Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Monday, December 29, 2008

Sebatang Pena, Satu Jiwa

.

Seorang teman dari kota batu mengirimkan sebatang Sheaffer dan sebotol Parker biru sebagai hadiah hari lahir saya yang ke-36 pada Januari 1, 2009. Saya teruja menerimanya, sangat-sangat gembira kerana sebatang pena amat dalam maknanya kepada penulis seperti saya.

Dua puluh lima tahun dahulu, saya memiliki sebatang Pilot. Pertama kali saya memegang pena berdakwat biru dalam usia sebelas tahun, ramai kawan sekelas mahu cuba menggunakannya; kerana kebanyakan mereka masih menggunakan pensil merah 1B atau Staedtler kuning 2B. Sememangnya murid sekolah rendah hanya dibenarkan menggunakan pensil. Pen tidak dibenarkan sama sekali digunakan untuk menulis nota atau bagi menjawab soalan peperiksaan. Sekali-sekala saya terpaksa berdegil kerana terlalu ingin menulis menggunakan "dakwat basah". Tetapi apabila beberapa kali dipanggil ke depan kelas dan terpaksa berdiri sepanjang waktu belajar, saya pun mengalah. Saya hanya menulis menggunakan pena tersebut semasa pertukaran waktu kelas atau selepas waktu sekolah; menulis apa sahaja yang terbuku di hati. Tidak sabar ingin ke sekolah menengah, agar impian jadi "dewasa" menjadi kenyataan.
Suatu hari, seorang murid lelaki yang sebelumnya selalu "mengintip" setiap kali saya menulis dengan pena tersebut, menghampiri meja. Waktu itu, kelas dibatalkan dan cikgu pengganti pula tiada. Kelas jadi haru-biru. Saya pening kepala melihat telatah rakan sekelas, dan mendiamkan diri di meja sambil menulis. Murid lelaki yang sekampung dengan saya dan merupakan anak bongsu kesayangan guru mengaji Al-Quran saya itu berdiri tepi meja dengan lagak samseng kampung dusun; menyoal saya apa yang sedang ditulis. Saya angkat muka dan memandangnya, kemudian tunduk semula kepada tulisan.

Tiba-tiba dia merampas pen tersebut daripada tangan saya dan mula menggores secara kasar atas permukaan meja yang agak menggerutu, sepantas kilat pula melemparkan pen tersebut ke sudut kelas. Rakan sekelas terpana melihat aksi tersebut, kelas bagai kawasan perkuburan. saya bangun perlahan-lahan dan menghala ke sudut pen tersebut dilemparkan. Masing-masing melereti langkah saya. Saya kutip pena tersebut dan diam termangu di meja. Pen yang telah pecah matanya saya renung, bila saya cuba menulis, tulisan bertindan dua. Saya tenung ke arah pelajar itu yang sedang tersengih bangga berborak dengan beberapa kawan samsengnya. Mata yang terasa panas saya kelipkan berkali-kali, dan loceng pun berbunyi.

Saya menapak longlai pulang ke rumah. Sepanjang dua kilometer berjalan kaki, hanya satu dalam fikiran. Bagaimanakah saya mahu membaiki kerosakan mata pena yang ternganga bagaikan mulut buaya itu. Sampai di rumah, terus capai playar dan kepit mata pena tersebut secermatnya, namun beberapa kali pula tersepit jari sendiri. Hasilnya, mata pena tampak lebih baik daripada sebelumnya, tapi masih pecah tulisannya. Saya hanya mampu merenung tulisan berdakwat biru laut di atas kertas putih yang dicemari titis darah dari jemari yang luka.

Petang, saya ke rumah murid tersebut untuk mengaji. Usai mengaji, ibu rakan sekelas saya itu memberi komen kepada saya, katanya bacaan saya kian bagus dan dia memuji kecerdasan saya. Kami berbual seketika kerana guru mengaji itu merupakan rakan seperguruan kelas tarannum Al-Quran ayahanda saya.

Menyangkakan saya mengadu tentang insiden di kelas tengahari tadi kepada ibunya, si samseng kampung dusun membuka pekung di dada sendiri, namun kesalahan masih diletakkan di pundak saya. Saya dapat tahu hal itu selepas ibunya berkunjung ke rumah untuk minta maaf atas kelakuan anaknya dan meminta penjelasan tentang apa yang sebenarnya berlaku. Saya ceritakan semua kepada ibunya, dan guru saya itu berjanji akan gantikan pena tersebut.

Keesokannya, si samseng kampung dusun menghalang jalan saya dan memberi amaran supaya menarik balik persetujuan menerima pen ganti daripada ibunya. Saya diminta melaporkan bahawa pen tersebut masih baik dan boleh digunakan seperti sediakala. Saya berlalu tanpa mengeleng atau mengangguk.

Selesai mengaji, saya maklumkan pada guru mengaji saya bahawa pen tersebut tidak perlu diganti. Sudah boleh digunakan tanpa cacat-cela, sembari dalam hati saya berdoa semoga pengakuan palsu saya demi menjaga maruah guru ini diganjari kebaikan pada suatu waktu nanti. Jika hari ini saya dikhianati lelaki, mungkin pada suatu masa lain akan ada seorang lekaki lain yang akan mengembirakan dan menunaikan impian saya.

Dan pada hari ini, setelah suku abad berlalu, doa yang saya panjatkan dulu mendapat restu. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Penyayang dan terima kasih seluhur jiwa daripada saya kepada dia yang memenuhi impian saya dengan sebatang pena. Saya menghargainya, sangat-sangat menghargainya!

Doa saya, semoga dia diberkati di dua dunia, dan dianugerahi kesejahteraan, kebahagiaan serta ketenangan sepanjang perjalanan hidupnya sebagaimana kebahagiaan yang diberikannya kepada saya.

Kamar Jiwa
Januari 1, 2009 (tengah malam: 12.00)

5 comments:

Unknown said...

rozais,

doa yang dipanjat suku abad lalu, telah dikabulkan, membuka jalan untuk memperkuatkan jiwa.. semoga tahun baru ini lebih memberi erti untuk mengecap kebahagiaan. jiwa yang sepi kadang-kadang lebih mendekatkan pada Ilahi

nil said...
This comment has been removed by the author.
nil said...
This comment has been removed by the author.
rozais al-anamy said...

InangRodat,

Terima kasih atas ucapan yang baik itu. Semoga anda pun sejahtera.

Kesepian bagi satu jiwa yang fana dan faqir kepada Allah sememangnya mendekatkan diri kepada Ilahi, namun bagi jiwa yang masih belum melampaui hakikat diri memandang sepi sebagai suatu kekosongan.

rozais al-anamy said...

Kanda,
Terima kasih atas ucapan. Semoga doa kanda dimakbul Ilahi. Dinda juga mendoakan yang sama pada kanda, semoga segala cita-cita kanda yang baik segera menjadi kenyataan.

Selamat meneruskan perjalanan hidup pada tahun baru. Semoga ia lebih baik dari semalam.