.
Membuka pintu laman maya ini, samalah seperti saat pertama ingin membaca nota di dalam botol yang hanyut dan singgah di dada pantai. Sama debarnya tatkala menatap adegan dalam "Message in a Bottle". Ada debar, getar dan paluan di kalbu.
Menutup pintunya pula, rasa sesak nafas sebagaimana adegan akhir "Sweet November". Terasa ingin berada di langit, melihat jauh ke bumi. memantau orang yang dikasihi, tak kira bagaimana pun jua ingatannya kepada diri ini.
Taman ini seolah-olah suatu wijil, sebaik dikuak, sejumlah kenangan akan terpapar depan indera, yang mengundang sebak, keluh-kesah dan rasa tercungap-cungap. Ada wajah-wajah yang sedang tersenyum dalam taman ini, ada yang sedang menjeruk rasa, ada bahagia, ada derita.
Ada kenangan manis yang tak akan terlupakan, ada keindahan bagaikan syurga, ada derita yang tak tahan dipendam, menyebakkan dada dan menyukarkan untuk bernafas. Ia adalah warna warni sebuah taman maya, saya silau dengan pancawarna hingga saya terkadang gerun untuk membuka pintunya.
Namun taman ini tempat saya menyendiri, mengubat hati, terkadang terjadi sebaliknya, tertambah lara hati. Saya berhiba-hiba di sini, mengadu pada aksara dan abjad yang ditaip terus dari jiwa; setiap kali rasa kosong dan sempit berlumba mengisi dada.
Justeru itu, saya benarkan kata teman maya, laman ini seharusnya jangan dibiarkan bersawang, kerana laman ini adalah saya. Benar katanya, saya hilang diri kerana cuba menjauhi pintu ke laman ini, kerana saya terlalu takut akan kenangan.
Sehinggalah hari ini, saya harus kuat mendepani kenangan itu, untuk mencari sedikit kekuatan dalam bayu lembut Jumaat yang sangat mendera perasaan ini. Semoga saya berjaya mengusir rasa kecewa setelah dikhianati seseorang, dan senyum menerima karma.
.
.
7 comments:
'kestabilan dan kesabaran sebagai
kunci, mereka kagumi kamu!'
Persis minda,
Haruskah ia bertemankan sesuatu yang dinamakan masa depan?
Terima kasih atas sokongan. Selagi daya dan punya rasa, dizinkan Dia, saya akan terus membukanya untuk melepaskan lelah di jiwa dan berkongsi rasa.
Zawawi Aziz,
Semoga terus dan terus...
Salam RAA,
"jauh dan dalam sekali catatan kali ini".
Zek,
Begitulah jika minda mengembara ke ruang jiwa.
Post a Comment