Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Thursday, November 27, 2008

Cik dan Ubat Kuat

.
Awal pagi semalam, saya sedang pening lalat kerana tidak tidur semalaman, sewaktu bonda angkat saya datang ke rumah. Sejak musim tengkujuh bermula, saya sukar untuk lena. Hujan yang tumpah sering membawa bersamanya sejuta kenangan, dan waktu diniharilah yang selalu menjadi pilihan nostalgia bertandang.

Bonda angkat berdarah raja yang saya panggil “Cik” itu selalu mengadu masalah rumah tangganya pada saya. Kisah klise bagi mereka yang bermadu - apa lagi kalau bukan rasa cemburu, giliran, ketidakadilan, putar belit dan tipu-tipuan suami, strategi isteri kedua, ubat guna-guna dan sebagainya.

Saban hari saya mendengar cerita yang sama. Sehinggakan saya terpaksa berhati-hati setiap kali berbual dengan Cik, bimbang terlepas sebarang nama yang melibatkan perkataan “madu” seperti tembikai madu, limau madu, salak madu dan apa-apa barang yang terdapat perkataan madu. Pernah sekali saya minta Cik hulurkan limau madu pada saya, Cik dengan muka masam mengomel “Cis… jangan sebut madu-madu depan Cik!” Semenjak hari itu saya hanya menggunakan telunjuk untuk merujuk apa-apa sahaja buah atau barang yang “bermadu", dan tidak lagi menyebutnya depan Cik.

Kerana tidak mahu lagi berterusan dengan keadaan tersebut, saya pun terpaksa bertegas kepada Cik. Walaupun kedengaran agak brutal, tapi saya fikir tidak wajar saya menghabiskan sekian banyak waktu mendengar cerita itu-itu juga. Mungkin kerana azam saya pada tahun ini menjadikan saya tergamak untuk menyarankan pada Cik supaya memilih antara dua – sama ada sabar dan reda dengan hidup bermadu atau pilih untuk bersendirian jika suaminya memilih isteri kedua sewaktu diberi kata dua. Jika tidak, pasti keadaan sekarang berterusan sehingga suatu masa yang belum pasti. Seperti kata Cik “agaknya Cik akan hidup berendam air mata sampai mana-mana seorang mamp...!” Tahu pun dia.

Saya berani mengusulkan kata dua tersebut memandangkan ada ketidakadilan dari segi nafkah batin, apatah lagi dalam musim sebegini, dan di kampung kami pula sering berlaku kejadian kecurian akhir-akhir ini - dia selalu ditinggalkan kesepian kerana mereka hanya tinggal berdua di sebuah rumah besar.

Dan hari ini Cik datang meraung lagi. Kali ini agak parah nampaknya. Kata Cik, Pak Nik suaminya keluar awal pagi atas alasan kerja kerana pada minggu ini giliran di pihak sana hanya pada hari Ahad. Namun Cik syak dia pergi ke sana kerana apabila Cik telefon Pak Nik, kedengaran suara madunya di hujung sana yang sengaja berbual kuat supaya Cik tahu Pak Nik sudah langgar janji.

Sedang hati membara, Cik masuk ke biliknya dan semak ubat kuat Pak Nik. Malam tadi, kata Cik – ubat itu ada enam biji, tapi sekarang dah tinggal dua. Selalunya Pak Nik akan telan dua biji sahaja.

Cik pun mula meraung lagi selepas menceritakan hal itu kepada saya. Saya terpaksa tahan gelak apabila Cik dalam sedu-sedannya sempat mengomel, “cuba bayangkan apa yang dia buat sekarang ni..” Saya bukan mahu gelak pada aktiviti yang mungkin dibuat Pak Nik, tapi saya geli hati memikirkan ikhtiarnya menelan empat biji ubat tersebut. Sedangkan sudah berkali-kali saya beritahu Pak Nik akan bahaya menggunakan ubat dari negara jiran tersebut.

Pernah saya sarankan kepada Cik agar menggantikan isi kapsul ubat kuat tersebut dengan gandum. Namun katanya dia tak reti, macamana caranya. Saya rincikan, buka kapsul tersebut dan curahkan isinya. Masukkan gandum secara cermat dan tutup balik kapsul secara teliti kerana kulit kapsul sangat sensitif.

Tiba-tiba Cik senyum dan kesat air mata. “Memang Cik telah buat macam yang kau suruh tu, tapi sempat buat sebiji sahaja. Susah sangat, kapsul tu kecil. Tapi antara empat biji yang Pak Nik telan tu, termasuk sekali kapsul gandum tu!” Hahahahaha, saya tidak dapat tahan rasa geli hati yang teramat.

“Habis yang Cik meraung ni kenapa?”

Cik senyum kambing. “Sebab Cik dah habiskan baki kapsul yang dua biji lagi tu, tapi Pak Nik tak balik-balik lagi ni, tentu di rumah sana!” Saya tepuk dahi.

“Baliklah tu… baik Cik balik rumah cepat, nanti kalau Pak Nik balik ke rumah dan Cik tak ada, kemungkinan juga dia akan ke sana”, saya menyarankan.

Cik pun minta diri, sambil senyum bergula berpesan kepada saya. “Nanti kalau Pak Nik beli ubat tu lagi, kau tolong Cik isikan gandum dalam kapsul tu, ya?”

Hah, padan muka saya!

Wednesday, November 26, 2008

Dalam Termangu Kusebut Namamu

.
DOA

Tuhanku
dalam termangu
aku masih menyebut namaMu
biar susah sungguh
mengingat Kau penuh seluruh
CahayaMu panas suci
tinggal kerdip lilin di kelam sunyi

Tuhanku
aku hilang bentuk… remuk

Tuhanku
aku mengembara di negeri asing

Tuhanku
di pintuMu mengetuk
aku tidak biasa berpaling

Chairil Anwar

Toya dan Lelaki 48 Tahun

.
Pagi-pagi lagi saya ke kedai kopi seberang jalan. Bukan roti canai sangat tujuan saya, cuma hanya itu sahaja alasan untuk saya bertenggek di situ. Sudah berbulan saya tidak ke sana, jadi sesekali mahu juga 'ambil angin' kampung. Sambil tunggu roti siap, bolehlah saya merisik berita global mutakhir daripada pakcik-pakcik yang selalu membuka hari di situ.

Kali ini, reaksi mereka tidak lagi seperti pertama kali saya ke sana. Kalau dahulu, mereka serentak berpaling ke arah saya dengan mata terbeliak, hari ini pakcik-pakcik berkopiah sudah mula mesra dengan saya; kerana saya sentiasa jawab "ya, pakcik" sambil senyum dengan pertanyaan klise mereka "beli roti canai?" Kalau saya jawab "tak, nak datang ronggeng...", tentu hari ini pakcik-pakcik akan jadikan saya isu utama.

Isu hari ini masih Altantuya, cuma bukan lagi cara dia dibom, C4 dan modus operandi si pembunuh Toya (sebutan mereka bagi Altantuya), tapi kenyataan media oleh salah seorang yang pernah dikaitkan dengan pembunuhan Toya dan dibebaskan kini.

Saya menahan gelak apabila mendengar komen pakcik tertua dalam kelompok, "kalau aku yang jadi dia pun, aku tak mengaku. Cuba taksirkan (andaikan) bini kau dah tahu rahsia kau suka berkendak dengan anu binti anu kampung sekian-sekian, dan bila bini kau tanya kau, sebab nak mulakan sesi mengamuk, ada kau nak mengaku? Paling tidak pun, kau minta tolong aku yakinkan pada bini kau yang kau tak buat maksiat tu!" Hahaha, mereka ketawa sambil jeling saya.

"Itupun kalau kau upah aku juta-juta dollarlah, aku pun takut dengan bini kau tu. Tak pernah aku jumpa bini yang simpan pisau daging bawah bantal". Hahahaha, ketawa mereka makin gempita.

Saya senyum, capai roti canai yang baru siap. Sebelum melangkah keluar saya toleh pada mereka yang melereti saya,
"pakcik, lelaki umur 48 memang suka putar belit dan menipu!"

Ada tanya dalam pandangan mereka. Saya pun berlalu. Esok pagi saya akan pergi lagi.

Wednesday, November 19, 2008

Sebilah Belati Di Hati

.
Dalam entri September 2, 2008, saya ada menulis sesuatu sempena berakhirnya sambutan bulan persahabatan. Sepanjang perjalanan hidup selama 35 tahun, pelbagai jenis manusia ditemui - ada yang terhimpun dalam kategori rakan, kawan, teman, sahabat jiwa dan sahabat; dari sebaik-baik manusia hingga sejahat-jahatnya. Justeru itulah saya memilih untuk mengenal semua golongan manusia - dari ahli sufi, para wali, alim ulama sehinggalah penagih dadah, pencandu, pembunuh, pelacur dan sebagainya. Semuanya ada dalam senarai sahabat dan kawan saya. Kerana saya selalu belajar sesuatu yang berharga dari mereka; dari cerita dan kisah suka duka hidup mereka.

Dalam entri tersebut saya ada menyebut tentang kawan yang datang dan pergi dalam hidup. Dan hati saya yang pernah ditusuk belati oleh seseorang yang pernah bertamu dalam rumah jiwa, yang perginya selepas hujan reda.

Hari ini saya menerima sms daripadanya yang dihantar kerana terpaksa - dia berada di wad, kerana penyakit yang dapat saya teka. Saya menerima berita tanpa jiwa, luka di hati entah bila sembuhnya. Namun saya tetap berdoa, agar dia dipelihara Pencipta, kerana saya amat berharap dia menyedari dan mempelajari sesuatu dari keadaan dan ketentuannya kini. Semoga dia tidak akan mencacakkan sebilah lagi belati pada hati insan di sisi.

Sunday, November 16, 2008

Rajuk Kantan

.
Kantan yang saya tanam beberapa purnama selepas bermastautin di Padang Embun 20 bulan yang lalu kini telah menghasilkan lima kuntum bunga. Saya perolehi anaknya dari seorang kakak yang berniaga di Pasar Besar Wakaf Bharu. Entah mengapa saya sangat teruja untuk menanam kantan sebaik mendiami rumah baru.

Lebih setahun menanamnya, kantan tersebut tidak menunjukkan sebarang tanda hendak berbunga. Mahu dikata mandul, saya pasti kakak tersebut memberi saya anak dari pohon yang memang sihat. Saya hampir putus asa menunggu bunganya kerana saya memang mudah bosan pada penantian yang belum pasti jawapannya. Buat apa saya habiskan masa saban pagi menjengah dari jendela kepadanya jika hanya kekecewaan membalas kunjungan mata dan jiwa saya.

Ramadhan yang lepas, saya nekad. Jika kantan tersebut masih enggan berbunga, nantilah! Akan saya bongkah pokoknya hingga ke akar. Saya beri tempoh sehingga hari pertama saya kembali semula ke rumah setelah pulang beraya di kampung halaman. Janji tetap akan saya kotakan.

Khamis, 2 Oktober 2008 (2 Syawal 1429H), saya pulang ke Padang Embun. Saya menjengah kantan dari jendela kaca. Terkesima. Sekuntum kantan mengorak kelopak, dengan megah dan bangganya, seolah-olah menyambut saya dengan kata - bongkahlah akarku! Saya seka aliran air mata, sambil mengucapkan terima kasih kepadanya. Memang ia mengisi kebahagiaan ke dalam jiwa saya.

Ulangtahun Pemergian Ke-7 (16.11.01)

.
Melalui lorong waktu tujuh tahun pemergianmu
tujuh lapis langit sentiasa kelabu
tujuh bilah warna pelangi
menjadi satu pada pandanganku
dan kantan di belakang kini usang layu.
Semoga kasih Ilahi sentiasa bersamamu
di taman abadi.

Monday, November 03, 2008

Parang Milik Saya

.
Ini parang saya. Jadi kepunyaan saya petang semalam. Saya ke luar beli makanan sewaktu saya terpandang parang ini di sebuah gerai di tepi Jam'iyyah Bandar Pasir Mas. Sudah lama saya berhajat membelinya, sehinggalah semalam, saya berpeluang memilih satu untuk saya.

Saya mengilir mata parang ke tapak tangan. Pakcik tuan punya gerai pun tanya saya akan jenis parang yang saya perlukan. Saya jawab selamba, "parang untuk tebas batang pisang dan tebas…" Pakcik pun terdiam dan tak semena-mena tunjuk ke arah isterinya dengan telunjuk sambil berlalu pergi.

Dalam keadaan isterinya yang masih meleret pemergian suaminya, saya memilih satu parang dan beraksi melibas sana-sini untuk menyelesakan genggaman pada hulunya. Seorang lelaki dalam umur lingkungan 40-an menjerkah. Katanya sajak betul perempuan macam saya pegang parang sepanjang itu, dan ketawa terkekeh-kekeh. Nasib baik dia berada jauh di depan sana.

Saya pulang ke pejabat. Pelanggan yang ramah-tamah bertanya, "ayah suruh beli kah?" Saya jawab, "tak, tapi ayah pernah ajar saya untuk beli parang." Seterusnya dia tanya, "nak guna sendiri kah?" Saya angguk. Saya bertanya "kenapa" sebaik saja saya tengok air mukanya yang penuh kemusykilan.

Katanya dia rasa janggal tengok perempuan macam saya pegang parang, lebih-lebih lagi apabila dia tahu saya nak menebas sendiri. Tak ada lelakikah di rumah? Saya faham maksudnya, terus menjelaskan - Pakcik, jiran saya ada kaum lelaki, remaja pun ramai. Tapi di kampung saya, memang perempuan yang kena buat semua kerja, kecuali satu kerja sahaja. Istilah DIY (Do It Yourself) sudah sebati sangat dengan wanita di kampung kami. Dari anak dara sampai makcik yang tak larat nak angkat hadas pun kena reti DIY. Dari masalah paip bocor, longkang tersumbat, atap tembus, itik pengsan, ayam sawan.. semualah - perempuan akan tangani masalahnya. Kalau nak upah tukang, mereka tak mahu sebab tak berbaloi, kerja remeh-temeh katanya. Yang remaja pula lebih suka ke hulu ke hilir tayang badan.

Itu-itu jugalah saya jawab apabila setiap kali ditanya tentang perkakasan yang saya beli, dari gergaji, tukul, cangkul dan segala keperluan yang sewajarnya ada di sebuah rumah. Saya gembira melihat ayah saya senyum sebaik sahaja saya menghulurkan setiap alat pertukangan atau berkebun yang dia minta sewaktu datang berziarah ke rumah saya. Kali ini, kalau ayahanda tanya, apa lagi tiada dalam koleksi, saya akan jawab "C4 belum ada!"

Monday, October 27, 2008

Ayahanda, Isnin dan 20 Oktober

.
Semenjak 20 September 2008, saya menjadi manusia penakut – takut untuk bertemu hari Isnin. Ruang kenangan sentiasa dibayangi peristiwa menyayat kalbu pada pagi Isnin tersebut. Suatu perasaan yang tidak pernah saya alami selama ini. Saya pulang ke kampung setelah mendapat panggilan kecemasan dari bonda yang memaklumkan keadaan ayahanda yang tenat di ICU Hospital Kuala Terengganu pada pagi 19 September. Sewaktu mengunjungi ayahanda, tiada permintaan lain yang dibuat selain mahu pulang ke rumah. Kata ayahanda, dia tidak mahu menghabiskan sisa usia di wad, dengan wayar yang berselirat. Puas kami memujuk, ayahanda tetap dengan hasratnya, dan kami mengalah jua akhirnya.

Pagi 20 September, saya mencapai minyak angin dan mengurut lengan ayahanda yang terbaring lesu bagi menghilangkan lebam yang teruk kesan suntikan, sambil menyampaikan perasaan saya kepadanya dengan jiwa kerana jarang sekali kami berbual secara verbal tentang perasaan. Saya kuatkan semangat dan menyimpan sedu sebaik terlihat linangan air mata ayahanda mula mengalir ke arah telinganya.

Getar dari jiwa akhirnya terpacul jua dari mulutnya. Bagai ledakan gunung berapi sedang meletus dalam diri saya sebaik ayahanda memaklumkan masa untuk dia pergi sudah terlalu hampir. Saya berpandangan dengan bonda sebaik sahaja ayahanda mewasiatkan sesuatu kepada saya. Saya tinggalkan ayahanda dan bonda seketika untuk berwuduk dan menyempurnakan wasiat ayahanda, kemudian kembali dengan Al-Quran dan berada di kepalanya. Saya minta sahabat di sisi menghubungi semua adik-beradik saya.

Setelah semuanya berkumpul, ayahanda berpesan; usah dirisau pada hutang-piutang kerana ayahanda tiada hutang, segala apa kesalahan anakanda semua telah dimaafkan, usah sesiapa minta maaf lagi, dan ayahanda minta maaf pada semua anakanda. Kepada bonda, ayahanda juga memaafkan segala kesalahan atau kesilapan bonda selama bersama dan ayahanda mohon maaf daripada bonda atas segala dosa sebagai suami. Saya mengirim isyarat kepada bonda supaya jangan meledakkan tangisnya, sedang saya sendiri memendap muka kepada Al-Quran untuk melindungi guguran air mata.

Selesai mengucap, secara perlahan dan tenang, kelopak matanya tertutup, seolah-olah sedang berehat panjang sewaktu azan Zohor berkumandang. Saya terkesima. Teringat kata ayahanda, nenek saya memaklumkan bahawa ayahanda dilahirkan pada hari Isnin, maka hari kepulangannya pun juga jatuh pada hari yang sama. Saya seakan terpandang sinar matahari di langit yang gelap setelah sedar bahawa hari ini ialah Sabtu. Saya rasa nadi ayahanda, masih ada denyutnya walaupun terlalu lemah. Keadaan ayahanda kekal begitu sehingga saya membangunkannya lewat Zohor untuk dia solat menghormati waktu.

Pagi esoknya, saya pulang ke Kota Bharu. Saya tidak sanggup menunggu Isnin menemui saya di rumah itu. Bagi saya, pertemuan jiwa terakhir antara saya dan ayahanda adalah semalam. Dan saya melalui minggu demi minggu dalam debar – sehingga pada suatu tanggal - 20 Oktober. Tepat sebulan, ayahanda tenat lagi.

Dinihari Isnin, 20 Oktober 2008, saya nekad serahkan ketentuan ayahanda pada takdir buat kali kedua. Semoga sejahtera, ayahanda, jiwa anakanda galang gantinya!

Hari ini – dinihari Isnin, 27 Oktober 2008, saya bernyawa tanpa jiwa.

Sunday, October 26, 2008

Salam Hari Sejahtera Buat Sahabat

.
Salam Kesyukuran Ke-35, Sahabatku Si Kala Jengking,
(26 Oktober 2008)
Aku jadi manusia paling bersyukur pada pagi ini kerana masih diberi kesempatan menatap bening matamu sebaik terbitnya fajar.
Terhapus segala keresahan menunggu semalaman.

Maafkan aku kerana selalu memberikan duri semalu sewaktu orang lain menghadiahkan jambangan mawar di hari istimewamu, dan maafi daku jua kerana mengundang awan di hari ceriamu; kerana pasti suatu hari kau perlukan gerimis di tengah kontang sahara.

Chamil & Freedom of Expression

.
Semalam, seorang rakan dari Utusan berbual secara maya dengan saya. Dia tanya saya, apa pendapat saya tentang cerpen Chamil Wariya yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia pada 12 Oktober 2008, cerpen yang mencetuskan kontoversi sehingga disebut-sebut sehingga di Parlimen.

Saya jawab ringkas, saya sangat suka cerpen tersebut dan Chamil berhak mendemonstrasikan perasaan dan meluahkan pemikirannya secara kreatif. Rakan saya itu kata, kalau macam itu jawabnya, saya pun perkauman jugalah.
Saya kata, tidak, saya tidak menyokong sebarang tindakan yang berbentuk perkauman, tapi apa yang Chamil tulis adalah salah satu cara mempertahankan maruah bangsanya dan menegur kesilapan yang telah dilakukan oleh bangsa lain secara berkias.

Ia samalah seperti seseorang yang menyeranah kita dengan bahasa kesat di depan khalayak dan menuduh kita macam-macam, walhal semasa susahnya, kitalah yang membantunya. Dan selepas ditolongnya sehingga senang-lenang, dikerkahnya lutut kita balik. Siapa saja berhak marah dan kecewa dengan perangai tak sedar diri serupa itu.

Rakan saya menambah, mereka nak boikot akhbar yang siarkan cerpen itu. Saya jawab, bukankah selama ini mereka dah boikot, habis macamana dia dapat tahu cerpen tersebut tersiar pada tarikh tersebut? Agaknya inilah dikatakan makin benci makin sayang. Akhirnya saya kata, engkau tengoklah nanti, tentu akhbar ini semakin laris dalam kebencian mereka.

Thursday, October 16, 2008

Silent Cry

Hujan sedang turun dengan lebatnya. Saya sempat basah sewaktu berkejar dari kereta. Tiba-tiba jiwa rasa terkepit di antara helaian buku-buku yang tersusun di rak dan rasa hiba yang mendekam sejak jam 1.00 pagi tadi membuatkan saya benar-benar rasa seperti sedang mendaki ke langit. Dan saya mula menyelak helaian-helaian buku yang sempat dicapai. Sekeping kertas melayah jatuh. Entah tanggal berapakah saya menulisnya di nota usang ini.

Noble Art Creation
4.00 petang

Tentang Cinta 4

Cinta
telah melongkangkan seluruh jiwaku secara diam
dan membunuhku dalam senyap.

Monday, October 06, 2008

Tentang Cinta 3

Sepurnama kukutip bunga-bunga cinta
di taman Ramadhan
telah layu ia di fajar Syawal.

Oktober 6, 2008 (9.23 pagi)

Sunday, October 05, 2008

Tentang Cinta 2

Akulah kelekatu yang terbakar sayapnya
oleh api pesona cintamu
tergeletak di aspal kata.

Oktober 5, 2008 (7.53 pagi)

Monday, September 22, 2008

Kekasih, Sepurnama Bersama

Kekasih, setelah engkau pamit pergi
tinggallah aku sendirian edan kasmaran
mabuk untuk mereguk anggur cinta
dari aliran maghfirah yang sepurnama
mengalir dari puncak sucimu.

Tinggallah kini aku, kekasih
masih bermimpi malam-malam bersamamu
rahmat yang kau ucapkan pada awal kedatangan
masih ia kutatang dalam bejana ihsan.

Tinggallah kini aku, kekasih
masih meratap segugus keampunan
dari pohon hari lepas, kini dan depan
yang telah kau tanam pada dua pertiga bulan
yang kau titipkan buat bekalan
pada pertengahan pengembaraan ke muara salam.

Tinggallah kini aku, kekasih
masih melaung kalimah pembebasan
menuntut janji yang kau taburkan pada akhir ujian iman.

Dan aku, kekasih
tetap jua mengheret langkah sepanjang sungai rahmat
biarpun sesekali terseradung akar amarah
dalam mencari maghfirah di muara hurriyyah.

Sunday, September 14, 2008

Bila Malam Bertambah Kelam

Khas Untukmu Ubad,
SELAMAT ULANGTAHUN KEPUTERAAN (16 September)

Menatap bintang sedih di langit malam
bulan pun jadi biru
pada pandangan kalbu
dan jiwa ini hilang sinarnya.

Dan bila malam bertambah kelam
seribu kisah duka melintas mata
indera pun terdengar
titis hujan kenangan
jua ombak membenturi
karang kehidupan
dan tebing pilu yang menjulang
terdengar-dengar angin
dan badai keresahan
menampar bunga-bunga pagar
di halaman
dan dedaun rindu pun berserakan.

Namun kutahu hatimu
sentiasa tergantung di langit
cinta itu berputar-putar
di bawah sayap kerinduan
ke alam yang tinggi.

Hati dan perasaanmu
telah lama terbang meninggalkan dunia
meskipun jasad dan tubuh berada di bumi
sekeping rohmu sedang berenang di laut cinta.

Dan katamu
penilaian terhadap perhiasan dan harta benda dunia
tidak lebih dari nilai kerang yang kosong isinya.

* Benar katamu.. dunia makin porak peranda
kerana para pemuka bangsa
sedang berebut kuasa di merata buana.

Tentang Rakan 2

Sedekad telah kita meredah gelombang hidup
Kemarau dan hujan bersilih ganti
Terkadang lemas di sahara
Terkadang garing di pinggir oasis
Sejuk paksina dan dingin daksina kita harungi
dengan sejuta ketabahan.

Kita tetap tega menuruni lembah mehnah
Dan tabah mendaki bukit ujian
Dengan satu kalimah tauhid
Diiringi ikrar rafik.

Segugus janji tak mungkin dimungkiri
Setelah sepohon setia kita tanam di halaman cinta-Nya
Biarpun terkadang ranting-ranting persahabatan
telah cuba mereka patahkan
atau terkadang buah kesabaran mereka pecahkan.

Dan kita tetap tabah mengharung basah dan kering
kerana hati tidak akan pernah berbohong
dalam merisik rindu, mentafsir pilu.

Padang Embun, Pasir Mas
Ramadhan 9, 1426H (3.00 pagi)
September 9, 2008

Monday, September 08, 2008

Kekasih, Setahun Aku Teracun

Setahun aku teracun oleh bisa edan kasmaran
pesona cinta kekasih yang menyuakan madu asmara
dari empat penjuru alam
dari tujuh benua impian
terdamparlah akhirnya di pantai keakuan.

Lalu kau hadir menghulurkan penawar dalam terik mentari
angin beku di daksina dan paksina
letih dan resah yang basah menjerat lapar dan dahagaku
dalam jeritan yang tak tertahankan lagi
menggelepar dalam jaring waktu
dari terbit fajar hingga purnama mengucap salam.

Lapar dahagaku singgah di perut maghrib
bejana malam melimpahkan rona duniawi
kenyang menindih takbir
sebu menghentam tahmid
sengkak mendabrak tasbih
dan terawihku hanyut ke muara subuh
tahajud rebah lumpuh
rasa lapar ini ternyata belum cukup untuk sebuah rasa pasrah.

Setelah bertahun aku gagal mencintaimu
pagi ini, sebuah pesan menyentakkan lenaku
dalam mimpi malaikat menghunjam roh hitam ke kawah amarah
dan jasad legam oleh racun mazmumah.

Berjalan menuju pintumu, aku bersimpuh
berharap engkau menjemputku
hulurlah tanganmu, sambutlah lafazku
kerana tanpamu
setahun kalbuku teracun biru.

Thursday, September 04, 2008

Saya, Ayahanda & Puasa

Sedari dulu sehingga beberapa tahun sudah, saya memang menyedari kehadiran Ramadhan, paling kurang dua minggu sebelumnya. Bersedia menghitung hari, hingga pada hari rukyah. Yang paling seronok, bersama ahli keluarga menunggu depan televisyen seawal jam 8.00 malam untuk menunggu pengisytiharan tarikh permulaan puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu.

Lima minit sebelum pengumuman, kami berdebar-debar, bukan kerana terpaksa berpuasa keesokannya atau pada lusanya, tetapi bimbang tekaan tarikh yang dibuat tidak berpihak kepada diri sendiri. Saya dan terutamanya ayahanda, memilih tempat paling depan, menjadi penghulu kepada kesekian adik beradik yang lain, terdongak tidak berkalih pandangan. Hanya telinga mengawasi suara siapa yang paling tinggi, kelak akan dijerkah oleh kami berdua. Sungguh kurang sopan bising-bising di depan Penyimpan Mohor Besar, kata ayahanda. Saya pula akan angguk kepada setiap apa yang ayahanda tuturkan. Ya, mana boleh bising-bising pada detik paling bemakna!

Saya dan ayahanda sama-sama senyum. Senyum yang penuh makna, kerana kami sedang bertaruh – pertaruhan firasat siapa yang tepat. Namun selalunya, saya mempunyai firasat yang sama dengan ayahanda. Justeru adik-beradik yang lainlah menjadi lawan kami. Bonda pula hanya menerima… puasalah esok atau lusa pun.. bonda tak kisah asalkan lauk yang akan dimasak untuk sahur sudah dibeli.

Petua ayahanda, senang sahaja nak tahu sama ada puasa jatuh pada hari esok atau lusa. Kalau Penyimpan Mohor Besar senyum mesra, itu alamat puasa jatuh pada esok hari. Kalau mencuka dan macam orang kena cirit-birit rupanya, maka puasa akan jatuh lusa.

Cukup waktu, muncullah Penyimpan Mohor Besar yang siap berpakaian sepersalinan baju Melayu di kaca televisyen, begitu gah sekali, mengatur bicara satu persatu. Aduh… menyeksakan betul menunggu butiran kata tersusun rapi, yang itu-itu juga setiap tahun, yang berbeza hanya tarikh setiap kali diumumkan itu meletup keluar. Saya pandang ayahanda, ayahanda mengerling saya. Ayahanda tahu, hati saya membara untuk mencekah mulut Penyimpan Mohor Besar, menarik keluar tarikh yang dikehendaki oleh saya. Melihat saya yang sudah semacam, ayahanda biasanya akan kata.. kan Penyimpan Mohor tu dah senyum…

Adik-beradik lain yang memilih lusa sebagai tarikh puasa, sebaik sahaja dengar ulasan ketua rumah akan memprotes, mana boleh.. esok belum puasa! Bukankah kau paling malas puasa, buat apa sokong puasa esok. Kau dengan ayahanda sama, walhal kau dan ayahanda paling menyedihkan pada bulan puasa, mengalahkan mangsa kebuluran, gumam adik-beradik yang tidak puas hati.

Habis, kenapa Penyimpan Mohor Besar senyum.. macam ayahanda kata? Saya bangga, terasa kemenangan berpihak kepada kami berdua. Maka, akan ada kata-kata dari salah seorang dari mereka – Penyimpan Mohor Besar senyum sebab dia berpeluang makan satu hari lagi esok! Saya dan ayahanda berpandangan, menyembunyikan senyum bermakna.

Setelah pengumuman dibuat, kalau kemenangan tidak berpihak kepada kami, akan ada ulasan – memang yang pergi tengok anak bulan tu semuanya tua-tua, mana nak nampak anak bulan. Saya tolong tambah - macam mana nak nampak, masa anak bulan kelihatan mereka asyik borak. Adik-beradik lain akan mencebik pada saya. Sekiranya puasa ditakdirkan esok, maka saya mengalahkan ayahanda, gembira bukan kepalang – firasat kami boleh dipakai kira. Bukankah aku anak bapa, menelah jarang kesasar? Adik-adik mengumam.. esok kita tengok orang kebulur keluar biji mata!
Begitulah selalunya.

Tahun 2008, saya tak sempat berkumpul seperti biasa. Saya terpaksa bertolak dari Kuala Terengganu ke Pasir Mas pada 30 Ogos. Semasa menyalami ayahanda, ada pandangan yang penuh siratan terlempar oleh matanya. Saya kelu dan cepat-cepat beredar, terlupa untuk menceriakan suasana dengan pertanyaan – ayahanda teka puasa esok atau lusa?

Detik seterusnya, saya sibuk mengqada'kan urusan kerja. Saya sedang menghampiri KB Mall sewaktu ibu angkat @ jiran saya menelefon - puasa tak esok... kalau puasa, Cik (Cik ialah panggilan ibu kepada mereka yang berdarah raja) nak ke madrasah, bertarawih.

Hah! Malam ini pengumuman tarikh puasa? Saya teringatkan ayahanda, saya seakan-akan terlihat Penyimpan Mohor Besar yang sihat-walafiat tersenyum-senyum. Saya pandang sahabat di sisi.. malam ini malam pengumuman tarikh puasa! Habis, puasa tak esok? Saya kalut tanya pengunjung pusat beli-belah itu. Nasib baik ada yang terdengar perisytiharan itu.. sah esok puasa. Saya rasa macam mahu menangis. Saya cuba pandang ayahanda dengan jiwa, tak nampak bayangnya. Saya gagal masuk ke dalam suasana yang melingkungi saya selama ini.

Saya menapak terus ke arah pintu masuk KB Mall. Beberapa orang dari dalam kereta pelik merenung ke arah saya, pandangan yang sama seperti yang dilontarkan oleh adik-beradik saya selepas dijerkah saya setiap kali buat bising semasa menunggu detik pengumuman tarikh puasa. Pedulikan mereka, saya sedang diamuk kerinduan pada suasana bersama ayahanda.

Saya merenung kaki lima, hasta dan kaki, seinci dan kemudian ke kaki. Ya Allah, alas kaki saya! Terlopong. Kaki kanan beralaskan selipar Jepun kusam warna kuning, kaki kiri pula, alas kaki warna hitam beriben. Lantaklah. Saya teruskan langkah ke pusat beli-belah. Sahabat dan rakan di sebelah ketawa separuh pengsan. Untuk tidak memalukan mereka, saya jalan di depan dan jalan ala-ala Oshin. Setiap langkah diatur tak sampai setengah kaki jaraknya. Sungguh menyeksakan bagi orang yang lazimnya berjalan laju seperti saya. Beberapa orang remaja Cina di Chicken Rice Shop sempat mentertawakan saya. Pedulikan, esok puasa! Ayahanda, Selamat Berpuasa..

Tuesday, September 02, 2008

Kawan Yang Datang dan Pergi

Hari ini, 2 September 2008 – berakhirnya sambutan sebulan Hari Persahabatan Sedunia.

Dalam tempoh waktu yang singkat, ada kawan yang datang dan ada juga yang pergi. Datangnya yang tidak disangka-sangka setelah lama menyepi… dan perginya sebelum sempat ditanya apa sebabnya?

Yang datang sudah tentu dialu-alukan walaupun belum pasti apa tujuan, sekadar singgahan atau akan bertamu selamanya di kalbu. Yang pergi pula belum pasti ketemu lagi atau telah pergi selamanya dengan luka di jiwa.

Namun kepada yang pergi tanpa salam setelah jiwa kuberikan, terima kasih atas singgahan. Hanya sejambangan puisi yang tak sempat didendangkan ini jadi teman sepanjang perjalananmu dari kamar hati ini. Selamat pergi dengan tenang hati.

TAMU SEMALAM
Oleh Hashim Yaacob

Tamu kuyup semalam
yang datang di lebat hujan
kuberi makan,
persalinan dan tilam untuk bermalam.

Bila reda hujan dia menghilang
ditinggalkannya padaku
sebilah belati
tercacak pada hati.

Kumpulan Puisi-Puisi Remaja
“Aku Hanya Mahu Ke Seberang”
Task Global (M) Sdn Bhd, 2001