Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Saturday, June 29, 2013

Rindu Ayah

.
Sumber: Fatimah Ismail
Tiga hari lepas, hari ulangtahun kelahiran ayahanda tercinta. Buat kedua kalinya aku tidak lagi boleh mengucapkannya kepada ayah. Lalu kuutus pesanan ringkas kepada seorang kawan di kota batu yang mempunyai tarikh keputeraan yang sama. Terlalu sedih dan pilu rasanya, orang yang hendak kuucapkan rindu dan sejahtera buatnya telah pergi ke alam abadi.

Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa ayahku, rahmatilah dan kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihaniku tatkala aku kecil, masukkanlah dia dalam kalangan orang soleh dan ahli jannah dengan rahmat, Rahman dan RahimMu, Amin.


Hari ini dalam terik mentari kota batu, tatkala pulang dari sebuah restoran yang terletak di tengah kesibukan kota, aku disergah seorang remaja lelaki dengan penuh biadab. Aku jangka dia salah seorang peminat bola sepak dari Kelantan, daripada bahasa yang digunakannya. Dia melompat dari celahan kereta yang bersimpang-siur, lalu tercatuk di depanku yang baru sahaja keluar dari terowong pejalan kaki. Kerana terkejut, aku terpandang ke arahnya.

Dia menempik kepadaku, "apa tengok-tengok, nak ko#@* ke?" sebanyak tiga kali, walaupun aku buat tidak peduli dan terus menapak. Memang lelaki itu celaka! Aku bagaikan anak kecil yang dijerkah, meneruskan langkah mendaki bukit dengan cepat, bimbang dia mengekori kerana tiada pejalan kaki lain di sekitar jalan itu. Agaknya kerana cuaca terlalu panas, pelancong pun mengurung diri di kamar hotel.

Aku mendaki sambil menyeranah perilaku lelaki itu. Aku mula teringat ayah. Aku rindu ayah. Ayah yang akan sentiasa melindungiku dari ancaman, dari kejian, dari luka dan duka. Ayah yang garang, ayah yang penuh kasih sayang.

Aku rindu ayah yang mendukungku sehingga ke bilik tidur sewaktu aku tertidur di depan televisyen. Masih terngiang suara ayah yang merungut kepada bunda kerana tabiatku yang suka tidur merata-riti. Aku yang terjaga dan pura-pura tidur kembali semata-mata malas berjalan ke bilik tergeletek hati mengenang ayah yang sedang mendukungku.

Hari ini aku terasa ingin kembali kepada zaman kanak-kanakku. Aku tidak malu lagi mengongoi bagai anak kecil di meja ini. Entah kenapa aku masih mengharap ayah ada sebagai pelindungku sewaktu aku rasa terdera. Dan hari ini, aku benar-benar terasa ingin memeluk ayah.

Jalan Perdana, KL

Wednesday, January 02, 2013

Ingatan Untuk Diri


Semalam adalah hari yang tidak ingin saya tunggui. Saya takut berhadapan kenyataan, yang saya sudah berusia 40 tahun. 40 puluh tahun. Usia yang saya rasa terlalu jauh sewaktu saya berusia awal 20-an. Tujuh tahun lagi ke tahun 2020. Ah, sudah tiba rupanya. Saya bukan takut kerana faktor fizikal, namun kerana persediaan rohaniah untuk menghadapinya. 

Hari ini pula terjumpa sebuah rencana. Menurut rencana tersebut, berdasarkan kajian ilmiah, perkembangan otak manusia adalah tidak sempurna kecuali ketika berada di sekitar usia 40 tahun. Mmm. Satu cabaran dan ingatan untuk diri. Hidup untuk didepani dengan iman di hati, bukan diragui.

Dan tatkala menerima sejambak mekar daripada dia, seluruh ketakutan semalam sirna. Sejambak mekar ini penguat semangat saya untuk mendepani hari muka, bahawa masih ada seorang insan yang masih mengingat saya.


 Terima kasih, Han. 
Sentiasa berusaha memberi bahagia, 
sentiasa di sisi merawat luka dan duka.

Saya juga terjumpa rencana ini (http://redzuan-ridz.blogspot.com/2012/03/rahsia-disebalik-umur-40-tahun.html) yang menguatkan semangat saya untuk terus memperbaiki diri. Hari esok seharusnya lebih baik daripada semalam. Ya, bukan menjadi insan sempurna, tetapi mencintai Dia dengan sesempurna cinta.

TV AlHijrah, 
Kompleks Pusat Islam, KL