Panggilan dari teman jiwa pada pagi Khamis, Jun 25 adalah mentari, sedikit demi sedikit mengusir kabus yang sudah berhari meliputi langit jiwa - setelah amat kecewa dengan sikap manusia yang mengambil kesempatan atas empati yang dihulurkan. Bukan mudah mencabut belati yang dibenamkan di belakang.
Dalam sinar pagi yang terang, saya dan rafik menuju ke Sri Mutiara yang terletak satu bangunan Pasaraya Billion untuk memperbaharui lesen perniagaan. Sambil menunggu proses tersebut, mata tertancap ke arah sekeping bunting yang memukau jiwa. Tercatat saranan supaya para pelanggan memenuhi masa dengan memuhasabah diri, sambil menunggu proses di kaunter. Fikir saya, seandainya semua organisasi mengambil inisiatif seperti ini untuk berdakwah secara tidak langsung, sudah pasti masyarakat akan lebih terdidik dan bermoral.
Saya menyelesaikan urusan sementara rafik mohon izin untuk bertemu Pengarah Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia Kelantan, Encik Hairul Anuar. Menurut staf bertugas, beliaulah yang mengambil inisiatif ini semenjak ditugaskan di sini. Selesai berurusan di kaunter, pengawal keselamatan menghantar saya menyertai rafik di bilik beliau. Ternyata masih kedapatan penjawat awam yang masih murni dan amanah menjalankan tugas dalam kemelut dan huru-hara kepentingan duniawi insan lain. Kami mendoakan akan wujud ramai lagi manusia seperti beliau yang menerajui organisasi awam, demi menepis rungutan dan kritikan orang awam setiap kali berurusan dengan organisasi kerajaan. Terima kasih Encik Hairul atas kiriman emel desain bunting tersebut.
Sungguh simbahan mentari hari ini mencambahkan benih ketenangan di hati. Saya raikan hari ceria ini dengan mengunjungi Pasar Siti Khadijah yang tidak pernah saya kunjungi selama hampir dua belas tahun bermastautin di Negeri Serambi Mekah ini. Barang pertama yang dicari tentunya papan congkak yang telah lama saya ingini, kemudian saji buluh dan tikar mengkuang. Syukur, ketiga-tiga barang yang menjadi idaman selama ini berjaya saya dapatkan. Terima kasih rafik! Katanya semua ini hadiah warni-warni sempena hari ceria saya, dan sudah tentu hadiah sempena menyambut kunjungan saya ke negerinya (hadiah tertunda selama 12 tahun!).
.
No comments:
Post a Comment