Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Thursday, May 10, 2007

Ditindih dan Menindih

Saya baru pulang dari Bengkel Penulisan Kreatif di Suria Beach Resorts Cherating anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian yang diadakan pada 3-5 Mei. Fasilitatornya adalah Khalid Salleh, Rahimidin Zahari dan S.M. Zakir. Saya terpanggil untuk menerima jemputan tersebut kerana ingin benar "mengenal" Khalid Salleh. Pertemuan pertama tersebut menumbuhkan tunas kekaguman saya terhadap beliau – dirinya sebagai manusia, sekaligus mengusir "zann" saya selama ini.

Namun bukan itu yang saya mahu luahkan di sini. Saya mahu berkongsi kekesalan saya terhadap apa yang berlaku kepada seorang rakan penulis yang menjadi mangsa kepada "penulis muda besar" tanah air yang merupakan sahabatnya. Apa yang saya ketahui, mereka berdua sangat akrab. Keduanya lulusan agama, seorang dari universiti luar negara dan seorang lagi universiti tempatan. Sama-sama mewarnai dunia sastera tanah air dengan bungaan wangi pelbagai warna. Saya syukur dan tumpang gembira setiap kali mendapat tahu mereka sentiasa memenangi pelbagai anugerah sastera negara, kerana bagi saya memang sayugia "orang agama" menceburi dunia sastera sebagai wadah dakwah. Jangan biarkan buku pop dan porno sahaja membunga tahi ayamkan sastera negara.

Alih-alih apabila seorang rakan sebengkel bercerita tentang isu seputar dunia sastera dan menyebut tentang cerita mereka berdua, saya jadi kesal dan sedih yang teramat. Memang rakan penulis tersebut tidak menyatakan nama mereka, tapi saya tahu mereka berdualah yang menjadi subjeknya. Rakan saya menceritakan kisah tersebut untuk dijadikan sempadan dan membuktikan bahawa politik ada di mana-mana, bukan hanya di Machap atau di Ijok.

Sebelum ini saya hanya membaca di media bahawa ramai orang sastera yang tidak bersetuju apabila seorang penobat buku popular diterbangkan ke negara jiran sebagai fasilitator untuk Bengkel Penulisan Novel MASTERA. Sepatutnya tempat beliau didakwa dan diperjuangkan oleh sebilangan besar orang sastera diberikan kepada "penulis muda besar" yang sering menggemilangkan dunia sastera tanah air tercinta yang boleh dikatakan sewaktu dengan Mawi dengan dunia nyanyian dan smsnya. Maka kerana penulis buku pop itu memenangi undian ke MASTERA dan penulis muda besar itu terkuis ke tepi, maka dunia sastera jadi kelam kelibut, haru biru jadinya. Ramai demonstrator muncul menyalak bukit, ada yang menyalak sehingga serak, ramai pula menyalak dalam hati. Bukit tidak juga runtuh, hanya beberapa ketul batu jatuh, terpelanting ke kepala beberapa demonstrator sehingga bengkak-bengkil. Kemudian, isu itu lenyap begitu sahaja. Mungkin mereka sedang merawat bengkak di kepala dan luka di hati setelah bukit yang disalak makin tegap.

Salah seorang peserta yang terpilih ialah ustaz kepada sahabat penulis muda besar. Memang patut pun beliau terpilih sebagai wakil Malaysia bagi genre novel. Beliau telah memenangi beberapa anugerah sastera, dan karya beliau pun bermutu tinggi, bukan cerita cinta murahan. Namun beliau agak bersedih apabila sahabatnya si penulis muda besar yang sepatutnya menjadi pengiring tidak terpilih untuk ikut serta sebagai pembimbing dalam bengkel tersebut kerana tersigung oleh raja buku pop tanah air tercinta. Cerita sedih duka nestapa tentang protes terhadap pemilihan yang tidak adil tersebut berlarutan sehinggalah bengkel MASTERA tersebut berakhir.

Sepulangnya ustaz tersebut, terpacul di muka halaman sastera sebuah media ulasan ustaz terhadap pembimbing bengkel dan isu seputarnya. Memang benar isi kandungan tersebut, dan saya pun bersetuju dengannya. Saya bersyukur dan kagum atas keberanian ustaz yang masih mengamalkan "qulil haq walau kaana murra". Memang ustaz telah berkata benar walaupun akibat yang akan diterima adalah pahit. Saya setuju, saya sokong.

Namun setelah saya mendapat tahu tentang cerita sebenar di sebalik keberanian ustaz tersebut, saya tergagau mencari sinar kemurnian dalam hitam malam dunia sastera. Rupanya sinar tersebut telah dipadamkan oleh seorang yang sepatutnya melindunginya. Si pemain wayang kulit adalah penulis muda besar itu rupanya. Selama ini beliau menjulang bendera agama untuk diikuti supaya nanti pengikutnya boleh menjadi perisai daripada musuh, dan pemalu gendang kepada kejayaannya. Korban pertama adalah ustaz tersebut. Itu yang dituturkan, sebagaimana yang dimaklumkan oleh rakan penulis saya itu.

Menurutnya, ustaz tersebut diprovokasi untuk menulis tentang isu pemilihan itu dari pandangan peserta. Maka menulislah ustaz tersebut bagi menghilangkan kedukalaraan sahabatnya, dengan niat ikhlas "justice prevail", mempraktikkan teori dalam novelnya tentang perjuangan menentang kezaliman. Bukit tidak juga runtuh, makin kukuh sebaliknya, tegap dengan keegoan. Sesekali menghunjamkan batu-batu besar ke jasad si penentangnya. Dan ustaz tersebut kini tertindih oleh seketul batu yang sengaja digolekkan untuk melenyapkannya dari dunia sastera. Sahabatnya si penulis muda besar pula, dengan jiwa oportunisnya memanjat bukit melihat dari atas, dan memilih untuk bertapa di atas sana, menghasilkan berbelas karya untuk stok bulanan di pelbagai media. Berpencak silat setiap bulan di majalah si pemilik bukit dengan cerita-cerita perjuangannya – perjuangan mencaci sahabat Rasulullah s.a.w.

Menyaksikan wayang kulit tersebut, lantas saya terfikir akan makar yang menjadi protokol Zionis la’natullah. Melaga-lagakan umat Islam dan menyembunyikan tangan yang melemparkan batu, meraih keuntungan besar daripadanya. Dan kini pula memukul gendang mazhab untuk memecah belahkan umat Islam. Ramai pula yang berjoget mengikut tariannya. Maka terdapatlah segelintir penulis yang mencanang mazhab yang mencaci sahabat Rasulullah atas nama perjuangan suci – perjuangan yang menggemukkan para pemuka Zionis la’natullah, malah berbangga dengan perjuangan itu - sehinggalah perjuangan itu akhirnya dipraktikkan ke atas sahabat sendiri. Itulah cara Zionis bekerja. Dan si penulis muda besar dan tersohor itu masih, dan masih menempikkan perjuangannya di mana-mana, bak seperti berkokok bergedar-degar, ekor bergelumang tahi (istilah yang dipakai kepada ketua golongan pasdaran di UIAM yang menyokong perjuangan Syiah dahulu).

Saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk membela ustaz tersebut. Saya tahu saya lemah, tiada suara untuk menyalak pusu, malah. Saya hanya ada jiwa yang dapat memahami politik sastera ini, dan mengenal seorang manusia. Hari ini saya kenal seorang "manusia". Apakah sastera, yang sebenarnya?

9 comments:

MARSLI N.O said...

Saudari: Rasanya lama dahulu kita sudah berbincang mengenai seorang manusia. Tentu sekarang saudari memahami kenapa saya bersikap keras dan berjarak dengan sejenis dua manusia ini. Ketika itu, walau saudara mengatakan tindakan saya keras dan lalim, saya sengaja tidak mahu komen apa-apa. Jadi, sekarang gimana ya?

zaidakhtar said...

salam kak rozais yang dihormati,

saya hargai simpati akak. terima kasih. saya hormati pandangan akak.
tapi maafkan saya, sekiranya saya sesungguhnya tidak setuju.

Mari sama-sama kita renungi ayat ini: Inja 'akum fasiqun binaba'in fatabayyanu (Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.)

Hanya dengan mendengar cerita 'seorang' penyampai saja akak sudah bermati-matian percaya? Kalau beginilah amalan sikapnya, patutlah rakyat Malaysia sentiasa tertipu dengan media massa yang 'membenarkan' segala berita pihak kerajaan sahaja. Akak baca Berita Harian dan Utusan tak? Kalau baca, bacalah Harakah dan Siasah juga. Janganlah dengar cerita dari sebelah sisi sahaja. Sisi-sisi lain pun kena ambil tahu juga. :-)

Saya sedar. Ramai yang mengulas di belakang dalam kes ini (memuji, menghentam dsb). Tapi tak ramai pula yang ikhlas bertanya kepada saya - mengapa saya menulisnya? - seolah-olah menafikan bahawa saya juga penulis yang bermaruah dan punya prinsip. Apakah hanya kerana kasihankan seorang sahabat yang kononnya berdukalara, saya sanggup menyingsing lengan mencetuskan kontroversi begini?

Biarpun dikatakan 'terkorban' dan mungkin akan lenyap dari dunia sastera, demi Allah, saya tidak pernah menyesal menulis artikel yang tersiar di MM itu.

Ayuh, sama-samalah kita mempertahankan sastera dan bahasa Melayu yang makin diperkotak-katikkan birokrat dan politikus, selain belajar memahami politik sastera.

kak rozais,
sekali lagi, maafkan saya!

Faisal Tehrani said...

Salam,

Fitnah yang sdr dan 'kawan-kawan' lemparkan terhadap saya memang telah lama saya maklumi. Tetapi saya tak pernah membalas apa pun kerana tidak mahu bermusuh.

Ingatan saya, kalau membuat cerita tentang saya, hati2, ada orang yang masih ikhlas, dan mereka menceritakan kepada saya kerana kasihan saya difitnah oleh orang yang saya jumpa setahun pun tak sekali! Apatah lagi pernah berbicara.

Alhamdulillah. Allah lebih mengetahui apa yang telah saya buat terhadap manusia2 penfitnah ini. Saya tak pernah berbuat jahat Insya-Allah.

Soal mencela sahabat dalam karya, kalau saya jejerkan sekian kitab dari Baladzuri ke Abu ala-al Maududi pun tak guna juga kerana manusia fanatik ada di mana2. Kalau saya beritahu yang Rasulullah sendiri dalam hadisnya (ter,muat dalam Sahihain) mengatakan sahabatnya jadi kafir pun tak guna. Sebab hati telah terkunci rapat.

Nasihat saya, kalau bukan bidang jangan campur. Dan kalau tidak terlibat dalam satu2 isu jangan masuk campur.

Az-Zamakshari yang lahir 467 Hijrah bersamaan 1075 Masehi dan meninggal 537 Hijrah bersamaan 114 Masehi, seorang ulama Hanafi, telah menggambarkan kedudukan mazhab Empat/Ahlul Sunnah pada masa itu seperti berikut:

Jika mereka bertanya tentang mazhabku,

Aku berdiam diri lebih selamat,

Jika aku mengakui sebagai seorang Hanafi,

Nescaya mereka akan mengatakan aku mengharuskan minuman arak,

Jika aku mengakui bermazhab Syafie, mereka akan berkata: aku menghalalkan 'berkahwin dengan anak perempuan (zina)ku sedangkan berkahwin dengan anak sendiri itu diharamkan.

Jika aku seorang Maliki, mereka berkata: aku mengharuskan memakan daging anjing,

Jika aku seorang Hanbali, mereka akan berkata: aku menyerupai Tuhan dengan makhluk.

Dan jika aku seorang ahli al-Hadith, mereka akan berkata: aku adalah seekor kambing jantan yang tidak boleh memahami sesuatu (Tafsir al-Kasysyaf, Cairo, Jilid, II, hlm.494).

Ini adalah sebahagian daripada gambaran fanatik yang berlaku dalam kalangan mazhab Ahlus sunnah itu sendiri. Maka harus hairan apa jika ada orang fanatik yang belum tentu ada ilmu di luar sana menghakimi. Untuk mempertahankan kebenaran kewujudan Abdullah bin Saba pun dia terpaksa merujuk kelompok Nasibi/nawasib (pencerca ahlul bait!). Kasihan. Dan untuk terus mempertahankan hadis memburukkan Nabi sendiri mereka berhempas pulas menulis dan menyebarkan kesesatan.

Wassalam.

rozais al-anamy said...

Sdr. Zaid dan Faisal,
Tentu pembaca lega setelah mendapat tahu nama watak yang anda nyatakan kepada mereka. Ramai yang bertanya kepada saya, saya katakan tidak perlu wataknya, cuma ambil cerita dan i’tibarnya. Bukan salah anda berdua juga, memang orang Malaysia terkenal dengan sifat suka melatahnya.

hakim dirani said...

Haa?

zaidakhtar said...

salam kak rozais,

terima kasih juga kerna bersusah-payah dan bersungguh-sungguh benar bercerita. nampaknya itulah i'tibar terbesar yang dapat dijaring semasa ke Cherating tempoh hari. bolehlah dibikin novel ya. hehehe.

nasihat saya yang masih hijau ini, tak usahlah mengacau kuah di periuk orang lain. silap haribulan terpercik, terkena muka sendiri. tapi begitulah, kata orang tua, mulut tempayan lebih senang ditutup berbanding mulut manusia.

sungguh-sungguh saya kesian dengan akak. janganlah hiraukan tepi kain orang lagi.

salam hormat.

rozais al-anamy said...

Akhi Dirani,
Awat terkejut sakan? Itu baru sahaja kisah kecil dalam cawan sastera di Malaysia. Memang orang di sini pandai menari. Cuma tinggal si pemalu gendang nak main lagu apa. Kadangkala tu tak sangka pula ada bakat terpendam dari kalangan yang alim baca kitab kuning menari joget lambak. Akak cuma perhati tengok mana yang asyik maksyuk menari sampai tak sedar terselak kain sarung, boleh tolong ingatkan. Bimbang nanti terlondeh, nampak aurat pula.. Tak pula sampai nak selak kain depa. Hehe.

Ilham Purnama said...

salam, kak Rozais yang dirahmati Allah Taala,

Sekadar memerhati, memantau, meneliti, dan mengkaji dari jauh pergolakan yang berlaku nun jauh di tanah air, buat saat ini hanya doa kepada-Nya dipohon agar ditunjukkan yang benar itu benar, dan yang batil itu tetaplah batil dan salah, kepada-Nya dipohon agar mengurniakan hidayah-Nya buat semua yang ikhlas kerana agama-Nya.

rozais al-anamy said...

Assalamu'alaikum warahmatullah,
Akhi Ilham, kalau tidak bertandang ke blog akhi, mati-matian saya ingatkan akhi ini perempuan, dengan nama dan nada tulisan yang lembut sebegitu.. hehe.
Sama-samalah bermohon pada Ilahi agar sentiasa ditunjuki sirathal mustaqim paza zaman fitnah ini kerana sedikit benar penghadang antara haq dan batil, kadangkala sampai terkeliru antara dajjal dan malaikat.
Syukran jazilan atas kunjungan.