Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Friday, December 30, 2011

Ros Kesumba Hari Mulia

.

Pertama kali menerima jambangan bunga adalah pada Mei 11, 2009; sehari awal daripada tarikh "Ist Anniversary" yang tercatat pada kad jambangan ros merah hati yang dikirim. Saya tidak pernah menyangka dia masih mengingat tarikh pertama kali temu kami pada Mei 12, 2008.

Lima bulan sebelum itu, dia mengirimkan sebatang pena berona emas dan sebotol dakwat biru laut sempena Ulangtahun Kelahiran saya ke-36 yang saya terima pada 28 Disember 2008, tiga hari sebelum tarikh ulangtahun keputerian saya pada Januari 1. Saya sangat gembira dan mendoakan agar dia sentiasa diganjari kebahagiaan kerana menggembirakan saya dengan sebatang pena. Malangnya, keesokan harinya saya diberitakan suatu khabar sedih, ibunya pulang ke sisi-Nya. Doa saya tidak dapat melawan takdir mubram. 
 
Hari ini, awal pagi saya dibisikkan ucapan "Selamat Hari Lahir". Saya hanya mampu ketawa kerana mengenangkan dia sering menitipkan sesuatu sebelum tarikhnya. Terasa seperti sedang berhadapan dengan seorang budak nakal yang suka mengusik dengan keletah yang mencuit rasa. 

Hampir tengahari, saya dipanggil ke lobi kerana ada kiriman buat saya. Terfikir saya, buku manakah yang saya pesan secara talian, rasanya tiada kerana saya mahu menghabiskan stok yang masih banyak belum dibaca. Saya turun selamba. 

Ah, dia masih bernakal dengan saya! Sedosen ros kesumba dalam gubahan indah mekar di jiwa saya. Rakan-rakan mengucapkan selamat hari lahir kepada saya, terus saya menyanggah, bukan hari ini! Dia memang suka memberikan keterujaan pada saya sebelum tarikhnya, sejak dulu. Ya, sejak dulu.

Kepada dia, terima kasih atas ingatan indah. Semoga saya mampu memberikan dia kebahagiaan sebagaimana kebahagiaan yang dirasa pada pagi ini, dan semoga deru kasihnya tiada henti sepanjang aliran usia.

Jalan Perdana, KL
.

1 comment:

azmi alkelantani said...

rindu sajak-sajak romantis Rozais Al-Anamy