Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Wednesday, May 21, 2014

Biarlah Bahasa Berbicara

.
Kebelakangan ini, saya kurang membaca paparan di facebook kerana tidak mahu dikelilingi aura negatif dek ocehan dan bebelan negatif. Boleh dikatakan sebilangan besar rakan mengutuk hampir keseluruhan tindakan kerajaan, yang pada hemat mereka semuanya membawa malapetaka kepada rakyat - dari isu GST, hudud, MH 370, tariff elektrik dan pelbagai lagi kebobrokan yang mudah saja membuatkan ramai warga Malaysia meledakkan seranah dan kutukan kepada kerajaan. 

Ramai yang memilih untuk mempamerkan kebodohan dan keburukan diri dalam menyampaikan ketidakpuasan hati dengan cara mengutuk. Jarang sangat terbaca kritikan membina yang tidak mengorbankan sahsiah diri. Nampaknya, dalam memperjuangkan ketinggian Islam, kita selalu lupa untuk mengekalkan maruah agama, bangsa dan negara. Pada waktu menuding jari, ramai yang hilang penampilan diri, tak kurang pula yang hilang nilai murni dalam berbicara.

Saya harap, sasterawan kita masih bijaksana dalam meluah rasa. Jangan pula nanti, kita hilang bahasa dan rasa dalam berkata-kata. Saya percaya keindahan dan kelembutan bicara mampu melembutkan jiwa yang membara dengan nista, dan mampu menumbuhkan belas dalam kalbu penguasa.



Wajah laut dan perahu tua
adalah rakan setia hidupku
aku yang sentiasa merindukan senyum
dan tawa anak isteriku.

Ombak laut Cina Selatan
adalah suara tangisanku
seorang nelayan kecil
memperjudikan hidup
bersama doa di bibir gersang

Ikan dan camar lebih mengerti
tragedi hidup kami
dari mereka yang berjanji
dengan kata bak puisi.


Laut ngeri di bulan Disember
ada kalanya lebih simpati
kerana mengambil diri
dan melimpahkan rezeki
serentak pada hidup kami.


Tiap Subuh pantai berselimut sepi
menanti berita kematian
dari saujana...lautan...

TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam
Mei 21, 2014
.