Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Wednesday, June 24, 2009

Hari-Hari Yang Rengsa

.
Saya ke kota batu pagi 12 Jun bersama Noble’s Angels, mengiringi sifu puisi kami untuk majlis Malam Puisi Utusan (MPU). Perjalanan yang tidak dirancang selalunya lebih meriah dan menghiburkan, berbanding percutian yang dirancang awal-awal lagi, kemudian disapa aral melintang.
MPU malam itu saya simpulkan ringkas dan manis, seperti seorang dara yang mengenakan sepasang baju kurung putih kain kapas corak bunga halus rona biru dan berkerudung putih. Saya rasa cukup terhibur pada malam itu, apatah lagi sudah lama tidak mengikuti acara baca puisi. Acara malam tersebut mampu menerbangkan ingatan saya kepada acara Ratib Seribu Syair pada penghujung 2001, dan buat kedua kalinya saya benar-benar rasa puas.
Empat hari berada di Padang Embun, kami terbang semula ke kota batu. Keputusan untuk menghadiri majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2008 pada malam 19 Jun dibuat pada saat akhir. Sedikit aral melintang sewaktu pulang cukup menyedarkan saya tentang makna ikhtiar, penerimaan dan sifat tenang. Tuhan memperkenalkan saya kepada satu bentuk ujian yang belum pernah saya alami sebelum ini.
Saya tidak tahu mengapa sewaktu kaki menjejak tanah Kota Bharu pada awal pagi 22 Jun, hati menderu sayu dan pilu. Saya rasa sebuah kekosongan, seolah-olah saya sedang bergantung pada sekeping kayu dan sedang hanyut di segara. Tak bertepi. Dan tanpa sebuah kompas.
Saya rasa asing berada di rumah sendiri. Tanaman-tanaman yang layu kering di halaman makin menambahkan sesak jiwa. Saya hanya sempat membisikkan maaf kepada mereka kerana tidak mampu bermesra seperti biasa. Hanya sempat mencium kemboja yang semakin lebat bunganya dan membisikkan “aku sayang kamu.”
Pagi 23 Jun, saya terpanggil untuk menghubungi seseorang, dan berkongsi dengannya cerita tentang kehidupan. Perkenalan kami membuka pintu pencerahan ke atas jiwa saya; saya sendiri tidak percaya apa yang sedang berlaku kepada saya; saya mencadangkan suatu keputusan yang akan membahagiakan dirinya. Pagi itu saya dapat rasa hati seorang wanita disimbah sinar bahagia.
Dan hari ini, dalam keadaan kepala pusing dan mata berpinar saya menyeret langkah di halaman. Saya lihat bunga-bunga berkembang. Pepohon mula bangun dan senyum. Ada sekuntum kemboja jatuh, tak berteman. Mungkin disapa ribut semalam.
Dalam pasrah,
berikan aku sehari lagi!
Untuk aku mengenal Tuhan.
.

Cinta Yang Pergi


Hal yang menyedihkan
dalam hidup adalah
ketika kamu bertemu seseorang
yang sangat bererti bagimu,
hanya untuk menemukan bahawa
pada akhirnya menjadi tidak bererti
dan kamu harus
membiarkannya pergi.

Tuesday, June 23, 2009

Peta Tak Bertanda

.
Setelah lama aku diam di daratan, rindu menyerbu
ingin aku lihat nelayan menepuk laut
camar yang mencubit ombak, dan aku

ingin sekali lagi membuka peta tak bertanda

mencari hala yang tertunda, dan kau

mengasah sebilah pedang dusta
untuk merobek peta jiwa
yang kutulis dengan tinta biru rindu

setahun dulu.

Kamar Rindu
.

Belati Di Kilas Belakang

Kedatangan Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri Singapura ke Kelantan baru-baru ini menyebabkan beberapa kerat orang Kota Bharu rasa teruja. Maklumlah, orang luar datang dan orang Kota Bharu pula dihebahkan pandai menghiburkan tetamu, dengan tertib-terningnya. Tambah pula dalam kemelut dalaman PAS, nasihat dan ziarah orang luar mungkin boleh pakai juga.

Cuma doa saya, janganlah penasihat orang-orang besar Tuan Guru pula menangguk di air keruh dalam situasi ini, sekali-sekala dengarlah luahan Nik Abduh. Yang selalu jadi pak turut dan "nde" (barua/jong dondang) pula jangan asyik tulis blog mengalu-alukan kedatangan tetamu yang sentiasa menyimpan belati di kilas belakangnya. Di samping tertib-terning mengalukan tetamu, bersedialah juga menghunus keris suatu hari nanti, tatkala tetamu sudah tahu mana tingkap, mana pintunya rumah, tengah dan tepi.

* Sentiasa tak lupa bawa cucuk sanggul ke mana saja.
.

Thursday, June 18, 2009

Apabila Isteri Mahu Kahwin

.
Malam tadi, saya sempat kerling berita TV3. Saya lihat Tuan Guru Dato' Nik Aziz tertunduk, sambil memberi komen seputar kerajaan perpaduan. Marah benar Nik Aziz pada hawariyyun yang pada pendapat beliau sudah gelincir trek, dan mula kelihatan bunga-bunga mahu derhaka pada parti. Saya tidak mahu ulas lanjut tentang kerajaan perpaduan, kerana saya belum mengkajinya secara tuntas.

Sewaktu melewati simpang empat ke Kota Bharu, ada kain rentang bertulis "Kerajaan perpaduan boneka UMNO! Sah." Entahlah pihak mana yang menggantungkannya, mungkin kerja pihak Erdogan, mungkin pihak pro kerajaan perpaduan, mungkin orang UMNO dan mungkin kerja bangsa-bangsa lain yang cuba menangguk di air keruh. Pada masa inilah petugas perang saraf tak ingat anak bini, kerana asyik merangka strategi menghadapi situasi yang genting. Pada masa inilah ada kepala-kepala diacu pistol dan pada masa inilah ada ugutan dan pujukan untuk mempengaruhi. Dan pada masa inilah orang-orang kanan dan para pembantu orang-orang besar mula mengeluarkan jarum yang disimpan selama ini.

Cik suarakan pada saya, dia sudah pening. Betul-betul pening dengan apa yang berlaku. Saya beritahu Cik, usahkan Cik, orang parti sekarang semuanya pening. Saya terangkan pada Cik apa sebenarnya yang berlaku. Saya bukan mahu berpihak pada Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang kerana faktor negeri; tetapi menurut pandangan para wali dan ilmu sesetengah orang pondok, ada kejutan yang perlu diterima demi kelestarian agama dan bangsa Melayu. Namun orang awam tidak dapat memahami sedalam itu. Terbeliak mata Cik mendengar cerita saya. Saya minta diri untuk pulang, meninggalkan Cik dengan harapan Cik akan perjelaskan pula pada ahli korumnya esok.

Ahli dan penyokong PAS, masing-masing umpama anak-anak yang sedang melihat orang tua mereka mahu kahwin dengan hero samseng kampung dusun. Masing-masing mendengus - Tak bolehkah kekal baik macam dulu, tak payah cerai laki-bini. Ini tidak, serumah setangga baik-baik dari dulu, alih-alih bergaduh sebab ada jantan/betina mengorat pasangan masing-masing.

Pada masa itu jugalah masing-masing tegakkan prinsip sendiri. Si suami cakap, jangan percaya hero samseng kampung dusun, dulu dia dah tipu kamu! Nasib baik aku tolong selamatkan. Si isteri jawab, kau dari dulu sampai sekarang, dah hampir dua dekad, macam itu-itu juga. Nampak elok di luar, hanya aku yang tahu rahsianya. Tanah kita dah banyak terjual pada bangsa tahi cicak, kau diam saja atas alasan untuk jinakkan mereka. Nanti dengan "tanah" aku sekali dikebasnya, kau bagi juga; asalkan mereka sanggup sokong kau dan tidak bergaduh dengan parti kita. Asalkan kau boleh tunjuk pada hero samseng kampung dusun yang kau ramah mesra berkawan dengan mereka. Kau sanggup tengok nama Gua Musang bertukar Temasik nanti?

Baik aku berundur kalau kau pun dah lupa bunga silat. Biar aku pertahankan diri aku sendiri. Aku tahulah macam mana nak hidup dengan hero samseng kampung dusun nanti. Insya Allah, aku yakin aku tahu apa yang aku buat. Aku bukan kasyaf, tapi aku dapat rasakan rumah dan anak cucu kita akan disembelih kuffar selagi kau kekal dengan sikap lembut tak mengira zaman. Masih ingat apa yang terjadi pada zaman Khalifah Uthman Affan?

Sekiranya suatu hari nanti kau rasa aku benar, datanglah jemput aku. Aku bukan mahu kahwin pun dengan samseng kampung dusun, sekadar nak berbincang. Demi Allah aku masih setia dan aku akan jaga adab dan hukum-hakam sebagai isteri. Tolonglah biarkan aku pergi buat sementara waktu, demi agama dan bangsa kita, sebelum anak-anak kita disembelih kuffar bangsa tahi cicak! Jika kau pernah gunakan istilah tahalluf siasi untuk terima mereka tidur sebantal di rumah pakatan kita dahulu, walaupun mereka itu kafir, susah sangatkah untuk kau buang egomu sekali lagi, lebih-lebih lagi yang menjadi rakan perbincanganku ini mengucap syahadah yang sama dengan kita?

Tuesday, June 16, 2009

Sebelum Naik Sawan

.
Salah satu sikap negatif saya ialah hipokrit, di mana saya tidak akan menegur perangai, sikap, kesalahan, kesilapan atau akhlak buruk seseorang secara berdepan dan secara berterus-terang; kerana saya khuatir ia akan menyebabkan seseorang itu berasa hati atau marah atau sakit hati dengan teguran saya. Dan berdasarkan pengalaman lepas, memang 90% mereka yang ditegur membenarkan kekhuatiran saya itu. Mulalah selepas itu apabila bertembung, mereka akan tarik muka empat belas atau terus padamkan nama saya dari ingatan mereka. Makanya, bermula dari tarikh tersebut, saya mula ambil sikap diam dan hanya guna tujuh mata untuk mengenal manusia, dan secara beransur-ansur merenggangkan diri daripada mereka.

Kata rafik, sikap hipokrit itu menafikan amanah saya sebagai hamba yang sepatutnya bersifat tabligh; sepatutnya saya menyampaikan kebenaran dan membetulkan yang salah. Tapi saya punya alasan sendiri; dalam dunia fitnah ini, ditambah pula semua manusia telah "sampai seru" malah ada yang ingin ditegur itu tahu semua hukum-hakam lebih daripada saya sendiri, bagaimana lagi saya patut bereaksi; kerana tembok yang menghalang hanyalah keegoan. Bagi saya, manusia sebegitu tidak perlu teguran, tapi perlukan tarbiyah.

Hari ini, apabila mendengar cerita seorang rakan blog yang "tension giler" gara-gara sikap seorang pembaca blognya yang kurang adab dan bodoh sewel, saya berasa empati pada nasibnya, apatah lagi pembaca blognya itu saya amat kenal dan berada di kalangan kami juga. Saya ada dua sebab untuk marah kepada pembaca blog tersebut (Z); pertamanya atas sebab peribadi, dan kedua atas sebab dia bertindak kurang ajar kepada rakan blog saya. Sudah lama saya perhatikan sikap dan perangainya setiap kali saya pulang ke Batu Enam. Hendak ditegur, saya tiada kuasa dan sudah tentu orang di sekeliling kami akan menyalahkan saya kerana mereka tidak kenal secara mendalam perangai Z, apatah lagi sudah lama saya memilih jadi manusia hipokrit. Hendak diam, saya kasihan pada insan-insan di sekeliling yang menjeruk rasa sakit hati dan tertindas oleh sikap kebudak-budakannya dan bodoh tololnya.

Tahun ini merupakan tahun klimaks saya memendam rasa geram terhadap perangainya yang menyakitkan mata, malah sebahagian besar daripada kami sudah tidak dapat menahan api yang memarak dalam dada. Disinis dan disatira, Z cukup bangang untuk memahami. Nak ditegur secara terus-terang, masing-masing belum sampai hati mengenangkan ada perasaan manusia lain yang mungkin tersinggung sekiranya pasangan sendiri ditegur. Maka, yang sakit jantung terus sakit jantung, yang ada darah tinggi terus melambung, dan yang sengal-sengal lutut tulang pula, tambah sengal jiwa.

"Engkaulah tegur, mungkin dia boleh terima sebagai kawan, lagipun dia sebaya kau," usul rakan-rakan yang saya minta pendapat mereka. Saya senyum, memujuk hati panas yang sudah sekian lama. Apa tidaknya, saya pantang lihat lelaki yang hanya pandai makan dan kekalkan pinggannya atas meja. Sisa makanan pula diletak atas meja. Apa dia ingat kami ini babu diakah, untuk sapu dan bawa pinggannya ke sink? Lainlah kalau dia tu OKU, itupun ramai saya jumpa OKU yang berdikari, lebih rajin dan reti bahasa berbanding Z. Pernah suatu waktu, sewaktu ayah mertuanya sedang tidur di ruang depan rumah, Z main sepak botol air mineral dengan anaknya sehinggakan ayah mertuanya naik darah 180 darjah akibat menahan marah.

Pada waktu itu saya fikir inilah masanya saya mahu tegur kesewelan Z yang masuk "tahap gaban", namun bila fikirkan saya ini pun jenis sawan, saya tahan dulu. Kerana saya tahu, bila sawan saya menyerang, saya tidak pandai marah sepuluh sen, habis saya bongkar sikap dan sifat, bak kata orang kampung - "angkat bangkit sifat". Makanya orang yang ditegur itu akan malu sepanjang hayat. Justeru itulah saya masih pendam dan cuba mengelus kemarahan saya dengan pujukan bahawa saya pun punyai kelemahan. Dan yang penting, marahlah secara bijaksana.

"Dia intai blog aku, aku tak kisah. Anggap saja dia seorang peminat. Tapi kalau dah kata blog aku loya dan memualkan, dah melampau. Sebab aku tak pernah paksa dia baca blog aku. Apatah lagi dia selalu bersoksek-soksek dengan bininya umpat blog aku." Memang kawan saya itu sudah naik angin dengan perangai Z.

Hairan saya, tapi mungkin juga orang yang selalu "off shore" ini lain macam sedikit perangainya. Sebab dia hanya berkomunikasi dengan peralatan dan enjin, pelantar dan laut. Apatah lagi kalau jiwa seni tak ada dalam diri. Dilihatnya laut hanya kuah, langit bagai tudung saji, dan pelantar minyak itu umpama sehidangan makanan yang disediakan ibu mertuanya untuk menyambut kepulangannya setiap kali "naik darat".

Harapnya dia akan sedar suatu hari nanti, saya sangat-sangat berharap "seni" menyedarkannya; sebelum saya benar-benar naik sawan!
.

Monday, June 15, 2009

Tandatangan Jawi

.
Baru sebentar tadi saya ke CIMB Cawangan Pasir Mas untuk memungut buku cek yang sudah sekian minggu siap. Nasib baik kali ini staf terbabit tidak menelefon dan sedikit membebel kerana kenyanyukan saya setiap kali memesan buku cek.

Setiba di muka pintu pejabat, rakan kongsi terus minta saya ke bank semula sebagaimana yang diminta oleh staf terbabit. Jelas rakan, pihak bank meragui tandatangan pada buku daftar pungutan buku cek yang amat berlainan dengan yang sebelum ini. Dia syak orang lain yang mewakili Noble Art Creation untuk urusan tersebut. Dia minta pengurus NAC segera ke bank. Aduh, nasib baik bank tersebut satu bumbung dengan premis NAC.

3o saat, saya tercegat depan kaunter. Saya dengar perbualan staf itu dengan rakan kongsi saya. "Macamana ni, tandatangan lain... jawi. Sebelum ini tandatangan rumi. Nama pemungut Rokiah Ismail, yang jawab pula Norzana Razaly. Nombor telefon ni siapa punya? Yang tercegat depan kaunter ni siapa pula?" Bertalu-talu dia tanya rakan kongsi saya. Saya senyum tengok muka cemasnya. Terasa pula seolah-olah saya ini Mas Selamat yang baru ditangkap polis Malaysia, dan akan diserahkan pada Singapura sebentar lagi.

Saya buat muka bodoh bila dia menghampiri kaunter. Staf yang saya nobatkan sebagai staf terkacak CIMB tenung saya, kali ini wajahnya tidaklah segarang pada waktu kali pertama saya buat kesilapan.

"Maaflah, saya lupa. Tandatangan jawi itu saya guna untuk Bank Swiss. Dan sebenarnya, saya mahu selalu ke sini tengok muka encik." Saya segera berlalu, sebelum dia sekali lagi balas, "Mana pernah awak tak kembali buat kali kedua setiap kali pungut buku cek!"

Sebenarnya, saya amat menghargai sikap berhati-hati staf tersebut yang segera menghubungi pejabat. Seandainyalah benar-benar berlaku kes orang lain yang memungut buku cek tersebut, sikap sebegitu dapat menyelamatkan kami. Terima kasih Encik Wan Hashim!
.

Tuesday, June 09, 2009

Sekuntum Kembang

.
Sajak tanpa tajuk ini saya terima daripada seorang teman yang sedang dalam perjalanan ke kota batu, dan saya memberi tajuk entri ini sempena tajuk pilihan untuk sajak ini. Saya taip semula sms dia dengan mengekalkan bentuk asalnya yang kurus melidi. Saya fikir tentu dia masih penat untuk membingkaikan puisi ini di kamar mayanya, maka saya menyemainya dahulu di halaman saya, sebelum menunggu ia dibawa ke halaman milik pengirimnya.. ataupun dia ingin ia terus subur di teratak saya, terpulanglah.

dalam genggaman
setangkai mawar
layu kekeringan
mencipta kenangan

seketika dulu
harumannya
menyerikan

kelopak masih
ditangkai
kubasahkan dengan
titisan airmata
bunga kasih
tetap layu
tiada lagi
haruman rindu

namun masih
tergenggam erat
biar ia melayu
kenangan tetap segar

hanya ucapan
terima kasih
harummu
pernah singgah
biar sesaat
tetap abadi
dalam ingatan

08-Jun-2009
08:45 PM
.

Sunday, June 07, 2009

Tetamu Senja


Salam Keputeraan Ke-41


Semoga dip
anjangkan usia dalam keberkatan
semoga ketemu jalan pulang.


KITA INI TETAMU SENJA
Kopratasa (A. Samad Said - 1955)


Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila tiba detik kembalilah kita kepada-Nya
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada tuhan kepada insan
Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka kepada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat
Harus kita lekas segera sedar pada tugas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawalah bakti padat berkat
.

Saturday, June 06, 2009

Bersatu Dua Jiwa

.
Bismillahirrahmanirrahim.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim,
Andai kau berkenan, limpahkan rasa cinta kepada kami
yang kau jadikan pengikat rindu Rasulullah dan Khadijah al-Qubra.

Ya Allah,
Jadikanlah kami suami dan isteri
yang saling mencintai di kala dekat
saling menjaga kehormatan di kala jauh
saling menghibur di kala duka
saling mengingatkan di kala bahagia
saling mendoakan dalam kebaikan dan ketaqwaan
serta saling menyempurnakan dalam ibadat
bukti ketaatan kami kepadaMu dan sunnah RasulMu.

Ya Allah,
Indahkanlah rumah kami
dengan kalimah-kalimah suciMu yang suci
suburkanlah kami dengan keturunan
yang membesarkan asma'Mu
kurniakanlah kami anak-anak soleh yang Engkau redhai
jadikan mereka, Ya Allah
teladan yang baik bagi manusia.
Amin, Ya Rabbal 'Alamin.

06.06.09 (pagi: 6.09 pagi)
Batu 6, Darul Iman.

Wednesday, June 03, 2009

Kuasa Dunia

(Gambar sekadar hiasan)

Saya meneliti sejarah,
saya menganalisa politik,
saya menyerapi dunia yang tua;
akhirnya saya simpulkan:
Sungguh wanitalah yang berkuasa, sebenarnya
kerana lelaki telah dikembiri jiwanya!

Monday, June 01, 2009

Rindu Itu


Rindu pun memercik
bagai air di lautan terbentang
memalu haluan perasaan
diterjah langkisau kenangan.

Perahu rasa
terbias kilau cinta
purnama jatuh ke segara
terangnya menyuluh jiwa.

Kamar Rindu

Sunday, May 31, 2009

Ironis Sungguh

29 Mei lalu, genaplah umur Utusan Melayu yang ke-70. Muda dua tahun daripada usia ayahanda saya. Tahniah kerana dapat bertahan sebegitu lama.

Saya merakamkan tulisan ini memandangkan ruang pertama yang sudi menyiarkan cerpen pertama (1) saya ialah Utusan Zaman pada 21 Januari 2001 (tarikh yang cantik, saya kira untuk melangkah ke gapura sastera).

Saya tidak mahu mengimbau sejarah akhbar arus perdana ini, banyak hal seputarnya sudah ditulis dalam Mingguan Malaysia hari ini (31 Mei 2009). Cuma saya berasa terhina dengan gambar depan sisipan Pancaindera yang memaparkan aksi gedik Marsha Londoh yang kelihatan begitu seksa berposing maut. Tajuknya "Marsha Tak Mahu Kontroversi". Dalam hati terdetik, apa ke jadahnya kenyataan tersebut, kalau dah melondeh begitu rupa.

Membelek halaman berikutnya, saya hampir sawan melihat aksi berahi dan sangat menghina, saya kira. Semakin melampau-lampau pula Pancaindera sekarang, seolah-olah sedang menyaingi ke"bangangan" Mangga. Ironis sungguh, sempena menyambut ulangtahun seorang "datuk", Pancaindera seakan-akan bangga memperdagangkan badan telanjang "anak-cucu". Itukah yang diperjuangkan?

Kepada pihak bertanggungjawab di Utusan, kalau nak bangang tu, lima sen cukuplah. Jangan sampai hilang hormat anak bangsa pada sebuah media yang cukup berprestij suatu masa dahulu. Bawa-bawalah bijaksanakan diri!

Noble Art Creation

Thursday, May 21, 2009

Kembara Jiwa

.
Awal pagi ini saya akan bertolak ke kota batu, seterusnya ke Ayer Keroh, Melaka bagi menghadiri Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) 2009 yang akan berlangsung pada 22-24 Mei. Sepanjang tempoh ini, mungkin saya tidak berpeluang mengemaskini blog. Harapnya boleh bersembang secara langsung dengan tetamu maya saya di sana.


Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan.

(Selamat tinggal jerami-jerami padi di belakang rumah)


Tuesday, May 19, 2009

Matamu Dalam Mataku

.
Puisi ini saya petik dari ruang www.degupjantung.blogspot.com, untuk menyerikan laman saya. Terima kasih kepada Wan Marzuki Wan Ramli atas keizinan melalui sms.



MAAFKAN DAKU


Di hujung waktu

kita kembali bertemu
matamu dalam mataku
skesta lalu menyergap dalam sebu
namun
maafkan aku tidak menyapa
tika bersua
lidah seakan ditusuk luka!

Akar dan Bumi

.
Ada bidalan mengatakan; tak pandai menari, dikatakan lantai rendah dan tinggi. Kata bidalan ini mengingatkan saya kepada lagu Akar dan Bumi nyanyian Amuk. Lebih kuranglah maksudnya.

Dan bila teringat Bandi dengan topengnya, terimbau pula kenangan tentang seorang teman. Kata-katanya cukup membuatkan dunia sastera menghargainya; kerana secara tidak langsung dia telah mengangkat warga dunia sastera.

Menurutnya, orang sastera kaya bahasa dan jiwa, dan "orang biasa" susah untuk memahami hal demikian. Terfikir saya, orang sastera punyai "martabat" sendiri, lebih bijaksana dan berjiwa, rupanya! Tak sia-sia bidang sastera antara lima bidang yang terpilih untuk diberi Anugerah Nobel. Terima kasih teman, atas pengiktirafan itu.





Tinggi-tinggi kelapa bali/Kental berdiri/Akar di bumi/Walau bermusim di terik mentari/Tidak sekali lupakan diri

Bila menari dongak ke langit/Langkahmu sumbang salahkan bumi/Silap sendiri tak dipeduli/Terbiar sudah membuta tuli/Baru tengadah menyesal diri

Ikutkan rasa kelak binasa/Kerasnya hati membawa mati/Pentingkan dosa sumpah bertakhta/Megah ilusi menjadi mimpi/Panasnya diri bagai dibakar api

Tinggi-tinggi kelapa bali/Walaupun tinggi kental berdiri/Tidak pernah lupa diri/Tidak pernah megah diri/Mencengkam akar di bumi

Rimbun-rimbun daun dedalu/Tinggi di atas sombongkan diri/Pandang langit lupa bumi/Menumpang menunggu mati


Bahalol

.
Di Terengganu suatu ketika dahulu, wujud dua imam dalam satu masjid. Kepoh. Sekarang pula, wujud dua Menteri Besar untuk satu negeri. Sewel. Dalam satu negeri antah berantah pula, puak Erdogan mula besar kepala, memang cari bala. Kenapa tu? Dah puas hidup merdeka dan hidup bahagia!




Bingai lagi hidup ini/Nak cari makan susah sangat/Mahu ronda kota raya/Lepak kejap pasar budaya
Dan toleh kanan toleh kiri/Nampak batang hidung sendiri/Banyak susah cari makan/Semuanya ada halangan
Orang buncit makan daging/Yang kurus makan ikan masin/Apa punya bahalol dia/Kasi orang pijak kepala
Orang putih sudah balik/Kini tinggal yang hitam putih/biar papa asal bergaya/Bukan musim bukan action
Tak tahu bertanya/Sesat jalan nanti meraba/Tepuk dada tanya selera/Tutup mata pekak telinga

Menghadapi kiri dan kanan, putih dan hitam; turutilah pandu arah Al-Furqan.

Langit dan Laut

.
Langit dan laut
saling berkasih
sama warna
berkongsi cinta.

Awan menduga
mengutus pesona
langit yang setia
memendam derita.

Laut kelam
tak tercapai indera
awan mengembang
langit terhalang.

Angin menderu
arif cinta -
langit dan laut
azali bersama -
ditiupnya awan
terpecahlah ia.

Langit dan laut
menjalin kasih
pada suatu senja
di suatu garis.

Kata langit: Aku cinta padamu, laut
Kata laut: Aku akan setia, langit
Kata awan: Aku cemburu kasih kalian
(dikembangkan dirinya, memisahkan pandangan langit dan laut)
Kata angin: Cinta langit dan laut cinta sejati,
usah kau hasad dan dengki, awan

(Ditiupnya awan, berpecah-pecah)

Awan menangis, gugur air matanya ke laut.
Kata laut: biar hujan berkurun, takkan tawar lautan cintaku
Kata langit: kita tetap bertemu di satu garis.


Noble Art Creation
Mei 18, 2009 (petang 6.06)

Monday, May 18, 2009

Kontinuiti atau Relativiti? (06.06.09)

.
Lagu ini saya petik dari taman www.gurindamjiwa08.blogspot.com pada 06.03.09. Saya boleh saja ambil lagu ini terus dari youtube tanpa mengkreditkan sumber ilham ini. Namun kerana tarikh entri GJ sangat memikat, dan lagu pilihannya pula menyentuh jiwa; suatu pemaparan kejujuran yang mempunyai koinsiden dengan tarikhnya, saya teruja.

Pada 04.04.09, saya menghayati pula lagu ini dari sebuah laman maya yang penuh kenangan, walaupun dalam versi Westlife. Dan pada 06.04.09, sekali lagi lagu ini, dendangan Josh Groban memenuhi kamar jiwa melalui entri sebuah laman lain, yang bertemakan kejujuran, kesetiaan dan kesempurnaan.

Pada 06.06.09, saya akan mendendangkan sendiri lagu ini di indera seseorang, kerana dia tidak pernah gagal menggembira dan membahagiakan saya, walau diri bergelut payah melepaskan diri dari amukan ombak derita.


When I am down and, oh my soul, so weary;
When troubles come and my heart burdened be;
Then, I am still and wait here in the silence,
Until you come and sit awhile with me.

You raise me up, so I can stand on mountains;
You raise me up, to walk on stormy seas;
I am strong, when I am on your shoulders;
You raise me up: To more than I can be.

There is no life - no life without its hunger;
Each restless heart beats so imperfectly;
But when you come and I am filled with wonder,
Sometimes, I think I glimpse eternity.

You raise me up, so I can stand on mountains;
You raise me up, to walk on stormy seas;
I am strong, when I am on your shoulders;
You raise me up: To more than I can be.

Wednesday, May 13, 2009

Sejam Perjalanan

.
Sejam perjalanan pergi dan pulang ke suatu destinasi bersama seseorang, bertemankan rafik tersayang adalah suatu keindahan petang yang menumbuhkan satu lagi daun kenangan. Menyeberang sempadan ciptaan insan, meraikan ulangtahun pertemuan; takdir mengatasi segala perancangan. Suatu keputusan yang mungkin menerawang di jiwa setahun di belakang, bertukar haluan menjadi sesuatu di luar jangkaan. Satu keterbalikan!


YOU MEAN EVERYTHING TO ME - NEIL SEDAKA

You are the answer to my lonely prayer/You are an angel from above/

I was so lonely till you came to me/With the wonder of your love

I don't know how I ever lived before/You are my life, my destiny
Oh my darling, I love you so/You mean everything to me

If you should ever, ever go away/There would be lonely tears to cry
The sun above would be never shine again/There would be teardrops in the sky

So hold me close and never let me go/And say our love will always be
Oh, my darling, I love you so/You mean everything to me

Han, moga mendung pada tengahari semalam, terhapus oleh terangnya rembulan yang mengiringi sebuah perjalanan kita selama satu jam.