Mac 7, 2010, sehelai daun hijau gugur ke bumi kota batu. Saya kurang pasti lokasi tepat. Terakhir saya diberitahu dia masih bermastautin di Puchong. Tatkala menerima khidmat pesanan ringkas dari sahabat di Padang Embun tentang pemergiannya ke sisi Yang Abadi, saya minta nombor telefon isterinya daripada sahabat; bukan saya tidak percaya akan kematiannya, sebaliknya ingin mengucap takziah kepada keluarga allahyarham.
Saya dikhabarkan jenazahnya akan sampai ke Pasir Mas hampir Maghrib; dan saya berada 10 km dari rumah bondanya. Berkongsi daerah yang sama dalam dua alam berbeza, saya pasti dia telah sampai ke tanah tumpah darahnya tatkala saya bertolak ke Kota Bharu. Saya memilih untuk mendoakan dari jauh, biarpun dia semakin menghampiri. Cuma saya terkilan, saya tidak sempat memaklumkan kepadanya bahawa saya sedang berdiri atas bumi yang sama sewaktu akhir hayatnya.
Saya tidak ingat tarikh tepat kami bertemu, dan tarikh terakhir kami berjumpa. Sesekali pulang ke kampung, dia hanya menjenguk saya di pejabat tanpa saya sedari, dan memaklumkan kepada saya akan warna baju yang saya pakai pada hari itu, dan susut-naik badan saya; setelah dia menjauh dari pejabat - supaya saya tidak berkejar ke luar pejabat dan mencarinya.
Suatu hari dia menelefon, meminta maaf daripada saya dan memaklumkan bahawa dia diserang stroke. Saya katakan, dia tidak bersalah kepada saya, dan saya sentiasa doakan akan kebaikan kepadanya; dikurniakan zuriat yang sangat diinginkannya. Saya tahu dia seorang lelaki yang baik, bersopan santun dan sangat menghormati; walaupun terkadang suka merajuk setiap kali saya menegur sikapnya yang tak kena di mata saya; atau tatkala saya membebel kepadanya kerana membazir duit belikan hadiah untuk saya.
Tidak sangka ujarannya "kalau macam tu biarlah saya mati" yang dirajuknya untuk minta perhatian dan "belas kasihan" saya selama kami berkawan itu dimakbul Ilahi pada tarikh yang tidak pernah saya duga. Pemergiannya dalam usia 38 tahun memberi keinsafan kepada saya; sungguh kematian itu hanya beberapa hasta daripada saya.
Di sini, saya hanya mampu berdoa; semoga roh Syeikh Zyakariman Syeikh Zainuddin dirahmati Ilahi dan mendapat kasih sayang-Nya. Dan sewaktu mengadap Pencipta, saya pasti dia tahu, hanya cinta-Nya yang abadi.
No comments:
Post a Comment