Khatam penghadaman jam 1.00 pagi, Julai 11, 2009. Demikian saya catat pada bahagian dalam kulit belakang novel Ketika Cinta Bertasbih (Buku 2 Dwilogi Pembangun Jiwa), buah tangan Habiburrahman El Shirazy yang kedua saya hadam.
Buku dua yang terus menyambung cerita tentang Anna Althafunnisa ini umpama sekuntum kudup yang disuluhi perakam video; saat demi saat ia mengembang menjadi kuntum yang indah mekar dan harum di sebuah taman, dalam tatapan si perakam. Sungguh El Shirazi (Kang Abik) adalah perakam yang cukup sabar bertenggek di sisi kembang demi tugasnya memaparkan pada manusia bagaimana proses sekuntum kudup secara perlahan mengorak kelopak pada suatu dinihari.
Jarang sekali menemukan seseorang yang sanggup dan sedia tercokoh pada waktu itu untuk suatu kerja yang pada kebanyakan orang lebih baik bermimpi sahaja. Pasti yang sanggup hanyalah jika dia benar-benar ada matlamat dan pencinta keindahan dan kedamaian serta ingin meninggalkan sesuatu hasil kerja kepada manusia. Dan ternyata Kang Abik mampu menemui bakawali yang jarang sekali mengembang di mata sebarang orang, kerana hanya yang akrab dengan dinihari saja jadi pilihannya.
Secara keseluruhannya, novel ini tepat untuk dikategorikan sebagai novel Islami yang cukup mantap. Sekiranya ia diandaikan sebagai satu masakan, Kang Abik berjaya memasak suatu menu yang penuh rencah di dalamnya, dan barangsiapa yang kurang arif atau sabar mengadun secara baik mengikut porsi yang sewajarnya, pasti hasilnya akan menjadi terlebih pahit, masin, atau masam. Namun ternyata Kang Abik secara kreatif mengadun semuanya sehingga segala ramuannya teradun secara mesra dan hasilnya terasa tidak puas dinikmati sekali sahaja.
Agama, sosial, politik, psikologi, malah sains digabungkan dalam penceritaan yang cukup halus berseni sehingga tidak kelihatan kesan-kesan tampalan ilmu bantu di dalamnya. Buah fikir yang dipetik juga sangat bersesuaian dan relevan dengan perkisahan yang diutarakan. Sebagai contoh Kang Abik memetik kata-kata Caroline Donnelly "Mereka yang sibuk tapi tidak produktif adalah ibarat kincir angin berwujud manusia" dalam menggambarkan ummah yang lemah dan malas serta berpada pada kehidupan yang statik tanpa penambahbaikan. Hal ini dibicarakan untuk memberi perangsang kepada bangsanya supaya menjadi aset terpenting kepada negara kerana bagi Kang Abik, rakyat Indonesia tidak maju kerana malas berfikir lebih; sekaligus dia memberi saranan yang lebih baik untuk mengatasinya.
Karya yang unggul seharusnya juga diselitkan humor, atau dalam bahasa sasteranya, wit supaya pembaca yang kepenatan mata mampu mengeluarkan air mata kerana ketawa. Nyata Kang Abik punya kebijaksanaan itu. Dalam nada gurau Kang Abik menyatakan "Suami paling baik bagi seorang perempuan adalah seorang arkeolog. Makin tua sang perempuan itu, makin cinta dan tergila-gila suaminya itu padanya." Yang menariknya, Kang Abik tidak berjenaka slapstik, namun jenakanya yang disampaikan melalui wataknya itu terhambur secara bijaksana dan penuh intipati untuk difikirkan, sehingga pembaca mendapat ilmu lain pula secara tambahan. Saya sendiri terfikir, betul juga ya, sudah tentu para arkeologis itu cinta akan barang antik; namanya pun arkeologi! Selain itu, dialog yang cukup ringkas seperti "kadang setan memang ada di mulut juga" berhasil memecahkan tawa saya sewaktu sedang asyik menelaah.
Perbahasan ilmu titen, sebagai ilmu bantu di tangan sesetengah penulis pasti terasa suatu tempelan sekiranya ia disampaikan secara langsung. Namun Kang Abik menguraikannya melalui watak Husna secara rinci tanpa pembaca rasa disogokkan dengan fakta kerana pembaca berasa perlu diperjelaskan segalanya tentang ilmu itu untuk mengetahui sebab ibu Azzam menolak calon menantu yang disepakati oleh anak-anaknya, dan ditakwilkan oleh Azzam sebagai khurafat. Malah jika tidak diterangkan, pembaca pasti kecewa dan berasa seolah-olah pengarang menganggap pembaca sewenangnya menerima keputusan tanpa tahu sebab-musabbabnya, sekaligus ilmu meniteni ini menjadi sangat perlu pula pada pembaca untuk diwarisi.
"Ilmu titen itu berangkat dari kejelian orang-orang dahulu meniteni, yaitu mengamati kejadian-kejadian dalam kehidupan, peristiwa-peristiwa di alam. Dari pengamatan yang berulang-ulang itu akhirnya bisa disimpulkan sebuah struktur kejadian. Dari struktur itulah lahir ilmu titen. Ilmu titen ini sebenarnya sudah masuk dalam seluruh aspek kehidupan ummat manusia. Mulai dari manusia paling primitif sampai manusia paling moden." (hal 248-249)
Saya cukup puas dengan huraian Husna ini, seolah terasa Husna adalah lidah saya untuk menjelaskan kepada rakan-rakan saya yang menyelar saya mengimani perkara khuarafat tatakala saya katakan saya percaya akan peranan alam dalam menunjuki arah kehidupan. Seorang teman blogger juga tetap sampai kini kebingungan dengan kepercayaan saya kepada tanda dan petanda, serta ilmu falak yang dibahaskannya sebagai syirik. Nah, sekarang saya harap dia buka sedikit mindanya, dan saya sarankan dia baca novel ini.
Selain ilmu titen, hukum-hakam dalam urusan perkahwinan juga banyak ditekankan, masih dalam keterbatasannya sehingga tidaklah ia jadi sebuah buku rujukan nikah-kahwin. Dan seperti selalu, ia dititipkan secara berseni dan sebati dengan penceritaan dan perwatakan. Sebagai contoh, tatkala Anna meletak syarat yang menjadi sebahagian dari sahnya akad nikahnya dengan Furqan, ternyata pembaca tidak rasa ia mengada-ada kerana pembaca sudah tahu latar belakang pendidikan Anna, malah terasa pula betapa harus ada ramai lagi yang tahu haknya dan bijaksana seperti Anna yang berpelajaran tinggi.
Sungguh perbahasan pada halaman 28-31 ini memperlihatkan kematangan Kang Abik sebagai pengarang, di mana sesetengah pengarang kecundang padanya, dengan menjelmakan dirinya ke dalam karyanya secara emosional, lebih-lebih lagi dalam perbahasan yang melibatkan isu gender. Ternyata Kang Abik bukanlah egois dalam mengapungkan kebenaran dan bijak membahagikan karya dan pengkarya.
Cuma sedikit terkesan sedikit campurtangan peribadi pengarang, mungkin; pada Bab 14 (Malam Pertama) dan 29 (Dan Cinta Pun Bertasbih) di mana saya berasa watak Azzam yang (mungkin) mewakili sifat Kang Abik sendiri yang suka jual mahal, dan hal ini seolah-olah pula mengungkapkan yang wanita itu (sebenarnya) jual murah dan amat tidak rapi menguruskan nafsunya.
Membaca bab ini saya berasa sangat malu dan "merah muka" dengan sikap Anna yang jual murah keterlaluan. Mahu sahaja saya menyergah adegan itu "hey, itu bukan aku ya. Mungkin Anna seorang yang begitu. Dan, kamu lelaki jangan menganggap semua wanita seperti Anna." Andai sahaja saya berpeluang ketemu Kang Abik, hal itulah antara yang akan saya tanyakan, "apa Anna itu wakil sikap isterimu ini?" dan sekiranya Kang Abik mengangguk, saya akan temui isterinya dan berkata, "Sungguh kamu ini tidak sehalus dan sekreatif para isteri Rasulullah dan telah membenarkan salah faham tentang kenyataan wanita itu bernafsu sembilan, berakal satu." Kedua bab tesebut mengingatkan saya kepada kejengkelan saya terhadap satu adegan dalam drama "Tangisan Bulan Madu" yang pernah saya tulis entri khas untuknya.
Tepat sebagaimana tercatat (Buku 2 Dwilogi Pembangun Jiwa), nyata novel ini adalah juga sebuah buku motivasi yang harus dihadami oleh mereka yang patah jiwa atau sedang bergelut dengan ombak hidup. Gesaan dan saranan yang dititip Kang Abik lewat huraian tentang takdir dan usaha, serta petikan buah fikir oknum lain untuk mewarasi hujahannya mampu membangunkan dan menyemarakkan semangat insan yang hampir tewas. Petikan seperti kata-kata Vince Lombard "Once you learn to quit, it becomes a habit." cukup membuatkan mereka yang sedang mampir kepada kekalahan bangkit kembali.
Ringkasnya, dua buku yang saya nikmati ini berjaya menjadi pamplet promosi kepada karangan Kang Abik seterusnya, dan seharusnya ia jadi bacaan wajib kepada sasterawan memandangkan pengarang meletakkan nilai yang amat tinggi kepada sasterawan berbanding artis, sebagaimana yang sering diperlihatkan dalam masyarakat kita dan mereka. Melalui KCB, sasterawan dijunjung dan dicitrakan sebagai manusia yang bijaksana dan berjaya, di mana pembaca yang selama ini mungkin terlalu menyanjung artis akan sedikit terfikir, wajarkah aku? Makanya, andai novel-novel ini dimiliki oleh ramai orang, pasti acara dan majlis sastera tidak lagi dicemuh atas alasan menganaktirikan para sasterawan seperti yang sering berlaku di tanah kita. Apakah Kang Abik mewakili suara hati sasterawan negara kita?
No comments:
Post a Comment