Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Wednesday, December 15, 2010

Aku dan Kenangan

.
Saya minta lagu ini. Sangat-sangat. Ia mampu bawa saya ke sebuah hutan kenangan, setelah rengsa dengan persekitaran. Tidak tahu siapa penyanyinya, memandangkan saya "gila" dengar lagu ini sewaktu saya belum mesra dengan internet, juga kerana saya tidak berapa akrab dengan radio.

Beberapa hari lepas, seseorang memutarkan lagu ini sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. Dan hari itu saya dapat tahu lagu itu dinyanyikan oleh Manan Ngah dari Brain Connection. Berbeza 180 darjah dengan lagu mereka, "Pergi Tanpa Pesan" walaupun mesejnya lebih kurang. Saya tidak percaya, sungguh! Terima kasih untuk dia yang berjaya merungkai teka-teki selama ini.


.

Friday, December 10, 2010

Pesan Mereka

.












When I woke up this morning I asked myself: What are some of the secrets of success in life?
I found the answer right there in my very room.

The Fan said - Be cool.
The Roof said - Aim high.
The Window said - See the world.
The Clock said - Every minute is precious.
The Mirror said - Reflect before you act.
The Door said - Push hard for your Goals.
And don't forget, the Carpet said - Kneel down

TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam, KL. 
(Sempena sebulan bertugas - 10.11.10 - 10.12.10)
.

Friday, October 15, 2010

Di Pintu Rasa Ini

.
Membuka pintu laman maya ini, samalah seperti saat pertama ingin membaca nota di dalam botol yang hanyut dan singgah di dada pantai.  Sama debarnya tatkala menatap adegan dalam "Message in a Bottle". Ada debar, getar dan paluan di kalbu.

Menutup pintunya pula, rasa sesak nafas sebagaimana adegan akhir "Sweet November". Terasa ingin berada di langit, melihat jauh ke bumi. memantau orang yang dikasihi, tak kira bagaimana pun jua ingatannya kepada diri ini. 

Taman ini seolah-olah suatu wijil, sebaik dikuak, sejumlah kenangan akan terpapar depan indera, yang mengundang sebak, keluh-kesah dan rasa tercungap-cungap. Ada wajah-wajah yang sedang tersenyum dalam taman ini, ada yang sedang menjeruk rasa, ada bahagia, ada derita. 

Ada kenangan manis yang tak akan terlupakan, ada keindahan bagaikan syurga, ada derita yang tak tahan dipendam, menyebakkan dada dan menyukarkan untuk bernafas. Ia adalah warna warni sebuah taman maya, saya silau dengan pancawarna hingga saya terkadang gerun untuk membuka pintunya.

Namun taman ini tempat saya menyendiri, mengubat hati, terkadang terjadi sebaliknya, tertambah lara hati. Saya berhiba-hiba di sini, mengadu pada aksara dan abjad yang ditaip terus dari jiwa; setiap kali rasa kosong dan sempit berlumba mengisi dada. 

Justeru itu, saya benarkan kata teman maya, laman ini seharusnya jangan dibiarkan bersawang, kerana laman ini adalah saya. Benar katanya, saya hilang diri kerana cuba menjauhi pintu ke laman ini, kerana saya terlalu takut akan kenangan. 

Sehinggalah hari ini, saya harus kuat mendepani kenangan itu, untuk mencari sedikit kekuatan dalam bayu lembut Jumaat yang sangat mendera perasaan ini. Semoga saya berjaya mengusir rasa kecewa setelah dikhianati seseorang, dan senyum menerima karma.
.

Friday, August 27, 2010

Jiwa Sebuah Surat Maya

.
Sewaktu menerima sebuah surat maya kedua daripadanya, saya terharu dan berasa bahagia yang sangat dalam. Ia bukanlah suatu perasaan bahagia, gembira dan terharu sebagaimana menerima titipan cinta seorang kekasih; namun rasa bahagia dan keterharuan kerana masih ada manusia berhati emas dalam kecelaruan manusia yang pelbagai pesona dalam dunia akhir zaman ini.

Pelanggan saya di Pesta Buku Selangor 2010 ,Kompleks PKNS Shah Alam ini sekali lagi memberi reaksi terhadap Kumpulan Cerpen "Apabila Alam Berbicara" saya. Katanya, selain membuatkan beliau kembali membaca bahan kreatif, beliau juga menemui sesuatu dalam karya saya.

Bagaimana saya tidak berasa gembira, seseorang yang sudah lama melupakan sastera, kembali menghayatinya. Dan paling penting, spesies yang saya gelarkan "robot"  (orang sains) suatu ketika dahulu, lebih besar jiwa dan taakulannya. Seorang pembaca begini lebih bermakna daripada seribu pembaca yang membacanya hanya sekadar menilik aksara, baris demi baris.

Teringat pada sebuah Sabda, apabila segolongan manusia lemah dan sering bertelagah sesama sendiri, Allah akan utuskan satu puak lain yang menggantikan dan memimpin mereka. Syukur kalau yang menggantikan itu lebih baik daripada yang diganti, andai sebaliknya?

Kehadiran beliau menguatkan sangkaan dan kepercayaan saya tentang masa hadapan sastera di tangan para ulul-albab, yang ramai daripadanya nanti mereka yang arif dalam pelbagai bidang selain sastera. Saya nantikan zaman yang penuh iluminasi di tangan mereka, yang berupaya menghuraikan setiap petanda dan ayat Tuhan serta Sabda Baginda. Kita nantikan, nanti di suatu masa.

Salam Sdri Rozais
Semoga sihat untuk terus berkarya dengan minda dan pena
Saya saja nak mencoret sesuatu, kerana apabila menjelang Ramadhan Al Mubarak pada setiap tahun, fikiran saya pasti mengenang suatu peristiwa di Ramadhan walaupun dah berlalu lebih dua dekad dahulu. Ingatan itu selalu saya rasakan sangat baru ianya berlalu. Secara kebetulan apa yang saya kenangkan itu ianya tertulis sebagai penutup dalam cerpen saudari Animo Adiratna iaitu Surah al-An'am 6:125 yang baru saya baca beberapa minggu lepas.


Dengan itu apa yang saya coretkan, kiranya mengganggu saya mohon maaf. Bahasa dan gaya tidak sempurna kerana tidak pernah belajar menulis secara formal. Sementara menanti waktu berbuka, saya terfikir untuk mencatatkan seseuatu, saja to pass my time. Maaf sekali lagi lagi jika mengganggu.


Ayat itu mengenangkan saya pada seorang teman dari Lubnan bernama Hisham yang menerangkan kepada saya apa yang tersirat dari ayat tersebut selain apa yang dinyatakan dalam tafsir. Kami berdua Sunni dan terdapat dua orang lagi classmate kami; yang muslim mengikut fahaman Syiah, Seorang dari Basrah Iraq bernama Said dan seorang lagi dari Isfahan, Iran bernama Redza. Penerangan beliau telah menarik minat kawan-kawan lain yang bukan muslim, dan akhirnya terjadinya perdebatan kecil yang kami berempat disebelah pihak mempertahankan hujah. Ketika itu kami merasakan untuk berdakwah ianya memerlukan ilmu yang tinggi, mampu memberi penerangan dan boleh berhujah.


Ayat itu disamping memperkata kehendak Allah tentang pemberian hidayah, Hisham mengatakan ayat itu menyatakan teori sains;


Theory of Pressure Decompression at Higher Altitude. Ayat itu menyatakan tentang sempit atau sesak dada (pernafasan) macam naik kelangit. Sesak nafas naik kelangit adalah disebabkan oleh penurunan tekanan pada altitude yang lebih tinggi. Paling mudah kita memahaminya ialah kapal terbang, pada altitude yang tinggi ianya perlu diberi tekanan (pressurised) supaya tekanan dalam kapal terbang sama dengan tekanan ketika ia di bumi, pada ketika itu tekanan di luar kapal terbang jauh lebih rendah. Sekiranya kapal terbang tidak di berikan tekanan pasti yang berada dalam kapal terbang akan merasakan sesak nafas. Dapat juga kita perhatikan dalam filem yang apabila pintu kapalterbang terbuka waktu di udara, keadaan luar kapal terbang akan semacam menyedut apa yang ada dalam kapalterbang, ini adalah kerana perbezaan nilai tekanan yang tinggi di luar rendah dan didalam aircraft jauh lebih tinggi.


Al-Quran itu bukan ciptaan nabi Muhammad S.A.W: Keadaan itu menolak hujah yang yang mengatakan Al-Quran itu ciptaan Nabi Muhammad SAW. Tidak mungkin Nabi boleh mengetahui yang naik kelangit itu boleh menyesakkan nafas, kerana persekitaran Mekah dan Madinah tidak ada tanah tinggi atau gunung yang kalau di daki boleh menyesakkan nafas.


Salam hurmat dan selamt berbuka puasa. Maaf sekali lagi, saya menulis hanya menanti masa berbuka.

Maha Suci Allah. Segala puji bagi Allah yang merupakan sebaik-baik perencana.

Pinggiran Putrajaya

Di Dermaga Menunggu Purnama

.

Hari ini biarkan aku pergi
dan berjanji akan pulang lagi usai beberapa purnama
aku ingin menyepi sesaat leburkan penat
dan melelapkan kapal letih di tepi dermaga
setelah sekian lama ombak membadai di pantai jiwa.

Biarkan aku berteman malam
kutahu derita tak selamanya merapat
usia takkan benarkan ia menjarah seabad
kalau mata ini terpejam waktu siang mendekat.

Hari ini malam berjanji padaku
menemaniku merangkai puisi menjadi kelopak bunga
yang pasti kupenuhi pada jambangan sepi
tatkala mengalun lagu cinta yang sumbang iramanya
dalam menunggu purnama jatuh ke riba.

Ingin kukatakan pada matahari esoknya
usah angkuh melarikan embunku
hujan di hati pasti melimpah di bumi gersang
dan menyirami jiwa sahara yang kontang rasa.

Usah kau risaukan bila sesekali aku harus merintih
saat kenangan tiba dan mengajakku berdansa
aku pasti bersihkan bingkai-bingkai pecah di dinding kamar
tiada sisa, waktu kau pulang tanpa kata.

Antara langit dan bumi
pagi: 11.45
.

Saturday, August 14, 2010

Ulangtahun Blog dan Hari Persahabatan

.
Saya sentiasa mengingati Ogos, kerana padanya ada dua sejarah penting yang wajib diingat oleh saya. Ogos adalah bulan ulangtahun kelahiran blog saya, empat tahun berlalu. Seharian saya ulang dengar lagu tema blog ini. Sudah agak jauh perjalanan ini rupanya, mungkin esok lusa Kekasih memanggil ke sisi, kerana kita hanya insan yang berkelana antara langit dan bumi-Nya sementara menunggu dimensi lain yang bakal tiba apabila langit dan bumi bersatu - nanti di suatu masa.

Kembara berjalan bersendirian
Mencari jalan pulang
Bilakah masanya embunkan menjelma
Di tanah gersang yang membakar

Alangkah pedihnya nasib kembara
Di tengah khatulistiwa
Tak siapa yang dapat menghilangkan dahaga
Namun tetap ia bertahan

Kami semua senasib dengan mu
Wahai kembara di tanah gersang
Mencari kebahagian dalam hidup
Menempuh berbagai rintangan yang ada
Namun bahagia masih impian

Kau masih berjalan di bawah sinar
Bulan bintang yang membimbingmu
Suatu hari kau kan bertemu
Sungai mengalir di taman indah
Nanti di suatu masa.

Ogos juga adalah bulan persahabatan. Sentiasa saya ingat ulangtahun persahabatan saya yang sudah menjangkau usia empat belas tahun. Jika ia sebuah perkahwinan, sudah tentu saya mempunyai zuriat remaja. Dalam usia persahabatan itu, pelbagai duga dan bala menimpa, cuma kesabaran dan keinsafan dalam melaluinya dapat menyelamatkan jiwa ini.

Dalam apa jua keadaan, satu panduan yang seharusnya diingat sentiasa ialah: seringkali apa yang kita sangkakan baik untuk diri kita itu sebenarnya buruk bagi kita, dan seringkali apa yang kita anggap buruk untuk kita itu sebenarnya adalah baik bagi kita. Sesungguhnya Tuhan Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita kerana ada perkara yang tak terjangkau oleh mata fikir, namun ia boleh difahami dengan jiwa nan tulus redha.

Sebagaimana titipan saya pada awal muka Kumpulan Cerpen "Apabila Alam Berbicara" kepada sahabat, satu-satunya dia "Makin terang cahaya, semakin banyaklah sisi gelap terlempar." Semoga sisi gelap itu terus disuluh oleh pengabdian kepada-Nya secara seluruh.

Dan sebagaimana selalunya, saya mengulang bicara setelah menghisab diri "Sesungguhnya tanpamu, langit itu terlampau luas, bagi helang seperti aku." Saya bagai helang yang patah sayap kanannya ingin terus terbang mengembara di langit Tuhan yang maha luas, semoga gagah tatkala diterpa langkisau duga.

Kepada mereka yang mengerti makna persahabatan, saya ucapkan "Selamat Bersahabat", semoga ada pasangan antara kita yang berjaya sebagaimana Jalal dan Tabrizi.  

Friday, July 16, 2010

Sejumlah Aksara Menyentuh Jiwa


"Saya baru sahaja selesai membaca himpunan cerpen puan/cik (yang selepas ini saya address sebagai puan saja dan jika salah maafkan saya) dalam Apabila Alam Berbicara (AAB), yang saya beli di PKNS 04/07/2010 dan puan juga mecatatkan Tuan yang budiman, Terima kasih atas sokongan.

Tujuan saya menghantar email ini hanya untuk mengucapkan terima kasih kepada puan yang  memohon saya memberi sokongan dengan membeli AAB. Mulanya saya melalui lorong tengah, saya tidak mengindahkan rayuan puan untuk membeli AAB kerana dah hampir lebih 20 tahun tidak membaca novel dan cerpen dan terus ke beberapa gerai dihadapan dan berhenti disitu untuk mencuri baca Tafsir IbnuKathir.saya berpatah balik melalui belakang gerai puan dan puan menahan saya sekali lagi memohon memberi sokongan kepada puan. Puan menyatakan dalam AAB ada 20 cerpen pada nilai RM 20 yang nilai puratanya RM 1 / cerpen. Kebetulan pada malam sebelumnya saya singgah di sebuah restoran yang mengenakan saya RM 1.90 sen untuk segelas teh tarik. Dengan perbandingan itu saya mengatakan yang penulis ini perlu disokong. Lima hari terbiar tak dibaca dan akhirnya saya mula pada hari keenam setelah dibeli, mungkin kerana telah terlalu lama tidak membaca cerpen atau novel. Agak kekok.Yang banyak saya baca adalah yang berkaitan dengan profesion saya yang berkisar sains dan teknologi.

Atas sebab itu, saya ingin mengucapkan terima kasih bagai diberikan saya catalyst untuk menyukai semula membaca . Dapat juga mengingati semula pada usia saya 12 hingga 14 tahun saya telah selesai membaca novel2 besar seperti Salah Asohan, Panglima Awang dan Tenggelamnya Kapal Van DerWick.....40 tahun dulu...... Dan saya dah mula baca cerpen Sampah di berita minggu lalu.Lucu juga rasanya.........

Saya doakan puan akan menjadi sasterawan handalan di hari muka. Jika saya diketemu dengan nama itu, pasti saya bantu........Wassallam."

Emel ini saya terima dua hari lepas. Sengaja saya tidak mengedit tulisannya. Di luar jangkaan, pelanggan ini menghubungi saya melalui biodata dalam naskah Kumpulan Cerpen "Apabila Alam Berbicara". Terharu membaca komen beliau, lebih terharu dan bersyukur memikirkan masih ada insan yang kaya jiwa tatkala sejumlah tetamu yang berkunjung ke Pesta Buku Selangor memberi komen "tak ada masa nak baca buku", "saya tak suka membaca", "saya banyak kerja lain nak buat" dan macam-macam ayat yang membuatkan saya termenung, berfikir seketika.

Semoga lebih ramai lagi insan berjiwa besar seperti Khalid Hassan ini, dan semoga beliau terus membaca, terus dan terus, bermula dengan Apabila Alam Berbicara. Semoga sunnah yang kecil ini dikira amalan untuk saya, dan diperpanjangkan kepada orang lain pula melaluinya.

Pondok Cinta, Pinggiran Putra

 

Friday, June 18, 2010

PUISI CINTA

Buku terakhir siap dihantar ke www.putihronadagang10.blogspot.com. Melepas lelah seketika, layan lagu menggamit memori sewaktu di menengah atas. 

Masih teringat waktu bersantai dengan sahabat atas wakaf, sambil mengeringkan peluh setelah penat memanjat pokok jambu nawar, yang dimakan dengan cuka campur belacan dan cili api. Makan sampai biru bibir, sambil dengar lagu. Salah satu lagu yang masih melekat ialah lagu Puisi Cinta oleh Illusi.




Tatkala dengar lagu ini, terbayang Ayai sedang nyanyi lagu ini dan tujukan pada saya. Ringkas cerita, Ayai itu kekasih saya, dan menyanyi lagu itu khas untuk saya. Puitisnya lirik itu menambah minat saya pada Ayai. Wajah romantisnya, lebih-lebih lagi gigi "ecu"nya. 

Berangan lagi, dia bawa saya jalan-jalan tepi pantai, dan bentangkan kain tepi pantai dara, sambil kami terlentang, di belakang; bumi, di dada; langit. Dia kumandangkankan lagu ini  sambil membelai rambut saya dengan lembut, tatkala kami menunggu matahari beradu. Kami manusia antara langit dan bumi, menikmati derai ombak dan camar terbang petang. 

Ah indahnya, terbayang itulah setiap kali dengar lagu itu. Sedar tak sedar, sebakul jambu nawar sudah habis dicicah cuka belacan, dan bibir pun sudah pucat. Sahabat ketawa tersedak-sedak tengok saya. Peluh sudah kering, tapi hati semakin basah.

Semua itu ilusi, saya hanya berangan melalui semua itu. Sungguh Illusi membuai saya dengan ilusi.

Suaramu
Gemersiknya bak buluh perindu
Cuba kau lagukan
Cuba kau dendangkan
Mengisi di ruang kamarku

Senyummu
Menusuk dan membelai di kalbu
Cuba kau ukirkan
Cuba kau pamerkan
Menjadi hiasan hidupku

Tiada terkata
Seindah bahasa
Nak ku huraikan
Nak ku belaikan dirimu
 
Akan ku syairkan katamu
Akan ku madahkan janjimu
Menjadi coretan gurindam
Puisi cinta

Akan ku ukirkan senyummu
Akan ku lukiskan tawamu
Menjadikan susunan warna
Potret indah

Senyummu
Menusuk dan membelai di kalbu
Cuba kau ukirkan
Cuba kau pamerkan
Menjadi hiasan hidupku.

Friday, May 28, 2010

Berjumpa Kawan Lama

Lebih sepuluh tahun saya tidak mendapat sebarang khabar tentangnya. Kali terakhir berjumpa sewaktu di Perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Hanya bertegur sepatah dua kata, kerana saya pergi bersama teman dan ada urusan yang perlu diselesaikan. 

Dia teman saya di Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya. Sentiasa membantu saya dalam menaip tugasan dalam bahasa Arab, dan sentiasa menasihatkan saya itu-ini dalam pelajaran. Melaluinya saya jadi akrab dengan beberapa pelajar antarabangsa lain. Dia pemerhati dalam diam. Sifat itulah yang saya suka, ada padanya. Masih ingat ketika kami keluar ke Bangsar setelah sama-sama bergelar graduan pada suatu lewat malam, ada mata memerhati dengan tanggapan kurang enak. Maklumlah muslimah bertudung sedang merayau seputar Bangsar kota metropolitan dengan lelaki negro, walaupun saya berteman.

Hari ini kami bertemu secara maya. Dia baru sudah menjalani viva PhDnya di UIAM pagi tadi, dan kini sedang bertugas di Universiti Prince of Songkla. Dia amat gembira bertemu saya, dan berjanji akan melawat saya di Kelantan, kerana sangkanya saya masih berniaga di sana. Pada waktu yang sama, saya sedang berikhtiar mencarinya di UIAM Gombak. Aduh, masa menjarakkan kami... dan ia sering terjadi kepada saya akhir-akhir ini.




Alangkah indahnya jika dapat bertemu dia di UIA Petaling Jaya. Namun apa malangnya, dia akan terbang malam ini. Semoga lagu ini mengembalikan nostalgia kami ketika sama-sama mencari hikmah dan nilai di menara peradaban.

Friday, May 07, 2010

Keluhanku dan Kelohan Dara

Saya sedang marah. Benar-benar marah. Dua tiga kali muat naik gambar ke Facebook saya gagal kerana gelombang yang tak stabil. Semalam apabila marahkan seseorang yang berhujah secara bodoh, saya sejukkan hati dengan bergelak ketawa membaca kartun Maro dan Dee di Utusan Malaysia.

Hari ini saya naik angin lagi. Memang saya mahu mengeluh di pagi yang mula panas terik ini. Namun supaya tidak cepat diserang hipertensi, saya dinginkan perasaan dengan lagu ini. Wan Salman, penyanyi yang lahir dari Pertandingan Bintang Radio tahun 60-an ini berjaya sejukkan hati saya melalui lagu "Kelohan Dara".



Malam bulan sedang mengambang / di angkasa nan terbentang / cahaya sinarnya mula menyinari / alam indah permai

Di desiran angin yang lalu / aku terdengar keluhan / suara merindu, suara merayu / yang menikam kalbu

Wahai si dara jelita / janganlah berputus asa / meskipun apa akan terjadi / kasih tak kembali

Kau masih muda remaja / parasmu cantik jelita / jangan merana dan menderita / carilah gantinya.
.

Wednesday, April 21, 2010

Aku dan Gadis Kecil

.
Sajak Usman Awang ini membuatkan saya terimbau ke tiga dekad lalu. Mungkin gadis yang dimaksudkan Allahyarham Usman Awang sebaya saya. 

Dugaan saya seusia itu hanyalah berjalan empat kilometer pergi-balik ke sekolah. Terkadang ketemu orang gila yang menunjukkan "anu"nya, penagih dadah, anjing dusun dan pelbagai momokan cerita hantu di dusun. 

Balik dari sekolah, menemani ayah berkebun. Tanam sawi atau semangka atau tembakau. Dugaan saya hanyalah menahan geli akan ulat dan cacing, atau kepenatan mengandar air dari telaga nun jauh di lembah untuk menyiram tanaman pada musim panas yang membuatkan kaki terkadang melecur, atau mengandar berkilo-kilo tembakau sambil berjalan atas tanah berpasir ke dalam bangsal. Mungkin kerana itu saya kurang kreatif dan berjaya berbanding sesetengah orang. 

Sungguh, manusia yang punya jiwa besar itu lahir dari dugaan yang besar. Bak intan yang terhasil dari asakan dan tekanan.

GADIS KECIL

Tubuh itu mengingatkan daku
sebatang pinang di desa sepi
kurus dan tinggi
ketika ribut besar
pohon sekitarnya rebah terkapar
dan pohon pinang tegak menanti
sinar mentari pagi

Demikianlah gadis kecil itu
kurus seperti sebatang pinang
bertahun berulang-alik melalui
penjara kawat duri menemui
ayahnya yang bertahun pula sendiri
menentang tiap penderitaan
tabah dan beriman.

Gadis kecil itu mengagumkan daku
tenang dan senyuman yang agung
dengan sopan menolak pemberianku
'saya tak perlu wang, pak cik,
cukuplah kertas dan buku.'

Usianya terlalu muda
jiwanya didewasakan oleh pengalaman
tidak semua orang mencapai kekuatan demikian
ketabahan yang unik, mempesonakan.
 
Bila aku menyatakan simpati dan dukaku
rasa pilu terhadapnya
sekali lagi dia tersenyum dan berkata:
'jangan sedih, pak cik, tabahkan hati
banyak anak-anak seperti saya di dunia ini.'

Aku jadi terpaku
dia, si gadis kecil itu menenteramkan
mengawal ombak emosiku
jangan sedih melihat derita pahitnya. 

Alangkah malunya hati seorang lelaki dewasa
yang mahu membela manusia derita terpenjara
menerima nasihat supaya tabah dan berani,
dari anak penghuni penjara sendiri?

Sepuluh anak seperti dia
akan menghapuskan erti seribu penjara.
.

Cinta 3

.
Permulaan cinta 
adalah membiarkan
orang yang kamu cintai
menjadi dirinya sendiri,
dan tidak merubahnya
menjadi gambaran 
yang kamu inginkan.
Jika tidak, 
kamu hanya mencintai
pantulan diri sendiri
yang kamu temukan 
di dalam dirinya.

Friday, April 16, 2010

Dipaku Writer's Block

.
Ilham datang mencurah, namun saya tidak berdaya menggubahnya menjadi karangan yang indah. Bagai tikus melihat besi, atau lelaki impoten digoda wanita jelita; saya cuba mencucuk diri sendiri dengan sejumlah majalah. Masih juga abjad tidak mahu memesrai saya. Selalu teman sebilik berpesan, cubalah baca buku jika diserang virus writer's block. Itulah yang selalu dia amalkan. Saya banyak kali mencuba, dan berhasil. Namun kali ini, saya jadi tikus tak bergigi, malah mahu gigit buku pun belum tentu berhasil.

Saya tidak mahu kalah. Kali ini mencuba lagi. Lagu ini sedikit sebanyak memberi mood kepada saya. Saya membayangkan sebuah malam yang indah, purnama yang menyuluh kajang di atas pangkin kayu di halaman, bertemankan kopi tanpa gula. Moga bayu malam yang berhembus menerbangkan kembali sejumlah abjad yang pergi daripada saya. Aduh, bagaimana membayangkan malam nan indah di tengah terik mentari Jumaat ini! Insan seni mampu lakukan itu, getar suara dari dalam. 



Saya senyum girang mendongak bulan pada tengahari garing.

pinggiran Putrajaya
.

Thursday, April 08, 2010

Kenangan dan Getah Pemadam

.
Aku terimbau. Sewaktu kanak-kanak aku tidak suka memiliki pemadam atau liquid paper. Kerana bagiku kesilapan hanya perlu digaris, dan dicatat yang betul di atas atau ditepinya. Biar aku sentiasa berawas dengan kesilapan itu dan tidak mengulanginya. Dan supaya kita jujur pada diri bahawa sebagai insan kita pernah tersilap.

Teringat lagi, kata cikgu, budak-budak yang belum ke sekolah menengah hanya boleh gunakan pensil. Senang dipadam dengan pemadam getah. Kalau pen sukar dipadamkan. Kanak-kanak sekolah rendah selalu menulis salah, hanya layak pakai pensil. Kalau silap tulis pakai pen, kena guna liquid paper. Susah, mahal dan kena tunggu kering dulu baru tulis semula; semua itu ambil masa. Kataku, pen atau pensil; guna saja garisan. Tak payah pemadam atau liquid paper.

www.jiwakejiwa08.blogspot.com

* Alangkah leganya jika semua kenangan boleh sirna hanya dengan getah pemadam.

Pinggiran Putrajaya
.

Tuesday, March 30, 2010

Cinta2

.
.
Cinta tidak pernah meminta,
ia sentiasa memberi,
cinta membawa penderitaan,
tetapi tidak pernah berdendam,
tak pernah membalas dendam. 
Di mana ada cinta 
di situ ada kehidupan; 
manakala kebencian 
membawa kepada kemusnahan. 
~ Mahatma Ghandi
.

Sunday, March 28, 2010

Cinta

.  
Cinta bukan mengajar kita lemah,
tetapi membangkitkan kekuatan.
Cinta bukan mengajar kita
menghinakan diri,
tetapi menghembuskan kegagahan.
Cinta bukan melemahkan semangat,
tetapi membangkitkan semangat.
-Hamka

Saturday, March 20, 2010

Bersama Mengucup Purnama

.























Ketika jemari mentari angkuh melarikan embun bahagiaku
mimpi terpelanting ke batas sedar
dan aku edan kesmaran mengejar bayangmu
yang semakin menjauh pada petang yang habis
dan cerah yang layu di simpang waktu.

Tidak mahukah kau membawa aku pergi
bersama, walau sesaat paling tidak
dalam malam yang memeluk diri
berganding mengucup purnama?

Pinggiran Putrajaya
petang: 6:40

Thursday, March 18, 2010

Panah-Panah Rindu

.
Sudah dua hari cuaca buat hati saya dipanah rindu. Sungguh parah merindui seseorang pada hari yang terang, dengan angin kering yang berhembus sekali-sekala dan sesekali bunyi burung-burung kecil yang cuba hinggap pada liukan ilalang.

Ramai yang ketawa tatkala saya nyatakan saya merindui orang di sisi. Selalunya manusia merindu pada yang jauh di mata. Sungguh, saya sedang merindu, dalam cuaca yang bukan sedikit mendera.

Sambil makan tengahari, sempat saya mencoret gelodak hati menggunakan tangan kiri.

Sayang,
angin yang menampar wajah
adalah belaianmu penuh kasih
dan jemari mentari yang mencengkam tubuh
adalah rindu yang memijarkan kenangan;
sungguh, aku rindu
wajah pertama kali menyentuh indera
terus ke kalbu.

Petang, 1:44, suaranya menerpa gegendang. Seusai berbual di talian, rindu semakin menghunjam. Alunan lagu "Penawar Rindu" oleh Razis Ismail dari Klasik Nasional makin menambah pilu rindu. Ah, bagaimana ingin saya cabut panah-panah rindu yang menikam kalbu!


Jangan dikirimkan rindu
Kepada angin sedang lalu
Takkan boleh kirimanmu
Menghibur hatiku nan pilu

Jika direnungkan bulan
Terbayang peristiwa dulu
Jika datangnya kenangan
Menambahkan pilu di kalbu

Hati diracunkan cinta
Melarat bila kau menjauh

Hanya penawarnya pelukan asmara
Berdamping berdua bersama

Pulanglah kekasihku pulang
Bawalah penawar merindu
Jangan dikirim berita
Datanglah bertemu semula

Pinggiran Putrajaya
.

Wednesday, March 17, 2010

Kuih-Muih dan Anak di FB

.
Terdapat beberapa komen di Facebook berkaitan tulisan saya pada dinding FB yang dipetik dari blog ini. Ramai yang menyokong apa yang saya tulis, kerana sudah lama mengetahui; serta menyertai FB secara berwaspada, tak kurang juga yang menyalahkan pasangan yang bercerai kerana hubungan yang rapuh.

Saya percaya, ubat yang disediakan Islam kepada umatnya amatlah mujarab kerana sistem atau garis panduan yang ditetapkannya sentiasa pandang ke hadapan, dan mendahului segala kajian dan andaian tentang sesuatu petaka atau fitnah, atau dalam apa jua situasi.

Pemuka Yahudi pula suka umat Islam menangisi pepatah "sudah terantuk baru tengadah". Atau tidakkah kita terfikir, betapa banyak masa yang dihabiskan di depan skrin sekadar membicarakan tentang kuih-muih dan anak-anak yang sedang buat itu-ini? Hal itu sahajakah yang ada dalam aktiviti seharian kita?

Kita banyak bergantung kepada produk Yahudi, kerana kelemahan Muslim; bukan kerana kekuatan mereka. Maka, perangilah ia semampu yang boleh; dengan kuasa, atau dengan lidah, atau selemah-lemah cara iaitu dengan hati. Jangan pula kita hanyut kerana arus deras silaturrahim yang dilimpahkan Yahudi dari hulu hiburan.

Saya pun sedang menghadam tulisan ini http://izisfm.wordpress.com/2010/02/24/facebook-alat-mata2-yahudi/, semoga dapat sama-sama memikirkannya.
.

Tuesday, March 16, 2010

Cerai Kerana Facebook

.
Mula-mula saya tidak percaya tentang laporan kawan blogger yang mendedahkan tentang kesan negatif Facebook. Menurut laporan yang diperolehi melalui kajian tentang FB, ramai pasangan yang berpisah kerana pasangan yang curang, dan segala macam onar yang berpunca dari laman sosial yang semakin digilai pelbagai lapisan masyarakat. Sesibuk manapun seseorang itu, masih sanggup mengorbankan masa semata-mata tidak mahu ketinggalan zaman atau dicop jakun.

Namun sebaik mengetahui ada pasangan yang rumahtangganya bagai retak menunggu belah tidak sampai sehari mendaftar dengan FB, saya mula yakin; FB berjaya dengan rancangannya.

Friday, March 12, 2010

Kerja Seni-Nya

.
Saya sedang membaca entri "Menuju ke sana.. " dalam blog Ummu Hani sewaktu rakan menelefon. Dia cemas dengar sedu-sedan saya, dan suara saya yang tertahan-tahan. Cepat dia bertanya, apa masalah saya kali ini. Dia bimbangkan saya yang keseorangan.

"Saya sedang baca entri rakan penulis. Saya terharu, sebak dan rasa kagum dengan kerja seni Tuhan, perencanaan yang tidak pernah kita fikirkan."

Saya merujuk kepada kisah pernikahan Ummu Hani dan suaminya.

Sememangnya cerita Ummu tentang pernikahannya mampu mengundang sebak. Saya dapat rasakan betapa syukurnya Ummu pada angerah Tuhan kepadanya. Sungguh Tuhan itu Maha Mendengar, makanya hamba wajib berbaik sangka pada-Nya. Apatah lagi kami berkongsi zodiak, tarikh lahir Ummu pada 2 Januari,  sehari selepas saya. Terasa kisahnya amat dekat dengan saya. Dan saya amat ingin tahu tarikh lahir pilihan hati Ummu.

Dalam sedu, saya sempat juga tersenyum apabila Ummu menulis 16 Dis 2009 - 16 Dis 2010 dengan rujukan sebulan pernikahannya. Pasti bahang cinta pasangan itu membuatkan Ummu fana pada kiraan bulan. Ummu, itu setahun. Sepatutnya 16 Dis 2009 - 16 Januari 2010. Itulah kuasa cinta, bukankah Ummu?

"Kisah macam itu pun awak menangis? Saya sangkakan kawan awak meninggal!" Dia seterusnya membebel, "telefon semalam, cakap nangis baca novel. Minggu lepas, menangis baca surat khabar. Orang menangis sebab sedih..."

Tangis saya semakin kuat. Dia cemas lagi; adakah bebelannya buat saya terasa?

"Bukan, aku terharu sebab aku masih punyai jiwa dan rasa!" Balas saya seraya ketawa.

"Huh, tak faham saya dengan orang sastera!" Saya ketawa semakin kuat.

Tahniah untuk Ummu Hani dan suami, semoga dirahmati dan diberkati.

* Rindukan lelaki yang mendodoikan lagu "Permata" sebelum tidur.

Pinggiran Putra

Thursday, March 11, 2010

Sehelai Daun Yang Gugur

.
Mac 7, 2010, sehelai daun hijau gugur ke bumi kota batu. Saya kurang pasti lokasi tepat. Terakhir saya diberitahu dia masih bermastautin di Puchong. Tatkala menerima khidmat pesanan ringkas dari sahabat di Padang Embun tentang pemergiannya ke sisi Yang Abadi, saya minta nombor telefon isterinya daripada sahabat; bukan saya tidak percaya akan kematiannya, sebaliknya ingin mengucap takziah kepada keluarga allahyarham.

Saya dikhabarkan jenazahnya akan sampai ke Pasir Mas hampir Maghrib; dan saya berada 10 km dari rumah bondanya.  Berkongsi daerah yang sama dalam dua alam berbeza, saya pasti dia telah sampai ke tanah tumpah darahnya tatkala saya bertolak ke Kota Bharu. Saya memilih untuk mendoakan dari jauh, biarpun dia semakin menghampiri. Cuma saya terkilan, saya tidak sempat memaklumkan kepadanya bahawa saya sedang berdiri atas bumi yang sama sewaktu akhir hayatnya.

Saya tidak ingat tarikh tepat kami bertemu, dan tarikh terakhir kami berjumpa. Sesekali pulang ke kampung, dia hanya menjenguk saya di pejabat tanpa saya sedari, dan memaklumkan kepada saya akan warna baju yang saya pakai pada hari itu, dan susut-naik badan saya; setelah dia menjauh dari pejabat - supaya saya tidak berkejar ke luar pejabat dan mencarinya.

Suatu hari dia menelefon, meminta maaf daripada saya dan memaklumkan bahawa dia diserang stroke. Saya katakan, dia tidak bersalah kepada saya, dan saya sentiasa doakan akan kebaikan kepadanya; dikurniakan zuriat yang sangat diinginkannya. Saya tahu dia seorang lelaki yang baik, bersopan santun dan sangat menghormati; walaupun terkadang suka merajuk setiap kali saya menegur sikapnya yang tak kena di mata saya; atau tatkala saya membebel kepadanya kerana membazir duit belikan hadiah untuk saya.

Tidak sangka ujarannya "kalau macam tu biarlah saya mati" yang dirajuknya untuk minta perhatian dan "belas kasihan" saya selama kami berkawan itu dimakbul Ilahi pada tarikh yang tidak pernah saya duga. Pemergiannya dalam usia 38 tahun memberi keinsafan kepada saya; sungguh kematian itu hanya beberapa hasta daripada saya.


Di sini, saya hanya mampu berdoa; semoga roh Syeikh Zyakariman Syeikh Zainuddin dirahmati Ilahi dan mendapat kasih sayang-Nya. Dan sewaktu mengadap Pencipta, saya pasti dia tahu, hanya cinta-Nya yang abadi. 

Thursday, March 04, 2010

Lumba Puisi

.
Pagi, seorang teman blogger menelefon, siap membaca sebuah puisi untuk saya.

Kerana dia sentiasa tak jemu membaca sajak hampir setiap kali berbual, saya terfikir untuk wujudkan satu pertandingan deklamasi puisi dalam talian. 

Barulah dapat dinilai kekuatan vokal, dan persembahan; sama ada seseorang deklamator itu gah atau tidak.

Selama ini kita dengar dan tengok, sekali ini biar kita hanya dengar. Kalau hanya dengan mendengar kita sudah boleh naik bulu roma, tentu kalau lihat gayanya, terus tercabut bulu roma, mungkin! Terima kasih untuk teman tersebut. Saya dapat satu ilham.

Baru sebentar, saya berbual dengan teman di talian maya. Dia minta saya karang sebuah sajak romantis, yang mampu buat bulu romanya berdiri. Kalau boleh macam lirik lagu, tak ada unsur alam, ringkas. Siap bagi contoh; katanya macam lagu "Cinta Sempurna" oleh Yuna. Kalau macam itu, baik tulis lirik, bidas saya. Iya lah, tulis liriklah.

Saya mula gelisah, sudah dua orang teman bercakap pasal puisi. Saya pula ditinggalkan ilham, nun jauh dia merantau. Lazimnya ia pulang dalam keenakan mimpi.

Sebelum undur diri, teman sekali lagi menegaskan, saya kena tulis puisi. Baik, jawab saya. Kita berlumba.

Sewaktu dia minta diri, saya lihat sepasang sayap melintas padang belakang rumah, singgah ke meja tempat saya sedang menaip.


KUCULIK ILHAM DI LUAR MIMPI

Tatkala bulan temaram, kuculik ilham
yang selalu mungkir untuk kembali padaku
setelah pergi sekian purnama, aku bernafas lelah
malam ini, biar ia lena dalam rangkulan abjad
yang telah putus susunannya sejumlah waktu.

Dalam desah nafas kasar ia berperi
tentang perjalanan jauh dan pengembaraan,
beribu batu, dia sering merindui gubahan aksara
dan cumbu rayu di ranjang perasaan
membenihkan puisi dalam rahim kenangan.

Malam ini tak kulepaskan ia pergi
sepasang sayap albatrosnya kuikat rapi
terbaring dalam kamar dinihari
seribu tahun lagi, takkan kupinjamkan ia
menangislah si penyair, ilham kurantaikan
terpasung ia dalam pondok jiwa
milik kami berdua.

Pinggiran Putra
petang: 1:40

Friday, February 26, 2010

Ke Sisi-Nya

.
Saya sentiasa menyambut hari penting dalam kedukaan. Hari ini saya diuji lagi. Kehilangan sahabat yang pernah bersama mencari cinta Ilahi. Penyakit hatinya tidak sembuh.

Satu pesan atau kata hikmah yang dituturkannya sentiasa saya ingat: Sempatkah seseorang yang melempar batu dari gunung turun menyambut batu yang dilemparkannya itu?

Semoga dia dalam rahmat kasih-Nya. "Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali." Itulah setiap kesimpulan kepada setiap persoalan dan permasalahan hidup.

Salawat dan salam ke atas Nabi Junjungan. Benar katamu ya Rasulallah; dunia akhir zaman ini adalah dunia penuh fitnah.

Kota Batu
 

Wednesday, February 24, 2010

Antara Daun dan Bunga

.

Semalam, dalam cuaca membahang saya menunggu seseorang datang menjemput. Pohon semarak api yang jarang daunnya tidak mampu menyembunyikan tubuh kurus saya dari jangkauan jemari mentari.

Memandang pohon semarak api bersetentangan yang sedang memerah bunga, saya terfikir; mengapa begitu bodoh saya berfikir - saya perlu teduhan, bukan daun! Aduh, otak yang cair rupanya masih mengisi fikir yang beku.

Saya menghitung, selalunya kita memilih berteduh di bawah pohon yang lebat DAUNnya, namun dalam situasi sekarang, pohon yang lebat BUNGAnya adalah keperluan saya. Sebelum sempat saya menghindar kebodohan diri dengan menuju ke pohon yang lebat bunganya, dia tiba. 

Melihat muka udang kena bakar saya, dia membebel; "bukankah saya suruh awak tunggu di rumah? Tunggu di rumah. Di rumah, di rumah, di rumah!" Saya meloncat ke atas kenderaan tanpa memandang dia.  Dan dia terus memecut laju ke LCCT. 

Saya isi masa perjalanan dengan membahaskan tentang daun dan bunga. "Sempat lagi fikir dalam panas!" Dia menukas. "Mesti. Sebab tadi dah sempat bodoh!" Kami sama-sama ketawa.

Dia berpusing ke belakang, cuba menarik beg sandang di bahagian duduk penumpang. "Hey, apa guna saya jadi co-pilot, ramai lagi yang masih sayangkan saya. Cuba tumpu pada pemanduan. Eeeeeiiiiiiii!" Tempik yang satu itu selalunya akan buat dia "sedar diri".

Dia mengepit beg sandang yang saya hulurkan, dan mengeluarkan sebuah beg plastik dan menghulurkan kepada saya, dengan sengih nakal. "Tengok depan!" Saya menempik lagi. 

"Bukalah, saya harap awak suka." Kali ini dia bersuara tanpa pandang ke arah saya. Aduh, saya paling tidak suka membuka hadiah depan si pemberi. Dan buat pertama kali, saya terpaksa membukanya. Nasib baik dia masih pandang ke depan. 

"Saya suka, lebih-lebih lagi warnanya." Saya beri komen ringkas. Saya buka kotak pen Cartier, dan menulis "terima kasih" di atas sekeping kertas yang selalu saya bawa, menggunakan pen mata bulat berwarna perak itu. Saya lihat dia sempat mengerling tulisan saya, dan tersenyum. Saya jeda, dan saya lihat keresahan di wajahnya. 

"Itu saja?" Dia bersuara lagi, tanpa berpaling ke arah saya. 

"Kenapa?" Saya balas pertanyaan sambil senyum, dan terus diam. 

"Itu saja?" Dia kelihatan tersentak, sembari menoleh ke riba saya, ke arah plastik, tepatnya. 

"Haaa, tengok depan!" Cepat-cepat dia menekan brek, kereta di depan sehasta jaraknya.

"Ingat, ramai lagi yang sayangkan saya!" Saya ketawa. 

"Cisss!" Dia sengaja melenggang kenderaan. "Mana perginya rantai tangan?" Kelihatan rona mukanya yang kecewa. "Sepatutnya ada dalam beg yang sama." Masih tidak puas hati.

"Rantai?" Saya sengaja bersuara ala-ala "piano?" Ahmad Nesfu. Dia mencuka.

"Ini haa..." Saya menayangkan kotak DeGem, dan menarik cermat keluar seutas rantai tangan. Terkial-kial mengenakannya di tangan kanan.

Berhenti di lampu isyarat, dia membantu saya. Usai terlilit di tangan, kami dihon. 

"Mana nota ucapan Selamat Hari Lahir, tak ada pun? Mana aci bagi barang macam itu saja!" Saya berpura-pura merajuk. Dia jegil ke arah saya sambil memecut jauh dari kenderaan di belakang. 

"Dah tua bangka pun nak kena tulis ucapan Happy Birthday lagi? Gelinya!" Ujarannya selari dengan bahasa badan.
.
"Huh, tak romantik langsung!" Giliran saya pula mencuka. Dia tergedik-gedik, dan menyambung; "itu ucapan zaman tok kaduk".

Dalam perjalanan pulang, kami melalui tasik Putrajaya. Cepat saya halakan telunjuk ke suatu jihat tasik - "Hah, di titik itulah saya buang hadiah untuk awak."

"Nasib baik tak ada penguatkuasa, kalau tidak  sudah tentu kena saman buang sampah dalam tasik!" Dia tidak marah, kerana bukan saya yang bersalah. Sungguh penantian itu satu seksa, dan pada waktu itu ruang penantian saya itu kosong tanpa pengisian. Belum habis baran saya rupanya.

"Saya bukan buang sampah, mana boleh didenda", saya menukas.

"Habis, buang benda yang tidak diperlukan itu apa namanya?" Dia membidas.

"Saya bukan tidak memerlukannya, malah amat memerlukannya untuk dihadiahkan pada awak, tapi saya terpaksa membuangnya kerana awak gagal hadir pada waktu saya begitu mengharapkan. Saya membuang harapan saya, sebenarnya. Bukan sampah." Tegas saya.

Dia diam, dan membelok ke Alamanda. Dia memecut, meninggalkan, tanpa menoleh ke arah saya. Saya  pasti dia lihat saya di belakang dari cermin di sisi kirinya.

Petikan manuskrip "Purnama Di Balik Ara" oleh Rozais al-Anamy

Pinggiran Putrajaya

Saturday, February 13, 2010

Hari Pejuang Bahasa 152

.
Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak pernah berhenti, walaupun pejuangnya ada yang datang dan pergi.
"Bahasa yang sinis tetapi menerkam, gaya yang kadang-kala begitu lurus tetapi menikam meletakkan bahasa Melayu sebagai sebuah tamadun pengucapan yang indah dan intelek”. Dia melereti baris-baris kata terakhir dalam pendahuluan bukunya itu. Pasti nenek bersetuju benar dengan kesimpulan seperti itu.

Dia bertekad untuk membawa neneknya pulang. Biar kata-kata sinis yang dihamburkan dalam bahasa penjajah oleh rakan sebangsa mahupun berlainan bangsa terhadap usahanya memperjuangkan bahasa Melayu selama ini dibalas pula dengan pantun budi bahasa dan gurindam oleh nenek. Dia juga akan menyarankan kepada nenek supaya membaca petikan kata-kata Abdullah Munsyi pada tahun 1882 yang juga dimuatkan dalam pendahuluan buku bagi menggambarkan mentaliti bangsa Melayu terhadap bahasa mereka sendiri.

Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?

Sebuah ketawa kecil terloncat dari mulutnya. “Agak lancang juga buah peri Abdullah Munsyi ini”, gumamnya. Dia bersetuju benar dengan luahan Abdullah itu.

Dia dapat menyelami kekecewaan Abdullah dengan mentaliti bangsa Melayu, apatah lagi bahasa rasmi negara ini telah diperkotak-katikkan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Dia bimbang suatu hari nanti bahasa ini mengalami nasib serupa dengan bahasa bangsa Kurdi yang pupus bersama bangsanya yang kian hari terbakar oleh matahari zaman.

Petikan Cerpen "Pelangi Berjalur Lima", 
Dewan Budaya, November 2008.

Saturday, February 06, 2010

Dari Jiwa Ke Jiwa

.
Setiap kali dengar nasyid ini, saya sering rasa ingin sendiri, menilai diri.

Saya lupa nama kumpulan nasyid itu, tapi antara baitnya:

Hidup ini bagai lampu dinding
yang dinyalakan di malam hari
apabila minyak sudah kering
ia kan pasti padam sendiri.

Hidup ini adalah kembara yang akan tamat hanya di negeri abadi. Selagi kita diperlukan, kita menyala, dan andainya khidmat sudah tidak diperlukan, Dia akan memanggil ke sisi-Nya.

Kamar Jiwa,
Pinggiran Putrajaya
.

Thursday, February 04, 2010

Pohon Jiwa

.

In,
Pohon kasih kita
biar terkadang gugur daunnya
didabrak langkisau duga
tak pernah mati akarnya.

Pinggiran Putrajaya

Tuesday, January 26, 2010

Tahniah Mingguan Malaysia

.
Saya sengaja memeram respon terhadap rencana AJL 24 unsur illuminati? oleh Syed Mussaddad Mahdi dalam Pancaindera, Mingguan Malaysia pada halaman 8 dan 9 bertarikh 24 Januari lepas kerana tidak mahu terpengaruh oleh emosi.

Sejak dahulu lagi banyak majlis anugerah hiburan tanah air sering tersasar dari nilai-nilai moral dan budaya Melayu, dari kacamata Islam pula, usah cakaplah; awal-awal lagi menyeleweng.

Ucapan para penerima anugerah yang klise seperti "Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah atas rezeki halal ini" cukup buat saya mengeleng dan beristighfar panjang; terfikir betapa jahilnya para artis yang baru sahaja melalak tadi. Baik saja kalau setakat sebut, "saya gembira atas kejayaan ini." Taklah nampak dangkal dan jahil murakkab sangat.

Ada pula yang teruja sangat atas anugerah yang diterima sehingga rasa terawang-awang tatkala nama disebut, dan kerana mengamalkan tabiat yang tidak berbudaya sebelum ini; terus berlaga pipi dengan bukan mahram atas alasan hormat dan balas jasa guru. Itupun nasib baik mengaku bersalah, walaupun masih ada "but", kononnya dah biasa buat macam itu, dan dah anggap mak anak.

Amboi senangnya, kalaulah semua pakai alasan bodoh macam itu, habislah jahanam institusi kekeluargaan atas muka bumi ini. Seorang remaja lelaki boleh tidur dengan wanita atas alasan dah anggap mak sendiri, seorang murid boleh peluk ustaz atas alasan dah anggap macam ayah dan macam-macam alasan jahiliah lagi boleh menghalalkan tindakan tidak berbudaya ini.

Inilah petakanya apabila budaya dipijak oleh bangsa sendiri. Ia bermula dengan pelanggaran budaya yang dipandang remeh oleh masyarakat seperti bersalam dengan bukan mahram (salam sosial) yang sudah membudaya dan berakar dalam masyarakat kita. Budaya sumbang ini berlaku dalam hampir kesemua majlis dan pertemuan sosial seperti kenduri kahwin (malah majlis tahlil sekalipun); tak kira majlis anjuran pihak yang bertanggungjawab menjaga budaya bangsa, majlis akademik yang dihadiri oleh cendekiawan, apatah lagi majlis hiburan.

Sebaliknya mereka yang tidak bersalam pula dianggap tidak hormat majlis atau memalukan pihak penyampai anugerah. Kalau cara bersalam itu betul, berbaloilah juga dengan "dosa kering"  yang ditanggung, sebaliknya mereka hanya setakat sentuh sebatang jari pun tak apa. Budaya apalah agaknya, walhal mereka yang mengamalkan budaya songsang ini tak kurang "besar"nya di sesebuah institusi atau organisasi. Dalam hal ini Malaysia yang agama rasminya Islam lebih mundur budayanya berbanding Thailand yang mengamalkan amalan ber "sawadhi kaap" tatkala bertemu atau menyambut tetamu.

Lama-kelamaan ia sudah dianggap halal dan mereka yang alpa budaya ini menerima pakai nya sebagai budaya baru untuk diamalkan. Istilah "budaya" itu sendiri  malah tidak difahami, walhal pihak terbabit terdiri daripada kalangan mereka yang memperjuangkan budaya dan bangsa.

Kemudian, tidak cukup bersalam, amalan jahil seperti berlaga pipi tatkala bertemu (cium sosial) sebagaimana diamalkan di Hollywood pula diserap ke dunia hiburan tanah air. Beberapa isteri pemimpin pun ikut terbawa-bawa dengan amalan jahiliah ini, mengesahkan kepada artis bahawa perilaku mereka itu benar dan disokong oleh ikon negara. Betapa berjayanya jarum Yahudi yang dicucuk masuk dalam pengamalan "budaya" secara tidak langsung ini.

Benarlah pesanan "Yahudi itu mahu Muslim mengikut mereka hasta demi hasta". Mereka tahu umat Islam masih sensitif jika Islam diserang secara berdepan dan nyata, maka mereka mengheret dengan cara mencucuk hidung mereka dengan tali hiburan. Dan tatkala mereka sudah alpa dan "high", senanglah untuk mereka meneruskan makar dan tindakan seterusnya, sehasta lagi. Lama kelamaan, satu demi satu amalan mereka diterima sebagai "budaya" yang betul, sekaligus mengalih kiblat umat Islam dengan tanpa disedari.

Pendedahan oleh Sufian dalam laman blognya dan rencana oleh Syed Mussaddad amat berfaedah sebagai titik sedar kepada mereka yang terpesong dari budaya bangsa dan ajaran Islam. Sewaktu menonton dokumentari The Arrivals, saya mendoakan agar pemimpin di Malaysia dan seluruh dunia cepat sedar dan berbuat sesuatu untuk membanteras serangan akidah yang telah lama merosakkan dunia ini.

Ia sebenarnya bukan dibincangkan hanya hari ini oleh segolongan pihak yang telah lama sedar dengan fenomena ini, namun seringkali mereka yang mendedahkan hal ini "dibunuh" dan lenyap begitu sahaja oleh pihak-pihak yang telah "dibeli" oleh pertubuhan Freemason ini.  Bukan tidak ada mereka yang mendedahkan tentang bangunan-bangunan dan pusat beli belah yang menjadi sumber tenaga kepada pertubuhan yang bermatlamat menguasai dunia ini, namun apabila kuasa dan harta jadi buruan, agama rela disepak terajang oleh pihak bertanggungjawab menjaga akidah dan budaya bangsa.

Jika diikuti siri-siri pembunuhan ikon (character assasination) oleh pertubuhan ini sebelum ini, pasti kita sedar yang kita sekarang di ambang bahaya. Maka, tidak hairanlah seandainya selepas ini ada pihak-pihak tertentu yang terlibat dalam penyiaran rencana ini  "diajar" secukupnya oleh pihak-pihak yang panas punggung oleh pendedahan berani mati ini.

Saya amat berbangga dengan sifat bertanggungjawab Sufian yang mendedahkan perkara ini dan juga keberanian Syed Mussaddad  yang memilih isu ini secara terbuka. Kepada Mingguan Malaysia, saya harap terus tegar dalam menyuarakan kebenaran walaupun mungkin pelbagai respon akan diterima selepas ini. Setidak-tidaknya ia sedikit sebanyak menebus semula "dosa" dan "keterlanjuran"nya yang bukan sedikit merosakkan budaya Melayu dengan gambar-gambar artis yang seksi dan tidak cukup kain melalui Pancaindera. 

Saya juga mendoakan agar Sufian dan sahabatnya serta mereka yang mendedahkan isu ini dalam perlindungan Allah, kerana perencanaan Allah itu mengatasi segala perencanaan manusia.

Pinggiran Putrajaya


Saturday, January 23, 2010

Tetap Di Jiwa

.
Ilustrasi disalin dari www.lingkaranalam.blogspot.com

Saya sering ditanya, kenapa suka laut dan pantai? Saya tidak pasti jawapan yang tepat. Yang mampu saya katakan ialah laut penuh rindu. Anginnya saja cukup buat saya ngilu, dan sering membawa saya ke ruang fikir dan rasa yang hebat. Yang pasti, saya membesar dengan usapan angin pantai dan canda ombak.

Mungkin kerana kecintaan saya yang keterlaluan terhadap laut, maka Tuhan sentiasa campakkan saya jauh dari pantai dalam fasa kehidupan seterusnya. Selepas habis belajar, saya tidak sempat menikmati pantai Terengganu, terus berkelana ke Tanah Serendah Sekebun Bunga. Pasir Mas agak jauh dari Pantai Cahaya Bulan. Dan saya akur sewaktu terdampar di Padang Embun. Selalu saya berseloroh dengan diri; percik air laut yang kudamba, embun pula yang menitis. Saya tidak menjangkakan embun yang menitis itu hanya sempat menjamah jiwa raga selama lebih kurang tiga tahun sahaja. Tanah sawah belakang rumah saya tinggalkan pada suatu hari dengan jiwa berdarah.

Saya kembara lagi, kali ini ditakdirkan menghirup udara bukit, pada sebuah mandala sepi yang nyaman bayu. Entah bila akan kembara lagi, saya serahkan segalanya pada Yang Maha Tahu. Saya sentiasa doakan agar doa dan harapan bonda sewaktu saya turun rumah untuk memulakan hijrah ke fasa seterusnya jadi kenyataan. Bonda harap lima atau enam tahun lagi saya akan kembali jadi anak laut. Oh bonda, kalau hidup semudah yang kita impikan, hari ini juga saya terbang ke sana!

Pinggiran Putrajaya 

Tuesday, January 19, 2010

Cinta Puncak Sagarmatha


Pada 26 Jun 2007, saya tidak naik pentas untuk menerima Hadiah Utama Kategori Cerpen Remaja, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxonmobil 2006 (HSKU 2006) bagi cerpen Cinta Puncak Sagarmatha. Sebelumnya, sewaktu ditanya oleh Ku Seman Ku Hussain yang menyiarkan cerpen tersebut di Mingguan Malaysia, saya mengesahkan kehadiran saya.

Saya bukan berbohong kepada beliau, namun kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa mengirim wakil. Dan sewaktu pertama kali bertemu beliau di sebuah majlis di Kota Bharu pada Mei 2008, saya serba salah untuk menjawab pertanyaan beliau tentang ketidakhadiran saya. Rasa bersalah pun ada, seolah-olah saya menipu orang yang baru saya bersua mukanya.

18 Januari 2010, Cinta Puncak Sagarmatha sekali lagi menduga saya, seolah menagih janji yang belum langsai. Saya teragak-agak untuk percaya saat sahabat saya memaklumkan kami menerima emel dari pihak DBP yang menyatakan cerpen CPS terpilih untuk menerima hadiah bagi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007. Semenjak menghantar borang penyertaan, saya melupakan terus penyertaan tersebut. Sebaik menyemak fail karya, baharulah saya sedar bahawa saya pernah menyertai pemilihan HSPM tersebut.

Akhirnya saya simpulkan, Tuhan mahu saya faham "ujian-Nya". Sewaktu awal pembabitan saya dalam mandala sastera, saya teramat ingin "Renyai di Rendezvous" saya terpilih untuk HSPM, namun kecewa, teramat kecewa. Sewaktu saya tidak meletak harapan tinggi kali ini, ia datang tanpa diduga. Sungguh Tuhan Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita.

Kerana itu jugalah saya tidak bersetuju dengan sebahagian doa pada malam penyampaian hadiah tersebut, tatkala pembaca doa mengistilahkan yang tidak terpilih untuk menerima hadiah sebagai "mereka yang tidak menang". Saya rengsa dengan perkataan tersebut. Bagi saya lebih tepat kalau ia dipanggil "kepada yang tidak terpilih karyanya kali ini" kerana HSPM bukanlah medan pertarungan antara menang dan kalah, tetapi tempat insan bersyukur dan redha dengan kuasa Allah.

Kerana itu jugalah, setiap kali cerpen saya tidak terpilih untuk dianugerahkan sebarang hadiah pada mana-mana sayembara atau hadiah, saya tidak pernah menganggap saya kalah atau yang terpilih karyanya itu sebagai menang. Sebaliknya, saya sentiasa bersyukur kerana Tuhan memberi saya peluang untuk menilai diri dan menganalisia minda dan pemikiran juri. Bukankah keindahan itu subjektif?


Pinggiran Putrajaya