Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Saturday, October 01, 2011

Rindu Ayah

.














 



(Mengenang pemergian ayahanda 
pada 26 Syawal 1432H/24 September 2011)

Hari ini cukup seminggu ayahanda pulang ke Rahmatullah.
Rasa bagai tidak percaya saya menulis sebaris ayat di atas.
Satu demi satu lelaki dalam hidup saya ke persisian Yang Abadi.

Sewaktu seorang rakan bertanya khabar saya petang ini, saya balas pesanan ringkasnya "saya macam biasa, cuma saya rindu ayah!"

Dia yang saya kenali di Hospital Sultanah Nur Zahirah sewaktu menjaga ayah dua minggu lalu membalas, "awak dah jaga dia dengan baik, saya tengok awak tak tidur pun". Saya jawab lagi "namanya pun jaga orang sakit, kalau nak tidur buat apa jaga."

Saya kasihan padanya, katanya dia terpaksa ke hospital semula kerana abang kepada majikannya terpaksa dimasukkan ke wad semula, bermakna dia akan melalui malam-malam yang kami lalui bersama sebelum ini.  Sebagai lelaki sulung dalam keluarga, banyak tugasan yang harus dipikulnya, dan tugas di hospital menambahkan lagi beban di pundaknya.

Kami sama-sama tidak dapat tidur, mahu bercakap pula saling tidak mengenali, hanya sesekali dia ke katil ayahanda setiap kali mendengar rintihan ayahanda, dan setiap kali saya mengamanahkan dia menjenguk-jenguk ayahanda setiap kali saya terpaksa ke bilik air mencurah air seni ayahanda.

Pesanan ringkasnya hari ini mengembalikan semula kenangan sewaktu di Katil 26, Wad 7EF HSNZ. Di situlah saya rasa sangat kecil di depan Tuhan, sangat memerlukan Rahim-Nya, dan sangat dekat dengan ayahanda. Saya belai ayahanda bagaikan bayi, dan berpeluang memeluk ayahanda yang sentiasa baring.

Dan saya tidak tega membayangkan kesakitan ayahanda sewaktu dimasukkan tiub saluran ubat ke dalam ususnya melalui hidung. Dan sewaktu doktor mennyuntik lengan kering ayahanda. Saya tiada daya menghilangkan kesakitan itu, hanya memohon dari-Nya agar meringankan kesakitan itu, dan memegang jemari ayahanda sambil memujuknya.

"Ayah 'kan gagah.
Ayah tak sakit bila mata cangkul jatuh atas kaki ayah, dan berdarah, kan?
Ayah tak sakit bila jatuh ke dalam sungai dengan basikal dan semua orang ingat kepala ayah yang putus, kan?"

Ayah mengangguk perlahan, bagaikan anak kecil yang mendengar pesan. Sewaktu doktor menarik jarum, ayah sedikit terkejut dan tersedar. Saya cepat-cepat berkata "dah siap pun, kan dah kata ayah gagah".

Saya sentiasa ingin mengenang ayah sebagai lelaki yang gagah dan tabah,
Saya sentiasa ingin bernaung di bawah rimbun dan redup kasih sayang ayah,
kerana itulah ayah.

Persinggahan Satu
Jalan Perdana
.

No comments: