Saya sedang membaca entri "Menuju ke sana.. " dalam blog Ummu Hani sewaktu rakan menelefon. Dia cemas dengar sedu-sedan saya, dan suara saya yang tertahan-tahan. Cepat dia bertanya, apa masalah saya kali ini. Dia bimbangkan saya yang keseorangan.
"Saya sedang baca entri rakan penulis. Saya terharu, sebak dan rasa kagum dengan kerja seni Tuhan, perencanaan yang tidak pernah kita fikirkan."
Saya merujuk kepada kisah pernikahan Ummu Hani dan suaminya.
Saya merujuk kepada kisah pernikahan Ummu Hani dan suaminya.
Sememangnya cerita Ummu tentang pernikahannya mampu mengundang sebak. Saya dapat rasakan betapa syukurnya Ummu pada angerah Tuhan kepadanya. Sungguh Tuhan itu Maha Mendengar, makanya hamba wajib berbaik sangka pada-Nya. Apatah lagi kami berkongsi zodiak, tarikh lahir Ummu pada 2 Januari, sehari selepas saya. Terasa kisahnya amat dekat dengan saya. Dan saya amat ingin tahu tarikh lahir pilihan hati Ummu.
Dalam sedu, saya sempat juga tersenyum apabila Ummu menulis 16 Dis 2009 - 16 Dis 2010 dengan rujukan sebulan pernikahannya. Pasti bahang cinta pasangan itu membuatkan Ummu fana pada kiraan bulan. Ummu, itu setahun. Sepatutnya 16 Dis 2009 - 16 Januari 2010. Itulah kuasa cinta, bukankah Ummu?
"Kisah macam itu pun awak menangis? Saya sangkakan kawan awak meninggal!" Dia seterusnya membebel, "telefon semalam, cakap nangis baca novel. Minggu lepas, menangis baca surat khabar. Orang menangis sebab sedih..."
Tangis saya semakin kuat. Dia cemas lagi; adakah bebelannya buat saya terasa?
"Bukan, aku terharu sebab aku masih punyai jiwa dan rasa!" Balas saya seraya ketawa.
"Huh, tak faham saya dengan orang sastera!" Saya ketawa semakin kuat.
Tahniah untuk Ummu Hani dan suami, semoga dirahmati dan diberkati.
* Rindukan lelaki yang mendodoikan lagu "Permata" sebelum tidur.
Pinggiran Putra
No comments:
Post a Comment