Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Saturday, February 21, 2009

Hujan Di Hati

.


Malam tadi, kantuk menjauh. Hingga jam 4.00 pagi, minda dan jiwa enggan menurut kehendak fizikal yang terasa amat letih. Kenangan menerobos zaman kanak-kanak, terasa dingin air di kali menyentuh tubuh yang keletihan memanjat pokok, juga terasa nyaman curahan hujan sewaktu berputar-putar di padang. Saya mengumpul daun-daun kenangan yang berguguran, menyimpannya ke dalam bakul kehidupan. Sungguh, ingatan seperti itu mampu menghantar saya ke alam mimpi.

Jam 7.00 pagi, saya tersedar dari lena yang sebentar cuma. Terdengar titis hujan menimpa dedaun kering di luar. Saya bingkas menuju jendela. Benar, titis hujan sedang berguguran, membasahkan bumi garing. Rupanya ada dedaun kenangan yang tak sempat saya kutip semalam, melayah turun bersama angin yang membawa bersama hujan pagi ini. Bersama rindu!

Berhadapan rumah, sebuah kereta jenazah menghantar sekujur jasad yang berbalut kain putih. Kali kedua saya terserempak jenazah yang diiringi titis dari langit semenjak bermastautin di Padang Embun. Semoga ahli keluarga arwah tabah menerima ketentuan. Dia pergi bersama hujan, dan meninggalkan lopak kenangan di jiwa yang ditinggalkan. Dan sesungguhnya yang pergi itu, kembali menemui Kekasih-Nya, yang lebih mengerti. Bersama rindunya!

Kamar Rindu
21 Februari, 2009 (petang: 2.38)

16 comments:

rba said...

salam rozais al anamy,
Kerinduan bumi yang gersang pada siraman hujan akan berakhir bila masa menganjakkan musim..

InangRodat said...

rozais... rba
kadang-kadang kerinduan itu makin merobekkan perasaan.... sakit dan pilu tak terungkap dengan perkataan.. bilakah tiba musim untuk menganjak pada kebahgiaan??

rozais al-anamy said...

rba,
Salam kembali.
Bagaimana jika hujan menyiram sebelum musim garing menganjak pergi?

rozais al-anamy said...

InangRodat,
Kerinduan itu sering membenihkan resah dan pilu, namun menyuburkan pohon ikhtiar dan usaha. Sebagaimana hadirnya musim semi setelah musim rontok berakhir gilirannya.

rba said...

Rozais Al Anamy,
..mungkin musim sudah cengkerawang atau musim menjadi seperti kelayau, tapi selalunya musim ialah wafak..

rba said...

InangRodat,
kesakitan kerinduan itu kekadang akan melahirkan fanatisisme kepada yang dirinduinya..selain dari membenihkan resah dan pilu seperti yang di ungkap Rozais. Kebahgiaan akan menjelma bila tiba musim menuai..

rozais al-anamy said...

rba,
Antara tanda kiamat makin hampir ialah musim akan lari aturannya dan beralih ketetapannya.

Semakin hampir waktu hamba kembali kepada Kekasihnya.

rozais al-anamy said...

rba,
terkadang, selesai menuai, kita rindukan pula musim menyemai benih.

sesungguhnya kerinduan itu tidak berkesudahan, dan berantaian.

rba said...

rozais,
jika seribu tahun dunia ini adalah sehari akhirat, maknanya hidup saya hanya ada beberapa detik waktu sahaja lagi untuk kembali menemui KekasihNya di alam sana..

rozais al-anamy said...

rba,
orang yang paling bijaksana ialah mereka yang selalu mengingati hari pergi.

rba said...

rozais,
kerinduan ialah suatu perasaan anugerah Pencipta kepada makhluknya, dan perasaan kerinduan itu kekal pada setiap musim yang dinanti..

rozais al-anamy said...

rba,
Kerinduan pada Ilahi milik insan berhati nurani. Yang tak mengenal musim dan hari.

rba said...

rozais,
jika kerinduan pada IIahi adalah milik insan, dan milik siapa pula kerinduan sesama insan ?

rozais al-anamy said...

rba,
insan merindui insan kerana adanya kasih sayang,
insan merindui Tuhan kerana adanya Ehsan.

rba said...

:-)

InangRodat said...

if only i had known how very dangerous love was, i wouldn't have loved.
if only i had known how very deep the sea was, i wouldn't have set sail.
if only i had known my very own ending, i wouldn't have begun.
by Nizar Qabbani