Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Saturday, February 28, 2009

Sebuah Penyerahan

Mimpi saya terpelanting ke birai ranjang. Dengan mata terpisat-pisat, saya baca patah demi patah perkataan di skrin telefon bimbit. Dan mata terus tidak mahu lelap selepas itu, fikiran terus menerawang pada perbualan saya dengan dia sebelum ini. Sungguh sms itu menginsafkan saya, bahawa perencanaan Tuhan mengatasi segala rencana dan makar manusia.

Assalamualaikum WBT buat Rozais. Ketika SMS ini dihantar diriku baru saja keluar dari General Hospital, KL kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya akibat daripada tidak cukup tidur. Kereta Naza Sorentoku teruk juga tetapi Allah masih menyayangi diriku, dengan tidak mengambil nyawaku ketika itu. Seluruh keluargaku menyatakan umurku masih panjang. Dan masa ku pulang ke rumah menaiki kenderaan abang, aku teringat pada sajakmu semalam yang kubaca di dada akhbar Mingguan Malaysia, di ruangan Sastera Budaya. Ada sebuah puisimu di situ. Aku teringat kepadamu. Apakah aku harus berterus-terang berkenaan dengan orang-orang yang menyatakan kepadamu - cara bertudungmu itu? Aku amat terasa bersalah sekarang! Jika tidak memberitahu hal ini kepadamu. Mula-mula ingatku ingin saja berterus-terang bila kita berjumpa di KL. Tetapi pertemuan tidak berlaku. Dan dirimu juga tidak dapat datang ke KL. Dirimu juga pernah berkata kepadaku: "Aku juga didapati bersubahat." Sejak dari tadi, aku hanya memerhati, pada resah gambar ini, pada sebuah perhitungan diri, ada yang terpendam di sudut hati. Teringat aku pada lukisan Monalisa yang pernah kulihat di Muzium Louvre, Paris, Perancis dengan gambar yang ingin kulukis, .......... Tetapi sebelumnya, dia telah meminta, untuk tidak membenarkannya! Ah, terlalu amat sangat... dan kupegang pada janji eratnya, lalu kusimpan dalam diam, segala hasrat yang dipendam, mungkin di waktu lain, akan tertukarkah jawapan, dengan membenarkan gambarnya dijadikan lukisan?
(24 Februari 2009, 12.49 am)

Kepada InangRodat, saya doakan semoga sejahtera. Maaf, kerana sehingga kini saya masih dengan prinsip saya. Selamanya! Namun saya tetap menghargai nilai seni yang ada pada saudara. Masih banyak ayat-ayat alam Tuhan yang indah memerlukan sentuhan saudara, dan perlu dibingkaikan.

Dan dugaan yang berlaku kepada saudara, saya anggap ia adalah peringatan dari Tuhan, kembalikanlah pada Yang Esa. Bersyukurlah kerana saudara masih punya ruang masa untuk mengapungkan kebenaran.

Dan kepada yang terlibat sebagai dalang, doa saya sebagai golongan mustadh'afin ini, agar jiwa kalian ditaburi benih keikhlasan dan kejujuran dalam setiap tindakan.

Padang Embun
Februari 28, 2009 (pagi: 1:46)

Thursday, February 26, 2009

Cinta dan Kepercayaan

.
(Gambar kiriman Kanda Zaidi, Terima kasih)

Cinta datang kepada orang yang masih mempunyai harapan,

walaupun mereka telah dikecewakan.
Kepada mereka yang masih percaya,
walaupun mereka telah dikhianati.
Kepada mereka yang masih ingin mencintai,
walaupun mereka telah disakiti sebelumnya
dan kepada mereka yang mempunyai keberanian dan keyakinan
untuk membangunkan kembali kepercayaan.

Noble Art Creation
Februari 26, 2009 (petang: 3.30)

Love Story

.

Hari ini saya menerima 55 panggilan daripada seseorang. Sengaja saya tidak jawab panggilan tersebut, kerana ingin terus mendengar alunan lagu Andy Williams. Makanya Love Story yang sengaja saya pilih untuk nada dering panggilan masuk bagi pemanggil berusia 40 an ke atas terus menemani saya sewaktu menyidai kain dan mengiringi perjalanan dari rumah ke pejabat.
Terima kasih Andy!

Noble Art Creation
Februari 26, 2009

Rindu Bonda



Bonda,
tidak sesekali aku menyeru namamu
sewaktu sesak nafasku bagai mendaki ke langit
dan remuk kalbu oleh duka bertalu
memukul jiwa yang hampir berpisah raga
namamu kuseru di lidah sukma
kerana aku kehilangan aksara.

Bonda,
detik ini ingin sekali kuseru namamu
buat kali terakhir
sebelum aku pergi mencari Dia.

Kamar Pilu (Januari 10, 2009)
Februari 26, 2009 (pagi: 10.31)


*Bonda, maafkan anakanda pada dinihari 3.00 minggu lepas.
Moga bonda sejahtera.
Pada waktu duka dan bahagia.


Bonda, segalanya kini sunyi dan gelap.

Saturday, February 21, 2009

Hujan Di Hati

.


Malam tadi, kantuk menjauh. Hingga jam 4.00 pagi, minda dan jiwa enggan menurut kehendak fizikal yang terasa amat letih. Kenangan menerobos zaman kanak-kanak, terasa dingin air di kali menyentuh tubuh yang keletihan memanjat pokok, juga terasa nyaman curahan hujan sewaktu berputar-putar di padang. Saya mengumpul daun-daun kenangan yang berguguran, menyimpannya ke dalam bakul kehidupan. Sungguh, ingatan seperti itu mampu menghantar saya ke alam mimpi.

Jam 7.00 pagi, saya tersedar dari lena yang sebentar cuma. Terdengar titis hujan menimpa dedaun kering di luar. Saya bingkas menuju jendela. Benar, titis hujan sedang berguguran, membasahkan bumi garing. Rupanya ada dedaun kenangan yang tak sempat saya kutip semalam, melayah turun bersama angin yang membawa bersama hujan pagi ini. Bersama rindu!

Berhadapan rumah, sebuah kereta jenazah menghantar sekujur jasad yang berbalut kain putih. Kali kedua saya terserempak jenazah yang diiringi titis dari langit semenjak bermastautin di Padang Embun. Semoga ahli keluarga arwah tabah menerima ketentuan. Dia pergi bersama hujan, dan meninggalkan lopak kenangan di jiwa yang ditinggalkan. Dan sesungguhnya yang pergi itu, kembali menemui Kekasih-Nya, yang lebih mengerti. Bersama rindunya!

Kamar Rindu
21 Februari, 2009 (petang: 2.38)

Thursday, February 19, 2009

Sedu Yang Tertunda

.
Dedikasi buat Z (In) yang menjentikkan ilham

Kita meniti batas hari
ada sedu terbekam di kalbu
kubenamkan jauh
sewaktu kau menaikkan layang-layang impian
ke langit kenyataan.

Dan tatkala kita lewati padang saujana
seduku yang tertunda pun berderai
tersangkut di celah rerumput kepiluan.

Padang Embun
Februari 18, 2009 (tengahari: 12.30)

Jam Tiga Dinihari

.
(Untukmu, Z)

Jam tiga dinihari, Februari 17, 2009.

Putih busanaku
tertitis merah jiwa terluka
rona ungu rindu terpenjara.

Kita sama-sama merasa
hangatnya embun pertama
setelah sebuah janji dipahat.

Katamu
kau tak akan berpaling lagi
dan tegar dengan sebuah penantian dan janji.

Kataku
namamu tak akan terpadam
dari sudut hati yang paling dalam.

"Jika tersua lagi, mungkin aku menangis."
(Memori Duka)


Kamar Jiwa

Februari 18, 2009 (dinihari: 3.00)

Mingguan Malaysia, 22 Februari 2009

Wednesday, February 18, 2009

Matamu Di Kalbuku

.
(Untukmu, "Kelebihanku")

Suatu petang garing
kau sadaikan perahu impian
ke pantai harapan.

Matamu merenung kalbuku
dan kita sama-sama melereti
rerama yang terbang pergi
selepas hinggap seketika
di kerudungku.

Bayu yang menyapa tiba-tiba
melakar senyum di bibir kita
setelah sebuah bicara panjang
pada dinihari tadi
mengguris luka di jiwa kita.

Kamar Jiwa
Februari 17, 2009 (petang: 5.00)

Friday, February 13, 2009

Bisikan Hati (Siti Nurhaliza)

.
Sewaktu melintasi Jambatan Sultan Yahya Petra, dan dalam alunan kumandang azan Maghrib, saya sempat menjengah ke bawah. Sebuah sampan berisi tiga penumpang ilam-ilam dalam pandangan, sebahagian permukaan sungai dikerling rona emas neon jalan.




Bisikan Hati - Siti Nurhaliza

Tatkala pagi dingin begini, jiwa sering melintas padang kenangan.

Kamar Rindu
Februari 13, 2009 (pagi: 12:24)


Thursday, February 12, 2009

Ke Kota Batu

.
Saya mungkin akan menyepi selama beberapa hari. Februari 14, saya akan ke kota batu. Janji untuk melihat koleksi lukisan InangRodat, dan menandatangani borang keahlian suatu parti. Saya akan jadi ahli parti seumur hidup, janji saya pada InangRodat.

Semoga peninggalan saya beberapa hari ini, ada yang sudi menyapu sawang di teratak ini. Bagi yang setia bertandang, make yourself at home. Bagi yang baru bertamu, selamat datang dan terima kasih. Layan diri ya!

Padang Embun
Februari 12, 2009 (pagi: 2.51)

Trapped In The Rain

.
Trapped in the rain
Feeling so lonely
Thinking of you
Oh dear I miss you.

People hanging around
But no one in my mind
Only you my dear
Emerge at this time.

Kamar Rindu
Februari 12, 2009 (pagi: 2.15)

Wednesday, February 11, 2009

Mimpi Yang Tak Sudah (Ibnor Riza)

.


Saya suka lagu ini kerana melodinya, lebih-lebih lagi penyanyinya yang bersuara "penyayang". Saya suka Ibnor yang pendiam. Sebelum ini, saya tidak pernah menghayati liriknya, kerana lebih menumpu kepada alunan lagu yang mendayu-dayu, di selang seli dengan gambaran wajah Ibnor yang romantis.

Namun hari ini, saya menghayati lirik ini dengan mata jiwa. Sungguh lirik ini datang dari hati yang kecewa, oleh permainan cinta pasangan yang tidak setia menyemai janji hidup bersama. Kadangakala anai-anai kemarahan, kepentingan diri dan keegoaan bisa memamah akar cinta yang sebelumnya disemai bersama.

Waktu ini, saya rasa ingin terbang dan duduk di hadapan Ibnor, berkongsi luka yang rasanya tidak akan sembuh lagi. Ingin bercerita tentang mahligai syahdu yang telah lebur oleh petaka dusta. Benar alunan Hattan:

Kita bertemu kali ini untuk apa
Adakah hanya menambahkan lagi sengsara
Luka yang lama belum sempat aku sembuh
Masih berdarah mengeruhkan warna hidupku.

Saya fikir pasangan cinta Ibnor itu telah lupa lirik lagu Mahligai Syahdu, kerana itulah Ibnor terpaksa mengalunkan Mimpi Yang Tak Sudah ini.


MIMPI YANG TAK SUDAH


Apa maknanya impian
Datang dan pergi
Membawa hati
Menyusuri kembali
Jalan-jalan sepi

Kau kah di situ
Yang menantiku
Atau jelmaan
Titik kenangan
Yang bernama pengalaman

(korus)
Siapakah di antara kita
Dengan rela menjadi pendusta
Siapakah dulu membina harapan
Dan siapa yang memusnahkan impian
Tanpa sebab dan alasan
Kau mainkan perasaan
Bagai taufan tiba-tiba datang
Dan menghilang

Kau bayang-bayang
Masa nan silam
Ada ketika terbawa-bawa
Oleh resah mimpi yang tak sudah.

Kamar Rasa
Februari 11, 2009 (pagi: 8.30)

Tuesday, February 10, 2009

Patah Ranting di Cermin Usia (Iklim)

.


Saya amat suka lagu ini, lirik dan melodinya sekali. Namun setiap kali saya mainkan lagu ini, sahabat saya pasti sumbat telinga, atau saya terpaksa guna ear phone. Namun dia profesional, dia tetap ajar saya paste kan youtube dalam entri ini. Bila saya mahu dedikasikan padanya, dia cakap dia akan lari tak cukup bumi.

Saya akan kenakan dia cukup-cukup kalau seorang kawan sastera kami berkunjung ke Noble Art. Saya akan nyanyi sama-sama hingga sahabat saya tadi histeria. Rakan saya, penyanyi lagu puisi yang pernah bergelar johan; yang suara lelakinya vibrate lebih itu akan selalunya buat saya tersedak separuh lagu.

Lagu ini saya tujukan kepada lelaki-lelaki yang lahir pada tarikh Januari 10.

Untuk pria yang berkongsi tarikh ini; yang jauh di mata tapi dekat di jiwa, saya tujukan lagu ini khas untuknya; sekali lagi di ruang terbuka.

Jua untuk rakan duet saya itu, harap kami dapat nyanyikan lagu ini secara sempurna hari ini sempena sebulan ulangtahun keputeraannya.

Dan untuk seorang lagi lelaki yang berkongsi tarikh ini, saya ingin benar dia terseksa dengar lagu ini; kerana saya harap dia akan melajukan langkahnya sewaktu melintasi pejabat saya. Semoga lepas ini dia akan lanjutkan masa operasi tandasnya dan tidak menyeranah saya lagi waktu saya minta untuk berwuduk Asar. Dan saya akan tarik balik sumpah saya untuk mengencingi kuburnya (saya takut hantu kubur sebenarnya, tapi kerana dia terlampau biadap, saya terpaksa berbaik dengan hantu kubur).


Di saat ku berlari mengejar mentari
terlupa masa

Engkau menanti
(Pasrah engkau menanti)
sekeras hatiku walaupun perit

Kau yang mengharap kasih
ku mengendahkan
menyisir airmata, menghapus lara

Kau ikat pada janji
akulah yang satu
rela merintih dari terpisah

Patah ranting di cermin usia
ku tersedar kesilapanku
menyusur arusnya dunia yang fana
kekaburan

Kau kekasihku
(Kau kasihku yang setia)
kilauanmu bak mutiara
tak terpamer di bingkai kaca

Walau hujan berkurun
(Walaupun hujan berkurun)
di danau kasih bergelora
takkan tawar lautan cintaku.

Padang Embun
Januari 10, 2009 (pagi: 11.00)

Friday, February 06, 2009

Cinta, Politik dan Pengorbanan

Malam tadi, seorang rakan menelefon dan menyuruh saya berkemas secepat mungkin untuk ke Perak. Saya gelar dia "Menteri Penerangan" kerana dia selalu jadi pakar ulas seputar politik tanah air.

Saya baru sampai ke rumah lepas Maghrib, dan telah menyemai janji untuk bertemu seseorang pada Sabtu. Saya terpaksa tolak cadangan untuk bersama mengikuti kemelut politik Perak kerana janji tersebut. Dan malam itu saya dengar bebelan panjang seorang lelaki; dia tuduh saya menolak pelawaannya kerana bimbang tak sempat berkemas. Hey, ayahanda saya hanya beri saya lima minit untuk mandi dan bersiap, kalau tidak, saya akan ditinggalkan. Saya malas nak bertengkar, dan saya terpaksa mengiakan tuduhannya itu.

Saya menghabiskan masa mengemaskini blog dokumentasi saya kerana saya masih "berpuasa" daripada bertamu ke lima teratak maya yang wajib saya kunjungi saban hari.

Jam 10.24, seorang teman menyapa. Kami berbicara tentang rasa, jiwa dan cinta yang banyak mengubah wajah manusia dan dunia. Sesungguhnya, cinta yang lahir dari jiwa yang tulus suci pasti memekarkan kuntuman kesejahteraan pada pemilik hati seni.

Pada awalnya talian internet dalam keadaan baik. Namun tiga jam kemudian kami sama-sama "kehilangan". Kami saling mencari, umpama dua orang yang tersesat di tengah sahara. Cahaya purnama musim panas garing tidak mampu menyejukkan hati yang mula berbahang. Saya cabut USB Wireless dan guna LAN. Talian mula stabil sedikit, tapi kerap juga diterajang dari YM. Teman di hujung sana mula memanggil-manggil. Nasib baik teknologi terkini banyak alternatif. Telefon bimbit jadi pendamai kami.

Pagi: 2.12, kami mula menyedari sesuatu. Ya, politik tanah air sedang kalut dengan kemelut Perak. Pasti ramai yang melayari internet pada waktu begini. Ya, benar sekali. Berpandukan pengalaman, dinihari beginilah kerja-kerja "private n confidential" wajar dilaksanakan. Tentu ramai penggodam freelance dan upahan sedang khusyuk bekerja. Dan tidak mustahil ada antara mereka diacu pistol di kepala.

Pagi: 2.21, saya taip offline message meminta diri untuk memberi laluan kepada orang politik. Berilah mereka peluang untuk melakukan kerja-kerja "untuk agama, bangsa dan negara" (harapnya) dan semoga dengan "pengorbanan" kecil kami berdua, rasuah tidak lagi bermaharajalela.

Pagi: 2.22, teman saya melayangkan ucapan selamat malam (pagi) melalui khidmat pesanan ringkas.

Saya masih belum dapat lelap sehingga jam 3.00 lebih. Mahu telefon kawan yang agaknya sudah sampai di Perak, bimbang dijerkah lagi. Sungguh saya tidak dapat berkorban jika dituduh sebarangan.

Padang Embun
Februari 6, 2009 (petang: 5.00)

Mr. & Mrs Smith

. .
Saya sangat suka filem ini. Sangat-sangat suka. Bagi saya ia sebuah filem cinta yang penuh keromantisan. Bila saya katakan ini kepada beberapa orang teman, tiada yang menyetujui. Kata mereka, romantik apanya kalau dah bedil sana tembak sini.

Dapat saya bayangkan abang angkat saya yang panas baran di Sembawang, pasti terbeliak biji mata kalau saya panjangkan komen saya seputar filem ini kepadanya. Isteri flying kick suami? Perempuan bawa kereta laju pun dia membebel- emansipasi! Dia suka wanita seperti saya, tak pandai bawa kereta walaupun saban tahun memperbaharui lesen memandu sejak sedekad dulu.

Katanya, "Budiwati, andai suatu hari dinda mahu memandu, jangan jadi macam perempuan tu." Dia memuncungkan mulut ke arah pemandu yang baru memotong kereta kami di Orchard Road. Sebelum pencen, sikap pemandu seperti itu masih boleh dia ampunkan.

Saya jawab sambil berfikir, "Kanda Is mahu saya bawa kereta kuda sampai bila?" Kami sama-sama memuntahkan tawa.

Mr. & Mrs Smith adalah bauran cinta, keegoan dan survival. Dan nyatanya, cinta itu tetap akan menang dalam perjuangannya membedil keegoan; dan survival itu akan berubah sifatnya kepada perjuangan memiliki cinta.

Saya takut mati, tapi seandainya picu yang ditarik itu akan memuntahkan peluru cinta, saya pasti kematian akan menghadiahkan senyuman kepada saya.

Kamar Cinta
Februari 6, 2009 (petang: 3.11)

Thursday, February 05, 2009

Pistol, Anggerik, Dara dan Bahtera Aksara

.
Januari 3, 2009 malam, sebaik sampai depan pintu rumah, saya menerima panggilan daripada seseorang dari Kangar. Sebelum ini dia sering memberi komen seputar blog saya melalui utusan emel; kebanyakannya karangan puisi indah berkaitan entri saya.

Entah apa alasannya, malam itu dia ingin memperdengarkan suaranya setelah sekian lama dia memilih diam.

Kenapa selama ini hanya emel jadi medium interaksi?

"Kerana entri My Dear Trouble Maker itu”, dia tergelak kecil.

“Takut tengok pistol”, tambahnya lagi.

Saya berbisik kepada diri, “lelaki pun takut pistol? Lazimnya orang politik macam dia begitu akrab dengan pistol.”

Dia berharap saya menulis entri baru. Dan kerana meraikan kehadirannya ke teratak maya saya, saya penuhi permintaannya hari ini, walaupun saya telah berjanji kepada seseorang untuk “berbuka” pada awal pagi Sabtu.

Commercial break: Promosi anggerik ungu

Sepasang anggerik ungu,
rindu terbelengu.
Kapas ronanya di kalbuku,
setia kasihku.
Kusemai di halaman jiwa
di teratak cinta.
Kita petik bersama
seusai purnama gerhana.

Kamar Rindu
Februari 5, 2009 (dinihari: 3.00)


Berita Terkini: Dara hilang belum dijumpai

Padang Embun – Seorang penduduknya yang hilang masih belum ditemui. Khabarnya dara itu menaiki sebuah bahtera sarat kata-kata yang kini karam di segara dendam.
.
Bahtera tersebut berlabuh di pantai kenangan lebih kurang tujuh bulan yang lalu, dan dara tersebut antara penumpang yang turut menaikinya untuk memahami kehidupan dan mengenal manusia pelbagai citra.
.
Mutakhir, beberapa wanita yang dibawa nakhoda telah diselamatkan dan telah dikenalpasti, kecuali dara yang tertinggal kerudung ungunya; belum pasti situasinya.
.
Hanya bait-bait puisi bertinta biru laut yang terselit di celah kerudung ungu jadi saksi dara tersebut pernah berada di dalam segara. Antara aksara yang masih boleh dibaca:
.
Sebahtera garam aksara cinta
karam dalam segara helah daya
dan purnama pun berbicara
ceritera seorang pria
dan belati dendamnya.

Bahtera Cinta
Sabtu, Januari 31, 2009

Kepada dia yang takutkan pistol, saya harap anda boleh menziarahi saya di teratak ini tanpa rasa terbuku lagi. Hey, pistol itu hanya menghala ke arah saya!

Noble Art Creation
Februari 5, 2009 (petang: 1.30)