Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Wednesday, August 19, 2015

Perang Tak Berpedang



.
Kutitip pesan dalam mimpimu kekasih
sewaktu kau lenyap dalam lena panjang
setelah lelah bertempur dalam perang tak berpedang;
Acapkali ketika manusia hilang harapan
dan berfikir inilah titik pengakhiran,
sebenarnya itu hanyalah liku suatu perjuangan
bukanlah ia sebuah kesudahan
kerana Dia membiarkanmu menyelesaikan permasalahan
dengan bekalan kemampuan,
Engkau terselam di laut dalam
untuk bertemu mutiara terpendam.

Persinggahan Satu, Jalan Perdana
.

Friday, June 12, 2015

Senja Berbicara

.
Senja sentiasa mengajakku berbicara
tentang manusia, tentang rasa, tentang rona dan citra dunia
dengan sejumlah abjad tanpa kata
kerana katanya hanya puisi mampu melukis rindu
kerana hanya puisi mampu melenyapkan pilu
dan kerana puisi mampu melayan kamu.

Persinggahan Satu, 
Jalan Perdana, KL


.

Thursday, April 16, 2015

Sepasang Burung Migrasi

.














Tengahari tadi saya baru menyelesaikan kerja tonton tapis sebuah dokumentari sempena  Hari Bumi yang akan disiarkan di TV AlHijrah pada 19 April ini.

Dokumentari bertajuk ‘Upeh Terakhir’ yang skripnya digarap oleh Syirfan Indra Metra Surya Hussin ini pada saya sangat menarik. Terkenal dengan gubahan ayat yang indah, beliau mampu membawa jiwa saya menghayati sebuah pengorbanan untuk sebuah penghijrahan.

Berkebetulan pula, Kuala Gula serta kisah burung migrasi ini amat rapat dengan cerita saya dan seseorang. Saya terbawa-bawa ke dalam dokumentari ini, teralun kenangan oleh bait-bait skrip yang indah; seindah kisah burung-burung hijrah yang dipaparkan melalui footage yang teliti dipilih. Syabas buat Saudara Syirfan dan pasukannya.

Saya segera menyelongkar tampalan lama dalam sebuah blog untuk memanggil kembali lakaran kenangan kami. Sungguh ia membuat saya tambah merinduinya. Semoga dia memberi izin saya menampalnya di sini.

SEPASANG BURUNG MIGRASI 

Kita, kau dan aku 
sepasang burung migrasi itu 
melintasi laut, gunung dan lembah 
terbang jauh dari tanah asal 
berdua terus bersama, di mana jua
tegar dalam ubah warna musim 

ada tanyakan kita, apa kuncinya
tentang kesetiaan, ketabahan 
sepanjang menyusur laras kembara 
hingga hinggap di Kuala Gula. 

Pondok Cinta 
18 Julai 2009 – 11.00 mlm


Saturday, February 21, 2015

Rindu Bertebaran

.
Dalam remang senja
hati dipagut sepi
rindu bertebaran dalam hati
terserap ke dalam malam
yang kian mencengkam.

Atas bukit, Kompleks Pusat Islam

.  . .

Saturday, September 20, 2014

Ulangtahun Hijrah

.

Maghrib Sabtu, 20 September 2014 telah masuk hari Ahad 26 Zulka'edah 1435H. Selamat Hari Keputerian Ke-43 buat diri sendiri.

Pertama kali teringat usia dalam hijrah. Betapa kita sering terjajah oleh kebiasaan.

Banyak azam yang belum tertunai, banyak impian yang belum terjelma. Kita sentiasa impikan hidup seindah khayalan, namun tetap bersyukur atas nikmat kehidupan yang masih bersisa hingga ke maghrib ini.

Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah,
Jalan Perdana, KL
(7.33 malam)
.
.

Tuesday, September 09, 2014

Mencium Bahagia

.

Mencium bahagia di ulangtahun kelima.

Jalan Perdana, KL
09.09.14
.
.
.

Saturday, July 12, 2014

Dari Penjuru Mata

.
.






















DARI PENJURU MATA
(mengenang 12 Julai 2008 di Padang Embun) 

Dari penjuru mata, enam tahun lalu 
aku terpandang rama-rama mengepak di taman bunga
dalam debar sukma tercium bau takdir
semakin hampir ia merapat. 

Dan dari penjuru mata, setiap hari
aku melihat bahagia terbaring di sisi. 

Jalan Perdana, KL 
Julai 12, 2014 
.
.

Thursday, June 12, 2014

Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya

.
Lebih enam tahun lalu, dia kepatahan sayap kirinya. Dan kini, sepanjang rentang waktu yang telah berlalu, saya sentiasa mohon pada-Nya agar dia diberi kebahagiaan dan kesejahteraan yang berpanjangan, walaupun mungkin saya tidak mampu memberikan kebahagiaan sebagaimana sebelumnya...
 
Jun 12, 2014 (mengenang Jun 12, 2009)




Wednesday, May 21, 2014

Biarlah Bahasa Berbicara

.
Kebelakangan ini, saya kurang membaca paparan di facebook kerana tidak mahu dikelilingi aura negatif dek ocehan dan bebelan negatif. Boleh dikatakan sebilangan besar rakan mengutuk hampir keseluruhan tindakan kerajaan, yang pada hemat mereka semuanya membawa malapetaka kepada rakyat - dari isu GST, hudud, MH 370, tariff elektrik dan pelbagai lagi kebobrokan yang mudah saja membuatkan ramai warga Malaysia meledakkan seranah dan kutukan kepada kerajaan. 

Ramai yang memilih untuk mempamerkan kebodohan dan keburukan diri dalam menyampaikan ketidakpuasan hati dengan cara mengutuk. Jarang sangat terbaca kritikan membina yang tidak mengorbankan sahsiah diri. Nampaknya, dalam memperjuangkan ketinggian Islam, kita selalu lupa untuk mengekalkan maruah agama, bangsa dan negara. Pada waktu menuding jari, ramai yang hilang penampilan diri, tak kurang pula yang hilang nilai murni dalam berbicara.

Saya harap, sasterawan kita masih bijaksana dalam meluah rasa. Jangan pula nanti, kita hilang bahasa dan rasa dalam berkata-kata. Saya percaya keindahan dan kelembutan bicara mampu melembutkan jiwa yang membara dengan nista, dan mampu menumbuhkan belas dalam kalbu penguasa.



Wajah laut dan perahu tua
adalah rakan setia hidupku
aku yang sentiasa merindukan senyum
dan tawa anak isteriku.

Ombak laut Cina Selatan
adalah suara tangisanku
seorang nelayan kecil
memperjudikan hidup
bersama doa di bibir gersang

Ikan dan camar lebih mengerti
tragedi hidup kami
dari mereka yang berjanji
dengan kata bak puisi.


Laut ngeri di bulan Disember
ada kalanya lebih simpati
kerana mengambil diri
dan melimpahkan rezeki
serentak pada hidup kami.


Tiap Subuh pantai berselimut sepi
menanti berita kematian
dari saujana...lautan...

TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam
Mei 21, 2014
.

Thursday, April 24, 2014

Gerimis Senja



Gerimis senja ini menjemput kenangan
dari hari yang bertabur rindu dan ingat padamu
aku sering menangis dalam hujan tipis
setiap kali usai kita berbicara tentang bicara manusia.

Tak pernahkah kau terfikir
untuk menepuk lopak yang terpenuh air
ataukah kau bimbangi
air dan airmataku terpercik ke mukamu?

Jalan Perdana, KL
April 24, 2014 (petang gerimis) 
.
.

Friday, April 18, 2014

Kekasihku Semerah Seindah Senja

.
...Kekasihku
waktu semakin berharga
puisi menjadi inti kata
pendek padat
semakin diam kita
memerhatikan suasana
melihat gelagat

garis menjadi warna
kata mencari indah
diperlukan lagi
sesekali kalut kita
di tolak ke tengah
mendengar wacana
diskusi pengalaman diri

tapi kita memilih
ketenangan di tepi
menyendiri di kolam
di perkebunan sedih
mendengar resah hujan malam
menoleh pada kesilapan lalu
kerana waktu begitu pantas berlari
meninggalkan daun daun kekuningan
ketika bunga bunga di taman
mula layu

Kekasihku sayang
kau semakin indah di hatiku
bagai terhiasnya pulau pulau di lautan
kulit kulit siput memutih di pantai
lincahnya anak anak ikan
menari di celah lembut karang
melihat burung burung berterbangan
bernyanyi berdendang
menjeritkan lagu cinta kita
semerah seindah senja
setia kasih untuk selamanya

kekasih malamku
kerinduan langit biru
ada sesuatu ingin kutanyakan
... cintakah kau akan aku.

A. Ghafar Bahari 
.

Friday, April 11, 2014

Puisi Musim Bunga


.
Semalam kita lewati lorong perjalanan dari pondok cinta 
kuntuman lembut kesumba menguasai pohonan 
indah mekar di sepanjang jalan, sesetengahnya masih segar di bumi
membahagiakan, penuh pesona buat indera
kita saling bertentang mata, senyum dalam rasa teruja 
bahagia pun menjelma dengan seribu ria 
ada kembang dalam hati dan sukma. 

Kurakam keindahan kuntuman 
yang masih kekal di ranting,  dalam jiwa 
sementara ia mewangi diundang musim bunga
sebelum musim luruh berganti tiba. 

Bunga-bunga di lorong perjalanan kita
bukanlah cinta kita yang sentiasa segar, dibakar rindu membara 
berbahagi rasa dalam duka dan luka, bahagia dan ria 
kerana cinta kita bukanlah bunga
yang menunggu musim menjemput mekarnya. 

Jalan Perdana, KL 
April 11, 2014 (2.00 petang) 

Han,  
Maaf kerana tidak sempat merakam,  
dan puisi ini dikarang hanya setelah semua kuntum berguguran. 
.
.