Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Wednesday, April 09, 2014

Cinta Yang Membius



Malam tadi saya berbual dengan teman serumah tentang kuasa fokus. Bermula kisah apabila saya beritahu dia tentang anak seorang sahabat yang tersangat fokus apabila sedang berfikir hingga keadaan sekeliling jadi fana baginya. Saya dan dua sahabat sekolah lama berjumpa di sebuah kedai makan. 

Anak sahabat saya duduk setentang. Apabila saya lihat dia asyik merenung jauh sambil makan, sengaja saya kuis kaki saya dengan kakinya. Dia diam dan masih merenung jauh, bukan ke muka saya. Saya gesel kaki sekali lagi dengan lembut, dia kelihatan masih khusyuk mengelamun. Tiada reaksi sedikit pun. Saya tidak puas hati, saya gesel kaki ke betisnya dengan agak keras, masih juga begitu. Saya renung tepat ke mukanya, baru lah dia pandang saya sekejap dengan pandangan kosong dan sambung lamunannya sambil makan perlahan. 

Saya pandang sahabat saya yang duduk di sebelahnya, menebak kemungkinan saya tersalah gesel kaki orang lain. Sahabat saya pun bermuka selamba, maknanya saya memang tidak tersalah main kaki. Masih tidak puas hati atas tiadanya tindakbalas, saya buat-buat tercari sesuatu di bawah meja sambil kaki tetap menggesel kaki anak sahabat saya itu. Memang betul kaki dia yang saya gesel dari tadi. Saya angkat kepala dan mula cubit betisnya dengan jari kaki, pun tiada tindakbalas langsung. Aduh, akhirnya saya terpaksa mengalah dan bertanya kepadanya; kenapa dia seolah-olah tiada perasaan langsung apabila diperlakukan begitu. Dalam keadaan terpinga-pinga dan seakan-akan baru sedar dari mimpi yang panjang, dia bertanya saya kembali – apa yang telah saya buat? Saya ceritakan dari mula. 

Saya nyatakan pada sahabat, saya bimbang sekiranya anaknya hilang deria rasa, mungkin ada sesuatu yang tidak betul pada sistem sarafnya. Anak sahabat saya itu minta saya ulang perbuatan tersebut, sekali sahaja saya gesel dia terus ketawa. Rupanya dia memang tersangat fokus pada satu-satu perkara, menurut sahabat saya. Namun saya tidak pernah melihat manusia sehebat itu kuasa fokusnya sebelum ini. 

Saya jadi teringat pada cerita bapa sepupu saya tentang kuasa fokus dan tenaga dalaman yang sangat bermanfaat apabila diasah secara betul. Ia boleh sahaja memecahkan mentol lampu apabila ditenung dengan penuh tumpuan, malah begitu juga doa yang dihantar secara penuh tumpuan dan sepenuh hati. Ringkasnya, itulah “senjata fakir” orang mukmin yang boleh mengalahkan apa sahaja kekuatan moden yang ada hari ini. 

Hal ini mengingatkan saya tentang sejarah pedang terbang dalam perjuangan muslimin melawan kuffar suatu masa dahulu, yang berlaku di tanah air ini. Saya juga teringat pada kisah sahabat Saidina Umar r.a. yang terlalu fokus beribadat kepada Rabbnya sehingga tidak terasa kesakitan apabila dicabut anak panah yang tertusuk pada badannya. Begitu jugalah agaknya konsep yang diamalkan penganut Hindu yang sanggup mencucuk tubuh dan memikul kavadi tanpa berasa sakit, yang terjadi pada penganut Syiah yang menyeksa tubuh badan kerana ketaksuban terhadap peristiwa pembunuhan Saidina Hussain dan sebarang bentuk perbuatan yang disandarkan pada tumpuan dan penghayatan penuh terhadap sesuatu anutan atau fahaman. 

Begitu jugakah perasaan Laila dan Majnun yang asyik bercinta sehingga fana, atau cinta Syamsuddin Tabrizi pada Tuhan dan sahabatnya, juga sebagaimana cinta Jalaluddin ar-Rumi yang sanggup mengorbankan dunia? 

Dan saya percaya, sangat-sangat percaya - rindu dan cinta mampu membius kita. 

Jalan Perdana, KL 
April 9, 2014 (6.00 petang)
.
.

No comments: