Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Thursday, February 05, 2009

Pistol, Anggerik, Dara dan Bahtera Aksara

.
Januari 3, 2009 malam, sebaik sampai depan pintu rumah, saya menerima panggilan daripada seseorang dari Kangar. Sebelum ini dia sering memberi komen seputar blog saya melalui utusan emel; kebanyakannya karangan puisi indah berkaitan entri saya.

Entah apa alasannya, malam itu dia ingin memperdengarkan suaranya setelah sekian lama dia memilih diam.

Kenapa selama ini hanya emel jadi medium interaksi?

"Kerana entri My Dear Trouble Maker itu”, dia tergelak kecil.

“Takut tengok pistol”, tambahnya lagi.

Saya berbisik kepada diri, “lelaki pun takut pistol? Lazimnya orang politik macam dia begitu akrab dengan pistol.”

Dia berharap saya menulis entri baru. Dan kerana meraikan kehadirannya ke teratak maya saya, saya penuhi permintaannya hari ini, walaupun saya telah berjanji kepada seseorang untuk “berbuka” pada awal pagi Sabtu.

Commercial break: Promosi anggerik ungu

Sepasang anggerik ungu,
rindu terbelengu.
Kapas ronanya di kalbuku,
setia kasihku.
Kusemai di halaman jiwa
di teratak cinta.
Kita petik bersama
seusai purnama gerhana.

Kamar Rindu
Februari 5, 2009 (dinihari: 3.00)


Berita Terkini: Dara hilang belum dijumpai

Padang Embun – Seorang penduduknya yang hilang masih belum ditemui. Khabarnya dara itu menaiki sebuah bahtera sarat kata-kata yang kini karam di segara dendam.
.
Bahtera tersebut berlabuh di pantai kenangan lebih kurang tujuh bulan yang lalu, dan dara tersebut antara penumpang yang turut menaikinya untuk memahami kehidupan dan mengenal manusia pelbagai citra.
.
Mutakhir, beberapa wanita yang dibawa nakhoda telah diselamatkan dan telah dikenalpasti, kecuali dara yang tertinggal kerudung ungunya; belum pasti situasinya.
.
Hanya bait-bait puisi bertinta biru laut yang terselit di celah kerudung ungu jadi saksi dara tersebut pernah berada di dalam segara. Antara aksara yang masih boleh dibaca:
.
Sebahtera garam aksara cinta
karam dalam segara helah daya
dan purnama pun berbicara
ceritera seorang pria
dan belati dendamnya.

Bahtera Cinta
Sabtu, Januari 31, 2009

Kepada dia yang takutkan pistol, saya harap anda boleh menziarahi saya di teratak ini tanpa rasa terbuku lagi. Hey, pistol itu hanya menghala ke arah saya!

Noble Art Creation
Februari 5, 2009 (petang: 1.30)

4 comments:

baca fikir said...

Salam Sdri Rozais,

Anggerik ungu yang cantik penghias sinansari !
:-)

rozais al-anamy said...

rba,
Salam kembali.
Lama tak dengar perkataan sinansari. Terima kasih untuk itu.

Anggerik ungu penghias Dewi Seri
bakawali citra peribadi.

baca fikir said...

Salam,
Sdri rozais al-anamy,
Lelaki itu mungkin tidak takut pistol. Tetapi citranya dia tidak suka pergaduhan dan pertumpahan darah !!
Laur jiwa dia mungkin lebih kepada keamanan !!

rozais al-anamy said...

rba,
Salam kembali.
Lelaki Indera Kayangan itu tidak takut pistol, cuma gambar dalam entri tersebut yang menyeramkannya. Walhal pistol itu menghala kepada sesiapa sahaja yang memandangnya.

Pistol bukan hanya simbolika pergaduhan dan lentuk lentur jiwa yang sirna cintanya, bahkan ia sering mengingatkan kita bahawa cinta sentiasa hadir sewaktu kita akan ditinggal atau meninggalkan.

Kadangkala ada benarnya, "love is lovelist when embalm'd in tears."