Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Thursday, August 31, 2006

Apakah penyakit orang sastera?

Apakah penyakit orang sastera? Pertanyaan ini paling layak saya kira untuk menyimpulkan perjalanan seharian saya kelmarin. Pertanyaan ini tercetus sebaik sahaja saya sampai ke tapak ekspo XPRI 06 (Ekspo Gerakan Berdikari Kelantan 2006) di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu untuk menghadiri Bengkel Penulisan Berdikari. Saya dijemput oleh rakan penulis melalui SMS beberapa hari sebelum itu. Khabarnya Dr. Lim Swee Tin akan memberi ceramah tentang puisi.

Tepat jam 2.00 petang sebagaimana dimaklumkan, saya dan Zana sudah terpacak di tapak ekspo, mengintai sana dan sini mencari lokasi ceramah tersebut, namun tidak ada sebarang petanda dan makluman tentang tempat akan berlangsungnya ceramah itu. Setelah bertanya kepada beberapa orang yang sedang sibuk mengemas khemah, kami menjadi semakin buntu kerana mereka juga tidak tahu menahu tentang ceramah itu. Kami berlegar-legar lagi, dan akhirnya terjumpalah dua orang rakan penulis, seorang sudah agak lama kenal dan seorang lagi yang baru kami kenali di bengkel novel di Paka, Dungun. Hadapinur lah yang menjemput kami. Maka, kami pun maklum acara akan berlangsung atas pentas depan kami duduk. Kami menunggu sehingga jam 2.45 petang. Kemudian barulah datang petugas ekspo yang berkenaan memaklumkan majlis akan bermula. Kami pun tanyalah, di mana peserta lain memandangkan hanya lima orang sahaja termasuk saya dan Zana yang ada. Jawab beliau, tugas mengundang para jemputan telah diserahkan kepada Setiausaha Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan beliau bersetuju untuk menjemput peserta dan SUDAH PUN MENJEMPUT mereka. Saya mengucap panjang. Tak tahulah siapa yang mereka jemput, cuma yang pasti saya datang atas jemputan orang lain… tak kisahlah. Yang dua tiga orang lagi pun atas jemputan kawan tadi itu juga. Jadi ke mana perginya jemputan PPK. Malah wakilnya pun tak ada!

Akhirnya kami pun dijemput ke pentas setelah Dr. Lim sampai. Saya terharu dengan pengorbanan beliau yang sanggup datang semata-mata ingin bertemu penulis Kelantan yang menurutnya semakin lesu sekarang ini berbanding dahulu, di mana Kelantan masyhur sebagai lubuk pemuisi. Ceramah beliau yang informatif dan menepati tema berdikari ekspo hanya sampai ke lima pasang telinga peserta yang kemudiannya bertambah kepada lapan orang. Sayang sekali, ceramah bermutu sebegitu disia-siakan oleh sikap tidak bertanggung jawab persatuan yang sepatutnya berusaha gigih mengembangkan sastera. Saya tidak tahulah apa masalah di sebalik kegagalan menjemput peserta itu, tetapi saya berpesan kepada diri saya supaya tidak melakukan hal yang sama kerana ia amat merugikan dunia sastera. Sedang orang lain berlumba mendaki gunung, janganlah kita asyik “peteh betis” mereka dengan sifat mazmumah kerana dengkikan mereka, walhal kita sendiri telah kudung! Usahalah langkah bijaksana untuk sama-sama ke puncaknya. Apatah lagi dalam usia kemerdekaan negara kita sudah matang angkanya.

Sunday, August 27, 2006

Apabila orang gila kata kita gila

Setiap kali sesuatu keputusan dibuat secara undi majoriti, saya selalu terhantar ke suatu ruang fikir - akan terapungkan kebenaran dalam lautan majoriti, jika pemilih keputusan itu adalah buih-buih yang berterbangan dihempas ombak? Seperti juga, betulkah seseorang itu akan dianggap gila dalam wilayah orang gila? Memikirkan ketidakadilan ini saya terilham untuk mengarang sebuah puisi.
MINORITI YANG DIBISUKAN
Dan kita terlontar ke penjara majoriti.
Raung kebenaran telah lama dibisukan
oleh tangan-tangan jahil musyawarah
neraca keadilan telah berzaman ditabur kerikil
pada ceper kanannya
kandil kebijaksanaan telah lama terpadam
dihembus taufan kejahilan
dalam zulmat malam.
Putih adalah hitam pada pandangan malam
Hitam adalah putih pada telahan siang.
Dewan Bunga Tanjung,
Hotel Perdana. Kota Bharu, Kelantan.
Sya'ban 1, 1427H

Bahasa dalam kalangan tiga bangsa

Sedang bersiap untuk ke pejabat, saya sempat mengerling siaran Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan MCA Ke-53. PM dan TPM serta beberapa orang menteri lain dari UMNO dan MIC turut hadir. Sebelum Presiden MCA, YB Datuk Seri Ong Ka Ting berucap, semua hadirin berdiri menyanyikan salah sebuah lagu kebangsaan. Apabila kamera menyorot PM dan TPM, kelihatan mereka berdua dengan lancar menyanyikan lagu tersebut. Begitu juga para menteri serta perwakilan lain. Tiga bangsa bergabung menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu. Kemudian lagu tema MCA dimainkan. Para menteri bangsa Cina terkumat-kamit menyanyi dalam bahasa Cina. Apabila kamera menghala lagi ke arah PM dan TPM, kelihatan mereka berdua hanya senyap mendengar lagu yang dinyanyikan.
Kemudian, Ong Ka Ting pun berucap - dalam bahasa Melayu yang fasih. Setelah tiga minit barulah terkeluar beberapa ayat dan terma dalam bahasa Cina. Kemudian menyambung lagi ucapan dalam bahasa Melayu, siap dengan simpulan bahasa dan diksi yang menyegarkan. Saya suka rangkaian kata seperti ... "membesarkan kek ekonomi negara untuk diagihkan lebih banyak..." serta banyak lagi. Saya mengambil sikap baik sangka bahawa beliau menulis sendiri teks tersebut, malah jika tidak pun, kefasihan beliau sudah cukup membuktikan yang beliau tidak memandang remeh bahasa Melayu. Beliau reti bahasa untuk menghormati penduduk asal Tanah Melayu.
Saya tidak sempat mengikuti keseluruhan ucapan beliau. Namun ucapan yang sedikit itu sudah cukup menerbangkan saya ke ruang sedar - betapa bangsa lain cuba memahirkan diri dengan pelbagai bahasa, sedangkan anak peribumi sendiri mengutuk bahasa ibunda. Sama lintas dengan itu, saya teringat pada seorang artis baru yang menjadi isu mutakhir ini yang mendakwa kononnya tidak pandai berbahasa Melayu kerana berdarah campuran Cina, India dan Arab. Saya mahu tergelak dengan alasan jahil tersebut. Ingin saya tanyakan padanya, bukankah Ong Ka Ting itu berbangsa Cina, mengapa beliau fasih berbahasa Melayu, tanpa slang Cinanya. Begitu juga Samy Vellu, walaupun sekali sekala memecahkan tawa kita dengan ayat seperti "... budak-budak tarak boleh hisap dada.." atau "kita dinasihatkan supaya selalu derma dara..". Mereka tidak pula terasa bodoh bercakap bahasa rasmi negara.
Makanya, bagi artis yang tak reti bahasa itu, saya doakan agar beliau pertingkatkan jati diri. Kalau betullah faktor keturunan yang jadi halangan, mengapa beliau tidak bercakap bahasa Arab, Mandarin atau Tamil sahaja. Itu satu kelebihan beliau kalau dapat menguasai tiga bahasa lantaran campuran darah tiga bangsa tersebut. Atau cakap bahasa Al-Quran sahaja demi keturunannya yang baik itu. Lagi banyak pahala kerana bercakap bahasa syurga. Kenapa memilih bahasa penjajah? Tidakkah itu paradok?
Sedang bangsa lain mempertingkatkan diri menguasai lebih dari satu bahasa demi kemajuan diri, bangsa Melayu pula mengagungkan bahasa penjajah dan menghenyak bahasa ibunda. Ini semua terjadi kerana akar jati diri telah reput dimamah anai-anai ghuzwatul fikr kuffar. Dan artis yang dimartabatkan dalam industri perfileman negara itu salah seorang mangsanya.

Catatan sepanjang dua belas hari menyepi

Wah, sedar tak sedar, sudah dua belas hari saya tidak menyumbang sepatah kata untuk blog sendiri. Rasa macam baru kelmarin saya menulis pasal hantu albino. Setelah beberapa orang rakan bertanya, barulah saya sedar bahawa blog saya sedang gersang aksara. Memang benar kata orang tua-tua, bila kiamat semakin hampir, malam dan siang bersilih ganti dengan cepatnya.

Ogos 16, saya menemani Zanazanzaly berceramah di SMK Meranti, Pasir Mas, Kelantan. Majlis anjuran DBPWT dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) itu dihadiri oleh lebih kurang 100 pelajar dan guru PPM, dipilih dari sekolah-sekolah PPD Pasir Mas/Tumpat. Keesokannya pula, saya masih bersama Zana menuju SK Sri Aman, Pasir Puteh atas tujuan yang sama. Zana menyampaikan ceramah bertajuk “Mengkomersilkan produk sastera”. Hadirin pun lebih kurang seratus orang juga. Dalam kedua-dua majlis tersebut, pelajar-pelajar sains lebih menonjol berbanding pelajar sastera yang bercakap segan, menulis tak mahu.

Ogos 19 pula, dari awal pagi kami sudah berada di DBPWT, menghadiri “Sembang Pagi” bersama SN Datuk A. Samad Said. Pada sebelah petangnya pula, beredar ke Hotel Perdana, menyambung program Rakan Dewan – Dialog Editor. Puan Rozninah Mohd Azib dari majalah Dewan Sastera dan Puan Ariza dari buletin Jendela Timur, DBPWT hadir sebagai panel, manakala En. Ku Seman Ku Hussin dari Utusan Malaysia tidak hadir lantaran keuzuran yang tidak dapat dielakkan pada saat akhir. Saya amat kecewa kerana tidak dapat bertemu Ku Seman, namun saya akur - kita hanya merancang dan beliau juga tidak mengundang keuzuran itu.

Hari-hari seterusnya saya sibuk menguruskan kerja-kerja hakiki di pejabat yang banyak tertangguh lantaran selalu ke luar. Sehinggalah pada Ogos 24 malam, jemputan untuk menjadi fasilitator Akademi Sastera Siber oleh eSastera mengheret kami ke Hotel Perdana. Bermesyuarat pada jam 9.00 hingga hampir jam 12.00 malam, saya dan Zana pulang ke rumah dengan mata separuh terbuka. Ogos 25 pula sesi bermula dari pagi hingga malam di mana para fasilitator melatih peserta mendeklamasikan puisi dari teks “Doa Penyair” terbitan eSastera. Saya diamanahkan menjadi mentor kepada protégé yang seramai 10 orang. Walaupun tidak berjaya ke peringkat akhir, saya puas melihat keberanian mereka beraksi di atas pentas walaupun masa yang diperuntukkan untuk berkenalan dengan puisi, memahami puisi, sastera dan dunianya serta mendeklamasikan puisi amatlah singkat. Namun satu perkara yang saya kesalkan ialah penglibatan pelajar aliran sastera dan pelajar sekolah agama/Arab yang pasif, malu tidak bertempat serta jumud berbanding mereka yang belajar dalam aliran sains atau dari sekolah menengah biasa.

Inilah kali pertama saya berpeluang memesrai eSastera dengan lebih dekat memandangkan sebelum ini saya hanya berkirim salam melalui Zana yang sering bertemu secara maya dengan penghuni-penghuni eSastera.com. Walaupun pada awalnya saya bagaikan rusa masuk kampung, sifat peramah dan mesra ahli eSastera berupaya membuang rasa kejakunan saya. Fiezanur yang cilik dan mesra, Hani Hamsyari yang sopan dan brilliant, Fahd Razy yang rendah diri menghantar saya ke suatu dunia sastera yang lain dimensinya.

Setelah mengenal dan memerhati manusia-manusia yang saya temui sepanjang tempoh 12 hari itulah saya menyimpulkan, dunia sastera mutakhir ini lebih dihargai oleh mereka yang berpendidikan bukan sastera. Memang benarlah penggunaan dua belah otak itu lebih baik berbanding menggunakan otak kanan sahaja. Dan saya percaya masa depan sastera negara akan lebih gemilang di tangan mereka seandainya orang sastera sendiri tidak beranjak dari takah yang sedia ada.

Tuesday, August 15, 2006

Ditipu Hantu Albino

Semalam saya menonton filem Kantonis "The Haunted Office" di TV3. Saya memang sukakan cerita hantu. Awal-awal lagi sudah siap dengan bantal dan selimut yang menutupi tubuh sampai ke kepala kecuali dua biji mata yang dilindungi jari-jemari yang sengaja direnggangkan. Beberapa insiden dalam tandas memang menyeramkan sehingga saya terpaksa berselindung di balik belakang Zanazanzaly. Jari jemari pula sudah bertukar bentuk menjadi binokular, kalau hantu keluar saya akan kecilkan kepalan, biar sayup-sayup saja.
Kisahnya tentang sebuah pejabat berhantu yang akan menelan korban seramai sembilan orang pada setiap bulan tujuh. Dalam lif pula selalu ada seorang wanita berambut putih dan berpakaian serba putih, menjeling tajam pada setiap pekerja yang menggunakan lif tersebut. Pada awalnya saya kira itulah hantu yang merasuk penghuni bangunan itu membunuh diri. Pada tiga perempat cerita, seorang pekerja wanita yang berpakaian merah terpilih menjadi mangsa; yang menurutnya hantu berpakaian putih dan berambut serta kening putih (albino) tersebut mahukan dia membunuh diri untuk menyelamatkan adik lelakinya. Maka si kekasih perempuan baju merah itu pun berusaha menyelamatkan kekasih yang baru dikenalinya itu, yang tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun melainkan dia sahaja dari hantu albino. Dalam usaha menyelamatkan kekasihnya, lelaki tersebut dan kekasihnya jatuh dari bangunan; si perempuan baju merah ghaib dan lelakinya hidup. Di tempat kejadian, hantu albino datang dan menyatakan bahawa perempuan baju merah itulah sebenarnya hantu, dan memaklumkan kepada si lelaki yang menyangkakan dia masih hidup itu supaya melihat mayat (si lelaki) yang terdampar di atas bumbung sebuah kereta.
Fuhhh, senangnya tertipu oleh hantu! Filem ini berjaya menipu saya. Sebelum ini saya dapat menelah pengakhiran sesebuah cerita pada setengah atau tiga perempatnya, namun kali ini tekaan saya betul-betul tersimpang. Itulah sifat manusia, kadangkala terbias cahaya pandangan oleh kaca yang telus pandangnya.

Sunday, August 13, 2006

Sebuah Lagu Merdu dari Tunis

Saya sedang mengemas rak buku di pejabat dan mendapati helaian kertas bertaip puisi ini di antara celahan buku dan beberapa dokumen lain. Puisi garapan Ustaz Uthman El-Muhammadi ini dihadiahkan oleh beliau sendiri beberapa tahun yang lalu sewaktu beliau berkunjung ke pejabat kami untuk mencari anaknya, Khalid. Sebelum meminta diri, beliau sempat berpesan, “baguslah menulis. Ajaklah anak saya (Khalid) menulis sama.”
Di hujung perenggan akhir, tercatat dalam tulisan Jawi - 5 Mac 2002 sempena Majlis Penutupan “Wacana Ibnu Khaldun dan Pemerkasaan Budaya dan Tamadun”, anjuran DBP. Saya fikir puisinya ini bertepatan dengan ehwal ummah yang sedang bergelora di merata buana, semoga beroleh kekuatan dengan titisan tintanya ini.
SEBUAH LAGU MERDU DARI TUNIS
Oleh Putera Sunni

I
Ingin kudendangkan wahai sayang lagu merdu dari Tunis
Dengarkanlah wahai sayang nyanyian purba menawan manis
Dari serulingku mengalun senandung pembawa perpaduan
Pemaut hati jiwa teguh kembali bagaikan pahlawan
Alunan jiwa akal budi Ibn Khaldun al-Maghribi
Ingin kujadikannya sebahagian lagu merdu alam pertiwi Dunia Jawi.
II
Beliau bersenandung lagu merdu alunan kasihkan bangsa
Di bawah nama asabiyah pengangkat umat jadi perkasa
Dengarkanlah lagu ini sayang, penyatu padu bukan hanya kerana keturunan
Bahkan kerana kebersamaan dalam kehidupan pengalaman adat kebiasaan
Bagaikan takrifan Melayu yang ada di kalangan kita
Mengambil kira adat agama dan bahasa pengucapaan tamadun kita.
III
Pabila Iqbal membawa Jalaluddin Rumi dalam alam puisi
Inginku bawakan lagu wacana akli Ibn Khaldun ke alam kita berdiskusi
Bicara penguat umat jadi teguh lagi bermaruah tinggi
Sebutan nama dalam sejarah menjadi harum bak setanggi
Dibisikkannya ke telinga kita penuh kasih dan sayang
“Kamu perteguhkan perpaduan bangsa kalau tidak maruah melayang.”
Ini ajaran junjungan dalam rahsia “fi man ‘atin min qaumihi”
Pengajak kepada lindungan kekuatan bangsa teguh penuh kasih
Tali kasih sayang mesti dipererat, diperteguh
Tanpa merugi masa dalam bertangguh kita roboh
Racun bisa pemusnah, perpecahan mesti dihapuskan
Bagai orang memadam api pembakar memusnah perbendaharaan simpanan
V
Beliau memetik lagu pembina akal murni lagi tajam
Lagu “akal tambahan” “pembina tamadun bangsa” Ajam
Terbentuk dalam pendedahan pendidikan ilmu tinggi dan kepakaran
Diperlukan demi peningkatan tinggi bangsa melalui kesedaran
Pelengkap kepada memuncak iman taqwa akhlak dan keperibadian
Membentuk peribadi masyarakat tamadun bangsa dan peradaban.
VI
Beliau menyeru kita kepada imbauan membina kekuatan adat kebiasaan
Terkandung dalam bidalan “Hidup bersendikan adat,
adat bersendikan hukum kenabian
hukum terbina atas Kitab yang diwahyukan”
Terbentuk adat teguh terbina budaya perkasa menyelamatkan
Tertera adat erti maknawi cara berfikir dan nilai
Pembawa ketertiban dalam pemikiran, sikap, peraturan berharga tak ternilai.
VII
Digesanya kita membina budaya lagi tamadun tinggi
Berpaksikan ajaran Nabi dari wahyu, sunnah dan daya pemikiran mengatasi Feringgi
Mewarisi budaya dan tamadun iman dan ilmu menyeluruh sepadu
Terpahat dalam sejarah gemilang umat Islam zaman lalu
Sejarah gemilang dulu bukan ibarat seperti candu
Bahkan sumber kekuatan, pemikiran, nilai, prinsip memandu.
VIII
Mari sayang, kita hayati alunan merdu Maghribi ini
Jadi kita umat berjati diri berprinsip hidup zaman kini
Tergabung kebenaran mampu bertahan zaman bahari dengan kemahiran ilmu terkini
Berilhamkan Ihya’ al-Ghazali dan Muqaddimah Ibn Khaldun al-Maghribi
Tergarap dengannya penguasaan teknologi baru seperti Bill Gates di kota rayanya
Dengan kedalaman penguasaan sains Einstein di bidangnya.
IX
Mari sayang kita binakan kembali kebijaksanaan akal dan tadbir Tun Perak
Sifat adil ‘Ala‘uddin Ri‘ayat Syah harum semerbak
Keberanian kesetiaan Tun Tuah mempertahankan maruah bangsa
Kealiman dan kebijaksanaan para ulama dan budiman sejarah nusa
Keperkasaan pahlawan menjaga umat dari diceroboh
Ketertiban, kemakmuran, keamanan kota Melaka,
Acheh berdiri teguh tiada roboh.
X
Aku lebai Jawi dari Timur Semenanjung ingin bermadah
Berhasrat mengajak umat Dunia Melayu kepada kehidupan paling indah
Membina kembali kehidupan bangsa tamadun perkasa selepas Melaka terjatuh
Hidup dilanda percubaan dan kebencanaan bukan dengan mengaduh
Mampu membina umat semula jadi perkasa beradab lagi bermaruah
Di dunia zaman globalisasi bila tersilap membawa padah.

Saturday, August 12, 2006

Coca-Cola, Colgate, Starbucks

Gesaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya masyarakat pengguna tanpa mengira batasan kaum dan agama memboikot produk terpilih milik Yahudi bagi membantah kekejaman Yahudi di Lebanon mengheret saya ke ruang fikir yang bulat bentuknya. Satu daripada tiga senarai yang disebut, Colgate – selain Coca-Cola dan Starbucks amat mesra dengan saya. Boleh dikatakan sejak mengenal berus gigi, hanya Colgate yang saya tahu, kerana saya ingatkan ubat gigi itu namanya “colgate”, sepertimana “Bata” itu ialah kasut. Saya tidak tahu pun ada jenama lain yang mewakili ubat gigi. Dan Colgate ini amat meyakinkan untuk diguna memandangkan kuasa fluoride yang ada dalam kandungannya. Kuasa itulah yang mendominasi fikiran saya sehingga kini dan setelah saya menyedari ada ubat gigi lain juga atas muka dunia ini, saya masih yakin pada Colgate. Colgate tidak pernah tukar nama seperti Darkie yang sudah dijenamakan Darlie atau macam pelakon yang sudah tukar nama gara-gara tidak “sekun/ngam” dengan nama asal.
Sehinggalah saya terbaca berita tentang produk Yahudi ini, saya berasa amat bersalah kerana hanya setelah tiga puluh tahun menggunakannya, barulah pekung itu terhidu oleh hidung saya yang kurang kuasa hiduannya ini. Terima kasih kepada PPIM. Nasib baik saya bukanlah pelanggan Coca-Cola dan Starbucks kerana saya memang dari dahulu tidak sukakan air berkarbonat, juga alergik kopi. Kemudiannya baru saya tahu air berkarbonat itu juga adalah produk menyilang ajaran Rasulullah s.a.w. yang melarang umat Islam dari menghembus air yang panas untuk diminum kerana karbon dioksida akan masuk ke dalam air tersebut dan memudaratkan si peminum. Jadi, orang Yahudi menggunakan kaedah ini untuk memudaratkan orang Islam mempromosikan produk ini lebih-lebih lagi kepada dunia Islam dan ia menjadi – Muslim bangga dengan Coca-Cola, sekaligus menghina ajaran Rasulnya.
Starbucks pula lambang korporat Melayu – bangsa lain jangan kiralah sebab mereka akan sokong rakan sekutu. Bukan setakat korporat, orang sastera sendiri cukup suka lepak di Starbucks – lambang sasterawan mantap di persada sastera tanah air, sebab sebelum ini orang sastera sering diasosiasikan dengan manusia gelandangan, tak berduit dan merempat; usahkan minum kopi berpuluh ringgit, makan pun kadangkala terabai.
Kalau sebelum ini kita dengar KFC melorongkan berbilion duit kepada Yahudi, dan berpakat-pakatlah warga Malaysia memboikotnya, kemudian selahzah itu pula berbalik semula, saya terfikir selama manakah pula tiga produk ini akan mengalami nasib yang sama? Berjayakah kita memulaukan produk ini dengan minda sejumlah besar umat Islam terjajah oleh ghuzwatul fikr dari Yahudi sudah sekian abad walaupun bumi kita tidaklah gersang oleh produk Bumiputra? Harapnya, dan kita doakan - biarpun kita tidak upaya untuk setabah dan sekuat iman Bilal bin Rabah menanggung beratnya siksa batu di atas perutnya; didiklah iman kita mencegah kemungkaran dengan hati, itupun setelah kita hilang kudrat dan lidah!
Setiap kali rasa ingin meneguk Coca-Cola menggoda, cuba bayangkan suara "ummati.. ummati" Rasulullah dan setiap kali kita diajak atau ingin mengajak rakan ke Starbucks, ingatlah betapa seksanya Rasulullah menderita diracuni Yahudi. Dan pemboikotan ini bukanlah hanya kerana marahkan Yahudi menyerang Lebanon - kerana mungkin selepas mereka berambus dari Lebanon kita akan melanggani produk ini semula; tetapi kerana kita adalah ummah yang bijaksana.

Wednesday, August 09, 2006

Orang sastera dan AF4

Pada 4 Ogos 2006 saya dijemput oleh DBPWT untuk memberi ceramah Motivasi Karya dalam Khemah Sastera Terengganu. Saya berkongsi idea seputar "PENULIS ADALAH PEMIKIR: BERSEDIAKAH KITA?". Saya dimaklumkan peserta terdiri daripada guru, pelajar universiti dan kolej serta pelajar sekolah menengah. Kebanyakannya perempuan dan ada dua tiga orang yang sama-sama mengikuti Bengkel Penulisan Cerpen di Residence Resort, Paka, Dungun, Terengganu pada 7-9 Julai lepas (walaupun saya mengikuti bengkel novel, saya ingat mereka).
Bila saya tanya apakah berita terhangat di pasaran, rata-rata lelaki dan perempuan menjawab dan sesetengahnya bersok-sek tentang percintaan dan perkahwinan Siti Nurhaliza dan Datuk K. Lagi apa? Kisah remaja yang sosial, jawab mereka. Saya sengih sampai ke telinga. Dalam hati terfikir... "penatnya adik-adik ni jadi tukang fikir pasal kisah yang menjadi agenda utama negara. Tak lama lagi capailah matlamat nak jadi penulis yang berfikir!"
Masa rehat pula, saya bersembang dengan Cikgu Tuan Sharif Putera dan Hilmi Rindu. Cikgu Hilmi (sebenarnya beliau bukannya guru, tapi saya panggil cikgu sebab wajah beliau sesuai jadi cikgu) beritahu kami ada seorang penulis yang minat betul pada Faizal AF4 sehingga sanggup undi sms untuk bantu Faizal. Saya tanya Cikgu Hilmi, betulkah penulis itu undi? Betul! Jawab Cikgu Hilmi. Saya intai kiri-kanan, bimbang ada peserta yang dengar. Saya tiba-tiba teringat pada peha dan sayap ayam KFC yang dah lama saya tak makan kerana boikot, namun tiba-tiba pula rasa nak meleleh air liur sebaik mendengar berita tentang penulis yang mengundi membantu AF4.

Tuesday, August 08, 2006

Kembara di Tanah Gersang

Ahad, Ogos 06, 2006
Lagu ini saya minati sejak kecil lagi, ada auranya tersendiri. Seolah-olah mengheret saya ke sahara yang tak berpenghujung, di mana kita berada di antara garis langit yang tak tergapai dan horizon bumi yang tak tergali dasarnya. Dan kita hanya insan yang berkelana antara keduanya sementara menunggu dimensi lain yang bakal tiba apabila langit dan bumi bersatu - nanti di suatu masa
Kembara berjalan bersendirian
Mencari jalan pulang
Bilakah masanya embunkan menjelma
Di tanah gersang yang membakar
Alangkah pedihnya nasib kembara
Di tengah khatulistiwa
Tak siapa yang dapat menghilangkan dahaga
Namun tetap ia bertahan
Kami semua senasib dengan mu
Wahai kembara di tanah gersang
Mencari kebahagian dalam hidup
Menempuh berbagai rintangan yang ada
Namun bahagia masih impian
Kau masih berjalan di bawah sinar
Bulan bintang yang membimbingmu
Suatu hari kau kan bertemu
Sungai mengalir di taman indah
Nanti di suatu masa
posted by rozais al-anamy at
5:49 PM 1 comments

Lagi bukti orang sastera mudah berbahasa

Ahad, Ogos 6, 2006
Hampir enam tahun sahabat saya, Zanazanzaly memesrai warga Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT). Apa sahaja aktiviti yang sampai ke pengetahuan, kami cuba meluangkan masa untuk mengikutinya. seperti biasa juga setiap program yang diadakan di dewan DBPWT akan ada pendaftaran di mana nama peserta akan direkod, nama pena, nombor telefon serta alamat. Itu-itu jugalah yang kami tulis setiap kali ke program. Setiap kali!
Kenapa bersungguh benar tu? Jawapnya kerana setiap kali menerima surat dari DBPWT, 99% daripadanya tulis alamat salah. Jadi sebagai orang sastera, cara menegurnya pun saya kira biarlah bagai menggaru kepala yang bertudung; rambut jangan keluar, tudung jangan herot-berot. Makanya saya pun tulis dan tulis dan tulis nama, nama pena dan alamat yang betul setiap kali pendaftaran dengan harapan ada pegawai yang terperasan akan kesilapan yang dilakukan sebelum ini.
Dua tiga hari yang lepas, Zanazanzaly menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai Unit Bahasa DBPWT untuk menjemput beliau menyampaikan ceramah dalam program Dialog Bahasa pada 16 dan 17 Ogos 2006. Katanya surat akan menyusul kemudian.
Hari ini kami menerima sepucuk surat jemputan ke majlis tersebut atas ihsan dan kecelikaan posmen yang selalu menghantar surat dari DBP kepada kami. Pada ruangan alamat, tertulis Rozana binti Ismail, 118 Norble Art Creation, Plaza Serangkai Mas, 17000 Pasir Mas, Kelantan. WALHAL nama rafik saya itu Norzana binti Razaly, NOBLE ART CREATION, 014 Plaza Serakai Mas, 17000 Pasir Mas, Kelantan. Saya garu kepala yang tak gatal melihat nama dan alamat penerima yang tertera. Keanehan tahap gaban! (Maaf atas penggunaan jargon ini, namun ia amat sesuai digunakan dalam kes ini).
Saya pun terfikir, ke manakah borang-borang pendaftaran yang kami isi selama enam tahun tersebut? Apatah lagi saya maklum bahawa pihak PDM juga sedang mengemaskini direktori penulis Pantai Timur, apatah lagi pula tidak ramai sangat penulis muda yang ada di Kelantan ini untuk dijadikan alasan susah mengingat nama mereka.
Saya lihat Zanazanzaly tetap mengisi borang penerimaan lantikan tersebut, selepas menelefon untuk memohon kepastian kepada siapakah surat itu ditujukan. Pegawai tersebut bercuti, dan orang yang menjawab hanya ketawa mendengar penerangan Zanazanzaly, kemudian berkata " kelakarnya... ".
Mungkin dalam hati Zana bersuara "Kita ini penulis bilis, kalau banyak tanya dan minta surat lain yang betul nama dan alamatnya, nanti dikata banyak songeh dan susah berbahasa." Seusai beliau tandatangan surat tersebut saya pun menghela nafas panjang sambil berbisik "senangnya berbahasa dengan orang sastera."
posted by rozais al-anamy at
4:01 PM 0 comments

Mudahnya berbahasa dengan orang sastera!

Khamis, Ogos 03, 2006
Hanya orang sastera memahami jiwa rakan seperjuangannya, sepertimana terdapat sesetengah orang sastera jugalah yang suka menganiaya sesama sendiri. Sepanjang penglibatan saya dalam dunia sastera, hal inilah yang saya simpulkan melalui pemerhatian terhadap kehidupan, perjalanan, sikap dan sifat orang sastera.
Hari ini saya akan bertolak ke tanah tumpah darah saya, Batu Enam, Kuala Terengganu bertemankan rafik saya, Zanazanzaly dan seorang rakan penyair tersohor negara yang akan memandu. Kami bertemu setelah Norzailani Mohd Nuzi menelefon untuk bertanya khabar sewaktu berbuka puasa di sebuah kedai makan, lalu saya pelawa beliau untuk sama-sama menemani Zanazanzaly yang sedang iftar. Semasa bersembang, kami mempelawa beliau untuk turut ke Terengganu, menemani saya yang akan memberikan ceramah motivasi karya bagi program Khemah Sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur di Gem Beach Resort, Batu Rakit, pada Jumaat, jam 9.30-10.30 pagi, 4 Ogos 2006. Saya tahu beliau mempunyai agenda pada hari Jumaat, tetapi sanggup juga menemani kami ke sana - kerana beliau memahami dunia kami. Tiada alasan atau cadangan lain dari mulutnya, melainkan sepatah kata "molek jugok, bulehlah."
Mendengar jawapan itu, saya terimbau pada kenangan sewaktu hendak ke Residence Resort, Paka, Terengganu pada 7-9 Julai lepas untuk mengikuti Program Penulisan Novel, bimbingan Datuk Dr. Anwar Ridhwan. Saya dan Zanazanzaly sedang berkira-kira cara untuk ke sana memandangkan Paka terletak jauh dari Kuala Terengganu (hampir sejam setengah berkereta), makanya kalau kami naik bas, terpaksa transit di Kuala Terengganu.. dan ... dan... macam-macam lagilah. Cuba-cuba telefon rakan lain, kalau-kalau ada yang senasib. Ya.. Nimoiz T.Y semacam kami juga, sedang berkira-kira. Kami pun cadangkan beliau memandu, dan pakat-pakat isi minyak. Jawabnya "Boleh jugok, moleklah!"
Senangnya berbahasa dengan orang sastera! Buat masa ini cukuplah saya menyatakan perihal kebaikan orang sastera, walaupun kebanyakan masa juga hati ini banyak tersentuh oleh sikap kehaiwanan segelintir daripada mereka.
posted by rozais al-anamy at
1:59 PM 0 comments

Meaning of Friendship

Selasa, Ogos 1, 2006
Puisi ini didedikasikan oleh rakan Liberian sekulliyyah saya, Dr. Abdulai Kaba yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau banyak membantu saya sepanjang pengajian di UIAM 1993-1997, juga menyokong perjuangan saya di sana. Saya dedikasikan semula puisi ini kepada beliau sempena hari sahabat. Saya kekalkan bahasa yang digunakan.
If being a friend means love
then I’ll give it to you.
If being a friend means happiness
then my friendship is true.
If being a friend means you
then I’m always at your side.
If being a friend means jealousy
then I’ll try to avoid the fight.
If being a friend means smile
then I’ll have it all the time.
If being a friend means sharing
then you’ll always be mine.
If being a friend is to talk to
then my ears are listening always.
If being a friend means fun
it’s true what everyone said.
If being a friend is depressing
then I’ll be your sun.
If being a friend means being shy
then I’ll be brave one.
If being a friend means friendship
then I want to be your friend.
If being a friend means loyalty
then I’ll always remain a little.
posted by rozais al-anamy at
4:58 PM 0 comments

Dalam Kembara Bertamunya Rafik

Selasa, Ogos 1, 2006
FAJAR Selasa, Ogos 1, 2006 menjadi saksi ulang tahun persahabatan kami. Semenjak bangun untuk mengerjakan Subuh yang bersahabat dengan Isya’ kerana sengaja memeram Isya’ pada malamnya, saya memang sedar pada hari ini kami akan menyambut satu dekad sejarah persahabatan kami yang bermula sejak tahun Ogos 1996 di Bilik 308 Kolej Fatimah Az-Zahra’, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Kami sama-sama dalam tahun tiga pengajian dalam kulliyyah yang sama, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IRKHS), cuma berlainan bidang. Saya mengubah haluan dari Kulliyyah Undang-Undang dan memilih bidang Tafsir Al-Quran setelah hampir setahun mengikuti kelas dalam kulliyyah tersebut. Teman seapartmen yang saya kenali namanya sebagai Rozana pula dicatat pada pintu apartmen sebagai siswi HS (Human Sciences) akhirnya saya ketahui menjurus ke bidang Sains Politik, yang menjadi minor saya; manakala dia pula terpaksa mengambil kertas dalam bidang saya sebagai minor. Pelajaran yang kami hadapi setiap hari berpangkah bidang.
Setelah dia betul-betul menginap di bilik yang baru dimohonnya (dia memohon untuk bertukar bilik) itulah saya sempat berkenalan dengannya kerana sebelum ini dia sibuk ke sana ke mari. Apabila saya tanya kenapa baru sekarang dia balik ke bilik, dia menerangkan bahawa dia sibuk berjualan bunga di kampus Universiti Malaya (UM) sempena konvokesyen universiti tersebut. Mengingatkan alasan tersebutlah sehingga sekarang saya ingat akan tarikh pertemuan kami kerana kebiasaan setiap universiti akan mengadakan majlis konvo mereka pada bulan tersebut kecuali universiti kami.
Setelah berkenalan ringkas, barulah saya tahu pihak bertanggung jawab yang menampal kertas pernyataan nama ahli apartmen boleh dikatakan seorang yang ambil remeh terhadap sesuatu perkara yang nampaknya kecil tetapi impaknya besar. Katakanlah jika berlaku kebakaran atau sesuatu kejadian buruk yang memerlukan senarai nama mangsa, pasti akan berlaku kekeliruan kerana nama yang tertampal di pintu ditulis ‘Rozana’ sedangkan nama rakan saya itu ialah Norzana.
Dia berasal dari Pasir Mas, suatu daerah yang memang menjadi keinginan saya untuk mengunjunginya semenjak saya mengenali Nasimah, anak seorang pemilik pondok Lubuk Tapah yang memang akrab dengan saya, sekaligus mewakili rakan dari negeri Kelantan, negeri yang paling saya benci orangnya, lebih-lebih lagi kaum wanitanya. Bencinya saya kepada mereka tidak dapat tergambarkan sehingga kawan-kawan saya memang arif dengan sikap saya itu. Saya tidak suka dengan sikap gatal perempuan Kelantan yang rata-rata saya kenali begitulah perangainya, juga sikap buruk yang suka melupakan rakan-rakan atau teman setelah berjumpa dengan rakan senegeri mereka. Lebih-lebih lagi saya serabut melihat bas yang sarat dan penumpang bas Kelantan yang hampir kesemuanya membawa pelbagai kotak dan bekal dari kampung, membuatkan Hentian Bas Putra penuh lambakan barang mereka. Hendak lalu ke sana ke mari pun sukar dan apabila ditegur mereka hanya menjawab dengan sengih bodoh atau “bare kappo (barang dari kampung). Peduli apa saya!
Kata orang kalau benci jangan terlalu benci, nanti timbul rasa sayang, atau sebaliknya. Memang benar sekali ungkapan tersebut. Saya terpaksa menelan ungkapan tersebut yang sepahit jadam untuk menyembuhkan penyakit ego saya. Sehingga tahun 2006 ini, masih, saya beriringan dengannya, mek kelate yang pernah diharamkan perkataan itu menjamah telinga saya. Dan semenjak persahabatan antara kami terjalin atas janji sehidup semati, saya terpaksa menanggalkan jubah "lone ranger" saya, dan cuba belajar untuk menangis atas bahu orang lain atau ketawa bersama.
Dan pada Ogos 2006 ini, seorang rakan mengingatkan bahawa bulan Ogos merupakan bulan persahabatan - sahabat: bukan hanya kawan, rakan atau teman. Saya tidak tahu siapa yang memberi pengiktirafan itu, tetapi baru saya menyedari bahawa tahun ini telah genaplah usia sepuluh tahun persahabatan kami. Semoga ikatan ini direstui dan dirahmati Ilahi dan kami berqasam untuk memilih antara dua, ‘ish azizan au mut syahidan’ (hidup perkasa atau mati syahid) – Janji rafik.
posted by rozais al-anamy at
1:48 PM 0 comments

Kenapa Memilih Untuk Menulis

Khamis, Julai 27, 2006
Oleh Rozais Al-Anamy
LAZIMNYA apabila berhadapan dengan seorang penulis kreatif, pertanyaan klise yang selalu berlegar di cuping telinga ialah kenapa menulis, bagaimana boleh terlibat dalam bidang penulisan dan apa yang biasanya ditulis? Rangkaian pertanyaan sebegini pasti memerlukan penulis mengirai untaian benang cerita dan pengalaman sepanjang keterlibatan beliau dalam bidang ini atau menceritakan proses kelahiran beliau dalam keluarga sastera dari awal yang baru ingin mengenal dunia hingga akhirnya yang menentukan matlamat dan perjuangan kehidupan yang dilalui dalam rumah sastera tersebut.
Ia juga bermakna mereka yang bertanya itu ingin tahu dan mungkin cuba memahami kerja atau proses yang perlu dilalui oleh segelintir manusia yang dinamakan penulis, ciri-ciri peribadi yang ada pada diri penulis yang biasanya di asosiasikan sebagai manusia yang mempunyai keanehan, kelainan atau keunikan. Hal ini sering diajukan berikutan banyak salah tafsiran dan mitos yang kononnya tidak terungkai berhubung kerja menulis, sebagai contoh; benarkah untuk menghasilkan sesebuah karya penulis memang perlu berkhayal? Adakah penulis itu sudah ditakdirkan untuk menjadi penulis sebaik keluar dari rahim ibunya atau telah ditentukan dari azali, atau hanya mereka yang berbakat sahaja boleh menulis, atau adakah mereka yang tidak berbakat tetapi dididik, diberi ilmu dan didedah serta dibimbing terus secara gigih boleh muncul sebagai penulis ternama?
Manakala sebaik sahaja berbicara tentang karya yang dihasilkan pula, penulis tidak akan dapat mengelak dari membincangkan proses penciptaan yang dialaminya sepanjang penghasilan sesebuah karya, iaitu bagaimana tersentuh untuk menulis sesuatu cerita, bagaimana mengembangkannya dan kemudian bagaimana karya tersebut boleh siap sepenuhnya serta cerita-cerita di sebalik pembikinan sesuatu karya. Hal ini secara ringkasnya boleh disebut sebagai proses kreatif sesebuah karya.
Saya menulis kerana menyedari semua orang dianugerahi peluang dan ruang.
Saya juga mengandaikan pertanyaan-pertanyaan tersebut akan diajukan kepada saya sebaik bergelar penulis yang telah membiakkan karya di media. Maka setiap kali ditanyai, saya tidak lupa untuk mengucapkan syukur kepada Tuhan Yang Maha Mencipta kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk mengembangkan bakat sebagai penulis dengan menulis perkara-perkara baik untuk dikongsi dengan khalayak pembaca kerana saya yakin kepada segala apa yang baik itu datangnya dari Allah dan saya juga percaya bahawa setiap manusia dibekalkan satu benih seni dalam diri, yang tumbuh sejak ruh ditiup ke dalam jasadnya. Namun, bergantung kepada faktor tumbesaran dan alam persekitaran serta didikan, ia terus mendepani masa dalam acuan yang dibentuk oleh seseorang penulis itu sendiri bergantung kepada niat dan matlamat yang ingin dicapainya.
Saya juga menulis kerana menyedari peranan besar penulis sebagai manusia yang dipikulkan tanggungjawab menyuruh kebaikan dan menegah kemungkaran. Baru kini saya menyedari mengapa saya perlu menulis dan mengenal pasti peranan dan tanggungjawab sebagai penulis. Pencarian diri sebagai penulis tidak diperolehi sekelip mata atau sebaik sahaja saya memegang pen, atau mengetuk mesin taip atau waktu pertama kali berhadapan dengan skrin monitor, tetapi setelah melalui kembara fikir dalam bidang ini sebelum memahaminya secara mendalam.
Menjadi penulis, secara realitinya bermakna mengandar tanggungjawab yang besar, lebih-lebih lagi jika kita sedar bahawa tugas menulis adalah suatu amanah atau wadah dakwah yang tidak boleh dihempaskan jika kita terasa letih. Tambahan pula, untuk menjadi penulis, seseorang itu perlu sentiasa berfikir untuk menyarankan sesuatu idea kepada masyarakat kerana penulis yang tidak berfikir dan hanya menulis kembali cerita-cerita tidak akan mampu membawa perubahan. Penulis wajiblah berilmu kerana dengan ilmu sahajalah dapat membezakan penulis dengan orang awam, sebagaimana firman Allah dalam Surah Az-Zumar, Ayat: 9 yang bermaksud: “Adakah sama orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan?”
Menurut kajian yang dilakukan di Barat dengan menggunakan kaedah yang dinamakan ‘historiometrics’ (menganalisis sejarah hidup responden), Cattel dan kumpulannya telah mencuba membezakan antara pakar dan sasterawan. Menurut kajian tersebut, penulis kreatif boleh disamakan dengan pakar dan kedua-dua mereka berkongsi sifat-sifat tertentu antaranya mempunyai kecerdasan yang tinggi, mempunyai kuasa menolak tradisi, mempunyai emosi yang stabil atau kekuatan ego, matang, tenang dan realisitik dalam menanggapi kehidupan berbanding orang awam. Ini berikutan penggunaan daya fikir yang melebihi orang awam dan perbezaan ini telah lama dinyatakan dalam Al-Quran sebelum orang Barat mengkajinya. Apa yang ingin saya apungkan di sini ialah jika orang Barat pun telah menyedari kepentingan dan keistimewaan menjadi penulis iaitu orang-orang yang berfikir dan berilmu, mengapa kita sebagai Muslim tidak mahu meletakkan diri kita ke dalam golongan yang berbeza dari orang awam ini?
Justeru itulah mereka yang benar-benar memahami tugas dan tanggungjawab penulis mengiktirafnya sebagai suatu profesion yang mulia. ‘Sasterawan adalah propagandis zamannya,’ kata Allahyarham Tun Abdul Razak; ‘Penulis bertindak sebagai conscience atau batin sesuatu bangsa’, kata Dr. Kassim Ahmad; ‘Penulis adalah pembentuk dan pemimpin zamannya,’ kata Tun Syed Nasir Ismail pula.[1] Menurut Datuk Hassan Ahmad pula, penulis ialah orang yang cinta akan idea, Tan Sri Hamzah Abu Samah mengatakan bahawa penulis ialah pengkritik masyarakat, sementara Dr. Nordin Selat mendakwa bahawa penulis bertindak sebagai tenaga pengggerak intelek.[2] Tun Dr. Mahathir sendiri telah memberi pandangannya tentang masyarakat penulis:

Pada zaman moden, sistem komunikasi telah menjadi alat pembentukan masyarakat yang penting, dan para intelek dan penulis menjadi golongan penting yang menggerakkan dan mempengaruhi sistem ini. Dengan perkataan lain, pemikiran dan masa depan sesuatu masyarakat, secara langsung atau tidak langsung, dikuasai oleh para intelek dan penulis.”[3]

Kata-kata daripada serangkaian nama penulis dan pemimpin tersebut sudah cukup untuk membuktikan peranan dan kepentingan penulis kepada bangsa, agama dan negara serta dunia, sekaligus menjawab pertanyaan-pertanyaan di atas.
Bilakah saya mula menyedari peranan dan keperluan menjadi penulis serta menyedari saya boleh menulis?
Pada peringkat awal, saya juga begitu dangkal tentang dunia kesusasteraan walaupun saya merupakan bekas pelajar aliran sastera pada peringkat menengah. Belajar sastera pada waktu tersebut hanyalah sebagai syarat untuk lulus peperiksaan dan saya tidak pernah melihat ada sebarang kepentingan untuk menulis. Namun setelah tamat Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terpaksa berpisah dengan rakan-rakan, saya mula berasa kekosongan mengisi jiwa, dan saya memerlukan sesuatu untuk meluahkan apa sahaja yang bergejolak dalam diri.
Bermula dari keresahan itulah jari-jemari saya diperintah otak untuk menulis sesuatu setiap kali saya tidak dapat menyuarakan sesuatu perasaan secara verbal, atau setiap kali hati dipagut kerinduan terhadap teman-teman sepersekolahan pada musim tengkujuh. Kesunyian yang gugur bersama titisan hujan membentuk kolam rindu yang melimpah, dan saya pun menulis baris demi baris puisi atau cerita tentang perasaan saya pada waktu tersebut. Dan saya berhenti setakat itu apabila telah mendapat rakan-rakan baru semasa berada di menara gading.
Saya membelek semula cerita yang pernah saya tulis tersebut setelah bertemu seorang rafik, yang selalu memaksa saya membaca bait-bait puisinya, sehingga kadangkala saya terpaksa meleretinya dengan mata munafik, bimbang beliau terasa hati oleh ketidakpedulian saya. Namun hari demi hari usaha gigihnya mendesak saya meminati sajak, juga melihat keasyikannya mengatur aksara dalam buku nota, saya mula terfikir bahawa hal ini mungkin petanda bahawa Tuhan inginkan saya berbuat sesuatu dengan kehadiran seorang sahabat yang boleh menjadi cermin kepada saya dalam mengkoreksi diri. Lalu saya menunjukkan hasil tulisan saya kepadanya sebagai isyarat bahawa saya berminat untuk belajar menulis dengan beliau.
Semenjak hari itu saya banyak belajar tentang sastera melaluinya, dan mula menulis sajak secara aktif mengikut langgam yang diperkenalkannya. Muka hari 2000, Zanazanzaly mengajak saya berpakat mengumpulkan sajak-sajak yang terhasil dan membukukannya dalam Antologi Puisi “Amanat Keramat Buat Sahabat” sebagai ikrar untuk meneruskan keterlibatan kami secara duet dalam dunia sastera. Senaskah kami kirimkan kepada Dato’ Professor Dr. Hashim Yaacob yang pada masa itu merupakan Dekan Fakulti Pergigian Universiti Malaya sebagai balasan kepada kiriman beliau, Antologi Puisi “Tanah Serendah Sekebun Bunga” selenggaraan beliau kepada rafik saya. Beliau kemudian membalas kiriman kami dengan sejumlah wang yang amat bermakna bagi penulis baru seperti kami dan memuji kesungguhan kami menerbitkan antologi dengan biayaan duit poket sendiri dan mengalu-alukan kehadiran kami ke dunia sastera. Kami menapak ke halaman sastera berbekalkan kata-kata semangat dan senyum mesra beliau yang menunggu di gapura sastera tanah air.
Tuhan memberi saya peluang menyiram benih bekalan-Nya dengan mendatangkan rafik yang tega menyiram tunas dalam diri saya, kemudian mempertemukan kami pula dengan Dato’ Prof. Dr. Hashim Yaacob yang bertanggungjawab menjemput kami ke dunia sastera dengan bekalan sifat cekal dan berani kerana benar.
Selain itu, rakan penulis seperti Azman Husin, Zainal Rashid Ahmad, Marsli N.O, S.M Zakir selalu meniup semangat secara tidak langsung setiap kali saya bertamu ke rumah GAPENA dan PENA di awal pembabitan saya. Gurauan Sutung Umar RS (pada masa itu beliau merupakan editor di Berita Harian) yang tidak sukakan “karya najis” untuk disiarkan di ruangan sastera kendaliannya sehingga kini menjadi ingatan kepada saya agar hanya menulis karya yang bermutu tinggi.
Walaupun kerja menulis bukanlah mudah, saya berasa puas setiap kali berjaya menghasilkan karya kerana saya menganggap kerja menulis adalah perjuangan di medan perangnya sendiri. Maka setiap kali karya tersiar di media dan ditatap mata dan minda pembaca, saya terasa seolah-olah perjuangan saya mencapai matlamatnya. Apatah lagi jika karya saya itu berupaya mendidik hati nurani dan membawa pembaca ke ruang sedar dan keinsafan diri seterusnya mendorong mereka untuk melakukan sesuatu yang terpuji pula atau menjadi insan yang mensyukuri nikmat Tuhan. Justeru itulah saya berusaha untuk menulis sesuatu isu yang benar-benar dapat mengubah paradigma pemikiran atau mencadangkan buah pemikiran yang perlu untuk sesuatu masalah negara dan dunia atau menghasilkan karya yang mampu menangkis serangan musuh atau menyerang kembali musuh agama, bangsa dan negara dengan mata pena.
Perjalanan atau kembara saya ke halaman kesusasteraan ini telah ditakdirkan dan saya amat redha dengan apa yang telah ditetapkan oleh Pencipta kerana hanya Dia yang tahu permulaan dan pengakhiran hamba-Nya. Saya mengatakan demikian kerana keterlibatan saya ke dalam dunia ini bagaikan diatur-atur, bermula dengan perkenalan saya dengan Zanazanzaly sehinggalah tercampak ke dunia yang begitu asing buat saya pada awal penglibatan.
Aliran perjalanan saya ke muara juga tidak banyak terhalang oleh batu-batuan, malah kadangkala pula teralir deras dengan arus yang menyongsong dari hulu. Hal ini dapat saya perhatikan sebaik sahaja mula menulis cerpen bertajuk “Gemerencing Neraca Sendeng” di Utusan Zaman pada 21 Januari 2001. Saya menulisnya pada 17 Disember 2000. Selain rasa gembira kerana cerpen tersebut adalah tunas pertama yang tidak mengambil masa yang lama untuk terhasil dalam pertumbuhan pohon sastera, saya berasa telah diiktiraf dalam dunia sastera dan ia merupakan permulaan untuk langkah seterusnya.
Cerpen yang berkisar tentang peranan yang sepatutnya dimainkan oleh seorang peguam ini terilham daripada rasa ketidakpuasan hati saya terhadap seorang rakan peguam yang menggunakan neraca pertimbangan secara tidak adil pada fikiran saya dan dalam karya ini saya menyatakan kebijaksanaan hakim dalam kisah Nabi Yusuf dan peristiwa yang berlaku di antara baginda dengan Zulaikha. Rakan peguam saya itu terbaca cerpen tersebut dan menemui saya serta mempersoalkan karya yang dianggap olehnya menghentam beliau. Berikutan karya itulah terbentuk perbincangan antara kami dan akhirnya saya menyimpulkan bahawa sememangnya menghiris dengan mata pena berdakwatkan sastera itu tidak boleh didakwa dan tajam tusukannya dapat dirasai oleh mereka yang berjiwa. Memang benarlah kata pujangga tajam mata pena lebih hebat dari hirisan mata pedang.
Tidak lama selepas cerpen tersebut tersiar, peluang datang bergolek menjelma depan mata. Saya dipelawa oleh pihak Persatuan Penulis Tumpat (PESISIR) yang saya sertai untuk mengikuti bengkel penulisan cerpen di Pantai Sri Tujuh, Tumpat pada pertengahan tahun 2001 yang menetaskan perkenalan saya dengan Allahyarham Dr. Othman Puteh dan Puan Mahaya Yasin. Berturutan dengannya pula pelawaan untuk menyertai Bengkel Penulisan Wanita Pantai Timur anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) yang dikendalikan oleh Puan Zaharah Nawi dalam senggang waktu yang tidak lama.
Peluang seperti inilah yang saya sinonimkan dengan aliran sungai yang disongsong arus hujan dari hilir. Kemudian cerpen “Mata Fikir” yang tercipta seminggu awal dari cerpen “Gemerencing Neraca Sendeng” menyusul dalam Dewan Budaya keluaran Ogos 2001. “Mata Fikir” yang berkisar tentang pemikiran generasi muda yang tidak bersetuju dengan pendapat dan pemikiran generasi tua yang menganut ajaran Islam secara taklid merupakan cerpen kedua saya yang lahir atas keresahan dan rasa tidak puas hati saya terhadap khalayak orang agama di sekitar saya.
Aliran sungai penulisan saya agak laju ketika ini mungkin kerana peranan pembimbing saya pada waktu itu, Allahyarham Dr. Othman Puteh yang banyak membantu pelonjakan saya dalam bidang ini. Beliau sentiasa membawa saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk beramah mesra dengan editor-editor majalah di sana setiap kali saya dan Zanazanzaly ke Kuala Lumpur.
Pada masa tersebut pula, majalah Tunas Cipta sedang dalam proses pengeluarannya setelah beberapa siri perbincangan untuk memesrakan nama dengan matlamat keluarannya masih belum menemui noktah. Pertama kali keluarannya, ia dikenali dengan nama GEN dan Allahyarham amat menyetujui nama tersebut, sebagaimana saya dan Zanazanzaly, tetapi atas beberapa sebab tertentu, ia ditukar nama kepada Tunas Cipta. Peluang perbincangan dan bercampur dengan penulis mapan seperti beliaulah yang banyak membantu penulis-penulis muda seperti saya untuk membina tapak dalam halaman kesusasteraan tanah air.
Namun sebagai penulis baharu, saya juga tidak lepas dari menulis perkara-perkara yang bersangkutan dengan diri dan persekitaran saya. Hal ini membenarkan pendapat kebanyakan sasterawan mapan yang mendakwa penulis baharu, lebih-lebih lagi penulis wanita tidak dapat berganjak dari menulis seputar diri sendiri dan jarang mengungkap pemikiran dan cetusan idea besar. Karya-karya yang terhasil pada fasa ini lebih bergaya psikoanalisis dan eksperimental. Kerap karya saya dikritik oleh rakan penulis sebagai tidak layak dikategorikan dalam genre cerpen berikutan kurangnya dialog dan gaya bahasa yang digunakan agak ringkas. Sebahagian besar penulis gaya konvensional tidak dapat menerima karya saya lebih-lebih lagi dari golongan penulis wanita.
Setengah tahun berada di takah itu, saya mula beralih kepada penulisan yang lebih mementingkan falsafah dan pemikiran. Cerpen ketujuh berjudul “Putera Putrajaya” mengungkapkan pemikiran saya tentang betapa perlunya negara Islam diwujudkan atau dicontohi untuk menjamin kesejahteraan sesebuah negara. Saranan ini bertitik-tolak dari pemerhatian saya terhadap senario politik tanah air yang bersifat kepartian sehingga mewujudkan perpecahan bangsa Melayu di Malaysia. Saya cuba menyarankan agar dibina sebuah generasi Rabbani (jil Rabbani) dari kalangan remaja yang terdidik sedari alam rahim untuk mengislahkan kepincangan yang berlaku. Cerpen sebegini nampaknya sukar untuk mendapat ruang di media perdana, apatah lagi pada masa itu isu bantahan pembinaan Putrajaya masih hangat diperdebatkan oleh pelbagai pihak. Lantas saya menghantarnya ke majalah Tunas Cipta yang tersiar kemudiannya dalam keluaran Julai 2002.
Saya berlari sepanjang jalan yang terbentang luas, menuju titik temu di hujung jalan di hadapan sana, namun yang saya temui ialah kaki langit yang bersambung dengan rentangan bumi. Dan saya sedar saya hanyalah hamba Tuhan yang menginap dalam ruang antara langit dan bumi dengan tugas yang telah diamanahkan, sebagaimana yang saya sebut terlebih dahulu sebagai takdir yang telah ditentukan. Terserahlah kepada saya untuk menerima takdir yang berbentuk amanah itu dengan rela hati atau lari darinya dengan menghentikan larian saya atau menyimpang ke jalan lain. Dan setakat ini saya masih memilih untuk berlari dalam ruang dan dengan peluang yang dianugerahkan.
Pernahkah saya kehabisan idea atau mengalami musim-musim kemarau karya?
Pada tahun 2003, perjalanan saya atas landasan sastera sedikit tergugat lantaran beban kerja yang semakin menuntut perhatian. Perniagaan yang dijalankan secara kongsi dengan Zanazanzaly sedang memberangsangkan dan kami terpaksa memperuntukkan sebahagian besar masa dan minda kepada bidang perniagaan yang merupakan periuk nasi kami. Lantas, saya tidak berupaya untuk berlari lagi, malah hanya mampu menyeret langkah atas jalan sastera. Kolam karya kontang biarpun gerimis ilham kekadang menyirami mimpi.
Ditambah pula pada masa itu saya dan Zanazanzaly terpilih ke Cisarua, Bogor, Indonesia untuk menyertai Program Penulisan MASTERA dalam genre cerpen. Segala apa yang saya perhatikan dan alami sepanjang program tersebut menghampakan dan banyak meninggalkan kesan negatif dalam sejarah penulisan saya sehingga saya berfikir untuk menjauhkan diri dari dunia sastera yang pada anggapan saya pada waktu itu penuh kepalsuan dan satu dunia munafik. Hal ini berlanjutan sehingga tahun 2005, bermakna saya menyepi selama dua tahun.
Dalam jarak waktu tersebut, saya berasa begitu derita kerana tidak dapat menulis, sedangkan jiwa saya menuntut supaya melahirkan karya walau sarat dengan beban tugas dan masalah perniagaan. Terkadang saya juga berasa putus asa dan terfikir bahawa telah tiba masanya mungkin saya telah ditarik peluang daripada menulis. Dan saya mula terfikir akan kebenaran daripada coretan SN Dato’ A. Samad Said yang saya panggil Pak Samad kepada saya pada awal pembabitan dalam bidang kesusasteraan yang bimbangkan pembahagian masa yang bijaksana dalam menguruskan perniagaan yang melibatkan orang ramai dan urusan berkarya yang menuntut kerja “sepi seorang diri”. Kata-kata ini sentiasa bertalun dalam fikiran saya, bagaikan terseksa oleh hutang yang tidak terlangsai.
Sehinggalah pada suatu hari pada awal tahun 2005, hujan ilham mencurah dengan lebatnya setelah saya menonton beberapa buah filem barat yang memaparkan kejaguhan mereka dalam merangka agenda dunia. Filem propaganda sebegini cukup menyentuh maruah saya sebagai Muslim yang menyedari bahawa hanya Islam yang tinggi dan tiada yang tinggi selainnya. Dan karya yang terhasil oleh mereka di Barat tersebut saya yakin terilham setelah mereka mengkaji agama Islam dan menggunakannya untuk menjatuhkan Islam itu sendiri. Jiwa saya sebagai penulis mula bangkit menyedarkan diri sendiri agar bertindak melakukan sesuatu.
Sebagai permulaan, saya menghasilkan cerpen “Cinta Puncak Sagarmatha” dan menghantarnya ke Mingguan Malaysia. Seminggu kemudian cerpen tersebut di siarkan pada 9 April 2006. Cerpen tersebut cuba mengembalikan semangat Melayu bahawa kita bukanlah bangsa lemah, sebaliknya bangsa Melayu adalah bangsa yang gagah dan bijaksana, bangsa yang bertamadun dan berperibadi mulia. Namun kerana kelekaan kita dalam menilik sejarah, kita mudah lupa dan dipesong oleh musuh bangsa dan agama sehingga memikirkan segala yang bagus berasal dari Barat. Menyedari kepincangan ini jugalah saya berjanji akan menulis siri karya yang melonjakkan kegemilangan pemikiran cendekiawan Islam dalam pelbagai bidang ilmu.
Dengan terhasilnya cerpen tersebut, saya berasa sedikit beban terlepas dari pundak. Jika sebelum ini saya dibeban oleh ingatan-ingatan terhadap kelestarian saya dalam bidang penulisan oleh rakan-rakan yang menyaksikan kejatuhan saya dua tahun sebelumnya, kini saya sudah dapat membuktikan kepada Pak Samad bahawa saya bukanlah penulis “lima tahun” yang sering diingatkan kepada saya agar tidak tergolong dalam mereka yang rebah selepas berkarya beberapa ketika.
Katanya lagi, “Anda berdua sudahpun berjalan di atas landas yang betul” dan “Walaupun dalam kehidupan kita tidak dapat menentukan sejauh mana hayat berkarya kita, tapi tidak ada salahnya untuk berazam. Dan dengan semangat dari coretannya dalam surat kepada kami itulah, saya memulakan langkah yang pernah terseradung suatu ketika dahulu secara perlahan-lahan.
Hasrat dan cita-cita saya pada masa hadapan
Biarpun sekarang ini saya belum mampu mendisiplinkan diri saya untuk menjadi penulis sepenuh masa seperti yang dilakukan oleh SN A. Samad Said, Zaharah Nawawi dan segelintir penulis yang nekad seperti beliau berdua, namun impian tersebut tetap ada dalam kalbu saya. Saya bukanlah tokoh pemidato seperti Ahmad Deedat atau pendakwah bebas yang lain untuk berdakwah kerana saya tidak dikurniakan kehebatan bercakap atau berucap di khalayak tetapi tulisan mengambil tugas kata-kata saya kerana saya banyak menggunakan tangan berbanding mulut.
Apa jua cadangan, pemikiran, cerita dan aksara yang terbentuk dalam kalbu dan minda terus tersalur ke tangan, bukan mulut. Makanya, saya berhasrat untuk menjadi penulis yang bukan sahaja menggunakan pena untuk menyebarkan dakwah, malah menjadikan tulisan sebagai perisai penghadang dakyah-dakyah yang kini banyak menyerang agama kita dengan hasil karya mereka berbentuk propaganda di samping meninggalkan harta intelek kepada bangsa dan negara. Sebagaimana yang dapat diperhatikan di negara barat, mereka menggunakan sastera untuk agenda terancang iaitu agenda agama, politik dan sebagainya, sedangkan kita di sini pula melihat sastera sebagai satu kotak yang mengisi khalayak sepi sendiri, bohemian, eskapis dan peminat kisah cinta. Justeru itulah sehingga kini masih belum kedapatan penulis yang memenggal leher musuh agama, bangsa dan negara dengan mata penanya.
[1] Hizairi Othman 1996: 20
Sabtu, 10 Jun 2006
NOBLE ART CREATION
Pasir Mas
Kertas kerja ini dibentangkan di Khemah Sastera, 9-11 Jun 2006, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur pada 11 Jun 2006, jam 8.30 pagi.
posted by rozais al-anamy at
2:46 PM 0 comments

Penulis dan pemikir

Selasa, Jun 13, 2006
Penulis dan pemikir adalah jiwa yang satu. Itulah yang saya simpulkan dalam ceramah di Khemah Sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur pada Ahad, 11 Jun 2006 melalui slot Motivasi Karya. Saya dijemput oleh En. Syaidul Azam, Ketua Unit Sastera, DBPWT untuk memotivasi peserta-peserta yang seramai 22 orang yang terdiri dari penulis muda dari negeri Kelantan. Tajuk perbincangan yang disyorkan ialah mengenai bagaimana tercebur dalam bidang penulisan dan proses kreatif karya-karya yang telah dihasilkan.
Saya mengambil kesempatan ini menyedarkan diri saya sendiri serta adik-adik peserta bahawa penulis itu mestilah seorang pemikir, lebih-lebih lagi sebagai penulis Muslim, peranan dan tanggungjawab yang waajib dikandar amatlah besar dan berat, lebih-lebih lagi pada zaman umat Islam dihenyak dan agama Islam dipandang serong. Jika orang Barat sewenang-wenangnya menggunakan karya mereka sebagai propoganda untuk memomokkan dunia bahawa orang Islam itu pemusnah dunia yang kononnya ditatang oleh mereka dengan penuh kesejahteraan, siapakah kita jika lupa pada Islam itu membawa kesejahteraan pada makhluk di seluruh alam?Dan mereka yang menyedari semua ini adalah pemikir - pemikir yang sentiasa memerhati ayat-ayat Allah.
posted by rozais al-anamy at
4:56 PM 0 comments

Bumi masyrik yang dingin

Isnin, Januari 2, 2006
Hujan lebat menimpa bumi masyrik ini. Angin dingin membawa nostalgia yang tumpah pada daun waktu.
posted by rozais al-anamy at
5:18 PM 0 comments

Suara yang memanggil

Ahad, Januari 1, 2006
Bumi masyhrik dingin dan aku menggigil di sofa pejabat. Sedang memandang siling, suara itu memanggil lagi. Bank Kerapu, Muzium Negeri dan Tambatan DiRaja terlintas dalam fikiran. Terimbau kenangan ketika di Kolej Aisyah, Pusat Matrikulasi UIA... suara dari bumi maghrib sentiasa memanggilku ke sana, seolah-olah ada sesuatu yang menanti. Dan kini, suara itu datang lagi.
posted by rozais al-anamy at
5:08 PM 0 comments

Manusia antara langit dan bumi

Ahad, Januari 1, 2006 bersamaan Zulhijjah 1, 1426H
Aku, sebutir embun di hujung sehelai rumput. Rumput di atas bumi saujana mata memandang. Pandang ke atas, langit. Sedetik nanti, mentari akan menyinari bumi, dan embun akan sirna jasadnya, hanya debu-debu yang berkelintar antara langit dan bumi. 1 Januari 2006, 33 tahun aku mengembara di antara langit dan bumi.
posted by rozais al-anamy at
4:48 PM 0 comments