Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Friday, August 22, 2008

Untukmu Kawan

Saya melilau mencari kawan dalam taman blogspot pada suatu petang yang sepi… lalu terdampar ke rumah maya abahmuizz.com. Kuntuman kata-kata yang juga dipetik oleh beliau dari sebuah laman turut menyentuh hati saya.

Dan sempena bulan persahabatan yang masih bersisa beberapa hari lagi ini, saya petik rangkaian kata tersebut untuk dihiasi di laman ini dengan sedikit suntingan bahasa untuk dikongsi bersama... kerana kadangkala secara sedar atau tidak, kita sering memahkotakan keegoaan dalam melestarikan ikatan persahabatan.

Moga ia jadi embun pada sekeping hati yang gersang,
atau jadi oasis pada perasaan yang kontang.

Kawan
bila rasa ingin menangis hubungilah aku
aku takkan suruh kau berhenti menangis
tapi...aku akan kata, "aku ingin menangis dengan kau
tapi tak boleh lama sangat, nanti habis air mata aku".

Kawan
jika terasa nak larikan diri jauh dari masalah yang menyelubungi
maklumkan aku, aku takkan halang kau
tapi... aku akan kata, "berlarilah bersama aku
untuk kau lupakan sementara masalah
cuma jangan terlalu laju, aku tak larat nak kejar
kaki aku pendek."
Dan lepas itu aku juga akan kata
"Kau tak boleh selamanya lari dari masalah, hadapi ia."

Kawan
jika kau kecewa keluargamu tak bahagia, beritahulah aku
aku takkan minta kau benci pada keluargamu
tapi… aku akan kata, "Kajilah punca kekecewaanmu,
dan paling penting, terimalah segala ketentuan Allah..."

Kawan
jika kau kecewa dengan hubungan kawan kau itu satu hari nanti
ceritalah pada aku, aku takkan memburukkan dia
tapi aku akan kata, "cubalah letakkan diri kau ke dalam dirinya,
dan kau akan mengerti..."

Tetapi kawan
jika suatu hari aku berdiam diri
aku tak balas sms kau, aku tak angkat panggilan dari kau
hubungilah aku segera (melalui emel ke, surat ke)
sebab waktu itu aku
ermmm...
aku sangat perlukan kau (dan aku malu untuk mengakuinya),

atau mungkin...
aku telah kekal bersemadi
di ruang nan dalam dan sepi.

Monday, August 11, 2008

Tautan Erat Sahabat

Setiap kali bersua bulan persahabatan, saya sering teringatkan puisi Zanazanzaly berkenaan prinsip persahabatan. Saya petik sekuntum puisi dari taman tintanya sempena Bulan Persahabatan ini.

Tangisan sahabat kepada sahabat
bukan boleh dibuat-buat
sahabat menangisi sahabat
kerna wujud pertautan yang erat
pertautan erat lagi keramat
kurniaan Tuhan Rabbul Izzat
jika tidak,
masa kan Jebat mengamuk dahsyat
lantaran Tuah difitnahkhianat
walau Jebat digelar keparat
tangisan Tuah tak sejat-sejat
kerna Tuah sedar Jebat lah adijagat,
kerna Tuah sedar Jebat lah… SAHABAT.

Thursday, August 07, 2008

Tangisan Bulan Madu - Suatu Adegan Yang Menjengkelkan

Semalam, saya tengok drama Tangisan Bulan Madu. Kali pertama saya menontonnya. Novelnya telah saya baca semasa di Pusat Matrikulasi UIAM, Lembah Pantai. Saya pun lupa jalan ceritanya, Cuma yang masih ingat nama watak utamanya, Bogatt dan Amira. Dan lagi.. saya ingat Amira jadi janda berhias selepas kematian Bogatt. Habis.

Setelah menonton drama yang diadaptasi ini, saya tidak lena tidur kerana geram dan tidak puas hati dengan adegan Amira “menerima” Bada, suami keduanya selepas Bogatt, sewaktu Bada bertanyakan tempat tidurnya (tilam yang disimpan di bawah katil) kepada Amira. Sebelum ini Bada tidur di atas tilam tersebut, di tepi katil Amira setiap malam sejak berkahwin. Tapi selepas Amira rasa tersentuh oleh kebaikan Bada yang sanggup menolongnya menghidupkan kembali butik yang penuh kenangan dengan Bogatt dengan cara memberi sejumlah wang yang banyak kepada Amira, dia lantas memikirkan untuk “berkongsi katil” dengan Bada.

Apa yang menyebabkan saya “putus angin” ialah cara Amira menjawab sewaktu Bada bertanyakan tilam tersebut. Saya tak ingat dialognya, tapi adegan itu lebih kurang begini:

Bada tanya di mana tilamnya. Amira jawab, dia simpan.
Bada tanya lagi.. Habis abang nak tidur di mana.
Amira jawab, tidur di sini.. sambil tepuk katilnya,
dan dia sedang bersimpuh di birai katil.
Bada terkelip-kelip dan merenung Amira, masih lagi di tepi katil.
Amira pun mula minta maaf atas kesilapan dan dosanya menyeksa batin Bada selama ini. Habis

Huh! Begitu saja adegan yang sepatutnya sangat romantik berakhir. Tak tahulah saya pada siapa saya patut geram. Tapi saya fikir bukan pada penulis novel, kerana bila sudah diadaptasi, sebahagian besar dialog dan isinya telah diubah oleh penulis skrip atau divisualkan mengikut citarasa pengarah.

Pendeknya, saya berasa amat tidak puas hati dengan adegan tersebut. Rasa macam jakun sangat. Rasa betapa tidak romantiknya orang Melayu bermesra. Ahh! Macam bodoh pula. Yerk!

Tidak bolehkah kalau ia digarap begini.
Bada mencari-cari tilamnya di bawah katil,
Amira pula cari gaun tidur dalam almari.
Bada tanya Amira, “Mana “katil” saya?” (tekankan perkataan katil)
Amira akan jawab, “Saya dah jual”
(sambil salin baju kurungnya kepada gaun tidur, dan sembur minyak wangi)
Kemudian Bada akan tanyalah.. “Habis abang nak tidur di mana?”
Amira boleh jawab, “Tak muat lagi ke katil kita sebesar ini?”
Sambil raba-raba cadar di sebelah kanan posisinya dan senyum bermakna pada Bada.
Dan Bada tak payah tanya apa-apa lagi.. senyum dan tutup lampu.

Semudah itu sahaja. Tak payahlah nak berceramah atau membazirkan air liur untuk minta maaf dari Bada pada malam itu juga.

Esoknya, tulislah nota atas kertas merah pada Bada, minta maaf atas apa yang berlaku selama ini. Apa yang terbuku dalam hati, rasa berdosa sebab tak layan Bada selama ini dan sebagainya. Macam gitu tak boleh ke? Penat saya tengok dialog Amira minta maaf secara didaktik itu. Menjengkelkan!

Friday, August 01, 2008

Bulan Persahabatan

Sahabatku Zanazanzaly,Salam Ulangtahun Persahabatan Ke-12.Sesungguhnya, tanpamu
langit itu terlampau luas
bagi helang seperti aku.

Kepada mereka yang mempunyai sahabat, sempena 1 Ogos 2008 ini saya ucapkan “Salam Hari Persahabatan”.

Dan dalam bulan persahabatan ini, saya doakan kepada mereka yang masih keseorangan tanpa SAHABAT (bukan kawan, kenalan, teman tapi mesra, dsb), semoga bertemu seseorang yang boleh menjadi cermin kepada dirinya, teman jiwa dan rakan muhasabah diri. Sesungguhnya sahabat itu adalah ubat yang paling pahit untuk segala penyakit jiwa.

"Semoga bertemu sahabat jiwa!"