Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Tuesday, June 16, 2009

Sebelum Naik Sawan

.
Salah satu sikap negatif saya ialah hipokrit, di mana saya tidak akan menegur perangai, sikap, kesalahan, kesilapan atau akhlak buruk seseorang secara berdepan dan secara berterus-terang; kerana saya khuatir ia akan menyebabkan seseorang itu berasa hati atau marah atau sakit hati dengan teguran saya. Dan berdasarkan pengalaman lepas, memang 90% mereka yang ditegur membenarkan kekhuatiran saya itu. Mulalah selepas itu apabila bertembung, mereka akan tarik muka empat belas atau terus padamkan nama saya dari ingatan mereka. Makanya, bermula dari tarikh tersebut, saya mula ambil sikap diam dan hanya guna tujuh mata untuk mengenal manusia, dan secara beransur-ansur merenggangkan diri daripada mereka.

Kata rafik, sikap hipokrit itu menafikan amanah saya sebagai hamba yang sepatutnya bersifat tabligh; sepatutnya saya menyampaikan kebenaran dan membetulkan yang salah. Tapi saya punya alasan sendiri; dalam dunia fitnah ini, ditambah pula semua manusia telah "sampai seru" malah ada yang ingin ditegur itu tahu semua hukum-hakam lebih daripada saya sendiri, bagaimana lagi saya patut bereaksi; kerana tembok yang menghalang hanyalah keegoan. Bagi saya, manusia sebegitu tidak perlu teguran, tapi perlukan tarbiyah.

Hari ini, apabila mendengar cerita seorang rakan blog yang "tension giler" gara-gara sikap seorang pembaca blognya yang kurang adab dan bodoh sewel, saya berasa empati pada nasibnya, apatah lagi pembaca blognya itu saya amat kenal dan berada di kalangan kami juga. Saya ada dua sebab untuk marah kepada pembaca blog tersebut (Z); pertamanya atas sebab peribadi, dan kedua atas sebab dia bertindak kurang ajar kepada rakan blog saya. Sudah lama saya perhatikan sikap dan perangainya setiap kali saya pulang ke Batu Enam. Hendak ditegur, saya tiada kuasa dan sudah tentu orang di sekeliling kami akan menyalahkan saya kerana mereka tidak kenal secara mendalam perangai Z, apatah lagi sudah lama saya memilih jadi manusia hipokrit. Hendak diam, saya kasihan pada insan-insan di sekeliling yang menjeruk rasa sakit hati dan tertindas oleh sikap kebudak-budakannya dan bodoh tololnya.

Tahun ini merupakan tahun klimaks saya memendam rasa geram terhadap perangainya yang menyakitkan mata, malah sebahagian besar daripada kami sudah tidak dapat menahan api yang memarak dalam dada. Disinis dan disatira, Z cukup bangang untuk memahami. Nak ditegur secara terus-terang, masing-masing belum sampai hati mengenangkan ada perasaan manusia lain yang mungkin tersinggung sekiranya pasangan sendiri ditegur. Maka, yang sakit jantung terus sakit jantung, yang ada darah tinggi terus melambung, dan yang sengal-sengal lutut tulang pula, tambah sengal jiwa.

"Engkaulah tegur, mungkin dia boleh terima sebagai kawan, lagipun dia sebaya kau," usul rakan-rakan yang saya minta pendapat mereka. Saya senyum, memujuk hati panas yang sudah sekian lama. Apa tidaknya, saya pantang lihat lelaki yang hanya pandai makan dan kekalkan pinggannya atas meja. Sisa makanan pula diletak atas meja. Apa dia ingat kami ini babu diakah, untuk sapu dan bawa pinggannya ke sink? Lainlah kalau dia tu OKU, itupun ramai saya jumpa OKU yang berdikari, lebih rajin dan reti bahasa berbanding Z. Pernah suatu waktu, sewaktu ayah mertuanya sedang tidur di ruang depan rumah, Z main sepak botol air mineral dengan anaknya sehinggakan ayah mertuanya naik darah 180 darjah akibat menahan marah.

Pada waktu itu saya fikir inilah masanya saya mahu tegur kesewelan Z yang masuk "tahap gaban", namun bila fikirkan saya ini pun jenis sawan, saya tahan dulu. Kerana saya tahu, bila sawan saya menyerang, saya tidak pandai marah sepuluh sen, habis saya bongkar sikap dan sifat, bak kata orang kampung - "angkat bangkit sifat". Makanya orang yang ditegur itu akan malu sepanjang hayat. Justeru itulah saya masih pendam dan cuba mengelus kemarahan saya dengan pujukan bahawa saya pun punyai kelemahan. Dan yang penting, marahlah secara bijaksana.

"Dia intai blog aku, aku tak kisah. Anggap saja dia seorang peminat. Tapi kalau dah kata blog aku loya dan memualkan, dah melampau. Sebab aku tak pernah paksa dia baca blog aku. Apatah lagi dia selalu bersoksek-soksek dengan bininya umpat blog aku." Memang kawan saya itu sudah naik angin dengan perangai Z.

Hairan saya, tapi mungkin juga orang yang selalu "off shore" ini lain macam sedikit perangainya. Sebab dia hanya berkomunikasi dengan peralatan dan enjin, pelantar dan laut. Apatah lagi kalau jiwa seni tak ada dalam diri. Dilihatnya laut hanya kuah, langit bagai tudung saji, dan pelantar minyak itu umpama sehidangan makanan yang disediakan ibu mertuanya untuk menyambut kepulangannya setiap kali "naik darat".

Harapnya dia akan sedar suatu hari nanti, saya sangat-sangat berharap "seni" menyedarkannya; sebelum saya benar-benar naik sawan!
.

2 comments:

Luqman Hakim QA said...

bagus buat idea penulisan tu. boleh maki-hamun dalam karya kreatif.

rozais al-anamy said...

Luq,
Sedang dalam pembinaan. Cuma sedang fikir, mahu maki secupak atau segantang, hahaha.