Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Friday, February 26, 2010

Ke Sisi-Nya

.
Saya sentiasa menyambut hari penting dalam kedukaan. Hari ini saya diuji lagi. Kehilangan sahabat yang pernah bersama mencari cinta Ilahi. Penyakit hatinya tidak sembuh.

Satu pesan atau kata hikmah yang dituturkannya sentiasa saya ingat: Sempatkah seseorang yang melempar batu dari gunung turun menyambut batu yang dilemparkannya itu?

Semoga dia dalam rahmat kasih-Nya. "Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali." Itulah setiap kesimpulan kepada setiap persoalan dan permasalahan hidup.

Salawat dan salam ke atas Nabi Junjungan. Benar katamu ya Rasulallah; dunia akhir zaman ini adalah dunia penuh fitnah.

Kota Batu
 

Wednesday, February 24, 2010

Antara Daun dan Bunga

.

Semalam, dalam cuaca membahang saya menunggu seseorang datang menjemput. Pohon semarak api yang jarang daunnya tidak mampu menyembunyikan tubuh kurus saya dari jangkauan jemari mentari.

Memandang pohon semarak api bersetentangan yang sedang memerah bunga, saya terfikir; mengapa begitu bodoh saya berfikir - saya perlu teduhan, bukan daun! Aduh, otak yang cair rupanya masih mengisi fikir yang beku.

Saya menghitung, selalunya kita memilih berteduh di bawah pohon yang lebat DAUNnya, namun dalam situasi sekarang, pohon yang lebat BUNGAnya adalah keperluan saya. Sebelum sempat saya menghindar kebodohan diri dengan menuju ke pohon yang lebat bunganya, dia tiba. 

Melihat muka udang kena bakar saya, dia membebel; "bukankah saya suruh awak tunggu di rumah? Tunggu di rumah. Di rumah, di rumah, di rumah!" Saya meloncat ke atas kenderaan tanpa memandang dia.  Dan dia terus memecut laju ke LCCT. 

Saya isi masa perjalanan dengan membahaskan tentang daun dan bunga. "Sempat lagi fikir dalam panas!" Dia menukas. "Mesti. Sebab tadi dah sempat bodoh!" Kami sama-sama ketawa.

Dia berpusing ke belakang, cuba menarik beg sandang di bahagian duduk penumpang. "Hey, apa guna saya jadi co-pilot, ramai lagi yang masih sayangkan saya. Cuba tumpu pada pemanduan. Eeeeeiiiiiiii!" Tempik yang satu itu selalunya akan buat dia "sedar diri".

Dia mengepit beg sandang yang saya hulurkan, dan mengeluarkan sebuah beg plastik dan menghulurkan kepada saya, dengan sengih nakal. "Tengok depan!" Saya menempik lagi. 

"Bukalah, saya harap awak suka." Kali ini dia bersuara tanpa pandang ke arah saya. Aduh, saya paling tidak suka membuka hadiah depan si pemberi. Dan buat pertama kali, saya terpaksa membukanya. Nasib baik dia masih pandang ke depan. 

"Saya suka, lebih-lebih lagi warnanya." Saya beri komen ringkas. Saya buka kotak pen Cartier, dan menulis "terima kasih" di atas sekeping kertas yang selalu saya bawa, menggunakan pen mata bulat berwarna perak itu. Saya lihat dia sempat mengerling tulisan saya, dan tersenyum. Saya jeda, dan saya lihat keresahan di wajahnya. 

"Itu saja?" Dia bersuara lagi, tanpa berpaling ke arah saya. 

"Kenapa?" Saya balas pertanyaan sambil senyum, dan terus diam. 

"Itu saja?" Dia kelihatan tersentak, sembari menoleh ke riba saya, ke arah plastik, tepatnya. 

"Haaa, tengok depan!" Cepat-cepat dia menekan brek, kereta di depan sehasta jaraknya.

"Ingat, ramai lagi yang sayangkan saya!" Saya ketawa. 

"Cisss!" Dia sengaja melenggang kenderaan. "Mana perginya rantai tangan?" Kelihatan rona mukanya yang kecewa. "Sepatutnya ada dalam beg yang sama." Masih tidak puas hati.

"Rantai?" Saya sengaja bersuara ala-ala "piano?" Ahmad Nesfu. Dia mencuka.

"Ini haa..." Saya menayangkan kotak DeGem, dan menarik cermat keluar seutas rantai tangan. Terkial-kial mengenakannya di tangan kanan.

Berhenti di lampu isyarat, dia membantu saya. Usai terlilit di tangan, kami dihon. 

"Mana nota ucapan Selamat Hari Lahir, tak ada pun? Mana aci bagi barang macam itu saja!" Saya berpura-pura merajuk. Dia jegil ke arah saya sambil memecut jauh dari kenderaan di belakang. 

"Dah tua bangka pun nak kena tulis ucapan Happy Birthday lagi? Gelinya!" Ujarannya selari dengan bahasa badan.
.
"Huh, tak romantik langsung!" Giliran saya pula mencuka. Dia tergedik-gedik, dan menyambung; "itu ucapan zaman tok kaduk".

Dalam perjalanan pulang, kami melalui tasik Putrajaya. Cepat saya halakan telunjuk ke suatu jihat tasik - "Hah, di titik itulah saya buang hadiah untuk awak."

"Nasib baik tak ada penguatkuasa, kalau tidak  sudah tentu kena saman buang sampah dalam tasik!" Dia tidak marah, kerana bukan saya yang bersalah. Sungguh penantian itu satu seksa, dan pada waktu itu ruang penantian saya itu kosong tanpa pengisian. Belum habis baran saya rupanya.

"Saya bukan buang sampah, mana boleh didenda", saya menukas.

"Habis, buang benda yang tidak diperlukan itu apa namanya?" Dia membidas.

"Saya bukan tidak memerlukannya, malah amat memerlukannya untuk dihadiahkan pada awak, tapi saya terpaksa membuangnya kerana awak gagal hadir pada waktu saya begitu mengharapkan. Saya membuang harapan saya, sebenarnya. Bukan sampah." Tegas saya.

Dia diam, dan membelok ke Alamanda. Dia memecut, meninggalkan, tanpa menoleh ke arah saya. Saya  pasti dia lihat saya di belakang dari cermin di sisi kirinya.

Petikan manuskrip "Purnama Di Balik Ara" oleh Rozais al-Anamy

Pinggiran Putrajaya

Saturday, February 13, 2010

Hari Pejuang Bahasa 152

.
Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak pernah berhenti, walaupun pejuangnya ada yang datang dan pergi.
"Bahasa yang sinis tetapi menerkam, gaya yang kadang-kala begitu lurus tetapi menikam meletakkan bahasa Melayu sebagai sebuah tamadun pengucapan yang indah dan intelek”. Dia melereti baris-baris kata terakhir dalam pendahuluan bukunya itu. Pasti nenek bersetuju benar dengan kesimpulan seperti itu.

Dia bertekad untuk membawa neneknya pulang. Biar kata-kata sinis yang dihamburkan dalam bahasa penjajah oleh rakan sebangsa mahupun berlainan bangsa terhadap usahanya memperjuangkan bahasa Melayu selama ini dibalas pula dengan pantun budi bahasa dan gurindam oleh nenek. Dia juga akan menyarankan kepada nenek supaya membaca petikan kata-kata Abdullah Munsyi pada tahun 1882 yang juga dimuatkan dalam pendahuluan buku bagi menggambarkan mentaliti bangsa Melayu terhadap bahasa mereka sendiri.

Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?

Sebuah ketawa kecil terloncat dari mulutnya. “Agak lancang juga buah peri Abdullah Munsyi ini”, gumamnya. Dia bersetuju benar dengan luahan Abdullah itu.

Dia dapat menyelami kekecewaan Abdullah dengan mentaliti bangsa Melayu, apatah lagi bahasa rasmi negara ini telah diperkotak-katikkan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Dia bimbang suatu hari nanti bahasa ini mengalami nasib serupa dengan bahasa bangsa Kurdi yang pupus bersama bangsanya yang kian hari terbakar oleh matahari zaman.

Petikan Cerpen "Pelangi Berjalur Lima", 
Dewan Budaya, November 2008.

Saturday, February 06, 2010

Dari Jiwa Ke Jiwa

.
Setiap kali dengar nasyid ini, saya sering rasa ingin sendiri, menilai diri.

Saya lupa nama kumpulan nasyid itu, tapi antara baitnya:

Hidup ini bagai lampu dinding
yang dinyalakan di malam hari
apabila minyak sudah kering
ia kan pasti padam sendiri.

Hidup ini adalah kembara yang akan tamat hanya di negeri abadi. Selagi kita diperlukan, kita menyala, dan andainya khidmat sudah tidak diperlukan, Dia akan memanggil ke sisi-Nya.

Kamar Jiwa,
Pinggiran Putrajaya
.

Thursday, February 04, 2010

Pohon Jiwa

.

In,
Pohon kasih kita
biar terkadang gugur daunnya
didabrak langkisau duga
tak pernah mati akarnya.

Pinggiran Putrajaya

Tuesday, January 26, 2010

Tahniah Mingguan Malaysia

.
Saya sengaja memeram respon terhadap rencana AJL 24 unsur illuminati? oleh Syed Mussaddad Mahdi dalam Pancaindera, Mingguan Malaysia pada halaman 8 dan 9 bertarikh 24 Januari lepas kerana tidak mahu terpengaruh oleh emosi.

Sejak dahulu lagi banyak majlis anugerah hiburan tanah air sering tersasar dari nilai-nilai moral dan budaya Melayu, dari kacamata Islam pula, usah cakaplah; awal-awal lagi menyeleweng.

Ucapan para penerima anugerah yang klise seperti "Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah atas rezeki halal ini" cukup buat saya mengeleng dan beristighfar panjang; terfikir betapa jahilnya para artis yang baru sahaja melalak tadi. Baik saja kalau setakat sebut, "saya gembira atas kejayaan ini." Taklah nampak dangkal dan jahil murakkab sangat.

Ada pula yang teruja sangat atas anugerah yang diterima sehingga rasa terawang-awang tatkala nama disebut, dan kerana mengamalkan tabiat yang tidak berbudaya sebelum ini; terus berlaga pipi dengan bukan mahram atas alasan hormat dan balas jasa guru. Itupun nasib baik mengaku bersalah, walaupun masih ada "but", kononnya dah biasa buat macam itu, dan dah anggap mak anak.

Amboi senangnya, kalaulah semua pakai alasan bodoh macam itu, habislah jahanam institusi kekeluargaan atas muka bumi ini. Seorang remaja lelaki boleh tidur dengan wanita atas alasan dah anggap mak sendiri, seorang murid boleh peluk ustaz atas alasan dah anggap macam ayah dan macam-macam alasan jahiliah lagi boleh menghalalkan tindakan tidak berbudaya ini.

Inilah petakanya apabila budaya dipijak oleh bangsa sendiri. Ia bermula dengan pelanggaran budaya yang dipandang remeh oleh masyarakat seperti bersalam dengan bukan mahram (salam sosial) yang sudah membudaya dan berakar dalam masyarakat kita. Budaya sumbang ini berlaku dalam hampir kesemua majlis dan pertemuan sosial seperti kenduri kahwin (malah majlis tahlil sekalipun); tak kira majlis anjuran pihak yang bertanggungjawab menjaga budaya bangsa, majlis akademik yang dihadiri oleh cendekiawan, apatah lagi majlis hiburan.

Sebaliknya mereka yang tidak bersalam pula dianggap tidak hormat majlis atau memalukan pihak penyampai anugerah. Kalau cara bersalam itu betul, berbaloilah juga dengan "dosa kering"  yang ditanggung, sebaliknya mereka hanya setakat sentuh sebatang jari pun tak apa. Budaya apalah agaknya, walhal mereka yang mengamalkan budaya songsang ini tak kurang "besar"nya di sesebuah institusi atau organisasi. Dalam hal ini Malaysia yang agama rasminya Islam lebih mundur budayanya berbanding Thailand yang mengamalkan amalan ber "sawadhi kaap" tatkala bertemu atau menyambut tetamu.

Lama-kelamaan ia sudah dianggap halal dan mereka yang alpa budaya ini menerima pakai nya sebagai budaya baru untuk diamalkan. Istilah "budaya" itu sendiri  malah tidak difahami, walhal pihak terbabit terdiri daripada kalangan mereka yang memperjuangkan budaya dan bangsa.

Kemudian, tidak cukup bersalam, amalan jahil seperti berlaga pipi tatkala bertemu (cium sosial) sebagaimana diamalkan di Hollywood pula diserap ke dunia hiburan tanah air. Beberapa isteri pemimpin pun ikut terbawa-bawa dengan amalan jahiliah ini, mengesahkan kepada artis bahawa perilaku mereka itu benar dan disokong oleh ikon negara. Betapa berjayanya jarum Yahudi yang dicucuk masuk dalam pengamalan "budaya" secara tidak langsung ini.

Benarlah pesanan "Yahudi itu mahu Muslim mengikut mereka hasta demi hasta". Mereka tahu umat Islam masih sensitif jika Islam diserang secara berdepan dan nyata, maka mereka mengheret dengan cara mencucuk hidung mereka dengan tali hiburan. Dan tatkala mereka sudah alpa dan "high", senanglah untuk mereka meneruskan makar dan tindakan seterusnya, sehasta lagi. Lama kelamaan, satu demi satu amalan mereka diterima sebagai "budaya" yang betul, sekaligus mengalih kiblat umat Islam dengan tanpa disedari.

Pendedahan oleh Sufian dalam laman blognya dan rencana oleh Syed Mussaddad amat berfaedah sebagai titik sedar kepada mereka yang terpesong dari budaya bangsa dan ajaran Islam. Sewaktu menonton dokumentari The Arrivals, saya mendoakan agar pemimpin di Malaysia dan seluruh dunia cepat sedar dan berbuat sesuatu untuk membanteras serangan akidah yang telah lama merosakkan dunia ini.

Ia sebenarnya bukan dibincangkan hanya hari ini oleh segolongan pihak yang telah lama sedar dengan fenomena ini, namun seringkali mereka yang mendedahkan hal ini "dibunuh" dan lenyap begitu sahaja oleh pihak-pihak yang telah "dibeli" oleh pertubuhan Freemason ini.  Bukan tidak ada mereka yang mendedahkan tentang bangunan-bangunan dan pusat beli belah yang menjadi sumber tenaga kepada pertubuhan yang bermatlamat menguasai dunia ini, namun apabila kuasa dan harta jadi buruan, agama rela disepak terajang oleh pihak bertanggungjawab menjaga akidah dan budaya bangsa.

Jika diikuti siri-siri pembunuhan ikon (character assasination) oleh pertubuhan ini sebelum ini, pasti kita sedar yang kita sekarang di ambang bahaya. Maka, tidak hairanlah seandainya selepas ini ada pihak-pihak tertentu yang terlibat dalam penyiaran rencana ini  "diajar" secukupnya oleh pihak-pihak yang panas punggung oleh pendedahan berani mati ini.

Saya amat berbangga dengan sifat bertanggungjawab Sufian yang mendedahkan perkara ini dan juga keberanian Syed Mussaddad  yang memilih isu ini secara terbuka. Kepada Mingguan Malaysia, saya harap terus tegar dalam menyuarakan kebenaran walaupun mungkin pelbagai respon akan diterima selepas ini. Setidak-tidaknya ia sedikit sebanyak menebus semula "dosa" dan "keterlanjuran"nya yang bukan sedikit merosakkan budaya Melayu dengan gambar-gambar artis yang seksi dan tidak cukup kain melalui Pancaindera. 

Saya juga mendoakan agar Sufian dan sahabatnya serta mereka yang mendedahkan isu ini dalam perlindungan Allah, kerana perencanaan Allah itu mengatasi segala perencanaan manusia.

Pinggiran Putrajaya


Saturday, January 23, 2010

Tetap Di Jiwa

.
Ilustrasi disalin dari www.lingkaranalam.blogspot.com

Saya sering ditanya, kenapa suka laut dan pantai? Saya tidak pasti jawapan yang tepat. Yang mampu saya katakan ialah laut penuh rindu. Anginnya saja cukup buat saya ngilu, dan sering membawa saya ke ruang fikir dan rasa yang hebat. Yang pasti, saya membesar dengan usapan angin pantai dan canda ombak.

Mungkin kerana kecintaan saya yang keterlaluan terhadap laut, maka Tuhan sentiasa campakkan saya jauh dari pantai dalam fasa kehidupan seterusnya. Selepas habis belajar, saya tidak sempat menikmati pantai Terengganu, terus berkelana ke Tanah Serendah Sekebun Bunga. Pasir Mas agak jauh dari Pantai Cahaya Bulan. Dan saya akur sewaktu terdampar di Padang Embun. Selalu saya berseloroh dengan diri; percik air laut yang kudamba, embun pula yang menitis. Saya tidak menjangkakan embun yang menitis itu hanya sempat menjamah jiwa raga selama lebih kurang tiga tahun sahaja. Tanah sawah belakang rumah saya tinggalkan pada suatu hari dengan jiwa berdarah.

Saya kembara lagi, kali ini ditakdirkan menghirup udara bukit, pada sebuah mandala sepi yang nyaman bayu. Entah bila akan kembara lagi, saya serahkan segalanya pada Yang Maha Tahu. Saya sentiasa doakan agar doa dan harapan bonda sewaktu saya turun rumah untuk memulakan hijrah ke fasa seterusnya jadi kenyataan. Bonda harap lima atau enam tahun lagi saya akan kembali jadi anak laut. Oh bonda, kalau hidup semudah yang kita impikan, hari ini juga saya terbang ke sana!

Pinggiran Putrajaya 

Tuesday, January 19, 2010

Cinta Puncak Sagarmatha


Pada 26 Jun 2007, saya tidak naik pentas untuk menerima Hadiah Utama Kategori Cerpen Remaja, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxonmobil 2006 (HSKU 2006) bagi cerpen Cinta Puncak Sagarmatha. Sebelumnya, sewaktu ditanya oleh Ku Seman Ku Hussain yang menyiarkan cerpen tersebut di Mingguan Malaysia, saya mengesahkan kehadiran saya.

Saya bukan berbohong kepada beliau, namun kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa mengirim wakil. Dan sewaktu pertama kali bertemu beliau di sebuah majlis di Kota Bharu pada Mei 2008, saya serba salah untuk menjawab pertanyaan beliau tentang ketidakhadiran saya. Rasa bersalah pun ada, seolah-olah saya menipu orang yang baru saya bersua mukanya.

18 Januari 2010, Cinta Puncak Sagarmatha sekali lagi menduga saya, seolah menagih janji yang belum langsai. Saya teragak-agak untuk percaya saat sahabat saya memaklumkan kami menerima emel dari pihak DBP yang menyatakan cerpen CPS terpilih untuk menerima hadiah bagi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007. Semenjak menghantar borang penyertaan, saya melupakan terus penyertaan tersebut. Sebaik menyemak fail karya, baharulah saya sedar bahawa saya pernah menyertai pemilihan HSPM tersebut.

Akhirnya saya simpulkan, Tuhan mahu saya faham "ujian-Nya". Sewaktu awal pembabitan saya dalam mandala sastera, saya teramat ingin "Renyai di Rendezvous" saya terpilih untuk HSPM, namun kecewa, teramat kecewa. Sewaktu saya tidak meletak harapan tinggi kali ini, ia datang tanpa diduga. Sungguh Tuhan Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita.

Kerana itu jugalah saya tidak bersetuju dengan sebahagian doa pada malam penyampaian hadiah tersebut, tatkala pembaca doa mengistilahkan yang tidak terpilih untuk menerima hadiah sebagai "mereka yang tidak menang". Saya rengsa dengan perkataan tersebut. Bagi saya lebih tepat kalau ia dipanggil "kepada yang tidak terpilih karyanya kali ini" kerana HSPM bukanlah medan pertarungan antara menang dan kalah, tetapi tempat insan bersyukur dan redha dengan kuasa Allah.

Kerana itu jugalah, setiap kali cerpen saya tidak terpilih untuk dianugerahkan sebarang hadiah pada mana-mana sayembara atau hadiah, saya tidak pernah menganggap saya kalah atau yang terpilih karyanya itu sebagai menang. Sebaliknya, saya sentiasa bersyukur kerana Tuhan memberi saya peluang untuk menilai diri dan menganalisia minda dan pemikiran juri. Bukankah keindahan itu subjektif?


Pinggiran Putrajaya



Thursday, January 14, 2010

tokobukumaya


"Bukan semua barang boleh dielektronikkan, kalau tidak masakan penerbit dan kedai buku masih hidup sampai sekarang. Buku dan bahan bercetak punya nilai sentimentalnya sendiri.

Alangkah indah menerima kiriman atau hadiah buku daripada seseorang, apatah lagi orang tersayang. Buku tersebut akan dipeluk, dikilik, dibelek dengan hati-hati dan dibaca penuh adab membaca buku. Hal itu semua tidak boleh dilakukan pada kiriman atau hadiah elektronik."

Itu kata-kata yang dipetik daripada sebuah laman blog kedai buku maya. Setuju benar saya. Saya lebih suka baca buku ikut cara saya; terlentang, meniarap, bersandar pada kepala katil, dan kadangkala mengiring dengan buku terdampar atas katil, hanya mata menjeling. Itu kalau dah benar-benar "habis havoc", tapi semangat untuk khatam buku berkobar-kobar.

Saya kurang selesa dengan buku elektronik, sebab sebahagian besar masa saya dihabiskan depan skrin komputer, takkan mahu baca buku pun nak hadap skrin lagi. Lagipun saya belum jumpa cara paling selesa mengadap buku-e, selain mengikut "kehendak" buku tersebut. Tambah pula, saya jenis manusia yang mementingkan nilai sentimental. Marah benar kalau hanya dapat kad raya, atau kad ucapan secara maya. Saya nak kad yang dapat dijamah juga. Kerana itulah saya menyetujui cara dan buah fikir tokobukumaya. Bagaimana anda?

Kata pengendali tokobukumaya dari PUTIH RONA DAGANG
 "secanggih mana pun teknologi, buku bercetak harus dimiliki. kerana putih dan warna kehidupan itu realiti. di tokobukumaya, kami berdagang secara maya buku-buku bercetak, tempatan dan luar negara. hayatilah putih rona dunia dan kehidupan melalui dagangan kami. selamat memiliki dan menikmatinya."

Pinggiran Putrajaya

Saturday, January 09, 2010

Semakin Dekat Ke Sana

.

Hari ini sudah masuk empat bulan saya berhijrah ke fasa kehidupan seterusnya. Januari 1 tahun ini saya menyambut ulangtahun keputerian ke-37. Perjalanan ke sana tambah mendekat setahun lagi.

Saya beritahu teman di sisi, saya berharap sangat kali ini saya menyambutnya dengan gembira, bukan seperti beberapa tahun sudah. Dia senyum dan menutur harapan yang sama.

Saya berkesempatan ke rumah PENA untuk majlis baca puisi pada malam penutup tahun 2009. Tepat jam 12.00 malam, langit berwarna-warni terpercik bunga api. Teman di sisi sempat senyum ke arah saya dan mengucapkan selamat hari lahir sambil menunjukkan sepayung kembang percikan bunga api di menara MAA. Saya kelu, kerana diri seakan melayang ke langit yang sangat cantik malam itu; tidak percaya saya menyambut hari lahir dan tahun baru masihi di kota batu buat pertama kali.

Tahun lepas penuh kenangan, ujian, peralihan jiwa dan raga. Saya tidak sangka masih bernyawa dan masih mampu berdiri setelah banyak kedukaan dan keperitan yang datang daripada diri dan insan di sisi.

Sungguh Tuhan sentiasa menggilirkan suka dan duka sebagaimana Dia menurunkan hujan dan menerbitkan pelangi. Bukankah bumi ini perlu kedua-dua unsur; basah dan kering untuk subur, dan hidup ini perlu juga; susah dan senang untuk menyuburkan jiwa?


Pinggiran Putrajaya

Saturday, December 19, 2009

Jangan Ada Benci (Casey)

.
Sudah lama saya tidak pulang ke teratak maya. Banyak rancangan dan keinginan yang sering tertunda dan terbatal oleh takdir Tuhan. Dan tahun masihi ini saya sering diperingatkan Tuhan bahawa kuasa-Nya mengatasi segala rencana, mahupun makar makhluk. Sungguh saya akur kebesaran-Nya. Allahu Akbar itu besar maknanya.
.
Disember 4, saya dan Imin pulang ke Batu Enam. Perjalanan yang tidak dirancang awal, tapi penuh bermakna dan berfaedah buat saya. Perjalanan tanpa rehat, saya kira. Sampai jam 2.00 pagi di rumah, bonda buka pintu dan terkejut bagai terlihat hantu. Saya sengih bodoh, it's me again! Makin jauh, makin dekat. Selang lima hari saya kembali lagi, bonda mula berfikir bukan-bukan. Saya tunjuk ke arah Imin di rumah sebelah, bonda pun tarik nafas lega.
.
Pukul 8.30 pagi saya bertolak ke Pasir Mas. Punggung dan kaki mula sengal kerana banyak duduk. 12.30 tengahari, kembali semula ke Batu Enam selepas singgah di KB Mall. Sewaktu menaiki lif KB Mall, Ayie sempat mengomel, besarnya lif, kalau putus tali penyeklah kita. Huish, saya jerkah Ayie, mulut cabul!
.
Disember 6, saya bertolak pulang ke kota batu. Masih seperti dua hari lepas, Imin pecut 160 dan sesekali 170. Perjalanan lancar, sempat singgah di Pantai Batu Hitam, Pahang untuk makan tengahari. Sudah berbelas tahun saya tidak melalui jalan pantai Terengganu-Pahang, semenjak bermastautin di Pasir Mas. Hari ini saya berasa seolah-olah pelajar Pusat Matrikulasi UIAM suatu ketika dahulu. Saya masuk ke hutan kenangan, termanggu mengimbas silam. Dan Imin pun mengheret saya ke ruang sedar, minta saya hayati lagu "Jangan Ada Benci". Sesuai untuk saya, katanya, sambil sengih bermakna. Romeo juga kau ya, balas saya. Tengok oranglah, Imin sengih.
.
.
Andainya ada di antara kita nanti
Berubah hala serta janji
Jangan ada benci
Suka dan duka dilalui
Jadikan kenangan di sudut hati

Andainya cita-cita tidak kesampaian
Ikatan murni terputus di pertengahan
Jangan dikesalkan
Jangan lantaran kegagalan
Kita saling berdendam saling bermusuhan

Ungkit-mengungkiti
Sakit-menyakiti
Memusnahkan diri

Kita harus tabah dan bersedia
Cekal hadapi kemungkinan yang tiba
Kadangkala yang berlaku
Di luar kemahuan kau dan aku.
.
Bandar Baru Bangi


Tuesday, November 03, 2009

Anak-Anak Cyber Cafe

.
Hari ini, setelah beberapa hari memerap di rumah, hujan panas bersilih ganti, saya ke cyber cafe macam biasa. Menapak ke sana, rasa otak mahu cair dek mentari yang menyinga. Cc penuh dengan budak dan remaja sekolah, berpakaian seragam hijau, dan kebanyakan pelanggan pun berpakaian rona serupa, termasuk saya. Semua komputer penuh, dan mereka main tembak-menembak sehingga telinga saya hampir pekak. Bukan hanya bunyi tembakan, suara mereka bertempik tambah membingitkan. Hanya komputer saya yang bisu. Teman yang menelefon juga menjangka saya berada di pasar. Sesekali saya jerkah juga, dan ada daripada mereka tersengih-sengih malu, terkejut pun ada dengar saya menjerkah, "woi, kau masuk hantu ke?" Apa tidaknya, saya terpaksa membaca emel saya berkali dan berpuluh kali untuk membalasnya, apatah lagi berurusan dengan perkara penting, bimbang juga tersilap ayat.

Saya senyum sendiri setiap kali dengar alunan lagu ini. Cuba memekakkan telinga daripada mendengar tembakan dan memfokus pada lirik lagu yang saya anggap lagu tema cyber cafe ini. Beberapa orang daripada mereka sengih tengok saya angguk kepala, yang berani sedikit sempat bertanya, "kak frust bercinta ke?" Saya sengih lagi, sambil tunjuk penumbuk. Kami ketawa berdekah-dekah.



Wednesday, October 28, 2009

Di Negeri Keropok Lekor

.
Saya berkejar ke pejabat pos Batu Enam di bangunan Maidam untuk mengepos pen drive kepada seseorang. Berada di kaunter sambil menunggu proses siap, mata saya berkelintar ke ruang dalam kaunter. Terpana melihat jelingan menggoda YAB Dato' Ahmad bin Said dalam bingkai di dinding, tertulis lagi di bawahnya Menteri Besar Terengganu. Suara kerani kaunter menyentakkan saya, "ari ni dok dang sapa doh dik, esok ah baru jallang." Hah, saya di negeri keropok lekor@gentel, bukan di negeri budu rupanya. Terbayang sengih Nik Aziz yang mesra.

Pulang dari cc nanti, saya akan melalui deretan gerai Pasar Batu Enam. Pasti saya tidak akan lepaskan peluang beli keropok lekor seringgit sebatang.



Tuesday, October 27, 2009

Kembara Lagi

. . .
Semalam, saya terpaksa kembara lagi. Lagu tema blog ini menyeru saya menapak, dan terus meninggalkan jejak, sebelum saya pulang kepada Dia. Jejak-jejak kenangan yang saya tinggalkan, membuktikan saya pernah ada di suatu tempat dan ketika, meneruskan kembara mencari cinta dan redha-Nya.

Hari ini, sendiri berdiri antara langit dan bumi. Asing. Teragak-agak mengatur tapak. Tuhan, bantulah saya bertahan menghadapi jerkah mentari.

Kuala Terengganu



Wednesday, October 21, 2009

Sebuah Pengertian

.
.
In,
Aku tak punya waktu untuk menitip kata dengan kalam kerana aku bukan Musa a.s yang lancar dan hikmah berbicara, tak punya rasa untuk membuat kau mengerti.

Hanya aksara yang dipinjam ini kuharap mampu menjelaskan padamu segala apa yang berlaku dalam buku takdirku.

Semoga suatu masa, kau akan mengerti.

Yang Bertakhta Akhirnya (M. Nasir)


Kita tak lagi sehaluan/Bukan sebagai yang diimpikan/Rupanya di saat-saat yang genting ini/Terjawab jua persoalan


Dan kita terpaksa memilih/Jalan yang telah ditentukan/Dan kita sama-sama dewasa menghadapinya

Kesan cinta membakar, menghempas, mencabar/Keteguhan hati dalam nostalgia/Cinta membakar, menghempas, mencabar/Dan harus ditelan walaupun pahit


Tidaklah kita yang berkata/Cinta tak mesti bersatu/Apa benarkah itu/Atau kata-kata yang tak bermakna


Dan mereka jua berkata/Tiada yang lebih pedih/Tiada yang lebih menyiksa/Dari cinta yang tak sampai


Dan akhirnya cinta jua yang bertakhta/Menyuluh dalam kegelapan/Dan akhirnya cinta jua yang bertakhta/Menyatukan kita dari terpisah/Oleh cinta palsu

Tuesday, October 20, 2009

Sebuah Puisi, Sebuah Sepi

.
Seorang rakan dari kota batu menelefon. Saya sedang berehat di pejabat. Sebelum berpisah di talian dia mendeklamasikan sebuah sajak.

Sungguh indah dan bermakna kepada saya pada hari ini. Saya minta izin menyerikannya di laman ini.

Terima kasih dan tahniah, Azmi (http://www.azmi-alkelantani.blogspot.com/) untuk sebuah sajak dan suara pada petang yang lebat hujannya.

Jendela Waktu
ku kuak jendela waktu
hati tertarik
awan putih berlari lari
mengejar
lingkaran pelangi di ruang maya

antara jalur warnanya
tersimpan lembaran kenangan
helaian masa berguguran
mega mendung berganti gerimis
terukir senyum pada wajah sang suria
sebuah aturan roda hidup
sesetia malam pada siang

dari jendela waktu
aku merenung jauh
mengutip memori usang
potret sebuah kehidupan
dalam lukisan tidak berbingkai
yang kian lusuh dan berdebu

ku tutup jendela waktu
debu kenangan
tidak lagi memeritkan mata

biarpun cebisan masa
meninggalkan kelopaknya
namun tunas yang berputik
menyerikan halaman
meninggalkan memori indah

Noble Art Creation
5.56 petang

Menjadi Bomoh

. .
Malam tadi, saya suarakan pada Cik, hasrat saya menjadi bomoh. Saya minta kebenaran Cik untuk gunakan salah sebuah bilik di rumahnya untuk menjalankan operasi perbomohan saya. Kamar tersebut hendaklah dihiasi langit-langit kuning raja, langsir dan semua peralatan juga haruslah serupa warna. Saya pula berjubah dan berpurdah putih.

Kenapa tu, tiba-tiba pilih nak jadi bomoh? Cik teruja campur hairan dengan usul spontan saya. Saya gelak dan menukas, Cik setuju atau tidak? Cik pandang Paknik, dan perlahan berpaling ke arah saya, "kau guna bilik Tok!" Dan saya, melihat sebuah tiang, tembus di sebaliknya.

Dinihari, badan mula sengal-sengal, terutama bahagian kiri belakang. Saya cuba bertindak bijak menguruskan sakit. Saya buat tak peduli pada kesakitan yang kian mencucuk-cucuk dengan cara melupakan keresahan jiwa dan menghalau kerisauan yang bersarang dalam dada, cuba memikirkan kesedihan orang lain yang lebih menderita daripada saya; untuk mendapat kekuatan diri.

Tiba tiba teringat seorang kawan yang sering diserang kesakitan serupa. Teringat juga tips yang dia berikan, baring atas lantai tanpa lapik satu apa pun. Saya cuba lakukan lagi; tak hilang juga. Saya berdoa agar dijauhkan sakit sepertimana kawan saya, dan berdoa semoga dia juga dijauhkan daripadanya, kerana saya tahu bagaimana rasa penderitaannya. Kawan, semoga sejahtera, jiwa dan raga!

Hampir Subuh, barulah saya dapat lena seketika. Usai solat Subuh, saya merangka, gua manakah jadi pilihan untuk pertapaan saya. Sebelum saya benar-benar layak menjadi bomoh tanpa jiwa.

Tuesday, October 06, 2009

Segara dan Sampan Kenangan

.
Laman Puisi, JENDELA TIMUR, Bil. 27, Ogos 2009

Sunday, October 04, 2009

Semalam dan Hari Ini

.
Semalam, Tuhan makbulkan doa saya untuk melihat laut. Hampir berbulan lamanya tidak menjengah ombak dan pantai, kepala sudah "masuk air". Sampai di Pantai Cahaya Bulan sudah hampir lewat petang. Rakan dari KL cukup gembira setelah lama tidak berjumpa pantai. Risau juga untuk bercanda dengan ombak dalam keadaan negara jiran sedang didabrak petaka alam. Bimbang tempiasnya terpercik ke pesisir pantai ini.

Hari ini saya baru sahaja berkira-kira melintasi gapura sastera, setelah sekian lama beriuh rendah dengan persekitaran. Mahu kembali menyambung azam yang tertunda sejak awal tahun - saya memilih beranti sosial dan mahu terkepung dalam gua pilihan sendiri.

Usai menghantar satu emel, wajah Cik terjengul di muka pintu. "Marilah sama-sama tepek inai. Kali ini inai tumbuklah. Cik sanggup tumbuk, asalkan kau sanggup tepek!" Aduh, kalah juga saya pada Cik. Terus selongkar limau nipis dalam peti ais, kutip arang bekas bakar lemang raya, dan minta Cik ambil nasi dari rumahnya kerana saya belum masak nasi waktu begini.

Sedang Cik tumbuk inai, saya sempat taip entri ini. Sepuluh minit kemudian, Cik terjengul lagi minta saya tempek inai di sepuluh kukunya. Cepatnya Cik tumbuk, saya hairan. Selamba Cik menjawab dengan senyum kambing "Alu dan lesung rumah kau elok dan baru lagi, kalau yang rumah Cik punya lambatlah siap." Dalam hati saya mengomel, kalau tahu macam itu baik saya usung lesung Cik, dapatlah berlamaan depan komputer ni.

Friday, October 02, 2009

Resah Alam, Gelisah Jiwa

.
Saya memandang ke luar dari jendela. Kelihatan bunga-bunga kecil berwarna segar dijamah gerimis malam tadi. Cuaca tidak menentu sekarang. Panas garing, hujan, gerimis, hujan panas, ribut bersilih ganti. Badan pun bersebati dengan alam, panas sejuk-sejuk panas, membawa kepada demam. Apatah lagi dinihari, terasa bagai beradu dalam "gok". Apapun saya tetap syukur. Di luar sana, negara jiran sedang ditimpa bala bencana. Moga Tanah Melayu dalam Rahman Ilahi, sekiranya Tuhan murka untuk melimpahkan Rahim-Nya.