Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Thursday, October 20, 2011

Pria di Jiwa

.
Pesan pada adindaku yang baru sahaja bergelar suami,
moga sentiasa di jiwa isteri.


MENJADI SUAMI YANG BAIK

1.              Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

2.             Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

3.          Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana?

4.            Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumahtangga terancam.

5.            Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

6.          Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.

7.            Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

8.            Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel untuk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.

9.             Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

10.         Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri.

11.         Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari ?

12.         Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

13.         Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.

14.         Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

15.         Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

16.        Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

17.        Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

18.         Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

19.       Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.

20.     Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuaratmenarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

21.       Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia. 

22.         Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka, endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.
.

Saturday, October 01, 2011

Rindu Ayah

.














 



(Mengenang pemergian ayahanda 
pada 26 Syawal 1432H/24 September 2011)

Hari ini cukup seminggu ayahanda pulang ke Rahmatullah.
Rasa bagai tidak percaya saya menulis sebaris ayat di atas.
Satu demi satu lelaki dalam hidup saya ke persisian Yang Abadi.

Sewaktu seorang rakan bertanya khabar saya petang ini, saya balas pesanan ringkasnya "saya macam biasa, cuma saya rindu ayah!"

Dia yang saya kenali di Hospital Sultanah Nur Zahirah sewaktu menjaga ayah dua minggu lalu membalas, "awak dah jaga dia dengan baik, saya tengok awak tak tidur pun". Saya jawab lagi "namanya pun jaga orang sakit, kalau nak tidur buat apa jaga."

Saya kasihan padanya, katanya dia terpaksa ke hospital semula kerana abang kepada majikannya terpaksa dimasukkan ke wad semula, bermakna dia akan melalui malam-malam yang kami lalui bersama sebelum ini.  Sebagai lelaki sulung dalam keluarga, banyak tugasan yang harus dipikulnya, dan tugas di hospital menambahkan lagi beban di pundaknya.

Kami sama-sama tidak dapat tidur, mahu bercakap pula saling tidak mengenali, hanya sesekali dia ke katil ayahanda setiap kali mendengar rintihan ayahanda, dan setiap kali saya mengamanahkan dia menjenguk-jenguk ayahanda setiap kali saya terpaksa ke bilik air mencurah air seni ayahanda.

Pesanan ringkasnya hari ini mengembalikan semula kenangan sewaktu di Katil 26, Wad 7EF HSNZ. Di situlah saya rasa sangat kecil di depan Tuhan, sangat memerlukan Rahim-Nya, dan sangat dekat dengan ayahanda. Saya belai ayahanda bagaikan bayi, dan berpeluang memeluk ayahanda yang sentiasa baring.

Dan saya tidak tega membayangkan kesakitan ayahanda sewaktu dimasukkan tiub saluran ubat ke dalam ususnya melalui hidung. Dan sewaktu doktor mennyuntik lengan kering ayahanda. Saya tiada daya menghilangkan kesakitan itu, hanya memohon dari-Nya agar meringankan kesakitan itu, dan memegang jemari ayahanda sambil memujuknya.

"Ayah 'kan gagah.
Ayah tak sakit bila mata cangkul jatuh atas kaki ayah, dan berdarah, kan?
Ayah tak sakit bila jatuh ke dalam sungai dengan basikal dan semua orang ingat kepala ayah yang putus, kan?"

Ayah mengangguk perlahan, bagaikan anak kecil yang mendengar pesan. Sewaktu doktor menarik jarum, ayah sedikit terkejut dan tersedar. Saya cepat-cepat berkata "dah siap pun, kan dah kata ayah gagah".

Saya sentiasa ingin mengenang ayah sebagai lelaki yang gagah dan tabah,
Saya sentiasa ingin bernaung di bawah rimbun dan redup kasih sayang ayah,
kerana itulah ayah.

Persinggahan Satu
Jalan Perdana
.