Kantan yang saya tanam beberapa purnama selepas bermastautin di Padang Embun 20 bulan yang lalu kini telah menghasilkan lima kuntum bunga. Saya perolehi anaknya dari seorang kakak yang berniaga di Pasar Besar Wakaf Bharu. Entah mengapa saya sangat teruja untuk menanam kantan sebaik mendiami rumah baru.
Lebih setahun menanamnya, kantan tersebut tidak menunjukkan sebarang tanda hendak berbunga. Mahu dikata mandul, saya pasti kakak tersebut memberi saya anak dari pohon yang memang sihat. Saya hampir putus asa menunggu bunganya kerana saya memang mudah bosan pada penantian yang belum pasti jawapannya. Buat apa saya habiskan masa saban pagi menjengah dari jendela kepadanya jika hanya kekecewaan membalas kunjungan mata dan jiwa saya.
Ramadhan yang lepas, saya nekad. Jika kantan tersebut masih enggan berbunga, nantilah! Akan saya bongkah pokoknya hingga ke akar. Saya beri tempoh sehingga hari pertama saya kembali semula ke rumah setelah pulang beraya di kampung halaman. Janji tetap akan saya kotakan.
Khamis, 2 Oktober 2008 (2 Syawal 1429H), saya pulang ke Padang Embun. Saya menjengah kantan dari jendela kaca. Terkesima. Sekuntum kantan mengorak kelopak, dengan megah dan bangganya, seolah-olah menyambut saya dengan kata - bongkahlah akarku! Saya seka aliran air mata, sambil mengucapkan terima kasih kepadanya. Memang ia mengisi kebahagiaan ke dalam jiwa saya.
5 comments:
ku siramkan kantan
ku siramkan di hujung halaman
gurindam jiwa,
kenapa kantan ditempatkan di hujung halaman?
Sebab rajuk kantan mudah dipujuk. Kalau kantan itu masih tak berbunga, sampai hatikah nak bongkarkan akarnya?
gurindam jiwa,
janji mesti ditepati. soal sampai hati, itu yang kedua. kalau tak sampai hati, mestilah dari awal tak buat janji seperti itu.
Semoga saya bukan dalam golongan yang berjanji tetapi sampai hati memungkiri. Ikut hukum alam, kantan mesti berbunga. Itu janji kantan, kerana itu orang selalu sebut bunga kantan. Kecewa kantan tak berbunga samalah dengan orang yang resah dalam penantian.
Post a Comment