Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Monday, February 13, 2012

Bilakah Mahu Berubah?

.
Semalam saya ke Jaya Jusco Setiawangsa menemani seseorang yang mempunyai urusan wajib hadir di sana. Sementara menunggu teman yang masih berurusan, saya merayau di sebahagian bangunan tersebut dan terserempak sekumpulan pengunjung yang sedang bertumpu di ruang terbuka Corcorse Area Pusat Beli Belah AEON AU2, Setiawangsa ini. Saya mendekati untuk membaca kain pemidang di belakang pentas. Tertulis tajuk besar "Pelancaran Wajah Baru" dan "Sisipan Mingguan Malaysia" di bawahnya. Shamsul Ghau-Ghau dan Maya (bukan Maya Karin) sedang berceloteh. Majlis seakan-akan baru bermula.

Saya duduk sebentar di kerusi yang diikat belon untuk berehat. Di sebelah saya remaja lelaki yang memegang akhbar Mingguan Malaysia. Dapat percuma katanya. Harapan saya untuk mendengar ucapan Pengarang akhbar yang akan dilancarkan itu. Paling tidak saya mungkin mendapat sedikit ilmu daripada hanya sekadar melepaskan lenguh kaki di situ. Waktu itu, pengacara majlis sedang mengajukan soalan kuiz berkaitan perubahan atur letak ruangan dan tulisan dalam Pancaindera. Selepas beberapa soalan diajukan, dan beberapa orang mendapat mug dan payung, seorang penyanyi dijemput ke pentas. Saya hampa. Tiada ucapan untuk sebuah majlis pelancaran itu, walau sebaris ayat, sebagaimana sepatutnya.

Remaja lelaki di tepi saya terbeliak biji mata melihat penampilan penyanyi wanita yang sedang menarik-narik tepi gaun (mengikut kamus Dewan Bahasa bermaksud "pakaian perempuan cara Barat") putih paras pangkal paha dan mendedahkan sebahagian besar bahagian belakang. Wanita itu menyanyi lagu yang tidak pernah saya dengar, namun saya yakin bukanlah sebuah lagu popular. Saya angkat punggung demi menghormati agama dan singgah di sebuah kedai berdekatan. Kemudian saya lihat seorang lagi penyanyi yang memakai pakaian yang lebih kurang sama  berganti pentas. Dan kemudian entah penyanyi mana pula dijemput meraung di atas pentas. 

Oleh kerana sayangkan gegendang telinga dan bimbang tergolong dalam hadirin di acara taraf  fun fair tersebut, saya ke tingkat atas untuk membeli beberapa barangan keperluan pejabat. Dari atas masih kedengaran raungan penyanyi dan muzik yang gempita, banyak menenggelamkan suara penyanyi tersebut. Sungguh mengganggu pendengaran. Begitulah selalunya kalau dilihat dalam persembahan penyanyi yang "tiada suara". Mereka akan melaungkan pada pemuzik supaya menambah bingit muzik untuk menampung suara mereka yang kurang nak keluar.

Saya berehat di pangkin tingkat atas, masih menunggu teman dan membelek akhbar yang dilancarkan di bawah yang saya beli sebelum pergi ke sana kerana khabarnya akan mengalami perubahan wajah baru. Saya meneliti satu demi satu muka sambil mencari-cari ruangan cerpen. Tidak banyak perubahan isi yang berlaku, cuma susun atur dan bentuk tulisan tajuk ruangan yang dibesarkan huruf berbanding sebelumnya. Cuma yang baru satu ruangan yang dinamakan "Pena Selebriti" yang ditulis oleh Blont Palare yang tulisannya dimulakan dengan basmalah (baru saya tahu Bront itu Muslim rupa-rupanya) dan ruangan "Apabila Rashdan Berbicara" yang nampak bijak ulasannya.

Memang saya tidak boleh berharap lebih daripada perubahan itu, sebagaimana hasrat saya ingin melihat perubahan yang lebih baik berlaku terhadap isi dan hala tuju akhbar tersebut (lebih-lebih lagi sisipan Pancaindera) kerana sudah diingatkan bahawa perubahan itu adalah perubahan wajah, bukan isinya. Namun saya masih mengharapkan perubahan wajah yang muluk akan berlaku. Saya harap tiada lagi pendedahan aurat yang keterlaluan dan cerita-ceriti picisan berkaitan penyanyi dan pelakon. Malangnya, hanya wajah tulisan yang berubah, wajah yang sepatutnya diubah tidak berlaku. Wanita-wanitanya masih separuh telanjang, sebagaimana penyanyi yang dijemput ke pentas. Saya memujuk hampa, mana mungkin wajah akhbar tersebut berubah kalau pengemudinya dan wartawannya masih tidak punya anjakan paradigma pemikiran dalam memaknakan hiburan tanah air.

Saya doakan agar penyanyi untuk majlis pelancaran itu belajar sesuatu daripada penampilan dan bakat artis sepertimana Whitney Houston. Jika dilihat dalam youtube, kebanyakan klip video nyanyian diva itu memaparkan beliau memakai gaun labuh. Begitu juga dengan Mariah Carey. Kerana saya yakin mereka sedar dan waras apa yang ingin ditonton peminat ialah suara mereka, bukan paha atau dada mereka. Mereka mahu menjual bakat, bukan menjual maruah atau jual tubuh. Mereka faham erti sebenar hiburan. 

Whitney menyanyi "I Will Always Love You" dan Mariah Carey menyanyi "Without You" dengan penuh perasaan, mengeluarkan suara berkualiti tinggi mereka dengan iringan muzik yang secukup rasa. Penghayatan mereka dalam persembahan dipamerkan melalui bahasa badan yang cukup mantap, tidak meraung dan terkinja-kinja tanpa keperluan. Mereka tahu membezakan seni persembahan dan persembahan hedonisme. Kerana itulah mereka boleh terus dipuja walaupun usia menginjak tua. Whitney akan semakin dipuja kerana bakatnya, bukan kerana keseksiannya walaupun semalam dia telah tiada. 

Orang seperti Whitney tidak perlu dipromosikan secara berlebihan. Tidak perlu propa berlebihan seperti tajuk "Artis Popular Serikan Majlis Pancaindera" untuk menarik pengunjung. Kalau penyanyi itu terkenal, cukup sebut namanya dan tempat yang akan dia hadiri sudah cukup menarik berpuluh ribuan penonton. Tidak perlu ditambah sifat seperti "popular" atau "diva" atau "meletop" untuk melariskan penyanyi yang tidak berbakat dan hanya gila popular dengan pelbagai isu murahan. Agak-agak lah.

Harapnya Ketua Pengarang dan warga MM lebih bertanggungjawab dalam memulihkan dunia hiburan yang semakin bobrok, bukannya menambah kebobrokan sosial dengan memaparkan penyanyi atau pelakon yang tidak bertamadun dan kisah picisan mereka. Apa salahnya ditetapkan satu etika pakaian kepada penyanyi dan pelakon tidak reti bawa diri yang akan dijemput atau dipaparkan dalam akhbar, tidak kiralah ia majlis untuk orang awam atau eksklusif supaya mereka yang semakin tidak bertamadun itu juga dapat sedar akan tanggungjawab mereka, iaitu memberi teladan kepada masyarakat. Namun sehingga kini, penampilan serupa tadilah yang sentiasa ditontonkan kepada masyarakat dalam kebanyakan acara anjuran Kumpulan Utusan, khususnya Mingguan Malaysia. Bilakah mahu berubah?
.