Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Wednesday, August 19, 2015

Perang Tak Berpedang



.
Kutitip pesan dalam mimpimu kekasih
sewaktu kau lenyap dalam lena panjang
setelah lelah bertempur dalam perang tak berpedang;
Acapkali ketika manusia hilang harapan
dan berfikir inilah titik pengakhiran,
sebenarnya itu hanyalah liku suatu perjuangan
bukanlah ia sebuah kesudahan
kerana Dia membiarkanmu menyelesaikan permasalahan
dengan bekalan kemampuan,
Engkau terselam di laut dalam
untuk bertemu mutiara terpendam.

Persinggahan Satu, Jalan Perdana
.

Friday, June 12, 2015

Senja Berbicara

.
Senja sentiasa mengajakku berbicara
tentang manusia, tentang rasa, tentang rona dan citra dunia
dengan sejumlah abjad tanpa kata
kerana katanya hanya puisi mampu melukis rindu
kerana hanya puisi mampu melenyapkan pilu
dan kerana puisi mampu melayan kamu.

Persinggahan Satu, 
Jalan Perdana, KL


.

Thursday, April 16, 2015

Sepasang Burung Migrasi

.














Tengahari tadi saya baru menyelesaikan kerja tonton tapis sebuah dokumentari sempena  Hari Bumi yang akan disiarkan di TV AlHijrah pada 19 April ini.

Dokumentari bertajuk ‘Upeh Terakhir’ yang skripnya digarap oleh Syirfan Indra Metra Surya Hussin ini pada saya sangat menarik. Terkenal dengan gubahan ayat yang indah, beliau mampu membawa jiwa saya menghayati sebuah pengorbanan untuk sebuah penghijrahan.

Berkebetulan pula, Kuala Gula serta kisah burung migrasi ini amat rapat dengan cerita saya dan seseorang. Saya terbawa-bawa ke dalam dokumentari ini, teralun kenangan oleh bait-bait skrip yang indah; seindah kisah burung-burung hijrah yang dipaparkan melalui footage yang teliti dipilih. Syabas buat Saudara Syirfan dan pasukannya.

Saya segera menyelongkar tampalan lama dalam sebuah blog untuk memanggil kembali lakaran kenangan kami. Sungguh ia membuat saya tambah merinduinya. Semoga dia memberi izin saya menampalnya di sini.

SEPASANG BURUNG MIGRASI 

Kita, kau dan aku 
sepasang burung migrasi itu 
melintasi laut, gunung dan lembah 
terbang jauh dari tanah asal 
berdua terus bersama, di mana jua
tegar dalam ubah warna musim 

ada tanyakan kita, apa kuncinya
tentang kesetiaan, ketabahan 
sepanjang menyusur laras kembara 
hingga hinggap di Kuala Gula. 

Pondok Cinta 
18 Julai 2009 – 11.00 mlm


Saturday, February 21, 2015

Rindu Bertebaran

.
Dalam remang senja
hati dipagut sepi
rindu bertebaran dalam hati
terserap ke dalam malam
yang kian mencengkam.

Atas bukit, Kompleks Pusat Islam

.  . .