Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Friday, March 27, 2009

Buat Yang Tercinta

.
Tatkala tirai malam lama berlabuh, dan aku yang cedera membilang detik berlalu penuh seksa, kau hidangkan setalam penawar luka. Sungguh aku berterima kasih padamu, In. Maaf kupinta atas keterlanjuran lalu. Dan aku membalasnya dengan nyawaku, hanya untukmu.



Kasih maafkan diriku/Banyak dosaku padamu/Tidak terhitung jari jemari daku/Tak dapat dibilang bagai bintang beribu/Sukarnya diriku menebus kekhilafan yang lalu
Kasih engkau tak bersalah/Hanya hatiku yang buta/Tulus dan ikhlas kau korban jiwa raga/Dan tanpa belas ku buat kau kecewa/Ku tahu dirimu sukar melupakan segalanya
Tiga malam tanpa bintang/Dan diriku dihimpit penyesalan/Arah tuju kian fana/Kerana hilangnya manira/Bagaikan siang diselubung gerhana

Kembalikan senda tawa/Pulangkanlah manis disenyum manja/Ku pahatkan keinsafan/Dan paterikan kesetiaan/Sehingga nadi menafikan nyawa

Kamar Cinta Kita
dinihari: 2.30 (24 jam tanpa lena)

Thursday, March 26, 2009

Sisa Cinta

.
Sehingga saat ini, mata engkar untuk lelap sejak jam dua pagi tadi. Sungguh mata ini sudah pandai berpakat dengan kalbu dan minda, untuk mendera jiwa. Saya bergegas ke Kota Bharu, melalui Jalan Kota Darul Naim, berhenti seketika di suatu tempat dan terus ke Hospital Sultanah Zainab II. Dalam mentari pagi yang agak garang, saya laju menapak ke Unit Hasil melalui pintu belakang hospital kerana sudah tentu waktu begini tiada tempat meletak kereta di dalam kawasan hospital.

Menjejak kaki ke sini dalam situasi saya sebegini terasa seolah-olah mengunjungi yang tersayang di pusara. Selesai urusan di kaunter dan menjengah sebentar Katil 17: Wad 28, saya menghayun langkah laju pulang ke kereta. Saya menyedari telah kesasar menghala ke longkang sebaik sahaja sahabat di belakang memanggil. Cepat-cepat saya mengubah haluan ke pintu keluar hospital yang saya lalui sebentar tadi. Malunya kerana dia dapat mengesan kecuaian saya itu. Hari semakin garing dan sakit belakang semakin bertambah. Sungguh-sungguh saya terdera sekian hari, jiwa dan fizikal. Apatah lagi terpaksa menahan kesakitan daripada diketahui oleh rakan taulan dan pelanggan.
Hutan cemara memanggil-manggil saya. Juga terasa mahu bersendirian di Tambatan DiRaja yang sekian tahun tidak terjengah. Saya rindu untuk bergelandangan dari kota ke kota, melihat bas yang datang pergi, atau menunggu di sepanjang landasan keretapi dan melambai-lambai penumpang yang berdiri di pintu, seperti yang selalu saya lakukan suatu waktu dahulu.
Dalam keadaan terpuruk, abang posmen datang dengan sejumlah surat. Antaranya, jemputan ke sebuah majlis, dan sebuah majalah yang memberi noktah kepada sebuah penantian. Saya harap kedatangan dua pucuk surat ini dapat meredakan sedikit kesakitan setelah merempuh kepedihan dan kekecewaan oleh seseorang yang membeli kejujuran dan keikhlasan yang sering dijaja olehnya dengan sebuah pendustaan dan pengkhianatan. Namun saya tetap mendoakan kesejahteraan kepadanya dalam meneruskan perjalanannya.
Tunas Cipta, April 2009, DBP
Noble Art Creation

Sebuah Perjalanan

.
Dalam perjalanan sebuah kehidupan, kadangkala kita temui jalan mati. Jika tahu di depan itu adalah jalan yang bukan infiniti, sudah tentu kita menekan brek daripada awal lagi, dan secara hati-hati membuat pusingan ke pangkal jalan. Namun jika kenderaan yang dipandu laju itu meluncur pada sebatang jalan yang asing bagi kita, apa yang harus dilakukan?

Sewaktu menghabiskan beberapa jam di kedai aksesori kereta, saya terpandang gantungan stabiliser bar. Saya bergurau dengan tuan punya kedai, lelaki Siam yang selalu minta saya taip Arab untuk kerja-kerja papan tandanya, boleh pasangkan stabiliser bar ini untuk kereta kami? Dia senyum dan membalas, "asyik duduk di sebelah, nak pasang buat apa?" Saya bergilir ketawa dengannya.

Saya berjanji pada diri, suatu hari nanti saya akan pasang ia di ruang enjin kereta. Manakan tahu, dalam perjalanan, saya terpaksa membuat suatu pusingan 360 darjah secara tiba-tiba.

Kamar Jiwa
pagi: 9.04

Hari-Hari Yang Cedera

.
Seharian di rumah membelek lembaran silam, saya ke Kota Bharu pada lewat petang. Masuk ke bandar melalui jambatan Sultan Yahya Petra pada waktu begini tidak sesukar keluar daripadanya, jalan bertentangannya bersusun kenderaan sepanjang hampir sekilometer. Saya melihat wajah-wajah mencuka dan keletihan dalam setiap kenderaan. Apatah lagi para ibu, membayangkan rutin yang perlu dilalui sebaik sampai di rumah. Oh, penatnya.

Sudah dua hari saya menyambut azan Maghrib dan Isya' di Kota Bharu. Hari sebelumnya, saya melihat burung pulang ke sarang dari jendela Wad 28, Hospital Besar Kota Bharu, dan susunan kereta pelbagai warna berebut meluru ke destinasi masing-masing. Apakah yang diburu agaknya; anak-anak yang menanti, isteri yang merindu, suami yang menunggu atau teman jiwa yang ingin bertemu.

Ruang solat yang pernah saya tumpangi dahulu kini tidak lagi berbau kemenyan (atau mungkin hanya terhidu oleh saya seorang kerana rakan lain menafikan), mungkin kerana saya leka melayan kenangan sehingga bau itu tidak lagi terhidu. Wad bersetentang dengan Balai Pelawat itu pernah menitipkan sejumlah nostalgia manis tak terlupakan. Saya senyum sendirian tatkala teringat usik seorang teman sebaik membaca sebuah berita tentang anak yang didera ibubapa, dan saya gelihati mendengar sindirannya tentang cerek. Ah, hidup tanpa cinta dan kasih sayang begitulah!

Dalam melayan kenangan, indera sempat menangkap sebuah Wira putih yang sedang meluncur. Kalbu tiba-tiba dipagut pilu. Sungguh objek putih amat jelas terkesan pada pandangan mata dan jiwa saat langit bertukar warna kelabu kehitaman.

Saya tidak betah berlamaan di situ. Kali ini sebelum pegawai keselamatan datang menyuraikan, saya terlebih dahulu meninggalkan wad, tidak lagi menjadi pelawat degil seperti sebelumnya.

Sampai di kedai kawan seperjuangan, kegelapan menyambut. Hampir sepuluh lelaki berceridai di luar bangunan, sesetengah saya cam mukanya kerana kulit, dan beberapa orang pula hanya nampak gigi dalam kelam malam. Kawasan sekitar gelap-gelita, bekalan elektrik terputus lagi. Masuk ke dalam kedai, saya lihat kawan senegeri saya terbongkok di meja. Saya segera menyuluhnya dengan lampu dari telefon bimbit. Ya Allah, dia sedang makan rupanya! Saya terus berdiri menyuluh makanannya - lelaki makan bukannya lama. Saya tanya dia, kalau saya tak datang bagaimana? "Makan dalam gelap, hahahaha." Nantilah, saya akan belikan sebatang lilin kurus pada hari lahirnya Jun nanti.

Hari ini, apabila saya sampai ke tempatnya, dia nampak ceria. Mungkin baru sudah makan malam dalam terang. Dan sebelum azan Isya' berkumandang, kerja mengizinkan saya pulang. Saya sempat singgah di Kedai Kek Muhibbah Jalan Hamzah. Sudah lama keinginan untuk menikmati Blueberry Cheese Cake tertunda kerana masa dan hambatan kerja.

Saya masih sempat menonton penghujung berita sewaktu sampai di rumah. Saya bersorak sebaik sahaja mendengar jumlah angka undian untuk Kak Ijat diumumkan. Nasib baik tidak tertendang tin 100 Plus di hujung kaki. Saya gembira bukan kerana saya menyokong parti yang dia wakili, atau kerana saya tidak sukakan Kak Fidah, cuma perasaan saya rasa lega tiba-tiba. Sejujurnya, saya gembira mungkin kerana kagum akan kesabaran Kak Ijat selama menghadapi sindiran dan cabaran dari individu berlainan "ideologi". Saya menonton rancangan seterusnya sambil menikmati hirisan kek kedua. Pandangan makin lama makin kelabu. Saya tanggalkan kaca mata anti silau, dan berbaring depan tv.



Dalam lembah yang gelita/Tak nampak wajah/Apatah nak ku melangkah/Merangkak pun payah/Percik api menyala/Bagai satu petanda/Jauh mana kan aku damba

Dalam jiwa yang cedera/Tak nampak cinta/Apatah nak ku gembira/Tersenyum pun paksa/Bibit kasihmu dinda/Susah mana pun aku/Akan menyusurinya/Oh...

Airmata ku tahan/Mengalir lesu dalam kalbu/Dingin lalu membeku/Menjadi bukti luhur niatku

Dalam hidup yang gelora/Tak nampak dosa/Apatah nak bercinta/Merindu pun dera/Kerdip sinar di mata/Bagai satu petanda/Sukar mana kan aku puja/Oh...

Hanya kepadamu/Tinggal harapan kasih/Buat diri ini/Kembali berasmara

Fiq mendendangkan Bukti sewaktu mata saya terbuka kembali. Saya kerling jam, hampir dua pagi. Ah, lagu itu. Saya cukup suka liriknya, dan lagunya. Saya amat kecewa bila ia tidak dipilih untuk menjuarai kategori sebuah anugerah muzik dahulu. Saya suka Fiq kerana dia menyanyi dengan jiwa, tidak sesekali memuji imejnya yang suatu ketika dulu mengingatkan saya kepada satu watak dalam cerpen saya "White Metal". Walaupun Fiq tewas, (dalam pertandingan, bukan dalam jiwa saya) lagu yang dimenangkan bukanlah membuktikan kualiti lagu tersebut adalah terbaik. Dalam kebanyakan pertandingan, kuasa tangan-tangan ghaib tidak dapat dinafikan.

Saya sedang menaip entri ini sewaktu sahabat berteriak sambil telunjuk menghala ke arah jendela kaca. Ini mesti katak pisang lagi, fikir saya. Aksara dari jiwa yang ingin ditaip bertempiaran terbang oleh kejutan tersebut. Saya pandang jendela, mengintai katak yang suka melekap di kaca. Tiada pula. Sejalur cahaya tertala ke tubuh saya, dan saya mengekori puncanya dengan ekor mata. Saya mengesan sebatang tubuh berdiri betul-betul bersetentang dengan meja komputer, di halaman sana. Saya minta sahabat memadamkan lampu ruang depan. Nasib baik telekung sembahyang sahabat tersidai di belakang kerusi saya. Pakaian mana lagi yang sempat saya capai dalam keadaan saya begini.

Saya buka sedikit jendela kaca. "Nak apa?" Dalam sinar neon, saya cam mukanya, walaupun dia bertopi. Tersengih-sengih, mungkin keliru melihat saya berpakaian seolah-olah baru bangun dari kubur. "Ini kenapa, tergayang-gayang depan rumah orang?" Saya geram kerana dia tidak menjawab pertanyaan tadi. "Berjaga." Ringkas dia jawab sambil menghampiri saya. "Macamana tahu saya belum tidur, boleh nampakkah saya dari luar?" Saya menduga, ingin tahu sama ada dia sempat melihat saya, atau hanya tertumpu kepada cahaya monitor. "Nampak awak menaip." Aduh, malunya! Saya lihat sekeliling. Nasib baik beberapa orang pakcik menghampiri, berpakaian baju T warna kuning air. Sah dia berjaga, cuma pakaiannya tidak seragam dengan petugas lain. Sebelum tutup jendela, saya sempat mencadangkan, "baik pergi jaga belakang rumah, jalan parit air tu. Jaga tempat cerah ni buat apa?" Seorang petugas veteran tolong menjawab bagi pihak lelaki bertopi, "semua dah ronda, sini last." Lirih suaranya, mungkin teringat ranjang dan isteri yang kesepian.

Dalam jiwa yang cederaTak nampak cinta
Apatah nak ku gembira
Tersenyum pun paksa.

Kamar Jiwa
pangkal pagi: 4.10

Tuesday, March 24, 2009

Lagu Jiwa

.
Pasti ramai yang gelak bila saya katakan saya menangis sepanjang malam kerana sebuah lagu. Hanya kerana sebuah lagu? Hahaha. Ya, kerana sebuah lagu.

Malam Mac 20, 2009, sebak menderu dalam kalbu oleh sebuah ketentuan yang menjerkah secara tiba-tiba. Saya tidak tahu apa yang harus dibuat untuk memujuk hati. Saya cuba meletihkan fizikal dengan menggosok pakaian yang sususnannya telah mencapai paras lutut.

Saya minta tolong rafik yang sedang melayari internet dan bersembang dengan teman maya agar memuatturun sebuah lagu dari Youtube supaya senang saya menaip entri saya malam itu selepas selesai menggosok. Pada masa tersebut dia ralit membaca blog seorang teman, dan menunaikan permintaan saya pada masa yang sama. Saya menunggu sambil menyanyikan "Hanya Kau Yang Mampu".

"Inikan dah ada!" Jerit rafik seminit kemudian. Nasib baik jemari saya tidak terpegang seterika panas. Saya jenguk dari belakangnya. Lagu itu mengisi entri sebuah blog. Saya terpempan. Air mata menderu, menitis ke baju yang sedang digosok, bercampur dengan air dari botol penyembur.

"Nak savekan juga atau cukup dengar dari entri ini saja?" Rafik yang setia menduga.

"Tak payah, aku akan buka entri itu setiap kali mahu mendengarnya." Rafik berpaling ke belakang mendengar getar suara saya.

"Kenapa?" Dia musykil akan sebab yang membuatkan saya berkeadaan demikian.

"Kerana sebuah rasa."

Jawapan itu tidak sampai ke telinga rafik, hanya jiwa saya yang mendengarnya. Dan saya percaya rafik dapat menekanya juga.

Dan saya terus menyanyikan lagu tersebut sepanjang malam tanpa lena, mengisi sebuah kenangan jiwa.


Saya harap tidak lagi "berebut" lagu ini dengan sesiapa pagi ini.

"Maafkan bila ku tak sempurna."

Kamar Jiwa

Monday, March 23, 2009

Petanda Alam

.

Dalam banyak perkara, alam beri jawapannya.

Jiwa Alam

Musang Berbulu Ayam

Dalam The Scribe Dato' A. Kadir Jasin (AKJ) ada menyebut tentang musang berbulu ayam. Beliau mengaitkannya dengan rumah politik tanah air. Sebut tentang musang yang tidak suka akan bulu sendiri ini, saya teringat sikap seorang suami kawan saya yang datang bertamu ke pejabat saya.

Dia bertandang dengan alasan bertanya khabar dan membincangkan tentang usahasama perniagaan dengan kami (dia seorang guru yang mula berjinak-jinak dengan alam perniagaan), kemudian melilau ke sana sini serta menyemak sebahagian besar tempahan siap. Dalam kesibukan saya bekerja, saya sempat mengerling kepadanya yang telah mengambil tempat saya. Sahabat saya pula sedang berdiskusi dengan seorang lagi rakan yang hadir bersama dengan guru tadi.

Walaupun seringkali dalam doa saya minta supaya tidak diperlihatkan aib manusia kepada saya, hari itu Tuhan menunjukkan aib tetamu itu. Saya lihat dia menyelitkan sekeping kad nama pelanggan saya ke dalam poketnya, dan pada waktu yang sama saya kebetulan berpaling ke arahnya. Darah menyirap ke mukanya, dan saya bertindak seolah-olah tidak nampak tindakannya itu. Dia mula menguis sesuatu dalam tong sampah untuk mengelirukan tindakannya dan saya bersembang seperti biasa, seolah-olah saya tidak perasan hal tersebut.

Sewaktu dia ingin pulang, saya renung mata sahabat, rakan kongsi saya. Kata saya, saya belum bersedia untuk berniaga ke peringkat antarabangsa dengan rakan tadi. Sahabat saya terpinga-pinga, kerana sebelum itu kami hampir bersetuju menjalinkan usahasama dengan beliau, tiba-tiba keputusan tersebut saya ajukan kepadanya. "Aku tak mahu bergaduh dengan isterinya, kawan kita di kemudian hari."

Sepertimana biasa, sahabat akan mengerti dan dia "membawa" tetamu tersebut ke luar pejabat dan terus memberi keputusan itu kepadanya. Saya pasti dia tahu kenapa saya tidak ke luar minum bersamanya petang itu, hanya sahabat yang mewakili untuk memberi keputusan, kerana sebelum dia keluar, sempat dia menyapa, "orang nak keluar pun tak paling muka!", dan saya sempat senyum kepadanya dan berbisik, "tak perlu mengadap muka, saya ada tujuh mata!"

Saya lebih suka menegur secara tidak langsung kepada mereka yang "khianat". Jika tidak terus pada waktunya, pasti suatu masa saya akan berterus-terang jua, cara saya. Lebih-lebih lagi kepada manusia yang suka memakai bulu ayam ini, atau kepada manusia seumpama watak-watak dalam Musang Berjanggut.

Padang Embun

Arca Alam

.
Terkadang alam lebih mengerti dan jujur mendengar dan menyimpan segala rahsia jiwa. Ingin sekali rasanya menyepi di kehijauan The Cave of The Golden Rose. Memejamkan mata dan menikmati desir dan gesekan dedaun, apabila alam berbicara.


Bila Jiwa Berbicara
(http://azmi-alkelantani.blogspot.com)

hati sering berbicara
menafsir bahasa alam
tanpa aksara
dan bait ayat
penuh dengan makna
puitis madahnya
lenggok daun meliuk
lembut maha pencipta
gerimis yang mengalir
rahmat dari Ar-Rahim
hati ini tenang
memandang kehijauan
elok ciptaan Mu

Jiwa Alam

Saturday, March 21, 2009

Hadapi Duga

.
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan
(begitu sahaja setelah mereka) mengatakan:
“Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji?
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang
yang sebelum mereka, maka sesungguhnya (dengan itu)
Allah mengetahui orang-orang yang dusta (di kalangan mereka).
(Al-Ankabut: 2-3)

Tengkujuh mendatang kita tadahkan
ceria sahara, subur bumi gersang
badai menyerang kita sanggahkan
bertaut kiambang, erat simpulan.
(Cerita Cinta Kita: Setitis Tinta Dalam Lautan Aksara)

Kamar Minda
pagi: 10.16

Friday, March 20, 2009

Nostalgia Jiwa

.
Helai demi helai daun kenangan gugur di laman kehidupan. Tiga bulan lalu, sehelai hijau daun pertemuan tumbuh di sebatang pohon jiwa. 20 Disember 2008 ia mula menghirup nafas bumi yang semakin garing dan hilang nilai kasih sayang. Namun menyedari perlunya pohon cinta dan kasih sayang merimbuni mayapada yang semakin gersang, ia terus berjuang untuk menghijau. Tanpa disangka, ribut taufan yang menerpa bukan sahaja menggugurkan dedaun kuning, malah takdir Tuhan merencana, daun yang masih hijau ke tanah jua. Namun, sebagaimana cerita A Walk In The Clouds, selagi akar pohon anggur masih bernyawa, dengan kasih sayang dan kesungguhan jua yang dapat merimbunkan kembali seladang anggur. Saya sangat-sangat percaya itu.



Nostalgia Aidilfitri - Sharifah Aini

Setiap kali saya mengalunkan sebarang lagu raya pada hari selain hari lebaran, setiap kali itu jugalah saya diketawa orang. Namun saya suka dengar lagu raya pada hari selain hari raya kerana jika lagu raya dialunkan pada tarikhnya, saya tidak dapat menahan genangan di mata. Dan saya fikir, lagu yang disertakan dalam entri kali ini, yang cukup bererti buat saya, dapat difahami oleh "dia". Saya pasti dia tidak akan ketawakan saya. Sangat-sangat pasti.

"Sesaat takbir bergema, selama itu dikau di hatiku."

Kamar Rindu
(tengahari: 12.15)

Wednesday, March 18, 2009

Sekeping Gambar

Sebelum ini saya tidak pernah jumpa seorang lelaki yang sangat tegar dan istiqamah dalam usaha mencapai keinginannya, sehinggalah saya menerima sms ketiga untuk perkara sama. Aksara yang saya salin dari telefon bimbit ini membuktikan InangRodat lelaki Melayu terakhir yang tidak jemu menduga prinsip saya.

"Assalamualaikum Cik Rozais. Jika semuanya sdh selesai, boleh tak saya memulakan projek saya yg terbengkalai itu - utk melukis gambar Cik Rozais?" 15-Mar-2009, 10:28 AM

Sungguh saya puji ketegarannya berulangkali meminta izin, namun saya kecewa kepada diri sendiri kerana kelemahan saya memahamkan dia akan penolakan saya.

Kepada InangRodat, lukislah dengan jiwamu sebuah wajah bangsa yang hampir pudar citranya, dan semakin sirna bahasanya.

Dan apabila menerima sms dari kota batu ini pula, saya yakin ada mentari kesedaran akan memancarkan sinarnya kepada bumi kelestarian bangsa setelah mendung langit bahasa di tanah air tercinta menumpahkan gerimis kepada warga.

"Gerimis di sini sejak awal pagi, di hati sarat rindu." 18-Mar-2009, 09:15 AM

Semoga liukan bahasa indah milik watan tercinta tak akan layu di bumi sendiri.

Padang Embun
pagi: 9:41

Sebuah Cerita Tentang Teman

Semalam adalah suatu hari penuh cerita. Pangkal pagi saya terpaksa membuat suatu keputusan penting dalam memilih simpang perjalanan. Tahun ini merupakan tahun penentu buat saya untuk merangka fasa hidup seterusnya. Dan selalunya, jika saya buntu memilih antara dua persimpangan, saya sanggup meredah rumput atau jalan berbatuan, sepertimana saya akan memilih baju kelabu setiap kali pakaian berona putih atau hitam kosong dalam almari.

Saya terpaksa ke Kota Bharu dengan segera. Tak saya hiraukan cerita Cik tentang Paknik yang "menipu" hari giliran di sana. Jantung berdebar-debar tatkala melalui Jalan Kota Darul Naim kurang lebih jam 2.00 petang. Saya sempat intai papantanda "iklan ubah saiz" di kiri jalan; masih ada di situ cuma dirimbuni dahan pohon. Saya toleh ke kanan jalan, "ia" tiada di situ.

Di kanan, Sutera Inn. Saya lihat Wira biru ungu. Aduh, selama ini saya sangat ingin terserempak kereta tersebut di perjalanan, hari ini Tuhan makbulkan. Saya lihat penumpang di sebelah sedang membetulkan tudungnya, lengan separuh menutup wajah. Paknik di sebelah memandang ke arah jalan setentang. Harap-harapnya dia tidak nampak kereta kami. Saya terus teringat kepada Cik. Semoga Tuhan gugurkan gerimis ketenangan ke dalam jiwanya.

Sewaktu pulang, masih melalui jalan yang sama, cuma arah berbeza. Kali ini saya lihat "ia" ada di situ. Di rusuk kanan bangunan, tidak seperti selalu - di hadapan bangunan itu. Rafik di sebelah menyapa, mahu singgah di Kedai Makan Wan Sakinah (restoran kegemaran saya di Jalan Pasir Pekan)? Saya mengeleng.

Saya yang kegaringan pulang dari Kota Bharu tidak sempat melepaskan lelah. Kerja bertimbunan seakan sengaja mendera saya yang keletihan fizikal, minda dan lebih-lebih lagi jiwa. Akhirnya, saya kunci pintu jiwa, saya programkan diri sebagai robot. Saya jadi kalis rindu, kalis pilu. Beberapa jam berlalu.

Sungguh selama ini saya percaya kepada tanda dan petanda. Sangat-sangat percaya, dan ia banyak membantu saya dalam merencana hidup. Berdiri di depan pintu pejabat, seseorang yang telah bertahun tidak berkunjung, berbusana serba putih. Sepertimana bertahun sudah, dia akan merayu minta disudahkan kerjanya kerana esoknya dia akan bermusafir lagi. Dalam ketawa saya minta dia nilai sendiri keadaan pejabat dan diri kami di sini. Dia ketawa lihat kami, awak-awak dalam sebuah kapal pecah!

Seperti biasa, dia mula pujuk kami ke KFC. Saya nekad tidak akan pergi. Dia mula bentangkan fakta tentang KFC terkini. "Untuk pengetahuan awak, Mohd Zaidi Haji Abdullah, saya tak akan sekali-kali tergoda dengan ayam KFC!" Kami ketawa. Akhirnya, dia yang kelaparan terpaksa makan nasi kukus. Saya pujuk dia, ayam goreng nasi kukus lagi sedap, dan dia mengiakan. Sungguh ziarah rakan kami yang seorang ini sentiasa membawa ceria. Kami bekerja diselangi cerita tentang ilmu palmstry oleh rakannya, dan dia pula masih bercerita tentang pengembaraannya menyiapkan beberapa karya ilmiah tentang ishraqiyyah (pencerahan). Sungguh saya bangga mempunyai teman sepertinya.

Sewaktu dia bertanya, apakah ada perbezaan pada dirinya setelah bertukar status, saya katakan padanya, "hanya perut awak yang berbeza." Tatkala beriringan ke bangunan bersebelahan, dia bersuara, bahaya kalau dapat pasangan sakit pinggang atau buah pinggang." Saya terkesima dan meluncur pertanyaan bodoh, "kenapa?" "Tak tahan lama, hehehe.." Dia sengih bodoh. Kalau dia perempuan, sudah pasti lengan dia lebam senja itu.

Pulang semula ke pejabat, kami menyambung kerja. Kali ini giliran saya pula makan, dan dia terpaksa layan diri untuk selesaikan kerjanya. Rakan-rakannya yang lain pula turut membantu kami menampal kad undangan sambil bersembang tentang pelbagai bidang. Sungguh pejabat kami sendat dengan jasad berlainan negeri, dan riuh dengan loghat berbeza - utara, selatan, timur dan barat. Nasib baik ayah sepupu saya pun kebetulan berziarah, tidaklah saya "musing ketang."

Hampir Maghrib, kami bersurai dengan hala-tuju masing-masing. Doa saya, moga para tetamu merangkap pelanggan itu terus berkesempatan bertamu ke pejabat, dan di jiwa.

Noble Art Creation
Mac 18, 2009 (pagi: 7.00)


Tuesday, March 17, 2009

Keretapi Senja


Mac 16, 2009 senja,

melihat gerabak
demi gerabak keretapi

meluncur di landasan
hadapan Masjid Slow Machang,

menuju ke bandar Pasir Mas.



Tatkala desir angin senja mengiringi mentari beradu
kupancar sinar mata yang kian pudar ke kaki langit kelabu
gerabak keretapi terakhir yang makin menjauh
adalah teratak temu kita yang bakal roboh.

Pancaran mataku yang pernah menjamah mindamu
kini terpadam oleh sinar cahaya ketentuan
sebuah ceritera takdir penghujung tahun
noktahnya tercatat di halaman kenangan.

(Terima kasih pada sinar rembulan Khamis, Mac 12, 2009
yang menyuluhi catatan takdir sebuah perpisahan

tatkala mataku keliru menyusuri imbasan pertemuan.)


Kamar Pilu
Mac 17 , 2009 (dinihari: 2.30)

Thursday, March 12, 2009

Teman Jiwa

.


(Kanda Zaidi, terima kasih atas kiriman dari langit)
Tuhan memberikan kita dua kaki untuk berjalan,
dua tangan untuk memegang,
dua telinga untuk mendengar
dan dua mata untuk melihat,
namun menganugerahkan hanya satu jiwa pada kita.
Kerana Tuhan telah memberikan
sekeping lagi sukma pada seseorang
untuk kita mencarinya.
Kamar Rindu
Mac 12, 2009 (pagi: 12.38)

Monday, March 09, 2009

Marah?

.

Kata bijak pandai,
Jika kamu marah, marahlah secara bijaksana.

Padang Embun
Rabiul Awwal 12, 1430H
(Salawat dan Salam ke atas Rasulullah S.A.W.)
. .

Hari Wanita Sedunia

Tanggal 8 Mac 2009, sambutan Hari Wanita Antarabangsa. Tidak ramai yang mengingatinya, wanita mahupun lelaki, lebih-lebih lagilah. Sewaktu berbual dengan seorang teman, saya nyatakan padanya tentang hari istimewa ini. Dan saya menerima ucapan "Selamat Hari Wanita, hehehe." Ucapan tunggal itu mengiringi bisikan rafik di sisi. Kemudian saya bergegas ke tempat kerja.

Sekembalinya saya ke rumah, Cik mencurahkan kesedihannya kerana ditinggalkan Paknik yang bergiliran di "rumah sana". Macam biasalah, saya akan meminjamkan telinga saya kepada Cik, dan seperti biasa juga, saya berikan kata dua kepadanya, bersabar dan redha; atau pilih jadi macam saya.

Sembang kami berlarutan apabila menantu Cik pula meluahkan perasaan yang sudah dibendungnya selama bertahun. Suaminya yang panas baran dan suka memusnahkan harta benda setiap kali bergaduh cukup mencabar kesabarannya sebagai isteri. Apatah lagi bila asyik berkepit dengan rakan-rakan sehingga lupa rumah tangga. Dia bercerita semua masalah rumahtangganya, sehingga saya terfikir, jika ada pingat kesabaran, kepada dialah sewajarnya diberikan. Saya sendiri tidak sanggup menghadapinya.

Cerita kami bersambung apabila kami dikunjungi oleh sepasang suami isteri kawan kepada suami menantu Cik. Seperti biasa, isterinya akan bersembang dengan kami, dan suaminya pula akan bersembang dengan rakan-rakan lelaki mereka di halaman. Isterinya yang kepenatan baru pulang kerja tersengguk-sengguk menunggu "mesyuarat" para suami mereka. Kata wanita ini, jika dia tahu perangai suaminya yang malas kerja dan suka berpoya-poya, pasti dia rela berstatus andalusia daripada merana bergelar isteri. Lagipun jika dia berpisah sekalipun, dia masih boleh menanggung diri sendiri kerana dia telah menyandang jawatan pencari nafkah keluarga semenjak awal perkahwinan lagi. Semua harta benda dia yang beli, hinggakan nafkah madunya pun disaranya.

Kedua-dua mereka anggun jelita, tak ada cacat celanya. Saya pasti jika mereka berpisah dengan suami, tak payah ketik jari; sepuluh lelaki sehari akan datang pinang mereka. Dan apabila saya duga mereka dengan pertanyaan itu, dengan genang di mata, mereka lirih bersuara, "saya sayangkan dia." Saya diam. Itu pilihan mereka, bukan takdir yang merencana. Pilihan di tangan mereka, mahukan bahagia atau sengsara. Teringat pesan seseorang "anda mampu mengubahnya!"

Sedang kami rancak berbahas, suami kepada tetamu tadi menghampiri. Dari sinar dan fokus anak matanya, saya dapat duga apa "penyakit"nya. Isterinya dengan nada lembut bertanya, "Abang pergi mana, lamanya beli air." Si suami tergagap-gagap, "Abang isi minyak kereta." Dia angguk pada ayat yang tidak sepatutnya. Isterinya tanya lagi "Baru tadi Abang isi minyak." Lalu si suami dengan mata meliar ke arah saya dan tergagap-gagap lagi, ternganga-nganga mencari patah kata untuk dituturkan. Dalam kesempatan itu saya tekankan suara, "Jawablah, isi minyak lagi, tadi tak cukup!" Ketawa kami berderai, dan si suami berlalu. Si isteri tersenyum ke arah saya, dan saya cepat-cepat minta maaf kepadanya kerana menjerkah suaminya.

Jam menunjukkan 12.00 tengah malam. Saya minta diri. Tetamu masih mahu kekal di beranda, menunggu suaminya sambil menyedut udara malam. Hari Wanita Sedunia berakhir, namun kisah derita mereka entah bila noktahnya. Sekali lagi, saya titipkan pesan kepada mereka, anda mampu mengubahnya!

Saya baca semula sms seorang kenalan maya yang dilayangkan sewaktu "persidangan" saya dan para wanita tadi berlangsung.

Assalamualaikum Cik Rozais. Saya mewakili teman dan kawan2 meminta kemaafan dari hujung rambut ke hujung kaki ke atas perbuatan melalui percakapan ttg cara Cik Rozais memakai kerudung ungu di majalah Tunas Cipta (DBP) tempoh hari. Ini semua gara2 saya juga, krn beriya2 benar ingin melukis potret gambar Cik Rozais dlm keadaan berpakaian sebegitu! Dan bila terbaca di dada akhbar ..... (sms asal ada menyebutkan) pada hari ini iaitu dalam kolum ..... (sms asal ada menyebutkan), saya terus menghubungi teman2 tersebut. Mereka semua meminta saya jgn memberitahu nama mereka kpd Cik Rozais dan juga turut menyalahkan saya krn memberitahu Cik Rozais berhubung hal ini. Dan saya kira, saya juga tlh mendpt balasan dari Allah yg diberikan kepada saya iaitu satu kemalangan jalan raya hingga kereta Naza Kia Sorento saya rosak teruk dan masih diperbaiki di bengkel. Di sini saya sekali lagi mewakili teman2 memohon kemaafan dan tlh mengambil keputusan utk tidak melukis gambar Cik Rozais.
(sms daripada InangRodat, 08-Mar-2009, 08.06 PM)

Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada InangRodat kerana berjaya meruntuhkan keegoannya meminta maaf daripada saya yang dhaif ini. Saya tidak menyalahkan dia kerana dia hanya menyampaikan apa yang didengarnya, bukan dia sendiri yang mencipta fitnah itu. Kemalangan yang berlaku itu anggaplah sebagai peringatan bahawa perlunya memilih sahabat yang mendampingi kita. Sekiranya tidak mahu percik api merosakkan baju kita, bersahabatlah dengan penjual minyak wangi.

Kepada mereka yang suka menyembunyikan tangan selepas melontar batu, gunakanlah tangan saudara itu untuk melontar di Jamrah nanti. Dan pastikan jangan sembunyikan tangan yang melontar itu pula, senang malaikat mencatatkan amalan kalian. Sesungguhnya antara doa yang tersenarai dalam doa yang dimakbulkan ialah dari golongan mustadh'afin dan yang dianiayai. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan buat kalian!

Kepada semua wanita, Salam Hari Wanita Sedunia. Anda mampu mengubahnya!

Padang Embun
Mac 9, 2009 (pagi: 11.50)

Wednesday, March 04, 2009

Dua Tahun Di Padang Embun

Tanggal Mac 1, 2009, cukup dua tahun kami bermastautin di Padang Embun. Namun saya menyambut ulangtahun memperingati kehadiran kami di desa ini dengan meninggalkannya, dalam renyai hujan pagi. Sungguh desa ini kami tinggalkan di mata, namun tetap dibawa dalam hati.

Pagi-pagi lagi ke Kota Bharu, di Stesen Bas Jalan Hamzah, sebagaimana sebulan yang lalu. Kali ini kami terlepas bas jam 8.00 kerana jalanraya sesak di Jambatan Sultan Yahya Petra. Nasib baik Paknik penyabar orangnya. Dia tetap senyum manis walaupun Cik sudah beberapa kali menunjuk penumbuk kepada pemandu kenderaan yang suka "mencilok". Omelan Cik yang tak henti memecahkan tawa kami.

Saya minta Paknik hantar kami ke Stesen Bas Kota Bharu, dengan harapan ada bas yang menunggu. Kerani jualan stesen bas tersebut benar-benar menaikkan darah. Tak betah saya berurusan dengan manusia begitu. Saya berlalu dan memujuk hati, mungkin isterinya tidak menghantarnya sewaktu turun ke tempat kerja tadi, atau dia datang haid agaknya!

Nasib baik ada bas jam 10.00 dari syarikat pengangkutan SP Bumi. Kami bersarapan di Cafe Perdana bersebelahan TM Point. Renyai pagi 4 Rabiul Awwal di bandar KB mengirimkan seberkas kenangan sewaktu saya mula-mula berhijrah ke negeri ini, 12 tahun yang lalu.

Padang Embun, tempat kedua saya bermastautin setelah lebih kurang sedekad menjadi penghuni mukim Pohon Buloh. Fasa kedua perjalanan saya cukup mengembirakan. Desa ini cukup mendamaikan, walaupun tinggal di tepi sawah bukanlah impian saya. Saya terlalu inginkan sebuah teratak di tepi pantai. Namun kerana cinta telah bersemi pada tanah ini, biarlah kulit saya semakin gelap, saya rela.

Perjalanan selama 36 tahun ini masih tiada noktahnya. Ke mandala manakah pula saya selepas ini?

Padang Embun
Mac 4, 2009 (pagi: 8.18)

Pada Ombak dan Pantai Kenangan

.
(Mengimbau Januari 30, 2009: Jumaat Petang di Pantai Sri Tujuh)

Saat telapak kaki telanjangku memesrai hamparan pasir
ada debur ombak rindu memalu bibir pantai kalbuku
dan pada bayang-bayang yang jatuh pada garing bumi
ada tunas rasa menyuburkan pohon dan akar cinta.

Tatkala aku melukai pasir pantai dengan jemari
kudengar ada gema namamu bertalu dalam sanubari
dan sewaktu awan melukiskan wajah bidadari
kulihat potretmu menghiasi bingkai gambar di pasir.

Sering aku berbicara,
buih-buih putih kecil yang mengelus kakiku di pantai ini
juga mencumbui bibir pantai seberang sana

Selalu pula kau berkata,
andai dusta itu anai-anai yang memamah seluruh cintaku
aku rela jadi cengal yang setia menyangga rumah temu kita.

Sewaktu matamu menjamah kalbuku
kulihat sebatang pohon rasa sedang subur di dalamnya
benihnya terlempar dari jendela teratak maya
tanggal Disember 20, 2008 penuh makna.

Mac 1, 2009 (Ahad remang senja: 6.45)
Pantai Mengabang Telipot, Kuala Terengganu

Kamar Jiwa
Mac 3, 2009 (malam: 11.58)