Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Saturday, December 08, 2012

Gaya Hidup Kepenggunaan (Consumerism)

.
Sejak dari rakan-rakan menggilai apam polka dot dan kek cawan (cup cake) lagi saya mahu menulis entri ini. Namun kerana saya terlalu berfikir dahulu sebelum menulis akhir-akhir ini, maka saya tidak jadi meluahkan perasaan dan pendapat saya tentang kegilaan yang kurang menyenangkan ini. Maka kerana itulah setiap kali ada rasa terbuku ingin diluahkan, saya fikir dan fikir, dan kemudian ia jadi - tidak jadi. Biarlah, fikir saya. Biarlah mereka dengan dunia mereka.

Semalam, ada seorang rakan muka buku seakan bertanya dan mahu merasa apa itu durian crepe kerana belum kenal dan berpeluang merasa juadah tersebut. Saya mula rasa "geram" kerana seorang demi seorang mula menjadi "mangsa" promosi ini. Geram kerana saya faham jika saya berada di tempatnya - saya rasa dia teruja untuk mengambil bahagian dalam kemeriahan dan keterujaan manusia untuk mencuba sesuatu yang seolah-olah semua orang lain sudah tahu. Mana boleh dia kekal tidak mengenal apa itu durian crepe dalam dunia serba sempit ini? Itulah gamaknya perasaan dia, sebagaimana saya fikir suatu ketika dahulu. Bimbang dicop kolot, ketinggalan zaman, katak bawah tempurung dan tidak mengikuti gaya hidup terkini. Namun saya masih bertahan, agar tidak memberi komen apa-apa kerana bimbang saya menulis dalam keadaan kurang rasional.

Dan lewat petang  semalam juga, seorang rakan pejabat (lelaki) membawa seplastik durian crepe ke mejanya. Beli dari rakan sepejabat katanya. Saya yang sedang berhajat mahu makan durian terus bertanya sumber belian tersebut. Saya beli sepeket supaya hilang kempunan mahu makan durian (bukan crepe). Sekurang-kurangnya dapat rasa "rasa" durian itu. Malangnya isi durian itu hanya 20 peratus. Sedang menikmati durian tersebut, seorang rakan lelaki lain dengan suara teruja bertanya "durian crepe tu apa benda ya?" Dia tidak nampak saya sedang makan. Saya tanya dia kenapa mahu tahu sangat? Dia jawab, sebab semua orang cakap pasal durian crepe. Saya terus pelawa dia makan. "Oooo ini ke durian crepe yang tersohor sangat tu?" Hilang keterujaannya tadi. "Habis, ingat buat dengan emas jongkong ke?" Kami menghabiskan durian crepe dalam sekelip mata tanpa risau akan panas badan kerana jumlah isi durian yang digunakan saya kira hanya sekadar dua ulas. "Sedap?" Saya sempat tanya. "Sedap, macam durian," jawabnya selamba dan puas hati. Saya gelak tapi tak boleh berguling-guling.

Hari ini saya terbaca lagi luahan seorang daripada mereka yang mempunyai hajat sama - mengetahui apa itu durian crepe, dari rupa dan rasa. Kedua-dua yang mengidam itu adalah lelaki. Saya simpulkan bahawa durian crepe ini lebih istimewa berbanding apam polka dot dan kek cawan kerana ia menarik rasa ingin tahu lelaki, bukan sekadar wanita yang lazimnya mendahului dalam apa sahaja gaya hidup sebagaimana sebelum ini. Maka terkesan dengan keterujaan itulah saya tertarik untuk menulis, dan tidak mahu memendam lagi apa yang saya rasa selama ini. 

Suka saya ingatkan, saya amat gembira kerana orang kita sudah semakin kreatif untuk memberi nilai tambah kepada hasil bumi. Sedari dulu pun, orang tua-tua kita memperkenalkan lempuk durian, tempoyak, ikan masin, jeruk petai, jeruk bawang putih dan sebagainya. Semua itu terhasil kerana minda mereka yang bijak menukar masalah kepada keuntungan. Mereka sudah lama memaknakan "turn the problem into profit". Orang tua-tua kita memanfaatkan ilmu pengetahuan mereka untuk menghasilkan makanan lain dari bahan makanan asal  kerana masalah yang dihadapi mereka - mereka tiada peti sejuk. Orang tua-tua kita juga yang menukar tanaman maman yang jangka hayatnya tidak begitu lama selepas dituai kepada jeruk maman yang menjadi masam hanya dengan perapan nasi. Dan durian crepe ini salah satu makanan yang menunjukkan orang Melayu itu memiliki otak pencipta.

Apa yang saya maksudkan ialah sikap masyarakat kita yang terlalu ikut-ikutan gaya kepenggunaan yang tidak baik. Yang berfikir untuk mencipta dan masuk ke gelanggang penentu kepenggunaan hanyalah segelintir, yang selebihnya hanya pelanggan dan penagih - tidak kira apa bidang, daripada hiburan, teknologi, industri makanan, dan lebih-lebih lagi fesyen - kita hanya menjadi penari yang mabuk, bukan pemukul gendang. Kita lupa tarian zapin kerana gilakan K-Pop. Kita lupa tarian kuda kepang kerana berasakan cara kangkang Gangnam lebih bergaya.

Menaakul gaya hidup masyarakat kita, khususnya Melayu, saya yakin masyarakat kita sudah sangat sebati dengan gaya hidup kepenggunaan yang melampau. Kita suka teruja dengan benda, khususnya benda baru yang mungkin asing pada deria kita, walhal benda tersebut mungkin sangat biasa bagi orang lain. Kita mudah gila pada sesuatu produk yang disuakan sehingga keterujaan kita itu menuntut pula keterujaan orang lain di sekeliling kita. Dengan proses keterujaan yang mencetuskan keterujaan inilah pihak kapitalis dapat menguasai pasaran dan menarik duit dari kocek kita secara pintar.

Dengan mempromosi gaya hidup kepenggunaan inilah kita akan dengar saban hari di merata tempat, daripada rumah, pejabat khususnya, kedai kopi, dan di terminal tren dan sebagainya manusia tidak putus-putus bercakap tentang benda, selain sentiasa menjadi orang kecil yang bercakap tentang kerenah manusia. Sebagaimana kata bijaksana "orang pertengahan bercakap tentang benda (middle people talk about thing)." Dan jika ada manusia yang mencelah untuk bercakap tentang idea semasa orang lain sedang sibuk bercakap tentang benda, sudah tentu manusia itu akan dilabel sebagai asing dan dan janggal. Manusia ini akan diketepikan dari massa dan sudah pasti tidak mempunyai kawan kerana ketidakupayaan berkongsi minat dan gaya hidup yang sama. Maka terketepilah dia di dalam kelompok "orang besar bercakap tentang idea" (great people talk about ideas). Begitulah apa yang berlaku sekarang mengikut pemerhatian saya.

Masyarakat kita sudah dibius dengan gaya hidup kepenggunaan. Mereka sudah pergi terlalu jauh. Kita sudah dirasuk sekian lama, sehingga kita seakan-akan sering menunggu - dan sentiasa menunggu barang apakah pula akan diperkenalkan minggu depan, bulan depan atau tahun depan. Beg bentuk manakah akan dideretkan di atas para-para cermin di bawah label "new arrival", atau warna apakah tema pilihan Paris Hilton untuk musim panas tahun depan, atau tudung berlabuci lilitan bagaimanakah paling anggun untuk makan malam, atau gajet apakah sebagai sasaran untuk peruntukan gaji bulan depan? Atau sekadar bertanya sama sendiri, sekadar bertanya  - untuk menunjukkan kita juga turut tahu perkembangan gajet - iPhone 5 sudah dijual di sini, atau masih kena beli dari Singapura?

Masing-masing bimbang dan malu jika tidak pernah mendengar dan tidak pernah merasa apam polka dot, atau tidak pernah menempah kek cawan untuk hari lahir. Ramai pula rasa peghok (kolot) kalau tidak tahu bagaimana bunyinya nada dering iPhone 4S atau kurang arif tentang generasi iPad yang terbaharu di pasaran. Secara pukul rata, jika sesuatu benda itu diperkenalkan, masing-masing akan ada rasa ingin mencuba atau memiliki setiap barang yang dipromosi itu dan sangat berbangga jika menjadi orang terawal memiliki atau mencuba produk terbaru yang diperkenalkan.

Hal ini menunjukkan kita beranggapan bahawa kita tergolong dalam orang yang mengikuti perkembangan dunia global (kerana kepenggunaan itu sangat berkait rapat dengan dunia tanpa sempadan). Sehingga kita kadangkala mengutuk diri sendiri kerana terkulat-kulat menelan kek cawan yang sangat manis dan kasar teksturnya serta krimnya yang boleh saja menyebabkan kadar kolestrol kita ke tahap terburuk sedangkan rakan di sebelah teruja membuat tempahan melalui talian di muka buku, atau benci pada diri kerana masih juga tidak kurus-kurus untuk mencuba gaun hitam  belah hingga pangkal paha seperti Angelina Jolie, atau menjadi perengus kerana ibu dengan nada lembutnya meminta kita tangguhkan dahulu hasrat membeli iPad model terkini kerana ayah terpaksa mengirimkan lebih duit  ke kampung kerana mentuanya sakit teruk.

Kerana gaya hidup yang telah diubah secara berstrategi inilah, masyarakat kita berasa malu untuk terus mengekalkan benda lama yang sangat baik; sebaliknya memaksa diri untuk memilih benda baru yang adakalanya lebih buruk. Kita mungkin agak malu-malu untuk mengaku kita sangat gemar makan apam eno atau "apam orang mati" tatkala orang lain makan apam polka dot yang antara kandungannya adalah pewarna yang berbagai warna; atau segan untuk menyediakan pulut durian kepada rakan-rakan untuk minum petang di rumah kita tatkala rakan kita sedang mabuk untuk mencuba resipi durian crepe; atau bimbang diketawakan jika kita mahu mempromosikan beg mengkuang pelbagai gaya yang ditampal watak wayang kulit kepada rakan sepejabat yang kebanyakannya menjadi pelanggan tetap produk new arrival jenama Coach, Guess dan seumpamanya. 

Jika ada terdetik dalam hati kita perasaan itu, bermakna kita telah diserang virus kepenggunaan. Dan kita sudah jadi mangsa kepada jerat kapitalis untuk menjadikan kita bangsa yang hanya tahu mengguna dan terus-terusan mengguna setiap produk yang diperkenalkan. Dan akhirnya kita menjadi bangsa yang sangat tidak kreatif dan hanya menunggu dan menunggu promosi barangan terbaru atau jualan mega penghabisan stok di pusat beli-belah sahaja. Kita lebih tidak sabar menanti kedatangan Merry Christmas berbanding penganut Kristian untuk berebut membeli barangan idaman sempena jualan sempena raya.

"Adalah lebih benar tentang pakaian berbanding dengan kebanyakan barang penggunaan yang lain bahawa manusia sudi mengalami kekurangan keperluan hidup yang lain supaya mampu membeli apa yang dianggap mereka sebagai jumlah penggunaan sia-sia yang memuaskan; oleh itu, tidaklah jarang kejadiannya bahawa dalam keadaan iklim yang buruk, orang akan memakai pakaian yang terlalu mendedahkan supaya kelihatan berpakaian anggun." (The Theory of the Lesiure Class (Teori Kelas Mewah), 1899).

Akhirnya, apabila penat menjadi robot berbayar di kota,  kita kembali ke kampung untuk melepas lelah sekali-sekala. Kita rindu untuk mengenang masa lalu bermain sumpit-menyumpit dengan peleting buluh yang diisi buah ara, atau kepingin melastik burung yang kemudiannya disembelih dengan pisau lima sen, atau berkubang ikan di sawah setelah usai padi dituai. Kita berharap anak-anak kecil kita mengulangi permainan yang sangat mengakrabkan kita kepada alam dan panjang akal dalam mencapai hasrat, tetapi malangnya mereka hanya tekun di bermain Farmville sepanjang perjalanan pulang ke desa dengan gajet yang terpaksa kita belikan, atau asyik bermuka buku setiap kali dipanggil makan. Lebih malang andainya ibu kita ditengking kerana hanya menyediakan rebus mentarang dan kerabu pucuk mengkudu serta ikan talang masin sebagai hidangan makan tengahari untuk menyambut cucu-cucunya yang tiba dari kota batu kerana anak-anak kita tetap mahukan burger McDonald dan kopi sesedap bancuhan pelayan Starbuck.

Generasi demi generasi yang semakin terhakis akal budi, dan hasta demi hasta kita menghambakan diri.  

Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana.