Mei 10, 2009: jam 11.48 pagi, saya menelefon bonda. Memang saya sengaja hubungi bonda waktu ini kerana biasanya pada waktu begini bonda ada di rumah. Kali ini bonda tidak cam suara saya, dan bila dengar pertanyaan bonda siapakah saya, rasa ingin saja menangis. Cuma bila saya fikir bonda mungkin bukan bermaksud begitu, hanya ingin memastikan anaknya yang mana satu (suara kami adik-beradik perempuan lebih kurang sama), saya terus mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepadanya. Kali ini bonda membalasnya dengan ucapan terima kasih, tidak lagi “ermm” sebagaimana biasa. Sudah tentu bonda maklum akan tarikh Hari Ibu tahun ini, fikir saya.
Usai bersembang dengan bonda, saya telefon adinda bongsu. Minta dia belikan kek untuk bonda, bagi pihak kami berdua, malangnya dia pulang lewat petang. Dia cadangkan untuk beli esoknya, dan saya terus jawab, kalau esok sudah jadi hari bapa! Dan dia sudah rancang untuk bawa bonda makan steak petang nanti. Lagipun bonda tak suka makan kek (dalam hati saya tertanya-tanya, betulkah bonda tidak makan kek? Saya benar-benar kurang pasti). Syukur, sekurang-kurangnya bonda rasa gembira.
Sepatutnya juga, saya deklamasikan sebuah sajak untuk bonda, namun saya bimbang tidak dapat menamatkannya. Dan saya hanya rakamkan ingatan dan penghargaan saya kepada bonda di dalam blog ini, moga bonda dapat “rasa” ada seseorang sedang merindu dan menghargai pengorbanannya selama ini (kalau sebelum ini saya ugut bonda untuk tulis dalam blog sekiranya bonda mencarut, kali ini saya menulis sesuatu untuknya, tanda bonda adalah serikandi jiwa saya).
Bonda,
dalam leka dan tawa
terkadang aku lupa,
menitip kata, dan suara
mengelus penat lelahmu, aku
terkadang alpa
mengirim rindu, kasihcinta
memadam deritamu, aku
terkadang kacang lupa kulitnya.
Bonda,
ingin aku memalit warna pelangi
ke kanvas hidupmu
dengan rasa yang seni, dari jiwa
biarpun tak pernah siap lukisanku,
kutahu bonda merasainya
sewaktu kehadiranku di rahimnya,
di mana bersatu nadiku dan nadinya.
"Selamat Hari Ibu, Bonda Hajjah Ainun Zabidah."
(Kasih bonda bagai titis embun pertama,
setelah sebuah siang yang garing memijar)
Tiba-tiba rasa ingin menangis apabila mengenangkan gelagat bonda. Setiap kali saya memaklumkan hari lahir saya dan bergurau minta dia belikan kek untuk saya, bonda akan jawab “tak payah berkek-kek, cekodok pisang lagi sedap!” Saya akan membentak, “tak apa, nanti bila hari lahir mak, saya buat cekodok bawang, goreng biar hitam!” Dan bonda akan senyum tengok wajah mencuka saya.
No comments:
Post a Comment