Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Tuesday, January 27, 2009

Buku, Asyura dan Sehidangan Kenangan

.

Hari ini saya mula membaca kembali selepas beberapa purnama tidak membelek buku. Saya banyak berhutang dengan minda, setelah sekian lama memperuntukkan masa kepada jiwa.

.

Beberapa bulan lalu, saya menumpukan masa memperbaiki bahasa, kerana saya fikir saya perlu berbuat sesuatu atas teguran dan kritikan sebilangan besar rakan penulis. Mereka berpendapat karya saya kontang emosi dan bahasa saya terlalu polos, dan hal ini akan menjejaskan nilai estetika karya. Kata mereka lagi, sesuatu karya berat hendaklah diseimbangkan dengan langgam bahasa yang menarik supaya pembaca tidak berasa seolah-olah dipikulkan beban di pundak sambil mendaki bukit.


Saya sangat-sangat rindu untuk mencapai novel buat permulaan, tetapi apabila melihat deretan hutang yang belum langsai, saya pujuk diri untuk menerima buku ilmiah. Kalau nanti Blue Ocean Strategy, Marketing 101 dan Fadhilat Amal meminta hutang mereka yang tertangguh, apa alasan harus saya beri? Saya renung, dan renung lagi barisan buku yang sengaja saya kuarantinkan dalam kamar tulis. Saya mahu memujuk hati, hanya itulah baki buku yang belum habis saya baca – sedangkan dalam kamar satu lagi, berderet buku menunggu giliran. Aduh!




Antara ketiga-tiga buku tersebut, terselit Ratib 1000 Syair, Kamus Dewan Edisi Tiga, Sentuhan Midas, Salahuddin Penakluk Jerusalem dan beberapa buah diari. Nasib baik Ratib setebal hampir dua inci, hadiah seorang teman telah khatam dibaca, dan Kamus Dewan pula bertahun dulu, telah saya selak dari awal hingga kulitnya.

.

Akhirnya, saya pilih Sentuhan Midas yang tebalnya hampir seinci. Baru sahaja dua muka surat saya selak, perut pula berkeroncong. Kalau novel yang sedang dibaca, sudah tentu saya biarkan sahaja perut bernyanyi, tak kiralah heavy metal sekalipun, saya tetap akan habiskan bacaan dahulu. Sebagaimana saya mengkhatami The Missing Piece karya Fatimah Busu, bermula Isya’ santak ke Subuh. Tetapi, Sentuhan Midas perlukan penelitian mendalam, apatah lagi ia adalah bahan untuk karya yang bakal saya hasilkan nanti. Nampaknya saya terpaksa mengalah kepada tuntutan perut.

.

Nasib baik dalam peti masih ada bubur asyura pemberian Cik malam tadi, yang sudah berubah wajahnya. Kalau malam tadi saya dijamu bubur yang masih panas dan agak cair, hari ini bubur bertukar jadi kuih. Sambil makan, saya menyambung bacaan. Namun sempat lagi fikiran merayau ke masa silam.

.

Terimbau kenangan zaman kanak-kanak, gotong-royong penduduk kampung memasak bubur asyura mengisi benak. Kami awal-awal lagi menyediakan tempurung kelapa yang dikikis dengan “pisau mesin” (pisau sepuluh sen) supaya tempurung kepala jadi licin berkilat, dan menunggu di tepi kawah-kawah berisi campuran beras, daging, ayam, ubi, rempah asyura dan pelbagai rempah ratus lain. Tidak kami hiraukan pekikan orang tua yang menyuruh kami menjauhkan diri daripada kawah dan puntung kayu api yang sedang membara. Kami sering diugut oleh ibu-ibu kami, “nanti kalau jatuh dalam kawah, boleh jadi rencah. Macam budak kampung sebelah.”

.

Sebaik sahaja bubur masak, kami berebut tadah tempurung. Macam kanak-kanak Afrika mengerumuni khemah bantuan makanan. Saya selalu mendahului, kerana hanya saya perempuan di kalangan rakan. Dengan alasan “tengok muka aku ni, merah padam oleh bahang api. Macam udang kena panggang.”

.

Dan kalau permintaan saya tidak dilayan, saya akan menyambung, “tempurung aku punya paling licin, jadi kiranya akulah pemenang.” Nasib baik alasan itu diterima mereka, kerana sememangnya sewaktu menunggu bubur asyura menggelegak, kami turut mengatur pertandingan tempurung terlicin dan sudu paling cantik (diperbuat daripada daun palas atau takikan kulit kelapa muda). Dan selalunya saya pemenang untuk kategori itu.

.

Kami dan penduduk kampung akan menikmati bubur asyura dalam tempurung dengan riuh ketawa dan gurauan sesama. Tidak ada yang menggunakan pinggan mangkuk kaca, hanya tempurung itulah saja. Acara makan bubur asyura dalam tempurung sambil tercokoh di tepi kawah sebaik ia masak sudah jadi budaya kampung kami. Seperti acara memijak anggur tuaian pertama dalam cerita A Walk In The Clouds.



Usai acara tersebut, barulah bubur tersebut diisi ke dalam talam dan bekas untuk dibawa pulang oleh penduduk kampung. Kami pun mula beredar dengan talam berisi bubur, yang akan membeku petang nanti, dan bertukar menjadi kuih.

.

Kenangan waktu kecil masih segar dalam benak saya. Insiden “tempurung bersabut” dalam acara makan bubur yang masih tidak boleh saya lupakan hingga kini ialah sewaktu kami sedang asyik menikmati bubur, seorang pakcik yang kurang waras ketawa berdekah-dekah. Penduduk kampung terkejut oleh ketawanya yang lantang dan bertanya kepadanya.

.

Dalam ketawa yang masih berbaki, pakcik “tiga suku” tersebut bertanya kepada kami, “tempurung siapa paling licin?” Masing-masing tilik tempurung sendiri, dan mengaku milik masing-masing paling licin dikikis.

.

Seorang makcik yang paling hampir dengan pakcik tiga suku, tercokoh di tepi kawah angkat tangan. “Aku punya paling licin”, dakwanya.

.

Makcik yang pada tahun-tahun sudah sentiasa memilih tempat di sisi kawah, jauh dari kaum ibu yang agak sopan bertenggek di batang kelapa tumbang, yang sanggup duduk tercokoh tepi kawah supaya senang mahu tambah bubur - menjadi subjek tumpuan kami.

.

“Allah Tuhan Kaya!” Mata kami terbeliak. Ada kaum ibu yang menutup mata suami dan anak mereka dengan telapak tangan.


Pakcik tiga suku makin bergema ketawanya.

.

“Engkau punya paling bersabut!” Sambil menghala telunjuknya ke arah kain makcik tadi yang telah terburai.

.

Menjejak kaki ke universiti, acara memasak bubur asyura masih lagi dapat dinikmati. Cuma setiap kali Muharram tiba, mulalah warga universiti pelbagai negeri tidak habis-habis memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan kemelut bubur asyura. Biasanya warga terbahagi dua; penyokong resepi asyura hitam berempah dari Pantai Timur dan penyokong asyura bubur manis kuning dari utara. Dua resepi yang amat berbeza. Kami seolah-olah terbahagi kepada pengikut Sunni dan Syi’i, dengan barisan kitab hujah sendiri. Tiada kompromi!

.

Seperti cerita Datuk A. Kadir Jasin dalam entrinya hari ini, orang Terengganu dan utara memang ada saja bezanya.

.
Orang Terengganu dengan orang Kedah memang “tak boleh setuju”. Di Kedah, banyak perkataan yang berakhir dengan “ng” disudahi dengan “n” sahaja. Maka kucing jadi kucin, pening jadi penin dan kuning jadi kunin.

Sebaliknya di Terengganu, banyak perkataan berakhir dengan “n” disudahi dengan “ng”. Maka makan jadi makang, ikan jadi ikang dan jalan jadi jalang.

Saya ada satu penjelasan saja. Zaman dulu kala orang Terengganu langgar Kedah dan rampas huruf “g” dan bawa balik ke Terengganu. Sebab itulah Kedah kurang “g” dan Terengganu lebih “g”.

.
Akhir sekali, pihak kolej akan putuskan, masak kedua-dua resepi! Dan apabila bubur masak, ternyata bubur Pantai Timur selalu habis dahulu, dan bubur manis kuning sentiasa bersisa.

.

Nah, apa komen orang utara?

.

Padang Embun

Januari 27, 2009 (petang: 5.46)

.

3 comments:

gurindamjiwa said...

Salam Cik Rozais, entri ini sebenarnya menolehkan saya kepada kenangan di kampung halaman, tentang bubur asyura. Di kampung saya di utara bunyi dia lain sikit, orang panggil bubuq sora. Sebab Cik Rozais tanya komen orang utara, saya pun jawab la. Cara buat lebih kurang sama, dan pengalaman zaman kanak-kanak bab bubuq sora ini jangan cakaplah. tak dan matahari naik, depa dah bangkit nak tunggu orang buat bubuq. Tapi masa saya balik la ni, tradisi ini tak dak dah. Budak budak pun tak berapa kenai bubuq sora.

Unknown said...

rozais..

buku - bila hidup berdagang, jauh dari sanak saudara dan rakan taulan.. buku adalah teman, walau acapkali dibuli gangguan mata yang hampir terlena atau keroncong perut yang tak mengenal masa.. namun, santapan minda memang harus di bela
bubur asyura - hampir terlupa bagaimana rasanya..??? apa beza bubur lambuk (dibulan puasa) dan bubur asyura (10 muharam).. bubur yang dimasak ibunda juga sedap tak terkata.
kenangan - itulah kekuatan jiwa, sebagai pengalas kedewasaan.

mama iman said...

Versi selatan lain pula...tuan rumah saya pinjam gambar bubur tempel di blog ye..mohon halal