ini. Cuba memekakkan telinga daripada mendengar tembakan dan memfokus pada lirik lagu yang saya anggap lagu tema cyber cafe ini. Beberapa orang daripada mereka sengih tengok saya angguk kepala, yang berani sedikit sempat bertanya, "kak frust bercinta ke?" Saya sengih lagi, sambil tunjuk penumbuk. Kami ketawa berdekah-dekah.



Wednesday, October 28, 2009

Di Negeri Keropok Lekor

.
Saya berkejar ke pejabat pos Batu Enam di bangunan Maidam untuk mengepos pen drive kepada seseorang. Berada di kaunter sambil menunggu proses siap, mata saya berkelintar ke ruang dalam kaunter. Terpana melihat jelingan menggoda YAB Dato' Ahmad bin Said dalam bingkai di dinding, tertulis lagi di bawahnya Menteri Besar Terengganu. Suara kerani kaunter menyentakkan saya, "ari ni dok dang sapa doh dik, esok ah baru jallang." Hah, saya di negeri keropok lekor@gentel, bukan di negeri budu rupanya. Terbayang sengih Nik Aziz yang mesra.

Pulang dari cc nanti, saya akan melalui deretan gerai Pasar Batu Enam. Pasti saya tidak akan lepaskan peluang beli keropok lekor seringgit sebatang.



Tuesday, October 27, 2009

Kembara Lagi

. . .
Semalam, saya terpaksa kembara lagi. Lagu tema blog ini menyeru saya menapak, dan terus meninggalkan jejak, sebelum saya pulang kepada Dia. Jejak-jejak kenangan yang saya tinggalkan, membuktikan saya pernah ada di suatu tempat dan ketika, meneruskan kembara mencari cinta dan redha-Nya.

Hari ini, sendiri berdiri antara langit dan bumi. Asing. Teragak-agak mengatur tapak. Tuhan, bantulah saya bertahan menghadapi jerkah mentari.

Kuala Terengganu



Wednesday, October 21, 2009

Sebuah Pengertian

.
.
In,
Aku tak punya waktu untuk menitip kata dengan kalam kerana aku bukan Musa a.s yang lancar dan hikmah berbicara, tak punya rasa untuk membuat kau mengerti.

Hanya aksara yang dipinjam ini kuharap mampu menjelaskan padamu segala apa yang berlaku dalam buku takdirku.

Semoga suatu masa, kau akan mengerti.

Yang Bertakhta Akhirnya (M. Nasir)


Kita tak lagi sehaluan/Bukan sebagai yang diimpikan/Rupanya di saat-saat yang genting ini/Terjawab jua persoalan


Dan kita terpaksa memilih/Jalan yang telah ditentukan/Dan kita sama-sama dewasa menghadapinya

Kesan cinta membakar, menghempas, mencabar/Keteguhan hati dalam nostalgia/Cinta membakar, menghempas, mencabar/Dan harus ditelan walaupun pahit


Tidaklah kita yang berkata/Cinta tak mesti bersatu/Apa benarkah itu/Atau kata-kata yang tak bermakna


Dan mereka jua berkata/Tiada yang lebih pedih/Tiada yang lebih menyiksa/Dari cinta yang tak sampai


Dan akhirnya cinta jua yang bertakhta/Menyuluh dalam kegelapan/Dan akhirnya cinta jua yang bertakhta/Menyatukan kita dari terpisah/Oleh cinta palsu

Tuesday, October 20, 2009

Sebuah Puisi, Sebuah Sepi

.
Seorang rakan dari kota batu menelefon. Saya sedang berehat di pejabat. Sebelum berpisah di talian dia mendeklamasikan sebuah sajak.

Sungguh indah dan bermakna kepada saya pada hari ini. Saya minta izin menyerikannya di laman ini.

Terima kasih dan tahniah, Azmi (http://www.azmi-alkelantani.blogspot.com/) untuk sebuah sajak dan suara pada petang yang lebat hujannya.

Jendela Waktu
ku kuak jendela waktu
hati tertarik
awan putih berlari lari
mengejar
lingkaran pelangi di ruang maya

antara jalur warnanya
tersimpan lembaran kenangan
helaian masa berguguran
mega mendung berganti gerimis
terukir senyum pada wajah sang suria
sebuah aturan roda hidup
sesetia malam pada siang

dari jendela waktu
aku merenung jauh
mengutip memori usang
potret sebuah kehidupan
dalam lukisan tidak berbingkai
yang kian lusuh dan berdebu

ku tutup jendela waktu
debu kenangan
tidak lagi memeritkan mata

biarpun cebisan masa
meninggalkan kelopaknya
namun tunas yang berputik
menyerikan halaman
meninggalkan memori indah

Noble Art Creation
5.56 petang

Menjadi Bomoh

. .
Malam tadi, saya suarakan pada Cik, hasrat saya menjadi bomoh. Saya minta kebenaran Cik untuk gunakan salah sebuah bilik di rumahnya untuk menjalankan operasi perbomohan saya. Kamar tersebut hendaklah dihiasi langit-langit kuning raja, langsir dan semua peralatan juga haruslah serupa warna. Saya pula berjubah dan berpurdah putih.

Kenapa tu, tiba-tiba pilih nak jadi bomoh? Cik teruja campur hairan dengan usul spontan saya. Saya gelak dan menukas, Cik setuju atau tidak? Cik pandang Paknik, dan perlahan berpaling ke arah saya, "kau guna bilik Tok!" Dan saya, melihat sebuah tiang, tembus di sebaliknya.

Dinihari, badan mula sengal-sengal, terutama bahagian kiri belakang. Saya cuba bertindak bijak menguruskan sakit. Saya buat tak peduli pada kesakitan yang kian mencucuk-cucuk dengan cara melupakan keresahan jiwa dan menghalau kerisauan yang bersarang dalam dada, cuba memikirkan kesedihan orang lain yang lebih menderita daripada saya; untuk mendapat kekuatan diri.

Tiba tiba teringat seorang kawan yang sering diserang kesakitan serupa. Teringat juga tips yang dia berikan, baring atas lantai tanpa lapik satu apa pun. Saya cuba lakukan lagi; tak hilang juga. Saya berdoa agar dijauhkan sakit sepertimana kawan saya, dan berdoa semoga dia juga dijauhkan daripadanya, kerana saya tahu bagaimana rasa penderitaannya. Kawan, semoga sejahtera, jiwa dan raga!

Hampir Subuh, barulah saya dapat lena seketika. Usai solat Subuh, saya merangka, gua manakah jadi pilihan untuk pertapaan saya. Sebelum saya benar-benar layak menjadi bomoh tanpa jiwa.

Tuesday, October 06, 2009

Segara dan Sampan Kenangan

.
Laman Puisi, JENDELA TIMUR, Bil. 27, Ogos 2009

Sunday, October 04, 2009

Semalam dan Hari Ini

.
Semalam, Tuhan makbulkan doa saya untuk melihat laut. Hampir berbulan lamanya tidak menjengah ombak dan pantai, kepala sudah "masuk air". Sampai di Pantai Cahaya Bulan sudah hampir lewat petang. Rakan dari KL cukup gembira setelah lama tidak berjumpa pantai. Risau juga untuk bercanda dengan ombak dalam keadaan negara jiran sedang didabrak petaka alam. Bimbang tempiasnya terpercik ke pesisir pantai ini.

Hari ini saya baru sahaja berkira-kira melintasi gapura sastera, setelah sekian lama beriuh rendah dengan persekitaran. Mahu kembali menyambung azam yang tertunda sejak awal tahun - saya memilih beranti sosial dan mahu terkepung dalam gua pilihan sendiri.

Usai menghantar satu emel, wajah Cik terjengul di muka pintu. "Marilah sama-sama tepek inai. Kali ini inai tumbuklah. Cik sanggup tumbuk, asalkan kau sanggup tepek!" Aduh, kalah juga saya pada Cik. Terus selongkar limau nipis dalam peti ais, kutip arang bekas bakar lemang raya, dan minta Cik ambil nasi dari rumahnya kerana saya belum masak nasi waktu begini.

Sedang Cik tumbuk inai, saya sempat taip entri ini. Sepuluh minit kemudian, Cik terjengul lagi minta saya tempek inai di sepuluh kukunya. Cepatnya Cik tumbuk, saya hairan. Selamba Cik menjawab dengan senyum kambing "Alu dan lesung rumah kau elok dan baru lagi, kalau yang rumah Cik punya lambatlah siap." Dalam hati saya mengomel, kalau tahu macam itu baik saya usung lesung Cik, dapatlah berlamaan depan komputer ni.

Friday, October 02, 2009

Resah Alam, Gelisah Jiwa

.
Saya memandang ke luar dari jendela. Kelihatan bunga-bunga kecil berwarna segar dijamah gerimis malam tadi. Cuaca tidak menentu sekarang. Panas garing, hujan, gerimis, hujan panas, ribut bersilih ganti. Badan pun bersebati dengan alam, panas sejuk-sejuk panas, membawa kepada demam. Apatah lagi dinihari, terasa bagai beradu dalam "gok". Apapun saya tetap syukur. Di luar sana, negara jiran sedang ditimpa bala bencana. Moga Tanah Melayu dalam Rahman Ilahi, sekiranya Tuhan murka untuk melimpahkan Rahim-Nya.

Thursday, October 01, 2009

Rindu September

.
Dedaun hari September yang terkapar di hutan kenangan saya kumpulkan dalam raga waktu, sambil mendongak helaian hijau
yang masih kekal di pohon kehidupan.

Syawal 1, 1430H bersamaan September 20, 2009 - sehelai lagi daun kenangan gugur di laman jiwa. Dalam takbir raya fitrah di masjid dua menara, saya akur pada takdir. Dan menyambut raya dengan serangkaian puisi yang bergema hanya di kalbu.

'Eid Mubarak buat yang tercinta, ayahbonda, keluarga dan sanak saudara, sahabat, rakan dan taulan.

Maaf atas segala kekhilafan dari hujung kaki ke hujung rambut.


Mingguan Malaysia, 20 September 2009.

Wednesday, September 30, 2009

Berakhirnya September

.

Seseorang membangunkan saya dari lena, menunaikan janjinya tatkala tiba masa. Katanya, September akan berakhir Maghrib hari ini, seperti nyanyianmu "Wake me up when September ends." Bangunlah!

Dan September terakhir ini adalah Rabu kelima dalam bulan ini. Pantas masa berlari umpama larian kuda Terzi.

Terngiang nyanyian Datuk Syarifah Aini, Kudaku Lari Kencang. September pergi tanpa sempat saya menghayati dan menikmatinya.

Tuesday, September 29, 2009

Tembak

.
Saya tidak punyai variasi aktiviti di bulan Syawal. Mahu keluar dari fenomena beraya dan sesak jalan raya kerana kenduri kahwin yang masih bersisa tarikh, saya ke pusat beli-belah. Ramai juga manusia. Tiada masa lainkah mereka boleh keluar dan berkenduri?

Dalam banjir manusia, sempat saya pilih seluar untuk menembak. Mungkin di Lapang Sasar DiRaja Padang Tembak, Pengkalan Chepa, tak ramai yang "beraya" di sana.

Monday, September 28, 2009

Kawan

.

Kawan adalah
orang yang kita percaya

untuk saling berkongsi cerita
sambil mengusir sepi
bersama-sama.


- KS -

Wednesday, September 16, 2009

Selamat Ulangtahun


Ubad,
SELAMAT ULANGTAHUN KEPUTERAAN
(16 September)

Kutahu hatimu
sentiasa tergantung di langit
cinta itu berputar-putar
di bawah sayap kerinduan
ke alam yang tinggi.

SELAMAT BERSEMADI.
Kutitip doa di dinihari
semoga dikau sejahtera
dalam dakapan Ilahi
ketemu cinta agung
sebagaimana impi.

Sunday, September 13, 2009

Rindu


mengingat bayangmu yang jauh
dalam desah waktu yang menjerit
hatiku terbelah, pecah berdarah
pilu melolong sengit, rindu membuncah
tatkala merenung pelangi senja menoreh langit.

Wednesday, September 09, 2009

090909

Majalah WANITA, September 2009

Thursday, September 03, 2009

Pohon Cinta Kita

.
In,
Berdiri aku di teduhan pohon cinta kita
jemari mentari menampar wajahku
ada gerimis hati yang mengalir ke dagu
sirna dalam terik sinar
merah mukaku, cuma
terpandang olehmu, kesakitanku
bukannya sebuah derita cinta.

Dan kau, nyalakan unggun api
perciknya menerjah ke biru langit
titis darah dari kalbumu yang luka
singgah pada mata hati dan jiwa
katamu, aku tak akan pernah tahu
bagaimana harga sebuah rasa.

Kataku, derai air mataku
tak perlu berbias kaca
kerana titisnya
membasahi jiwa
dalam deraan mentari menyinga
dan marak api menyala.

In,
Pohon cinta kita
biar terkadang gugur daunnya
tak pernah mati akarnya.

Kamar Cinta

Saturday, August 22, 2009

Wanita Pisau Cukur

.
Seorang teman menelefon, menangis dan hampir meraung. Ceritanya, dia kehabisan wang dan harta kerana seorang wanita. Saya tanya dia, dia kena rompakkah? Bukan, balasnya. Aku kena cukur! Laaa, baguslah, tak payah ke salun, sampuk saya. Suwey, dia marah-marah. Dia cerita semua kisahnya, dari awal pertemuan dengan seorang gadis gedik sehingga nasib malang yang menimpanya. Apalah takdir aku macam ini, rintihnya. Hey, bukan takdirlah, engkau yang mangkuk. Mata buta mengenal wanita, takdir yang kau salahkan. Ini ha, lain kali pastikan ciri-ciri ini dulu, barulah kau buat kawan, selar saya. Jangan fikir nafsu saja. Ya lah, ya lah, sempat lagi dia "meccok" dengan saya.

1. Di awal perkenalan, dia banyak memainkan peranan menggoda lelaki dengan menggunakan semua aset yang dimilikinya.

2. Perempuan pisau cukur ini kebanyakannya lemah lembut, manis dan bijak berkata-kata. Pada mulanya si dia tidak minta apa-apa tetapi lama-lama botak kepala lelaki mengadakan setiap permintaannya.

3. Perempuan pisau cukur berperwatakan seperti perempuan mewah yang memiliki segalanya. Ini adalah untuk menyakinkan lagi lelaki bahawa dia tidak memerlukan harta lelaki untuk jadi senang. Namun harus diingat semua itu hanya berlakon semata-mata.

4. Agak seksi dan menggoda. Maklumlah cara ini sahajalah yang boleh membuat lelaki cair.

5. Biasanya mempunyai sejarah pahit dalam kehidupan mereka. Umumnya mereka ini anti lelaki. Contohnya anak jadi mangsa rogol ayah sendiri. Apabila usianya semakin meningkat, dia merasakan semua lelaki tidak boleh diharap dan dia menanam hasrat untuk membalas dendam pada semua lelaki.

6. Mula minta itu dan ini setelah agak lama berkawan, tetapi kebiasaannya ia akan bermula sedikit demi sedikit. Mungkin pada awalnya si dia akan minta top up, kemudian minta lelaki tersebut hadiahkannya telefon bimbit sahaja. Dan selepas itu sedikit demi sedikit dia mainkan peranan.

7. Tidak ada perasaan cemburu ataupun mahu mengakhiri hubungan dengan perkahwinan. Tidak kisah walaupun tahu lelaki itu sudah berkahwin asalkan banyak harta perempuan cukur tetap akan goda sampai dapat.

8. Mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja tanpa ada sebarang sekatan. Apa yang penting tempat yang dituju boleh memberi banyak manfaat padanya contohnya bershopping.

9. Akan merahsiakan latar belakang keluarganya. Walaupun kamu sudah berkawan dengannya selama bertahun, tetapi kamu masih tidak tahu dari mana asalnya dan siapa ibu bapanya. Apabila ditanya dia lebih suka mengelak.

10. Apabila lelaki yang dikikisnya sudah tidak boleh beri apa-apa manfaat padanya lagi, dengan mudah dia mencari kesalahan lelaki tersebut. Biarpun apa yang dikatakannya tidak masuk akal, tetapi alasan-alasan yang di ciptanya memang sukar untuk dibidas.

Jalan Pengkalan Chepa

Saturday, August 15, 2009

Hanyir Tanah Ini

.
Kurapatkan wajah ke muka tanah
kucium hanyir jasad, bersatu
cacing dan ulat menggeliat keluar
adalah ammarah yang semakin pudar
sewaktu indera menangkap tangis bumi
dan bunyi alam yang bertasbih
aku larut dalam kasih sayangMu.

Tuhan,
semoga liang sempit ini
luas di sana nanti
dan hanyir tanah ini
berganti wangian kasturi di negeri abadi.

Tali Air Padang Embun

Friday, August 07, 2009

Dari Sawah

.
Sudah dua hari berturut-turut, dari jendela kaca dalam kamar tidur saya perhatikan makcik kurus menyemai anak padi. Teringin turun ke sawah menolongnya, namun ketakutan melarang saya sekeras-kerasnya. Saya tanya makcik tersebut, sebenarnya hanya untuk menyedapkan hati, walaupun saya tahu apa jawapannya. "Lintah dah tak ada sekarang, mati kena baja kimia," jelasnya sambil menggelekek.

Boleh percayakah makcik ni? Kepala ligat memikirkan logik. Apabila memikirkan makcik yang kami gelar "cikgu seks" ini selalu ber"gurau biawak", saya tarik balik kaki yang hampir di cecah ke relung sawah. Apatah lagi melihat dia ketawa separuh mati tengok saya terkial-kial mahu masuk sawah dengan gaun tidur, saya cepat naik angin. Cepat-cepat saya naik ke rumah siapkan sarapan, dan tinggalkan dia menyambung gelekek ketawa.

Mendengar nama diteriak, saya berlari ke pintu dapur. Makcik tersebut tersengih-sengih memandang saya. Rafik di pintu cepat menahan saya dari mampir. Namun secara spontan pula saya menghampiri. Nah, hadiah untuk kau! Dia menghalakan telunjuknya ke atas bata di tangga dapur. Seekor lintah sedang menggeliat, memanjangkan badannya. Saya terpaku, spontan terkeluar - celaka! Dan berlari ke dalam rumah. Rasa mahu sahaja meraung. Sempat saya lihat rafik berusaha membunuh makhluk kedua yang paling saya takuti itu.

Rafik panggil saya, katanya lintah dah mati. Dah jadi abu. Seperti yang dijanjikan kepada makcik tersebut (sebelum insiden gila itu berlaku) saya tunaikan janji untuk sediakan sarapan untuknya sewaktu dia rehat. Kalau ikutkan marah, mahu saya bancuh abu lintah itu jadi minumannya pagi itu. Namun saya masih ingat, azam saya tahun ini - sabar dan waras.

Sewaktu dia berpaling ke sawah, sempat saya perdengarkan ke telinganya - sekali lagi makcik buat kerja bodoh macam itu, saya tak teragak-agak beritahu orang kampung kenapa makcik ditinggalkan suami!

Thursday, August 06, 2009

Seorang Lelaki Di Langit Merah

Saat langit berwarna darah
seorang lelaki penjual puisi
kehabisan dakwat, menusuk jari
dengan tajam mata pena
hatiku berdarah melereti bait-baitnya
jiwa pilu memandang lukanya.

Jalan Pengkalan Chepa

Wednesday, August 05, 2009

Waktu Sendiri Begini

.
Waktu-waktu begini aku jadi teringat
sebuah hutan kenangan, di penjuru alam
helai-helai daun yang gugur, berlapis
tahun-tahun berlalu, tindih-menindih
pada setiap musim rontok yang datang dan pergi

Kusibak tiap satunya, kutemui wajah-wajah
pernah ceria oleh mentari pagi, setelah malam
gelita dan panjang, yakin tersimpan di hujungnya sisi terang
dan gerimis mengundang, pelangi bertandang
tergunting oleh kehadiran petang.

Pada helai di hujung ranting
kulihat wajahmu berbisik pada pawana rindu
yang kau hembuskan dari kotamu
memukul daun jendela kamarku, menyusup
ke dalam kardigan resah dan sepiku
meresap ke relung hati, segenap penjuru;
agar musim semi tak usah berganti
seperti impianmu pada setangkai anggerik
yang kutanam di laman jiwa.

Pantai Rasa

Saturday, August 01, 2009

Hari Persahabatan dan Ulangtahun Blog

.
Ahad pertama Ogos sering dalam ingatan para sahabat yang menyanjung tinggi nilai sebuah persahabatan. Ada ikrar dan janji yang dikemaskini dan diperbaharui, atau ditambah nilai untuk mengekalkan ikatan. Sempena Hari Persahabatan Sedunia ini, kita menilai erti hidup dan penambahbaikan dalam meniti jalan, yang sering didoakan kekal dalam landasan yang mustaqim.

Kepada rafik di sisi, Selamat Ulangtahun Persahabatan Ke-13. Tetap bagai tahun sudah aku mengatakan;

Sesungguhnya, tanpamu
langit itu terlampau luas
bagi helang seperti aku.

Sempena bulan persahabatan ini juga, saya menyambut Ulangtahun "Manusia Antara Langit dan Bumi" yang ke-3. Moga bunga-bunga yang tersemai di laman ini terus subur, mewangi di jiwa-jiwa pengunjung. Segala teguran, kritikan dan cadangan amatlah saya hargai; apatah lagi jika ia datang terus dari jiwa. Sungguh taman ini, pada tahun ini nyaman dengan bayu rasa yang berhembus dari jiwa-jiwa pengunjungnya.


Jalan Pengkalan Chepa



Wednesday, July 22, 2009

Puisi Tatkala Menunggu Gerhana

.
Puisi ini kupinjam dari remang senja, kelmarin
di pantai cahaya bulan menunggu tiba, gerhana
garis langit kian pudar, laut kelam
kubaca pada rintik malam yang terbias, hari ini
setelah pelangi patah sebelum gelita
dalam harum meranti dan melur di laman,
anggerik di belakang basah tertimpa hujan
kutitipkan karangan aksara lagu jiwa
pada mentari yang mungkin esok ceria.

Kataku, tak mungkin pelangi patah
oleh tabrakan lelayang, atau camar yang mendesah
katakanlah saja, malam cemburukan ia.

Katamu, pelangi petang pergi jua
setelah menghias langit jiwa
dengan iringan rindu membara.

Kamar Rasa
Julai 21, 2009 (larut malam: 11.59)

Tuesday, July 21, 2009

Dalam Kenangan (Wheels)

.
Hari panas begini, jiwa terbang ke hutan kenangan. Mengimbau waktu kanak-kanak - mandi sungai hingga kecut kulit, meredah belukar main tembak-menembak dengan senapang kayu buatan sendiri, berkubang di sawah menyerkap puyu, keli dan sepat, bermain bola sepak, berlumba panjat pohon kelapa, dan segala yang manis-manis. Teringat bonda dan ayahanda dalam pusingan jarum jam yang terasa laju. Rasa rindu pada teman-teman, yang kini entah di mana.

Kuala Terengganu sudah 18 tahun ditinggalkan, kembara ke kota batu dan pulang hinggap di Tanah Serambi Mekah. Entah bila dan ke mana akan berkelana lagi, sebelum berdiam di negeri abadi.




Bila terkenang masa lalu rasa terharu
Segalanya masih kekal dalam kenangan
Tiba di persimpangan jalan berpisah jauh
Sekian lama di rantau bersendirian

Tiada lagi seruling senja mendayu
Tiada lagi ketawa riang bersama
Bila sepi mengusik hati
Semuanya kini dalam kenangan

Aku kirimkan restu pada ayah dan bonda
Budi dan jasamu tetap dalam kenangan
Teman seiring jalan kini jauh dariku
Kemesraan kita tetap dalam kenangan

Tiada lagi suara ombak di pantai
Tiada lagi bayu teberau membelai
Di saat sepi begini
Semuanya kini dalam kenangan

Bila masanya tiba nanti aku kembali
Pasti ada yang berubah dan tiada lagi
Dan bila kutinggalkan lagi kampung halaman
Segalanya abadi dalam kenangan

Jalan Pengkalan Chepa

Monday, July 20, 2009

Pacat Pagi dan Kuda Petang

.
Awal pagi Jumaat, Julai 17, saya dan rafik bergegas ke padang Wakaf Bharu untuk turut menyertai tarian poco-poco bersama penduduk kampung. Padang masih basah. Melihat rumput setinggi 2 inci, saya mula rasa tidak sedap hati. Apatah lagi keadaan sekitarnya dikelilingi pohon durian dan manggis. Mata mula melilau, dan detak hati saya yang mengatakan ia ada di situ, tepat. Cepat saya lompat ke atas van yang terbuka pintu belakangnya.

Eeeeeeeeeeeeeeeeeeiiiiiiiii! Sungguh saya takut dan trauma dengan objek hitam seinci yang sedang menjangkau badannya dari rumput ke rumput. Saya rela melupakan keterujaan untuk bersama rakan-rakan di padang kerana ketakutan yang tidak boleh dipujuk lagi. Apatah lagi seorang budak menyua beberapa ekor makhluk yang saya sangat takuti itu ke muka saya. Dia menyeringai ditumbuk pada bahunya dua kali dan terus lari tatkala dengar tempikan histeria saya.

Saya hanya memerhati rakan-rakan berpoco dari atas van, sehinggalah jemari mentari menjangkau rumput. Saya terjun dari van dan berlari ke tengah padang yang agak botak. Lega, moga tiada yang tersesat sempat mengait kaki seluar saya. Sempat juga berpoco-poco separuh masa.

Petang, bertujuh ke Pantai Cahaya Bulan. Sementara menanti petang redup, kami menjamu selera di bawah sepohon kelapa yang lebat buahnya. Tatkala menyatakan kebimbangan sekiranya buah dan pelepah kering jatuh, seorang rakan menjawab - kalau dah takdir mati tertimpa buah kelapa, apa mahu buat. Hey, senangnya menyerah nyawa kepada takdir!

Pantai pada hari minggu penuh jejak pengunjung. Kami mencipta ruang sendiri. Bermain ombak tanpa peduli mereka yang memerhati. Sewaktu tiga ekor kuda padi melintasi tempat kami bersantai, sempat saya suarakan pada penunggangnya hasrat saya untuk memilih salah seekor daripadanya. Sudah lama tidak merasa degup jantung dan hangat badan kuda.

Ah, sungguh indah menunggang sambil memerhati garis horizon, pertemuan antara langit dan laut pada remang senja. Semoga impian untuk mengarang "Perempuan Di Garis Langit" cepat menjelma nyata.

(Terima kasih Farrah atas rakaman kenangan dengan lensanya)

Saturday, July 18, 2009

Pelangi Petang

.
Kumeniti awan yang kelabu
Kutempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku

Kupercaya pasti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya

Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahaya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkan hati ini

Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi petang kau kan pasti
Pergi jua.

(www.jiwakejiwa08.blogspot.com)

Cinta

In,
Mungkin Tuhan menginginkan
kita bertemu
dan bercinta
dengan orang yang salah

sebelum bertemu
dengan orang yang tepat,

kita harus mengerti bagaimana
berterimakasih atas kurnia tersebut.


Tuhanku, dalam termanggu, kusebut namamu, biar susah sungguh.
.

Dunia Bangka

.
Buka tv, berita paparkan tentang pembunuhan. Selak akhbar begitu juga. Dulu, kalau dengar berita orang kena bunuh, gempar satu Malaysia. Sebab jarang ada berita jenayah itu. Tapi sekarang berita sebegitu sudah lali di telinga dan di mata. Ish, ish, ish, yang ini kes apa, mati kena apa? Bila dapat jawapan, mulut pun kata "ooooooo". Setakat itu sahaja. Esok dah lupa. Kalau ada berita serupa, tanya lagi dan cakap "oooooooo" lagi. Dan seterusnya.

Saya pun membenarkan kata Sutung Umar RS suatu ketika dahulu - suatu hari nanti kau akan tengok orang tergolek di tepi kaki kau masa kau sembang-sembang di kedai kopi.

Memang dunia sudah terlalu bangka.

Wednesday, July 15, 2009

Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya


(Author: myvi1081)

Engkau lelaki yang patah sayap kirinya
Menanggalkan baju dukamu di hamparan kenangan
Melonjak dari jendela kamar yang pecah kacanya
Ingin terbang menerpa bulan
Sambil mengilik sebungkus impian.

Tak kau hirau rayuan pungguk yang berhiba lara
Yang memilih pilu sengsara tanpa usaha
Kau dengan kental semangat menjerkah gerhana
Dan menahan mentari dari meminta gilirannya.

Terbanglah lelaki yang patah sayapnya
Berpandukan tongkat paruh jentayu yang setia.

Kau bukan lagi lelaki pilu yang merenung jendela
Setiap kali purnama senyum atau retak di balik ara
Kerana kau arif merisik rindu dan mentafsir cinta
Dari sinar mata pemilik kejora.

-080908-


(Mingguan Malaysia, 21 Jun 2009)

Malam Puisi Utusan 2009
12 Jun 2009, Laman Santai Istana Budaya


Tuesday, July 14, 2009

Amuk Orang Pasir Mas

.
Saya sedang cekah durian di rumah bonda Pohon Buloh sewaktu Cik menelefon bertanyakan keputusan pilihanraya Manik Urai. Bonda pelik, rumah Cik bukankah ada tv, di ruang tamu dan dapur lagi tu. Saya jawab dalam gelak, Cik tak sikah pada laporan dari tv, keputusan muktamad dan boleh pakai hanya dari kami. Kata Cik lagi, dia sedang menggelupur depan tv, risau betul jika parti dokongannya tewas. Cik rasa tak sedap hati.

Saya beritahu Cik, sukar nak diteka kali ini. Apatah lagi khabar yang saya terima dari sana memaklumkan ada pihak yang berpaling tadah dan menikam parti yang pernah menyumbang tidak sedikit ruang untuk dia kembali jadi Ahli Parlimen pada pilihanraya dulu. Cik tambah penasaran. Untuk redakan kegelisahan Cik yang bagaikan kucing hilang anak, saya kata "kalau lambat umum maknanya parti pembangkang menang, kalau parti memerintah (pusat) menang sudah pasti pangkal berita dimulai dengan berita kemenangan parti kerajaan. Pada waktu itu, lima minit lagi siaran berita akan bermula.

Pilihanraya kali ini agak sukar diduga. Rata-rata mereka yang saya temui, tidak kira dari kedua-dua parti menyatakan mereka tidak yakin secara padu bahawa parti yang mereka dokong akan menang, sebaliknya berusaha gigih berkempen dan berdoa supaya tidak ada anasir buruk dan taktik kotor diamalkan kali ini. Salah seorang daripada mereka yang saya tanya menjawab "kalau mengikut laporan berita tv atau akhbar perdana, sudah tentu nampaknya BN akan menang, kalau tengok di lokasi rasanya PAS yang menang". Saya senyum dengar pendapat yang terselit sindiran dalamnya.

Sewaktu berada di Pejabat Menteri Besar Kelantan semalam, suasana lengang menunjukkan pertarungan di MU sangat genting. Kota Darul Naim juga lengang, para YB dan pegawai ramai yang sudah bertolak ke MU. Dari jam 10.00 pagi -3.30 petang, hanya saya dan rafik antara tetamu yang berada dalam pejabat itu, kemudian disertai oleh seorang lelaki Cina dari NGO KL yang datang memberi sokongan kepada MB. Menurutnya dia datang bersama rombongan dan sepanduk-sepanduk untuk turut berkempen di MU. Namun hajatnya tidak dapat disampaikan di pejabat tersebut kerana MB telah pun berada di sana.

Saya segera pulang ke Padang Embun. Sampai di muka pintu, saya lihat Cik senyum kambing. Saya sudah dapat teka keputusannya. Namun Paknik sedih, katanya hanya majoriti 65 undi. Dan seterusnya Paknik cerita tentang faktor undi majoriti merosot. Saya geleng kepala, ish ish ish, orang Pasir Mas yang seorang ini!

Saturday, July 11, 2009

Merakam Kudup Sedang Memekar

.
Khatam penghadaman jam 1.00 pagi, Julai 11, 2009. Demikian saya catat pada bahagian dalam kulit belakang novel Ketika Cinta Bertasbih (Buku 2 Dwilogi Pembangun Jiwa), buah tangan Habiburrahman El Shirazy yang kedua saya hadam.

Buku dua yang terus menyambung cerita tentang Anna Althafunnisa ini umpama sekuntum kudup yang disuluhi perakam video; saat demi saat ia mengembang menjadi kuntum yang indah mekar dan harum di sebuah taman, dalam tatapan si perakam. Sungguh El Shirazi (Kang Abik) adalah perakam yang cukup sabar bertenggek di sisi kembang demi tugasnya memaparkan pada manusia bagaimana proses sekuntum kudup secara perlahan mengorak kelopak pada suatu dinihari.

Jarang sekali menemukan seseorang yang sanggup dan sedia tercokoh pada waktu itu untuk suatu kerja yang pada kebanyakan orang lebih baik bermimpi sahaja. Pasti yang sanggup hanyalah jika dia benar-benar ada matlamat dan pencinta keindahan dan kedamaian serta ingin meninggalkan sesuatu hasil kerja kepada manusia. Dan ternyata Kang Abik mampu menemui bakawali yang jarang sekali mengembang di mata sebarang orang, kerana hanya yang akrab dengan dinihari saja jadi pilihannya.

Secara keseluruhannya, novel ini tepat untuk dikategorikan sebagai novel Islami yang cukup mantap. Sekiranya ia diandaikan sebagai satu masakan, Kang Abik berjaya memasak suatu menu yang penuh rencah di dalamnya, dan barangsiapa yang kurang arif atau sabar mengadun secara baik mengikut porsi yang sewajarnya, pasti hasilnya akan menjadi terlebih pahit, masin, atau masam. Namun ternyata Kang Abik secara kreatif mengadun semuanya sehingga segala ramuannya teradun secara mesra dan hasilnya terasa tidak puas dinikmati sekali sahaja.

Agama, sosial, politik, psikologi, malah sains digabungkan dalam penceritaan yang cukup halus berseni sehingga tidak kelihatan kesan-kesan tampalan ilmu bantu di dalamnya. Buah fikir yang dipetik juga sangat bersesuaian dan relevan dengan perkisahan yang diutarakan. Sebagai contoh Kang Abik memetik kata-kata Caroline Donnelly "Mereka yang sibuk tapi tidak produktif adalah ibarat kincir angin berwujud manusia" dalam menggambarkan ummah yang lemah dan malas serta berpada pada kehidupan yang statik tanpa penambahbaikan. Hal ini dibicarakan untuk memberi perangsang kepada bangsanya supaya menjadi aset terpenting kepada negara kerana bagi Kang Abik, rakyat Indonesia tidak maju kerana malas berfikir lebih; sekaligus dia memberi saranan yang lebih baik untuk mengatasinya.

Karya yang unggul seharusnya juga diselitkan humor, atau dalam bahasa sasteranya, wit supaya pembaca yang kepenatan mata mampu mengeluarkan air mata kerana ketawa. Nyata Kang Abik punya kebijaksanaan itu. Dalam nada gurau Kang Abik menyatakan "Suami paling baik bagi seorang perempuan adalah seorang arkeolog. Makin tua sang perempuan itu, makin cinta dan tergila-gila suaminya itu padanya." Yang menariknya, Kang Abik tidak berjenaka slapstik, namun jenakanya yang disampaikan melalui wataknya itu terhambur secara bijaksana dan penuh intipati untuk difikirkan, sehingga pembaca mendapat ilmu lain pula secara tambahan. Saya sendiri terfikir, betul juga ya, sudah tentu para arkeologis itu cinta akan barang antik; namanya pun arkeologi! Selain itu, dialog yang cukup ringkas seperti "kadang setan memang ada di mulut juga" berhasil memecahkan tawa saya sewaktu sedang asyik menelaah.

Perbahasan ilmu titen, sebagai ilmu bantu di tangan sesetengah penulis pasti terasa suatu tempelan sekiranya ia disampaikan secara langsung. Namun Kang Abik menguraikannya melalui watak Husna secara rinci tanpa pembaca rasa disogokkan dengan fakta kerana pembaca berasa perlu diperjelaskan segalanya tentang ilmu itu untuk mengetahui sebab ibu Azzam menolak calon menantu yang disepakati oleh anak-anaknya, dan ditakwilkan oleh Azzam sebagai khurafat. Malah jika tidak diterangkan, pembaca pasti kecewa dan berasa seolah-olah pengarang menganggap pembaca sewenangnya menerima keputusan tanpa tahu sebab-musabbabnya, sekaligus ilmu meniteni ini menjadi sangat perlu pula pada pembaca untuk diwarisi.

"Ilmu titen itu berangkat dari kejelian orang-orang dahulu meniteni, yaitu mengamati kejadian-kejadian dalam kehidupan, peristiwa-peristiwa di alam. Dari pengamatan yang berulang-ulang itu akhirnya bisa disimpulkan sebuah struktur kejadian. Dari struktur itulah lahir ilmu titen. Ilmu titen ini sebenarnya sudah masuk dalam seluruh aspek kehidupan ummat manusia. Mulai dari manusia paling primitif sampai manusia paling moden." (hal 248-249)

Saya cukup puas dengan huraian Husna ini, seolah terasa Husna adalah lidah saya untuk menjelaskan kepada rakan-rakan saya yang menyelar saya mengimani perkara khuarafat tatakala saya katakan saya percaya akan peranan alam dalam menunjuki arah kehidupan. Seorang teman blogger juga tetap sampai kini kebingungan dengan kepercayaan saya kepada tanda dan petanda, serta ilmu falak yang dibahaskannya sebagai syirik. Nah, sekarang saya harap dia buka sedikit mindanya, dan saya sarankan dia baca novel ini.

Selain ilmu titen, hukum-hakam dalam urusan perkahwinan juga banyak ditekankan, masih dalam keterbatasannya sehingga tidaklah ia jadi sebuah buku rujukan nikah-kahwin. Dan seperti selalu, ia dititipkan secara berseni dan sebati dengan penceritaan dan perwatakan. Sebagai contoh, tatkala Anna meletak syarat yang menjadi sebahagian dari sahnya akad nikahnya dengan Furqan, ternyata pembaca tidak rasa ia mengada-ada kerana pembaca sudah tahu latar belakang pendidikan Anna, malah terasa pula betapa harus ada ramai lagi yang tahu haknya dan bijaksana seperti Anna yang berpelajaran tinggi.

Sungguh perbahasan pada halaman 28-31 ini memperlihatkan kematangan Kang Abik sebagai pengarang, di mana sesetengah pengarang kecundang padanya, dengan menjelmakan dirinya ke dalam karyanya secara emosional, lebih-lebih lagi dalam perbahasan yang melibatkan isu gender. Ternyata Kang Abik bukanlah egois dalam mengapungkan kebenaran dan bijak membahagikan karya dan pengkarya.

Cuma sedikit terkesan sedikit campurtangan peribadi pengarang, mungkin; pada Bab 14 (Malam Pertama) dan 29 (Dan Cinta Pun Bertasbih) di mana saya berasa watak Azzam yang (mungkin) mewakili sifat Kang Abik sendiri yang suka jual mahal, dan hal ini seolah-olah pula mengungkapkan yang wanita itu (sebenarnya) jual murah dan amat tidak rapi menguruskan nafsunya.

Membaca bab ini saya berasa sangat malu dan "merah muka" dengan sikap Anna yang jual murah keterlaluan. Mahu sahaja saya menyergah adegan itu "hey, itu bukan aku ya. Mungkin Anna seorang yang begitu. Dan, kamu lelaki jangan menganggap semua wanita seperti Anna." Andai sahaja saya berpeluang ketemu Kang Abik, hal itulah antara yang akan saya tanyakan, "apa Anna itu wakil sikap isterimu ini?" dan sekiranya Kang Abik mengangguk, saya akan temui isterinya dan berkata, "Sungguh kamu ini tidak sehalus dan sekreatif para isteri Rasulullah dan telah membenarkan salah faham tentang kenyataan wanita itu bernafsu sembilan, berakal satu." Kedua bab tesebut mengingatkan saya kepada kejengkelan saya terhadap satu adegan dalam drama "Tangisan Bulan Madu" yang pernah saya tulis entri khas untuknya.

Tepat sebagaimana tercatat (Buku 2 Dwilogi Pembangun Jiwa), nyata novel ini adalah juga sebuah buku motivasi yang harus dihadami oleh mereka yang patah jiwa atau sedang bergelut dengan ombak hidup. Gesaan dan saranan yang dititip Kang Abik lewat huraian tentang takdir dan usaha, serta petikan buah fikir oknum lain untuk mewarasi hujahannya mampu membangunkan dan menyemarakkan semangat insan yang hampir tewas. Petikan seperti kata-kata Vince Lombard "Once you learn to quit, it becomes a habit." cukup membuatkan mereka yang sedang mampir kepada kekalahan bangkit kembali.

Ringkasnya, dua buku yang saya nikmati ini berjaya menjadi pamplet promosi kepada karangan Kang Abik seterusnya, dan seharusnya ia jadi bacaan wajib kepada sasterawan memandangkan pengarang meletakkan nilai yang amat tinggi kepada sasterawan berbanding artis, sebagaimana yang sering diperlihatkan dalam masyarakat kita dan mereka. Melalui KCB, sasterawan dijunjung dan dicitrakan sebagai manusia yang bijaksana dan berjaya, di mana pembaca yang selama ini mungkin terlalu menyanjung artis akan sedikit terfikir, wajarkah aku? Makanya, andai novel-novel ini dimiliki oleh ramai orang, pasti acara dan majlis sastera tidak lagi dicemuh atas alasan menganaktirikan para sasterawan seperti yang sering berlaku di tanah kita. Apakah Kang Abik mewakili suara hati sasterawan negara kita?

Friday, July 10, 2009

Ketika Cinta Bertasbih

.
Saya mencatatkan pada bahagian dalam, kulit novel Ketika Cinta Bertasbih - usai pembacaan - Julai 10, 2009, Jumaat pagi, jam 11.45. Novel ini dititipkan teman jiwa pada April 27 lalu, dan ini novel pertama yang tidak sempat saya habiskan dengan sekali hadap, lantaran jiwa macet dengan urusan emosi yang menunda-nunda. Apapun syukur saya berpeluang mengkhatami dengan dua kali hadap sebuah novel yang saya kategorikan wajib baca ini.

Bahasanya mudah terlalu, namun saran dan didikan yang diselitkan lewat perkisahan watak-watak sungguh membuat kita sedar akan kuasa Tuhan yang teradun dalam usaha dan ikhtiar manusia. Sungguh Tuhan itu Maha Adil, dan mencipta segala sesuatu tanpa menafikan logik dan rasional. Dan novel ini juga amat bermakna bagi saya kerana hampir keseluruhan taakul dan pencarian saya selama ini terbukti benar dan dijumpai di dalamnya. Saya terasa amat dekat dengan cerita yang dilakar, seperti pendapat Prof. Loade yang menulis prolog novel ini; sehingga saya tidak dapat menahan sebak, tertumpah juga air mata di halaman 254.

"Saat itu Anda, moga-moga, sudara sadar dengan pilihan Anda, karena memang hidup adalah sebuah pilihan." - Prolog dari Prof. Loade M. Kamaluddin, Ph.D.

"Jadi jelas kan jawabannya. Aku pribadi menemukan pemuda yang baik, yang menurutku sungguh baik dan ada yang menjodohkan aku dengannya ya aku akan mengutamakan diriku dulu. Tidak akan aku tawarkan pada akhwat lain. Menikah kan ibadah. Cepat-cepat menikah kan juga bagian dari berlomba-lomba dalam kebaikan. Kalau aku itsar, mengutamakan akhwat lain, berarti aku akan kalah cepat. Akhwat itu akan menikah duluan, dapat jodoh duluan dan aku belum. Jadi tertunda. Dan tambah lagi belum tentu aku akan dapat jodoh yang lebih baik dari itu. Meskipun jodoh ada yang mengaturnya yaitu Allah. Tapi kita kan harus ikhtiar. Di antara bentuk ikhtiar itu, ya, ketika menemukan yang baik tidak usah mengutamakan orang lain." (hal. 343)

Kepada siapa lagi ia melabuhkan harapannya selain kepada Allah. Ia teringat firman-Nya: Dan sesungguhnya kepada Tuhan kesudahannya segala sesuatu. Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis. Dan sesungguhnya Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dan sesungguhnya Dialah yang menciptakan pasangan laki-laki dan perempuan.
(An-Najm: 42-45) - (hal. 386)

Petikan yang saya kutip ini adalah sejumlah hukum-hakam dan saran agama yang dilukiskan oleh Habiburrahman El-Shirazy secara indah dan jauh sekali dari sifat didaktik, seperti penulis lain yang suka berkhutbah secara langsung, sehingga pembaca seolah-olah diajar dan si penulis pula tinggi diri, dan tahu segalanya. Manakala petikan ayat Al-Quran pula bukanlah sewenangnya, seolah-olah mahu menunjuk kepada pembaca yang penulis itu hafiz Quran, tetapi ia dipetik setelah ia ranum dengan keperluan perkisahan.

Sekarang, saya mula membelek Ketika Cinta Bertasbih 2. Harapnya mampu habiskan sebelum Subuh esok. Kepada pengirimnya, terima kasih. Semoga dia menggiliri bacaan saya dan mampu mengkhatami naskhah yang sama tidak lama lagi.

Thursday, July 09, 2009

Pencinta Palsu

Berwaspadalah dengan cinta,
kerana cinta dapat menukarkan
orang sihat menjadi sakit,
orang gemuk menjadi kurus,
orang normal menjadi gila,
orang kaya menjadi miskin,
dan raja menjadi budak -
jika cintanya itu disambut oleh
para pencinta palsu.

Kamar Minda

Wednesday, July 08, 2009

Kunjungan Lincoln dan Kennedy

.
Saya tidak tahu dalam kategori mana harus diletakkan situasi yang berlaku hari ini, dan beberapa kebetulan yang kerap berlaku mulai 20 Disember lalu. Adakah ia koinsiden atau ketentuan yang diatur Tuhan untuk difikirkan? Ia cerita antara dua teman saya, yang sering bergilir atau bertembung peristiwa di antara mereka. Sebelum ini saya namakan seorang daripada mereka Lincoln, dan seorang lagi Kennedy. Ada sesuatu yang sukar dirungkaikan di antara mereka, dan perjalanan hidup saya sehingga kini.

Saya menerima kunjungan Lincoln (Z) petang tadi, dengan mengelek sampul coklat berisi buku, juga empat buah majalah Kelantan Gateway. Kami berborak agak lama memandangkan masing-masing terlalu sibuk dengan urusan sendiri sebelum ini, hanya sesekali melancarkan perang dalam blog. Apabila bertentang mata, kami secara automatik jadi macam calon-calon di kedua belah parti di penamaan calon Manik Urai. Boleh senyum dan ketawa bersama. Sempat lagi saya tanya bagaimana batang paip disalurkan melalui batang kelapa, sebagaimana gambar yang ditunjukkan dalam entrinya. Dan dia pula sempat bertanya tentang kesihatan Kennedy (H) yang sudah terputus hubungan dengannya, dan sama-sama ketawa sebaik sahaja saya usai bercakap di talian dengan seorang rakan. Apa tidaknya, ada juga manusia lupa dengan siapa yang pernah dikahwininya!

Perbualan kami beberapa kali diselang-seli oleh beberapa panggilan. Dan saya terpaksa menunda perbualan saya dengan Azmi kerana memikirkan Z akan kembali ke pejabatnya semula selepas ini. Syabas Azmi, sesungguhnya saya tabik dengan tindakan segeranya membersihkan namanya daripada digunakan sewenangnya di cbox blog saya (saya gelak apabila Azmi beritahu dia tak akan tanya soalan seperti "tapak kaki sendiri atau tapak bigfoot". Hahaha). Dan saya gembira apabila Azmi sempat bertukar salam dengan Z melalui saya. Mahu saya tanya Azmi mana "hala tuju" Azmi hari ini, tapi saya bimbang Z di tepi. Tak pasal-pasal kepala saya kena sekeh ini hari.

Kepada Z, terima kasih kerana berusaha memulangkan buku-buku saya dengan selamat. Saya boleh membeli yang baru sekiranya dia tidak menghantarnya, tetapi saya mahu sedikit menguji kejujuran dan janjinya.

Sepuluh minit selepas Z beredar, abang posmen terjengul di pintu dan memanggil nama saya. Saya membuka sampul kuning dan mengeluarkan empat buah buku, sekeping cakera padat dan sepucuk surat. Terima kasih Kennedy yang bersusah-payah mengirimkan novel Kasih Nan Agung, Jendela Menghadap Jalan, Meniti Jalan Hadapan dan Delima Ranting Senja, dan The Very Best Of Neil Sedaka (walaupun hari ini alunan lagu "You Mean Everthing To Me" cukup membuat jiwa saya terluka).

Hari ini saya bersua kembali dengan buku-buku saya yang dipinjam, dan mendapat tambahan empat buah buku dan majalah untuk rak buku kami. Terima kasih Lincoln dan Kennedy!

Monday, July 06, 2009

Jejak Kenangan

.
(Tapak kanan di cermin depan kereta, di Jalan Pasir Pekan, malam kelam.
Terima kasih, In kerana sentiasa membenarkan aku berkeadaan begitu.
Dan terima kasih kepada dia,
yang mengangguk ketika kuminta izinnya, suatu ketika,
melunjurkan kaki separas dadanya.
)

Malam ini aku jadi pekak pada lengking takdir
biarlah ia memanggilku dari belakang
tak akan aku berpaling, walau sejenak
aku tidak ingin mengatur tapak dan jejak -
biar ia berakhir di dada langit yang pasi.

Aku bukanlah sungai yang melepas lelah,
merebah tubuh di rumah laut, setelah hujan perih
berkurun menyongsong arus kenangan ke muara -
segara tetap masin airnya.

Taman Kenangan

Sunday, July 05, 2009

Menanti Gerimis

Malam ini saya berharap gerimis sudi menyentuh gersang bumi. Sangat-sangat berharap. Namun hampa. Saya menjadi terlalu rindu untuk melihat butir-butir air hinggap di dedaunan di halaman, disuluh sinar purnama.

Kamar Rindu

Tuesday, June 30, 2009

Abjad Rindu Di Langit Kelabu

.
Masihkah kau ingat, pada sebuah senja
kita menunggu matahari
di pantai itu, hilang di garis laut
sedang kaki telanjang kita dicium lidah ombak
katamu “jangan kau lukai pasir itu dengan abjad namaku.”

Lalu kita hanya mengeja kata-kata cinta, bersama
namamu dan namaku dilayahkan angin
kita lihat di ufuk barat, aksara-aksara terbang
garis langit dan laut semakin kelam
dan waktu yang terheret pun berpesan
“usah percaya pada angin,
yang terkadang sesat di penjuru malam. ”

Jalan Pengkalan Chepa
Jun 30, 2009 (petang: 4:39)
.

Saturday, June 27, 2009

Warna-Warni Hari Ceria

.
Panggilan dari teman jiwa pada pagi Khamis, Jun 25 adalah mentari, sedikit demi sedikit mengusir kabus yang sudah berhari meliputi langit jiwa - setelah amat kecewa dengan sikap manusia yang mengambil kesempatan atas empati yang dihulurkan. Bukan mudah mencabut belati yang dibenamkan di belakang.
Dalam sinar pagi yang terang, saya dan rafik menuju ke Sri Mutiara yang terletak satu bangunan Pasaraya Billion untuk memperbaharui lesen perniagaan. Sambil menunggu proses tersebut, mata tertancap ke arah sekeping bunting yang memukau jiwa. Tercatat saranan supaya para pelanggan memenuhi masa dengan memuhasabah diri, sambil menunggu proses di kaunter. Fikir saya, seandainya semua organisasi mengambil inisiatif seperti ini untuk berdakwah secara tidak langsung, sudah pasti masyarakat akan lebih terdidik dan bermoral.
Saya menyelesaikan urusan sementara rafik mohon izin untuk bertemu Pengarah Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia Kelantan, Encik Hairul Anuar. Menurut staf bertugas, beliaulah yang mengambil inisiatif ini semenjak ditugaskan di sini. Selesai berurusan di kaunter, pengawal keselamatan menghantar saya menyertai rafik di bilik beliau. Ternyata masih kedapatan penjawat awam yang masih murni dan amanah menjalankan tugas dalam kemelut dan huru-hara kepentingan duniawi insan lain. Kami mendoakan akan wujud ramai lagi manusia seperti beliau yang menerajui organisasi awam, demi menepis rungutan dan kritikan orang awam setiap kali berurusan dengan organisasi kerajaan. Terima kasih Encik Hairul atas kiriman emel desain bunting tersebut.
Sungguh simbahan mentari hari ini mencambahkan benih ketenangan di hati. Saya raikan hari ceria ini dengan mengunjungi Pasar Siti Khadijah yang tidak pernah saya kunjungi selama hampir dua belas tahun bermastautin di Negeri Serambi Mekah ini. Barang pertama yang dicari tentunya papan congkak yang telah lama saya ingini, kemudian saji buluh dan tikar mengkuang. Syukur, ketiga-tiga barang yang menjadi idaman selama ini berjaya saya dapatkan. Terima kasih rafik! Katanya semua ini hadiah warni-warni sempena hari ceria saya, dan sudah tentu hadiah sempena menyambut kunjungan saya ke negerinya (hadiah tertunda selama 12 tahun!).
.

Thursday, June 25, 2009

Seorang Lelaki, Sebuah Cerita

.
Saya lihat ada beberapa kasut lelaki di depan pejabat. Sebaik menjengah masuk, seorang pelanggan yang telah saya anggap teman (justeru dia sering menitipkan bicara rohani yang membawa kepada pencerahan diri) menyapa. Pasti dia sedang menanti kertas cadangan sebuah projek yang telah saya janji untuk siapkan sebaik saja pulang dari kota batu.

“Bos masih kenal pejabat ke?” Pertanyaan itu sentiasa buat saya ketawa. Bagaimana boleh saya tidak nampak dia di dalam? Oh, sudah tentu saya tidak menjangka dia ada, kerana tidak kelihatan pun sepasang kasut kulit coklat cair jenama Camel seperti selalu di pintu masuk.

“Mereka ini selalu ke Los Angeles. Bukan senang nak jumpa mereka di pejabat. Tak lama nanti di manalah kita nak siapkan kerja kita, mana tahu dia pindahkan pejabat mereka di Kuala Lumpur." Dia menguatkan suara, supaya teman di ruang depan mendengar. Ada nada usik, rajuk dan duga. Ketawa saya pecah lagi. Sungguh pelanggan yang seorang ini sentiasa bawa ceria setiap kali saya dilanda duka. Rasa sayu pilu awal pagi 22 Jun sedikit terbang oleh senyum manisnya. Saya minta diri kepada teman di ruang depan, dan terus ke dalam setelah siap berurusan dengannya.

Lebih separuh dekad dia berurusan dengan kami, saya lebih mengenalinya sebagai abang, rakan seperjuangan dalam perniagaan, dan teman. Kami boleh bertukar segala cerita seputar dunia niaga, politik, kehidupan dan perasaan. Apatah lagi berkongsi zodiak dan huruf pada pangkal nama yang sama; dia banyak meminta pandangan saya tentang jiwa dan perasaan. Cuma saya masih rasa janggal untuk membahasakannya “abang” sebagaimana yang selalu dia bahasakan. Dan saya pasti dia faham kenapa saya selalu mendahulukan perkataan “Encik” yang saya ringkaskan menjadi “Cik” sebelum menyebut namanya. “Awak nak pondankan saya?” Saya tahu dalam gurauan dia terpaksa akur pada prinsip saya.

Sebaik semua pelanggan lain beredar, dia mengucapkan terima kasih kepada saya. “Benar kata awak, dia sudah nyatakan secara langsung bahawa dia isteri orang! Suami keduanya ini hanya pandai goyang kaki dan anu.” Kenyataan itu dibentangkan tatkala menatap wajah saya yang kehairanan.

Saya tidak terperanjat mendengar keluhan itu, kerana awal-awal lagi saya sudah menjangkakannya. Namun lelaki yang sedang dibius cinta selalunya tidak waras menerima logika. Saya hanya jungkitkan kening memandang muka kecewanya.

“Hey Mr. Lucky Born, patutnya tukar gelaran jadi "Encik Selalu Terpedaya.” Saya terbelahak ketawa. Saya suka memilih pujukan brutal setiap kali dia ditimpa masalah. Saya pasti dia akan mendengar ucapan yang lebih lunak daripada mulut wanita lain dalam keadaannya sebegitu, tetapi saya tetap dengan cara saya setiap kali berhadapan dengan lelaki yang sedang tercalar perasaannya. Dan seperti selalu juga, dia menambah cuka pada wajahnya.

“Jangan lupa, huruf R kita tak akan buat Cik Mi rebah selamanya.” Saya menitip manisan perangsang selepas menyedarkannya dengan pujukan jadam. Dan senyum manisnya terukir lagi.

"Saya habiskan wang ringgit untuk dia kerana kasihan tengok dia dan anaknya, dengan niat menolong janda. Saya bawa dan ikut dia ke mana sahaja sewaktu dia datang ke Kuala Lumpur bimbang juga sebab dia bukan tahu selok-belok jalan di sana. Dia naïf dan boleh jadi mangsa sesiapa. Saya sewakan hotel untuk dia, dan minta dia telefon saya setiap kali mahu keluar. Saya sanggup buat alasan sewaktu mesyuarat semata-mata mahu hantar dia ke pusat beli-belah yang tidak pernah dikunjunginya sebelum ini. Saya dukung anak dia yang beratnya berbelas kilo sewaktu dia pilih kasut dan pakaiannya, dan hanya menyerahkannya semula kepada dia untuk menjelaskan bayaran di kaunter. Awak bayangkan, anak sendiri pun saya tak pernah dukung sebegitu lama!” Hahahaha, merah padam muka saya menghambur ketawa.

“Awak tahu, sambil dukung anak, mata saya melilau intai manusia sekeliling. Mana tahu ada mata yang mengenali saya. KL bukannya besar, dunia ini terlalu sempit.” Dia menyambung untuk redakan tawa saya, sebaliknya saya ketawa lagi besar.

“Takkan Cik Mi tolong dia sebegitu rupa hanya kerana dia sarjan (panggilan kami kepada janda) dan orang susah?” Sengaja saya tanya, walaupun sudah menjangkakan jawapan lazimnya.

“Hey, tahu tak kenapa orang beri sedekah pada masjid? Untuk dapat pahalalah! Aku belanja semua duit aku, ikut kau ke mana saja, sanggup jadi pak turut dan dukung anak kau, takkan kau tak tahu kenapa? Sebab aku nak kaulah! – Saya beritahu dia dalam suara keras. Tak tahan geram dengan dia.” Saya lihat api di mata Cik Mi sewaktu meluahkan gejolak jiwa, cepat-cepat tunduk; tidak mahu bertentang mata lelaki yang sedang kecewa marah.

“Saya tidak salahkan dia, kerana bila dikenang semula, memang sebenarnya dia ada beri hint bahawa dia sudah berpunya, hanya saya yang buta kerana cinta. Salah saya juga tidak tanya bapa kepada anaknya itu. Sekurang-kurangnya dari situ saya boleh tahu statusnya.” Suaranya bertukar lirih. Saya tatap bola matanya. Saya suka lihat sinar mata lelaki yang jiwanya sifar ego.

“Saya cuma kesal kenapa dia buat begitu kepada saya. Saya benar-benar cintakan dia. Takkan dia tak faham perasaan saya, dengan apa yang telah saya buat untuk dia. Takkan dia buta membaca maksud saya tatkala saya habiskan sejumlah duit belikan tiket dia pulang ke Sabah. Mati-matian saya ingat dia mahu berbincang dengan keluarga.” Saya tidak fikir dia ada sebab untuk kecewa, salah dia sendiri kerana leka dibuai pawana rasa, tanpa berpijak di bumi nyata.

“Dah lama Cik Mi kenal dia?” Saya masih ingat pertanyaan wajib saya setiap kali dia minta tolong saya membeli tiket secara

“Beberapa tahun”, sambil menghulurkan beberapa keping kad kreditnya kepada saya.

“Takkan Cik Mi tak tanya tentang cerita kehidupannya. Beberapa tahun itu suatu tempoh yang cukup lama untuk mengenal manusia. Manusia boleh dikenal hanya dalam masa enam bulan, itupun yang cukup perahsia. Kalau tidak sekali jumpa sudah dapat diteka hatinya” Saya bernada sedikit keras, otak kiri memaksa.

“Saya pernah ke bilik hotel yang saya sewakan untuk dia. Pada waktu itu hanya kami berdua. Saya pernah tanya dia kenapa dia bercerai dengan suaminya. Katanya suaminya main kayu tiga. Dia cerita semua kedukaannya kepada saya, saya benar-benar empati, bukan sekadar simpati. Saya janji saya akan tolong dia.”

“Nasib baik tak ditangkap khalwat. Kalau tidak kasihan isteri Cik Mi. Suami menolong orang, isteri sendiri mati beragan!” Saya memotong ceritanya.

“Tapi kami tidak buat apa-apa. Sumpah! Saya hanya mahu menduga dia.” Saya hanya mampu senyum, sudah letih saya mengingatkan dia – yang ketiga itu syaitan, dan saya fikir dia sudah cukup alim untuk diingatkan lagi.

Cuba ucap tiga patah kalimah sumpah tu..” Saya pasti jawapannya akan sama dengan jawapan yang sudah-sudah.

“Cik Mi, Cik Mi tu lelaki, atau sudah tukar jantina sekarang?” Dia senyum pahit, dan saya menyambung “jangan lupa, saya ada tujuh mata! Lupakanlah segala kenangan noda, let bygone be bygone. Saya bukan beriman kepada zodiak, tapi mencari ilmu dan petanda dari pernyataan alam. Tuhan tak jadikan sesuatu itu sia-sia. Tak guna Cik Mi minta saya jelaskan ciri-ciri zodiaknya, jika tidak diambil pedomannya.” Dan saya lihat dia terhenyak ke kerusi.

“Apa alasan yang dia beritahu?” Saya mahu dengar cara jawapan wanita itu.

“Saya perlu hidup untuk anak-anak saya. Lelaki seperti awak juga yang hancurkan hidup saya!"

“Pulanglah minta maaf pada isteri Cik Mi kali ini. Redha dan pasrahlah pada penerimaannya. Jangan khianat pada dia lagi, sebagaimana yang sebelum ini. Anggaplah ini yang terakhir. Cinta itu hanya datang sekali. Yang dikatakan cinta pada perempuan lain itu hanyalah nafsu sahaja. Yakinlah!” Kali ini saya pandang tepat ke matanya, terus ke jiwa.

Kamar Minda
dinihari: 4.00

Wednesday, June 24, 2009

Hari-Hari Yang Rengsa

.
Saya ke kota batu pagi 12 Jun bersama Noble’s Angels, mengiringi sifu puisi kami untuk majlis Malam Puisi Utusan (MPU). Perjalanan yang tidak dirancang selalunya lebih meriah dan menghiburkan, berbanding percutian yang dirancang awal-awal lagi, kemudian disapa aral melintang.
MPU malam itu saya simpulkan ringkas dan manis, seperti seorang dara yang mengenakan sepasang baju kurung putih kain kapas corak bunga halus rona biru dan berkerudung putih. Saya rasa cukup terhibur pada malam itu, apatah lagi sudah lama tidak mengikuti acara baca puisi. Acara malam tersebut mampu menerbangkan ingatan saya kepada acara Ratib Seribu Syair pada penghujung 2001, dan buat kedua kalinya saya benar-benar rasa puas.
Empat hari berada di Padang Embun, kami terbang semula ke kota batu. Keputusan untuk menghadiri majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2008 pada malam 19 Jun dibuat pada saat akhir. Sedikit aral melintang sewaktu pulang cukup menyedarkan saya tentang makna ikhtiar, penerimaan dan sifat tenang. Tuhan memperkenalkan saya kepada satu bentuk ujian yang belum pernah saya alami sebelum ini.
Saya tidak tahu mengapa sewaktu kaki menjejak tanah Kota Bharu pada awal pagi 22 Jun, hati menderu sayu dan pilu. Saya rasa sebuah kekosongan, seolah-olah saya sedang bergantung pada sekeping kayu dan sedang hanyut di segara. Tak bertepi. Dan tanpa sebuah kompas.
Saya rasa asing berada di rumah sendiri. Tanaman-tanaman yang layu kering di halaman makin menambahkan sesak jiwa. Saya hanya sempat membisikkan maaf kepada mereka kerana tidak mampu bermesra seperti biasa. Hanya sempat mencium kemboja yang semakin lebat bunganya dan membisikkan “aku sayang kamu.”
Pagi 23 Jun, saya terpanggil untuk menghubungi seseorang, dan berkongsi dengannya cerita tentang kehidupan. Perkenalan kami membuka pintu pencerahan ke atas jiwa saya; saya sendiri tidak percaya apa yang sedang berlaku kepada saya; saya mencadangkan suatu keputusan yang akan membahagiakan dirinya. Pagi itu saya dapat rasa hati seorang wanita disimbah sinar bahagia.
Dan hari ini, dalam keadaan kepala pusing dan mata berpinar saya menyeret langkah di halaman. Saya lihat bunga-bunga berkembang. Pepohon mula bangun dan senyum. Ada sekuntum kemboja jatuh, tak berteman. Mungkin disapa ribut semalam.
Dalam pasrah,
berikan aku sehari lagi!
Untuk aku mengenal Tuhan.
.

Cinta Yang Pergi


Hal yang menyedihkan
dalam hidup adalah
ketika kamu bertemu seseorang
yang sangat bererti bagimu,
hanya untuk menemukan bahawa
pada akhirnya menjadi tidak bererti
dan kamu harus
membiarkannya pergi.