Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Wednesday, November 08, 2006

Saddam, Syiah dan Zaman Fitnah

Malu. Itulah perasaan saya sebaik sahaja terjeling ayat ringkas SF dalam ruangan komen di blog ini. Kenapa saya berasa malu? Saya boleh sahaja untuk tidak berasa malu kerana ikut sayalah untuk memilih untuk mengaktifkan atau membekukan blog saya, orang lain apa peduli. Tetapi saya berasa malu kerana memikirkan tanggungjawab. Bila sudah ada blog, macam orang yang ada anaklah. Rengus orang, beranak pandai tetapi tak pandai jaga. Itulah yang saya rasa. Dan rasa malu ituah memaksa @ mendorong saya untuk menulis hari ini. Terima kasih kepada SF yang telus, saya hargai sikap terus terangnya. Di samping itu, tegurannya itu dapat menyelamatkan saya dari “dihalau” Nisah dari senarai link blognya. Woi, malulah kalau kena halau dari bursa blog Nisah, hehe.
Sebenarnya saya terlekat kuih raya… di kerongkong, tangan, mata mahupun telinga. Sehingga Isnin lepas, kuih yang tercekik di kerongkong terjeluak keluar sebaik menatap “Saddam To Hang.” Sedih, marah, pilu, geram, rasa kasihan, sayu – sehidangan rojak pedih. Celaka Bush! Kemarahan bertambah apabila memikirkan sabit kesalahan yang membawa kepada hukuman tersebut. Ini memang makar dari Yahudi la’natullah dan sekutunya. Sengaja mengorek dosa yang pernah dilakukan Saddam untuk meraih kepentingan dan memecah belah serta melaga-lagakan umat Islam.
Saya bukannya meremehkan pembunuhan 148 penduduk Syiah di Dujail tersebut, bukan juga membenarkan tindakan Saddam. Memanglah mengambil nyawa orang bukan hak manusia, tetapi bila dalam kes Saddam dan kekhilafan dunia hari ini, segala aspek perundangan dan agama perlu diambil kira sebijaksana mungkin.
Saya sedih melihat kebodohan pengikut Syiah yang terkinja-kinja melompat kegembiraan sebaik keputusan Tribunal Iraq menetapkan hukuman gantung sampai mati kepada Saddam dan beberapa orang yang terbabit. Tidak terfikirkah mereka akan maruah umat Islam yang tersiat oleh pisau perencanaan Amerika dan Yahudi la’natullah? Tidak terfikirkah mereka betapa Bush la’natullah bangga melihat seorang Muslim bakal dikuburkan mungkin sebulan nanti? Betapa sanggup pengikut Syiah yang bisu, buta dan tuli akan sirah dan sejarah umat Islam terdahulu. Sikap mereka akan menambahkan keangkuhan bangsa yang dilaknat itu dan meninggikan keyakinan mereka bahawa senjata terbesar mereka bukanlah bom atom atau sebagainya, tetapi cukup dengan serangan pemikiran terhadap bangsa Arab yang kuat rasa asabiyyahnya dan umat Islam yang rapuh tauhidnya. Jika penganut Kristian dan Yahudi sanggup bahu-membahu dalam usaha menghapuskan Islam, umat Islam yang dibekalkan mukjizat yang tidak pernah diubah oleh tangan manusia pula sanggup bersuka ria atas kematian saudara seagama kerana sentimen yang dicipta sendiri.
Syiah dengan sikap kasarnya dan aqidah yang kelabu, berpandukan kitab karangan pendahulu mereka yang entah beroleh ilham atau tuntunan syaitan, menghukum kafir ke atas Sunni dan menghalalkan nyawa umat Muhammad S.A.W menjadi penyembelih kedua umat Islam selepas Yahudi la’natullah. Kerana Saddam pernah membunuh sebilangan kecil pengikut mereka, sanggup mereka bersekutu perasaan dan makar dengan Yahudi untuk melanyak perasaan umat Islam seisi glob demi memuaskan hati mereka. Kerana Saddam anti-Syiah. Bagaimana dengan prinsip mereka yang anti-Sunni? Itulah dasarnya pengikut-pengikut anti sahabat Rasulullah.
Saya tidak pernah mengutuk Syiah sebelum ini sehinggalah saya melihat aksi mereka semalam. Biarpun sebelum ini saya mendengar berita-berita yang membuktikan mereka menghalalkan darah pengikut Sunni dan berasa terkilan kerana kesan perbezaan mazhab telah sampai ke tahap separah itu, namun sikap mereka seperti yang dipaparkan kelmarin menaikkan suhu kemarahan saya atas kezaliman dan keangkuhan mereka yang berkongsi perasaan ceria menantikan kematian Saddam – kekalahan umat Islam, sebenarnya. Bagi mereka, Saddamlah musuh Islam (Syiah) dan wajib diperangi; dan Yahudi serta Bush la’natullah itu penyelamat! Maka bersukarialah mereka. Bukankah prisip Yahudi itu menetapkan nyawa orang lain selain bangsanya itu halal, dan prinsip itu jugalah yang ditatang Syiah?
Saya pernah mengikuti kumpulan Syiah ini sewaktu berada di universiti. Tidak susah untuk menjadi pengikut mazhab ini. Didiklah jiwa sekeras mungkin kerana kita akan jadi revolusioner. Jangan harapkan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana mereka terlampau lembut dan berhikmah. Kita kena guna kekerasan untuk membentuk negara, lembut-lembut sangat lambat nak naik. Dan macam-macam lagilah amanat ketua kami. Kami pengikut setia pun mulalah menyuburkan rasa bangga pada kumpulan kami, “the chosen people” yang akan merubah dunia, melawan kuasa jahat Amerika. Pantang ada rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan negara, tanpa usul periksa kami ambil sikap berkeras membawa kejayaan. Kami rancang demontrasi dan pelbagai perancangan lagi seperti (tuuuuut!). Cuma saya tidaklah sempat bersujud di atas batu sewaktu solat. Dan saya masih ragu-ragu untuk mengaminkan doa yang pembukaannya dibarisi nama imam-imam Syiah.
Pada tahun empat di UIA, saya mula mengesan percanggahan mazhab ini dengan aqidah Islam. Ada keraguan yang bertandang dalam kalbu setiap kali dititip amanat dari “imam kecil’ mazhab di universiti. Jiwa saya memprotes kebanyakan keputusan yang jauh menyimpang dari landasan kebijaksanaan dan hikmah. Secara terang-terangan saya mengisytiharkan pembebasan saya dari bai’ah kumpulan tersebut. Saya dikecam hebat kerana mereka bimbang rahsia mereka akan terbongkar memandangkan saya antara pimpinan tertinggi jamaah yang mendokong mazhab Syiah ini. Para pemimpin tertinggi jamaah mula menyebarkan khabar bahawa saya sudah terpesong iman dan menyebarkan ajaran al-Quran baru yang sesat. Bersembahyanglah mereka 20 rakaat untuk mengembalikan saya kepada jamaah mereka, memimpin semula Lujnah Antarabangsa Muslimat yang telah saya tanggalkan dari diri saya. Saya nekad mencontohi Abu Musa Asya’ari yang berani bertindak dalam memburu kebenaran.
Saya melanjutkan coretan tentang kisah Saddam ini kepada cerita seputar pengikut Syiah ini kerana saya perhatikan ada individu tertentu yang ghairah menjunjung mazhab Syiah mutakhir ini secara jahil sehingga sanggup mengkafirkan sahabat dan mencerca ulama’ terdahulu. Apabila terserempak dengan sebuah blog pro Syiah Rafidi yang sesat aqidahnya, saya fikir saya harus bersuara, kerana kedangkalan mereka terhadap sirah dan sejarah Nabi dan ulama’ terdahulu nampak benar didalangi pihak tertentu dan bermotifkan sesuatu.
Sama-samalah memohon hidayah dan inayah daripada Allah untuk berlari di jalan yang mustaqim dalam zaman fitnah ini.

14 comments:

mohamadkholid said...

saya lebih bimbang iraq berpecah tiga - sunni, syiah dan kurdish

wan a. rafar said...

Pengetahuan saya tentang Syiah amat sedikit. Apakah tidak mungkin Sunni-Syiah akan bersatu pada suatu masa nanti?

rozais al-anamy said...

kholid,
berpecah tetapi masih atas kalimah yang satu masih boleh bersatu, namun kalau bersatu atas halatuju yang bercabang itulah fitnah.

pak wan,
saya cuba husnuzzann atas percampuran minyak dan air.

thenewbarbarians said...

memang ramai rakyat malaysia yang sedih, marah dan malu di atas apa yang menimpa Saddam. Tapi bagi penganalisis yang serius, mereka menganggap begitu lah kesudahannya permainan politik Saddam di Timur Tengah. Semalam saya bercakap dengan Profesor Dr Mohd Redzuan dari UM. Katanya, 70 peratus rakyat Malaysia marah atas hukuman itu. Ya, Saddam dianggap hero dalam mempertahankan Islam kerana berani lawan amerika. tapi tidak ramai yang terfikir bhw berani lawan Amerika tidak semestinya seseorang itu memperjuangkan Islam dlm erti kata sebenar-benarnya. Kebetulan saja Saddam itu orang Islam. Percaturan politik Saddam, siapa yg kaji? Sama juga macam Iran yang lawan Amerika bukan kerana memperjuangkan Islam tetapi kerana memperjuangkan mazhab Syiah dan kebanggaan yg melampau terhadap bangsa Parsi. Sejarah membuktikan bahawa mazhab Syiah bukan lah mazhab yg ada idea revolusi. tengok lah fakta sejarah sebelum Imam Khomeni muncul. Ulama tidak dibenarkan menjadi pemimpin dan keadaan ini berlaku hanya pd era Imam Khomeni. Penganalisis yg serius dan ahli akademik yang mengkaji situasi politik antarabangsa berpendapat Saddam sama seperti rejim2 Arab lain yg mempunyai kepentingan politik di Timur Tengah. Ya, kita marah kerana sentimen anti-amerika. Selain anggap Saddam sebagai hero, kita sekarang mula pandang Iran sebagai hero - negara Islam yg berani lawan Amerika. Sekali lagi, lawan Amerika tidak bermakna perjuangankan Islam. Saya baru sahaja menulis mengenai tembelang Iran tetapi kerana sentimen masyarakat, penganalisis yang saya wawancara mencadangkan agar rencana itu tidak disiarkan di media. Begitu lah, sebagai penulis, kita bukan sahaja terpaksa tunduk kepada kehendak editor dan agenda sesebuah media yang kita sertai, tetapi juga sentimen masyarakat.

Naim said...

fuh! padat.

bila agaknya tiga3 puak di Iraq kan ber-1?

Yang mahu lihat Ariel Sharon, Bush dan Tony Blair digantung mati.

Sahrunizam said...

sejarah tetap sejarah. saddam memang pernah melakukan dosa. tapi bagaimana dengan "syaitan berbau belerang"- bush. syaitan besar itu mewarisi dosa bapanya membunuh jutaan nyawa di banyak negara. sayang bush masih hidup....

rozais al-anamy said...

Sdr. TNB (the new barbarians),
Saya juga husnuzzann yang Saddam itu Islam walaupun pernah dikaitkan dengan Bahaism, juga pernah terhenyak sebagai Muslim ‘Aasi atas penyembelihan yang dilakukan dulu. Pintu taubat sentiasa terbuka. Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Persoalan yang saya ingin apungkan dalam kes Saddam, Amerika dan Syiah di sini ialah – jika dua kejahatan bertembung, di pihak manakah kebenaran; jika dikaitkan dengan kaedah mengambil yang kurang mudharat berbanding yang paling mudharat?
Saddam pernah berperibadi dan bertindak mazmumah, Syiah apatah lagi sehingga kini, dan Bush serta sekutu la’natullah yang sahih sesat dan menyesatkan serta kafir itu sedang bergelut dalam tangki najis. Tubuh siapa yang ingin kita tarik ke atas dalam menjaga maruah Islam dan ummah?
Manusia yang berkepentingan politik ada di mana-mana, ada pihak yang masih meletakkan politik di bawah petunjuk Islam, tetapi ramai pula yang menggiling agama untuk kepentingan politik. Maka pandailah menolong yang kurang memberikan mudharat itu.
Saya setuju benar dengan pendapat sdra tentang perjuangan Syiah yang bagaikan fatamorgana di padang pasir itu. Sebilangan besar penyokong mazhab Syiah di Malaysia ini beria-ia benar menegakkan benang muslihat Syiah, namun sedarkah mereka siapakah mangsa seterusnya yang akan dibaham Syiah sekiranya mereka berjaya menumpaskan Amerika? Mungkin menyedari permainan politik Syiah itulah sebilangan besar pengikut Sunni yang ragu-ragu akan janji Allah menyeberang ke mazhab Syiah untuk mendapat suaka politik, kononnya menanti hujan dengan payung di tangan setelah revolusi dijayakan oleh Imam-imam Ma’sumin mereka. Bukankah itu seperti mengaut sisa sampah sejarah yang mahu dilupuskan oleh prinsip keagungan Islam?
Ingin benar saya baca rencana seputar wawancara tersebut jika sdra tidak keberatan menghulurkannya.

Sahrunizam,
Pernah saya hulurkan pertanyaan kepada seorang yang faqih agama tentang mengapa Bush masih dihidupkan Allah setelah kekejaman dan kezaliman yang dilakukannya, tidak adakah wali-wali Allah yang boleh menghantar “senjata fakir” dan seumpamanya untuk menhentikan lara ummah. Apa jawabnya? Ummah masih belum terdera pada tahap yang sepatutnya, belum bersatu padu sewajibnya ia, justeru itulah Bush dan sekutunya dihidupkan atas dasar istidraj. Dan Allah akan memakbulkan doa hamba yang berada pada tahap genting, sepenuh-penuh penyerahan pada-Nya, setelah mereka benar-benar hampir berputus asa. Bukankah Allah telah mengingatkan bahawa jika dua pihak bertelegah, Dia akan mengutuskan pihak ketiga ke dalam kaum tersebut yang akan berkuasa dan menghancurkan kedua-dua pihak yang berpecah?

Tok Rimau said...

Ketika di masjid. Ternampak tertera di dada seorang pemuda Timur Tengah, "Bukan Sunni. Bukan Syiah. Aku muslim."

rozais al-anamy said...

Tok Rimau,
suruh pemuda tu lalu di kawasan orang Syiah, apa jadi agaknya?
Dulu saya suka baca buku "Al Islam bila mazahib" tapi buku tu dah kena makan oleh anai-anai.

zalisa maz said...

sudah ada en3 baru rupanya. menarik en3 u. tapi sakit mata membacanya.

cuba u buat perenggan demi perenggan agar lebih mudah dibaca.lagi pun perenggan menjadikan en3 u bertambah menarik dan kemas.

maaf. kak za mmg suka berterus terang. betul, setiap kali kak masuk ke mana2 blog, jika mereka menulis begini kak hanya baca sedikit kemudian berlalu pergi.

kak susah nak faham walaupun bahasa melayu. kemas itu penting dan melambangkan peribadi kita, bukan? :D

sayang selalu
~zalisa maz~

rozais al-anamy said...

kak zalisa,
terima kasih atas komen membina. sejak dari awal membina blog lagi saya cuba buat perenggan dsb untuk nampak kemas, namun the scribe ni tak izinkan dan saya pula tidak punya peluang dan ruang waktu yg banyak untuk menyolekkan blog. insya allah saya akan cuba peruntukkan masa untuk itu.

zalisa maz said...

rozais,

barangkali kena cuba kaedah yang kak guna pakai :D

apabila sekali tekan enter tidak berjaya menghasilkan perenggan. tekan enter itu dua kali. walaupun nampak jarak perenggan itu seperti terlalu jauh, apabila view, tulisan u nampak kemas. cubalah.

Serunai Faqir aka SF said...

TErima kasih atas teguran, saya berada di Pahang ketika itu. : )

Senandung malam said...

Sesungguhnya Syiah Rafidi merupakan racun paling bahaya buat umat zaman ini.Keadaan juga semakin membimbangkan sekarang bilamana puak syiah melebarkan sayap mereka ke seluruh Malaysia. mari sama-sama kita terus membongkar kesesatan syiah yang ama bahaya ini.kita boleh sahaja membiarkan jika perselisihan berlaku dalam masalah furu'. Tetapi tidak sama sekali ada toleransi jika perselisihan kita berlaku dalam perkara usul. wallahua'lam.