Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Tuesday, May 12, 2009

Sebiji Kek, Sejambak Bunga

Semalam, kotak merah jambu beriben ungu menjamah pandangan tatkala saya masuk pejabat hampir jam 11.30 pagi. Berisi sebiji kek tiramisu, tertulis “1st Anniversary”.

Kek adunan Chef Lan ini telah lama saya idamkan, cuma belum sempat menempahnya kerana kecuaian saya menyimpan alamatnya yang saya dapati dari sebuah kilang pencetak yang mengendalikan hal promosi dan percetakan label pada kotak kek tersebut. Hari ini kek idaman saya datang “menyembah” untuk dinikmati. Seperti gurau rafik selama ini “kalau bab makan, ada saja rezeki turun dari langit untukmu.” Dan selalunya saya meningkah “sebab Tuhan kasihan tengok aku kurus. Kalau kau yang mengidam, lambatlah sedikit turunnya.”

Sedang saya menikmatinya, suatu panggilan menyapa, meminta saya mengambil kiriman depan bangunan Syarikat Muda Osman oleh kerana penghantarnya tidak dapat tempat parkir. Saya berlari anak ke situ, memang sifat saya tidak suka terkehel-kehel ala mak datin; biarpun agak kurang sopan tampaknya dalam pakaian gaun putih berbunga merah.

“Ini bunga untuk awak, ada orang beri rasanya.” Saya angguk dan menerimanya, dalam hati berbisik “memanglah kalau ada yang diberi, sudah tentu ada orang yang bagi.” Saya hampir memuntahkan tawa menancap nama pengirimnya, terimbau nama yang pertama kali saya tatap dalam sebuah majalah hiburan tanah air 14 tahun lalu.

Petangnya, giliran saya menutup roller shutter, saya tumpangkan dua pemberian tersebut atas pangkin premis berhadapan. Para ibu berbisik sama sendiri, seorang yang bermulut ringan menyapa, “belum jadi ibu pun dapat hadiah Hari Ibu, beri pada saya sajalah barang-barang itu.” Yang lain pakat menyokong.

"Hey, akak minta daripada suamilah. Dia kan kaya, takkan sebiji kek dan sejambak bunga pun tak boleh hadiah pada isteri cantik macam akak. Balik nanti, jangan lupa minta, tau.” Saya mengusik.

"Sebab itulah saya suruh akak minta, dah tahu dia tak reti bahasa!” Dia senyum simpul.Yang seorang lagi mencelah, tersenyum-senyum di tepi suaminya, “yang ini pun tak pernah hadiahkan apa-apa sejak kahwin…”

Dan pantas pula suami menjawab “saya dah selalu beri hadiah padanya, “ sambil menyiku isteri dan ketawa besar.

“Erkkk, kalau yang itu tak payah cakap, sebab hadiah itu menguntungkan awak juga!” Mahu saja saya sekeh kepalanya.

Han, terima kasih. Segalanya!

LELAKI YANG PATAH SAYAP KIRINYA
(mengenang Mei 12, 2008 yang bersambung hari ke Mei 12, 2009)

Engkau lelaki yang patah sayap kirinya
Menanggalkan baju dukamu di hamparan kenangan
Melonjak dari jendela kamar yang pecah kacanya
Ingin terbang menerpa bulan
Sambil mengilik sebungkus impian.

Tak kau hirau rayuan pungguk yang berhiba lara
Yang memilih pilu sengsara tanpa usaha
Kau dengan kental semangat menjerkah gerhana
Dan menahan mentari dari meminta gilirannya.

Terbanglah lelaki yang patah sayapnya
Berpandukan tongkat paruh jentayu yang setia.

Kau bukan lagi lelaki pilu yang merenung jendela
Setiap kali purnama senyum atau retak di balik ara
Kerana kau arif merisik rindu dan mentafsir cinta
Dari sinar mata pemilik kejora.

Kamar Rindu, Padang Embun
090908


2 comments:

ZULKIFLI MOHAMED said...

Salam petang RAA,

bagus sekali puisi "Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya",

moga masih mampu bertahan...

rozais al-anamy said...

Zek,
Salam kembali.
Terima kasih. Terharu saya menerima komen saudara yang arif puisi, sedang saya baru bertatih dalam genre ini.

Moga!