Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Tuesday, January 20, 2009

Semalam Ku Bermimpi

.
Apabila rindu membara, atau ada resah yang mendekam dalam kalbu, atau ada ketidakpuasan jiwa pada siangnya; pasti kala dinihari segugus rasa itu menjelma jadi mimpi-mimpi, menyelinap lena saya. Semalam, rindu memerah baranya, ditiup angin resah yang mengirim sejumlah kenangan.

Namun kali ini mimpi pun berani engkar; dan kali ini saya syukur dengan keengkaran itu. Saya tidak perlu minta maaf pada seseorang atas kelancangan mimpi saya.

Malam tadi saya mimpi Nisah Haron. Saya ke tempatnya untuk berbengkel cerpen. Di sebuah rimba cemara, di sebuah ran terbina daripada kulit-kulit kayu. Mungkin latar zaman kecil saya terserap sedikit ke dalam mimpi tersebut. Zaman kanak-kanak yang banyak dihabiskan dalam dakapan alam; ran dan pohon-pohon adalah kemanisan hidup saya. Mimpi ini benar-benar buat saya rindu pada zaman kanak-kanak; memiliki ran sendiri di atas sebatang pohon manggis yang cukup untuk mengisi jasad berdua, dan menjengah bonda di bawah yang sedang kalut mencari saya.

Mimpi malam tadi bercampur baur. Tetapi yang paling saya ingat ialah tatkala saya menyuarakan sesuatu yang telah lama terbuku, teguran yang saya timbang-timbangkan selama ini, bimbang ia mengguris hati seseorang. Usai berbengkel, Nisah beri peluang kepada saya untuk menyuarakan tentang apa sahaja seputar dunia penulisan.

Saya cepat-cepat mengambil peluang, kerana bagi saya, Nisah memiliki lidah yang paling lancar dan tepat untuk menjelmakan aksara atau keluhan jiwa kepada luahan berbentuk curahan kalam. Saya ingin rebut peluang itu kali ini, meluahkan apa yang terbuku beberapa tahun lalu.

Nis, saya harap awak tolong betulkan pengunaan perkataan "metah" dalam tulisan karya penulis muda. Maksud saya dalam golongan penulis muda sekarang, "metah" seolah-olah jadi trade mark dalam karya mereka; oleh kerana keinginan untuk mencari kelainan dalam memilih bahasa segar. "Metah" yang dimaklumkan kepada mereka membawa maksud amat, sangat, terlalu, sangat-sangat, dan serangkaian perkataan klise lain yang dicadangkan kepada mereka untuk ditukarkan dengan perkataan "metah" supaya ada kelainan.

Kenapa dengan "metah", seingat saya awak pun pernah guna perkataan "metah" dalam karya awal awak?

Benar sekali, Nis. Kerana itulah saya tidak mahu penyalahgunaan perkataan itu terus berlaku. maksud saya ia digunakan pada tempat yang salah. Saya menyedarinya pada suatu hari sewaktu saya mengemas pakaian dan mengasingkan baju-baju lama untuk dibakar. Terimbau zaman remaja di mana saya diugut bonda kerana membakar pakaian lama yang sudah tidak boleh diguna. "Baju baru metah lagi dah dibakar, nantilah kau suatu hari nanti. Mana tahu kalau terjadi apa-apa bencana, kebakaran atau banjir, padan muka kau, telanjang bogel." Pantang sungguh bagi bonda saya melihat saya bakar baju lama. Itu-itulah juga diugutnya, sampai sekarang.

Ya, Nis. Baju baru metah - bukan baju metah baru. Sebagaimana dalam Kamus Dewan Edisi Tiga, "metah" maknanya sangat, sungguh; contohnya - baru metah (baru sangat), putih metah (putih benar). Namun jika diteliti dalam karya segolongan penulis muda, "metah" ini ditaip terkedahulu daripada kata sifat atau perasaan, sebagai contoh; metah baru, metah gembira dan seumpamanya. Penggunaan perkataan "metah" itu tidak nampak salahnya, namun pada pengertian dan tujuannya ia salah penggunaan. "Metah" ialah pentaukidan pada akhir, sepatutnya. Itulah yang saya faham mengikut penggunaannya dalam ayat, sebagaimana yang lazim kami di bumi Pantai Timur ini memahaminya.

Nis, tolong ya. Sampaikan dalam bengkel awak yang seterusnya. Dengan lidah hikmah. Saya yakin awaklah orang yang paling tepat untuk menyampaikannya.

Nisah senyum. Senyum yang mempamerkan angguk. Saya minta diri untuk pulang. Pundak saya ringan, jiwa saya tenang.

Saya menapak meninggalkan hutan cemara, melambai-lambai ke arah Nisah dan Mustaqimnya. Dalam asyik, saya terlanggar ranting cemara yang gugur patah.

Kokok ayam rumah jiran awal pagi ini keras bunyinya. Saya bingkas dari ranjang, hampir 7.00 pagi!

Kamar Jiwa
Januari 20, 2009 (pagi 7.20)

9 comments:

Kanda said...
This comment has been removed by the author.
rozais al-anamy said...

Kanda,
Moga kanda juga dikunjungi mimpi manis dan indah.

Terima kasih juga untuk kiriman "Misteri Cinta" Suhaimi Meor Hassan kecintaan dinda.

Kanda said...
This comment has been removed by the author.
rozais al-anamy said...

Kanda,
Kanda mimpi jadi Sohaimi Meor Hassan, tetapi malam tadi dinda mimpi dikunjunginya. Dia datang membawa sejambak anggerik warna kapas.

Bangun keesokannya, mimpi menjelma realiti. Sejambak anggerik yang masih basah oleh embun betul-betul berada di sisi dinda.

IdzaRis said...

aduh...
manisnya mimpi!!

zaidi said...
This comment has been removed by the author.
rozais al-anamy said...

IdzaRis,
seandainya mimpi yang manis-manis menjelma realiti, aduh!

saudari tentu juga pernah dikunjungi mimpi manis yang membuatkan saudari terus tersenyum memandang mentari, bukan?

rozais al-anamy said...

Kanda,
sekalung terima kasih daripada dinda atas bingkisan "Epilog Cinta Dari Bromley". Suara emas Sohaimi Mior Hassan bergema lagi dalam kamar jiwa dinda.

sarell said...

hohoo... mimpi cambest nih..hehe muleh ajar saye camne nak bermimpi beh2?