Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Monday, December 22, 2008

Iklan Ubah Saiz

.

Papan iklan pada pohon tepi kuburan Jalan Kota Darul Naim ini merupakan objek yang selalu terakam dalam pandangan setiap kali saya ke Kota Bharu. Kembar iklan ini pula dipaku pada sebatang pokok mati dalam perjalanan saya ke Pasir Mas. Kalau terpaksa ke Kota Bharu dan ke Pasir Mas pada hari yang sama, maka saya akan menempuh dua iklan ini setiap hari. Sejak bertahun dulu. Banyak lagi iklan serupa ini di Kelantan, namun tak sempat saya rakam.

Saya pernah menelefon nombor yang tertera pada kembar papan iklan ini. Saya benar-benar ingin tahu bagaimana usahawan sedemikian menjalankan perkhidmatan, sambutan pelanggan dan sebagainya. Namun sebagai usahawan, pastilah pakcik tersebut mengaku terdapat sejumlah besar pelanggan yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Sumber sedemikian tidak boleh dijadikan fakta sandaran.

Setelah mendapat maklumat sedikit sebanyak, pakcik tersebut tidak sabar-sabar menjadikan saya pelanggannya. "Pujuklah cik abe mek mari, royat molek ko dio. Jange susoh hati bare kecik, buke cik abe mek sore ado masaaloh ni. Ramai doh laki bini kelik baik hasil usoho pokcik ni, mek." Saya tak sempat menjelaskan apa-apa lagi, pakcik tersebut terus terkam dengan serkap jarang.

Cepat-cepat saya jawab, "pakcik, saya bukan nak tambah saiz barang cik abang, saya nak minta pakcik tolong kurangkan." Senyap di hujung talian, dan butang merah telefon bimbit cepat-cepat saya tekan.
.
Kepada sesiapa yang berminat, cubalah telefon nombor tertera. Saya tidak pernah hubungi nombor ini, tapi sekiranya nombor tersebut tiada dalam perkhidmatan atau telah ditukar, jangan bimbang. Saya masih simpan nombor pakcik iklan satu lagi itu.
.
Padang Embun
Disember 22, 2008 (petang: 4.20)

Lelaki di Pusara

.
Seorang lelaki kematian isteri sebulan yang lalu. Dia amat menyintai arwah isterinya, dan mengikut segala kata dan kehendak suri hatinya selama ini. Pemergian isteri tercinta amat dirasai, dan saban hari dia mengunjungi pusara isterinya bersama sekendi air.

Ipar duai pula sentiasa berendam air mata melihat kesetiaan adik ipar dan biras mereka terhadap isteri tercinta. Mereka sendiri pun tidak mungkin jadi sesetia itu. Maka kerana terlalu terharu dengan kesetiaan itu, salah seorang abang kepada arwah isteri lelaki setia itu pun bersuara, setelah melihat kekerapan adik iparnya menziarahi pusara.

"Abang amat terharu dengan pengorbanan dan semangat kau. Kami beruntung sangat-sangat kerana mempunyai lelaki yang amat menyayangi adik kami sedemikian rupa. Abang sendiri pun belum tentu dapat berbuat begitu sekiranya isteri abang pergi dahulu. Sesungguhnya kau lelaki gagah berdepan perasaan dan kenangan."

"Kami lihat kau tegar mengunjungi kuburan isterimu tiga kali sehari, sedangkan kau amat sibuk dengan urusan kerja. Apakah yang membuatkan kau selalu mengunjungi pusaranya? Abang ingin belajar dari kisah cinta kalian." Lirih suara si abang mencungkil rahsia.

"Saya buat semua ini kerana pesan arwah, abang." Lirih suaranya.

"Nyatakanlah, kami mahu belajar dari kisah kesetiaan kalian." Si abang teruja.

Dengan selamba lelaki yang kematian isteri sebulan lalu itu menjawab, "arwah isteri saya pernah berpesan begini - jika saya pergi dahulu, abang janganlah kahwin semasa kubur saya masih merah. Tapi tunggulah rumput-rumput di pusara saya tumbuh dahulu."

"Maka, kerana itulah setiap hari saya ke pusara isteri untuk menyiram kuburannya, supaya rumput-rumput cepat tumbuhnya." Lelaki itu pun berlalu dengan sekendi air.

Padang Embun
Disember 22, 2008 (pagi: 7.00)

Tetamu Teratak Maya

.
Tetamu yang terlontar di teratak maya
salamnya berjawab curiga.

Dengan halus bicara
dihulur sejambak kuntuman mesra
takdir Tuhan merencana.

Segugus kata dipohon rasa
kita jolok bersama
gugurnya putik kisah rindu terbelenggu
buah kasih terpenjara
kita kutip bersama
di halaman jiwa.

Kamar Rasa
Disember 22, 2008 (pagi: 2.00)

Sunday, December 21, 2008

Kami, Melayu Bangsa Berdaulat

Petang semalam saya menghadiri Seminar Perpaduan Melayu di Dewan Kenanga, Hotel Raudhah. Seminar anjuran GAPENA dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kelantan, PPK dan PUSPA. Ia adalah lanjutan daripada Kongres Permuafakatan Melayu yang berlangsung di Johor Bharu pada 2-4 Mei 2008 di mana satu ketetapan telah diambil - menubuhkan Majlis Permuafakatan Kebangsaan Melayu Malaysia (MMKMM). GAPENA diberi tanggungjawab menyelaraskan penubuhannya, di samping memberi penjelasan dan penerangan kepada NGO Melayu di seluruh negara melalui perbincangan, dialog, seminar dan seumpamanya.

Tujuannya ialah bagi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kewujudan Kerajaan Melayu di Persekutuan Malaysia, mempertahankan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu, dan membangunkan perpaduan Melayu melalui pendidikan, kebudayaan, kesenian dan warisan Melayu di Persekutuan Malaysia.
.
Seminar yang bermula jam 2.00 petang dimulai Ucapan Perasmian oleh Ketua Satu GAPENA, YBhg. Tan Sri Emeritus Dato' Dr. Ismail Hussein. Pembentangan Kertas Kerja I disampaikan oleh YBhg. Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, Pengarah Akademi Pengajian Melayu, UM dengan tajuk "Kebudayaan Melayu Sebagai Teras Budaya Kebangsaan". YBhg. Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dari UPSI pula membentangkan Kertas Kerja II "Kefahaman Kedaulatan Melayu" dan terakhir, YBrs. Tuan Haji Borhan Md. Zain selaku Jawatankuasa GAPENA membentangkan Kertas Kerja III yang menyentuh isu "Penolakan PPSMI".

Ucapan Penutupan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kelantan, YABrs. Encik Ismail Yusof mengakhiri majlis tepat jam 6.00 petang.
.
Seminar ini saya kira adalah sebuah kuliah sejarah yang cukup berkesan. Usaha seperti ini wajib diteruskan dan dipergiatkan lagi untuk menjelaskan kepada bangsa Melayu khasnya dan masyarakat majmuk Malaysia amnya yang alpa dan selalu buat-buat lupa kepada sejarah bangsa dan negara. Dan sesungguhnya kuliah ini benar-benar menyalakan api cinta saya kepada sejarah yang selama ini saya tidak pedulikan kerana kebencian melampau saya terhadap mata pelajaran ini. Hari ini, saya akan katakan tak kenal maka tak cinta kepada sejarah.

Saya masih ingat, di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring, Kuala Terengganu, kelas yang paling saya "benci tapi rindu" ialah kelas sejarah. Saya benci subjek sejarah, tapi saya rindu cerita kelakar cikgu. Saya muak diasak nama-nama kuno dan siri tarikh silam. Saya selalu menggumam, berapa banyak Rama Kamheng daa, tak ada nama lain ke selain Chulalongkorn atau itu-ini, kenapa pelajar terpaksa hafal nama dan tarikh purba itu dan apa kena mengena kehidupan mereka dengan masa kini dan depan saya? Namun kerana cikgu sejarah saya itu kelakar orangnya dan sering menjawab soalan saya dengan muka bodohnya, saya akur bahawa saya terpaksa juga hafal nama-nama dan tarikh tersebut, kalau tidak nanti apa yang nak dijawab dalam peperiksaan SPM. Saya terpaksa bertahan dalam situasi sedemikian sehingga peperiksaan. Berbekalkan markah 39% yang selalu dikutip dari rasa kasihan cikgu sejarah setiap kali ujian, saya menapak ke dewan peperiksaan dengan langkah gontai. Sebelum masuk dewan, cikgu sejarah sempat senyum dan beri perangsang kepada saya - hari ini hari terakhir awak hafal nama dan tarikh, tambahlah 1 lagi markah. Dan setelah keputusan SPM berada di tangan, sayalah manusia paling bersyukur kerana tiada angka 9 mewakili subjek yang saya ambil. Kalau cikgu sejarah itu wanita, sudah pasti saya peluk dia kerana kata-kata akhirnya sebelum saya masuk dewan itu memberi saya angka 8 untuk subjek sejarah.

Di menara gading, ketakutan saya berulang sehingga saya terpaksa membuat satu keputusan besar sewaktu bergelar pelajar Undang-Undang Pusat Matrikulasi UIAM. Saya hanya mampu bertahan hanya selama semester lebih dalam kulliyyah tersebut. Awal semester dua, saya menceraikan kulliyyah itu semata-mata kerana subjek Malaysian History, subjek wajib ambil.

Hari ini, Disember 20, 2008 - saya isytiharkan cinta saya. Saya benar-benar jatuh cinta pada sejarah. Kuliah sejarah oleh Dato' Prof. Dr. Zainal Kling adalah percikan api cinta yang menyambar sekam kebencian saya selama ini. Rentetan peristiwa, perjuangan dan siri perang serta pengorbanan wira bangsa yang dipaparkan dilayar putih menumbuhkan jati cinta saya terhadap sejarah bangsa berdaulat. Saya simpulkan, sejarah bukanlah himpunan tarikh dan barisan nama yang wajib dihafal, sebaliknya peristiwa yang memuatkan penderitaan, pengorbanan, semangat perjuangan, dan sejumlah teladan dan sempadan untuk dicerna dan dijadikan iktibar, suluh perjalanan hari muka. Sejarah tidak pernah memaksa manusia mengingati "benda-benda mati", tetapi manusia sewajarnya memberi nafas kepada benda-benda kaku tersebut. Sejarah tidak menghukum bangsa menghafal tarikh-tarikh purba, tetapi amat sayugia manusia mengisi tarikh-tarikh tersebut dengan citra bangsa jaya.

Sesungguhnya, bangsa kita bangsa berdaulat. Kita bukan tuan di tanah aman, tetapi kita tuan rumah kepada tetamu yang datang. Kita menerima mereka dengan budi nan luhur bukan untuk diinjak kemudiannya. Kita memberi tempat berteduh dari hujan dan panas kepada mereka pada kelam malam dengan ikhlas jiwa, bukan untuk ditusuk belati keesokannya.
.
Pagi ini, dengan dada berparut mari kita canangkan - kita ini bangsa berdaulat. Di tangan bangsa, kekal masih dua kekuatan; undang-undang dan semangat perjuangan. Hanya keserakahan kalian para tamu; yang membutakan mata, sengaja memijak buku Perlembagaan Persekutuan dan Al-Quran yang mengandungi kekuatan jihadi yang kalian geruni. Sehingga kini, kami masih memegang kata kedaulatan, bukan ketuanan. Berlembut kami ada masanya. Jangan sampai nanti kami hunus keris ketuanan kepada kalian yang menyimpan belati di kilas belakang. Jangan sampai suatu ketika kami berpencak tari ketuanan, menghalau kalian ke benua perhambaan.
.
Dan kepada kalian yang terlalu kekenyangan, kami persilakan pulang menanak antah di benua kalian.
.
Padang Embun
21 Disember 2008 (pagi: 7.00)
.

Saturday, December 20, 2008

Dia dan Sebuah Rumah Seni

.
Malam tadi, saya dijemput menghadiri perjumpaan GAPENA dan badan kerabat di Hotel Raudhah. Badan kerabat diberi peluang meluahkan keterbukuan dalam hati, apa-apa sahaja tentang GAPENA. Perbincangan seputar isu bunuh-membunuh sesama sendiri dan isu mencari Melayu tidak pernah tertinggal.

Namun dalam sekian banyak pertanyaan dan ulasan yang dibincangkan, pernyataan YM Dato Tengku Alauddin Tengku Majid tentang status rumah GAPENA amat memilukan saya. Rumah nostalgia itu akan digantikan dengan bangunan pencakar langit suatu masa nanti, hal yang pernah sampai ke telinga saya lama dahulu; dan saya pasti saat itu terlalu hampir kini.

Memang GAPENA akan diperuntukkan rumah baru sekiranya rumah sekarang dirobohkan, namun kenangan yang terlalu banyak tersimpan di situ sukar dipindahkan. Walaupun ia tetap kekal dalam hati, wajah rumah tersebut tidak mungkin dapat ditatap lagi. Sesungguhnya rumah itu menyimpan sejuta rasa dan nostalgia buat saya. Terimbau selautan kenangan sewaktu mula bertandang pada awal pembabitan dalam rumah sastera.

Di halamannya, banyak dedaun kenangan yang gugur. Asam garam, manis pahit perjalanan saya bermula di situ. Di situlah, saya mengenal budi, mengenal rasa, mengenal jiwa penghuni rumah seni itu. Dan Ratib Seribu Syair adalah acara yang paling banyak memberi ruang kepada saya memahami dunia seni tanah air. Seluruh ahli bersatu tenaga seolah-olah tidak pernah ada sengketa. Tiada nista dan kasta sepanjang acara. Yang muda dan berusia sama-sama mencurah idea. Rajuk warga berusia dipujuk keletah yang muda, dan marah yang muda disiram penawar bicara yang berusia.

Namun, semenjak kehilangan salah seorang penghuni yang banyak menabur jasa di rumah itu, saya tidak lagi bertandang ke sana. Kepiluan sering mencengkam setiap kali melalui rumah itu. Terbayang masih perbincangan seputar dunia sastera di rumah itu, suka duka perjalanan dunia seni, sepak terajang kehidupan sehingga hal-hal peribadi yang wajar dikongsi untuk diteladani.

Sehingga saat dia pergi, anaknya tak jua kembali. Dan selalu saya doakan, semoga anaknya yang pergi tanpa khabar berita kembali jua suatu hari nanti ke sisi keluarga tercinta. Saya amat yakin akan peribahasa tak sungguh seluang melaut. Dan berdasarkan keyakinan itu saya katakan padanya “Dr, jiwa saya mengatakan dia masih ada.” Dari sisi, saya lihat ada senyum terpamer di wajahnya. Saya pasti, pemilik Citroen merah yang sedang dipandu ayahandanya ini, masih bernyawa di suatu jihat antara langit dan bumi ini. Pepohonan menghijau sepanjang jalan seolah-olah membenarkan keyakinan saya ini.

Hari ini, saya benar-benar rindu pada rumah itu. Di tepi jendela kacanya, dia pasrah berkata – Biarlah apa mereka nak kata, tugas kita terus berbicara dengan aksara. Pesan itu saya ingat sampai bila-bila, biarpun lama sudah dia pergi ke daerah abadi. Dan sehingga kini saya masih berdoa semoga anaknya kembali dalam tempoh terdekat ini, sekurang-kurangnya menjenguk pusara ayahandanya sempena hari lahir arwah pada Januari 5 ini.
.
Sesungguhnya Tuhan menjemput dia lebih awal sebelum rumah ini hilang serinya.
.
Kamar Rasa
Disember 20, 2008 (pagi: 8.00)

Tuesday, December 16, 2008

iv. bunga kapas

.
Getar suara mengembalikan nostalgia kepada Ros. Suara yang sama, insan berbeza. Saya teruja walaupun amat letih, fizikal dan emosi. Kami janji bertemu di sebuah rendezvous sekitar Ampang, tempat yang selalu saya kunjungi dengan Ros. Lima belas tahun dulu.

Dan saya memilihnya hari ini, buat kali pertama setelah meminggirkannya selama waktu itu. Saya memilih meja berhampiran pagar kayu yang sekelilingnya ditumbuhi bunga-bunga putih. Agar senang saya mencari wanita bertudung ungu, berbaju rona bunga kapas.

Dari kejauhan kelihatan wanita berpakaian serba putih beriringan seorang jejaka mendekati meja saya.
.
“Saya Maryam Qistina. Ini saya kenalkan, Umar Mukhtar.” Saya menyambut huluran tangan lelaki itu, tanpa genggaman kerana seluruh badan saya dihipnotis tenungan mata wanita di sisi. Penerbit Warta Tengahari TV4 itu mengundang nostalgia.

iii. nafas bumi


Saya melihat matahari digulung dan bintang-bintang jatuh bertaburan. Saya melihat gunung-gunung telah dihilangkan dan unta-unta betina yang sedang mengandung ditinggalkan. Saya lihat lautan bergelombang besar menelan blok pangsapuri yang kami huni, membawa Ros pergi. Manuskrip “Nafas Bumi” usahasama kami menimpa kaki.

Monday, December 15, 2008

ii. warna alam

Nama itu hanyut oleh derasnya air yang terjun dari puncak bukit, sekelip mata menukar warna alam kepada rona nestapa. Dan sepatah nama saya bersemadi di suatu sudut bumi; bersama darah, air mata, pekik lolong dan jerit tangis yang bersipongang, dan sekujur jasad yang saya berikan hak memanggil kembaran nama yang tidak pernah saya izin orang lain menyebutnya.

i. Apabila Alam Berbicara

Inilah harinya.
Manusia bagai kupu-kupu bertebaran,
harta benda bagai bulu yang dihembus.
Empat puluh lapan jasad kandas meloloskan diri,
akhirnya terpaksa mencium lahad
atas dua nama;

Sunday, December 14, 2008

Sinar Dari Paksina

Tetamu dari utara
membawa bersamanya
cahaya sebalang kaca.

"Ia hadiah dari hamba
apabila malam menyapa
cabutlah gabusnya
baki usia usah dipersia."

Melangkah pergi dalam hujan
ditinggalkan sebaris pesan
"Apabila cahaya terbentang
banyak sisi gelap tertendang."

Malam ini
sewaktu bulan ditabiri awan
kurenung sinar di dalam balang.

Padang Embun
Disember 13, 2008 (tengah malam kelam: 12.00)

Wednesday, December 10, 2008

Bukti Cinta

Pada zaman ini, cinta tidak lagi menjadi keperluan utama kebanyakan manusia. Cinta suci adalah suatu yang utopia. Cinta dan realiti tidak mungkin bersatu - itu pendapat majoriti. Namun saya tetap percaya akan cinta, yang pada saya hanya mengunjungi satu jiwa sekali seumur hidupnya. Tidak mungkin cinta seseorang itu berulang pada insan berbeza.

Cinta ada di mana-mana; di daksina, di paksina, di masyrik atau di maghrib. Dan satu kisah cinta suci tanpa unsur materi ini asalnya dari China. Kisah yang menyentuh seisi dunia ini diharap berjaya menguak sedikit pintu hati manusia yang tidak percaya akan cinta, untuk menerima sedetak rasanya.

Kisahnya tentang sepasang kekasih yang melarikan diri untuk hidup bersama dan saling mengasihi dalam kedamaian selama setengah abad. 50 tahun yang lalu, Liu Guojiang, pemuda berusia 19 tahun, jatuh cinta pada Xu Chaoqin, janda berjarak umur 10 tahun lebih tua.

Mereka mengulangi kisah Romeo dan Juliet. Teman-teman dan kerabat mencela hubungan mereka kerana perbezaan usia dan kenyataan bahwa Xu sudah punyai beberapa orang anak. Pada waktu itu hal sedemikan tidak diterima, dan dianggap tidak bermoral bila seorang pemuda mencintai wanita yang lebih tua. Dan untuk menghindari fitnah dan celaan masyarakat, pasangan ini memutuskan untuk melarikan diri dan tinggal di sebuah gua di Desa Jiangjin, di sebelah selatan Chong Qing.

Permulaan perjalanan kehidupan mereka sangat sukar dan menyedihkan. Mereka terpaksa makan rerumput dan akar yang ditemui di gunung itu. Dan Liu berusaha membuat sebuah lampu minyak tanah untuk menerangi hidup mereka.
.
Lantaran kedaifan itu, Xu berulang-kali meminta kepastian daripada kekasihnya "Apakah kau menyesal?" Dan Liu selalu menjawab, "Selama kita rajin, kehidupan ini akan menjadi lebih baik". Sememangnya cinta itu memerlukan paduan dua jiwa.
.
Ternyata Liu yakin bahawa cinta itu perlu dibuktikan dengan usaha. Setelah dua tahun tinggal di gunung itu, Liu mulai memahat anak-anak tangga agar isterinya dapat turun dari gunung dengan mudah. Dan kerja-kerja memanifestasikan cintanya ini berlangsung selama 50 tahun. Seluruh anggota tubuh; otaknya, matanya, hidungnya, bahunya, sikunya, tangannya dan kakinya bekerjasama untuk menjayakan cinta mereka. Akhirnya Liu berjaya membentuk 6000 anak tangga hasil keringat dan kudrat, dan kemahiran tangannya. Pasangan ini hidup dalam damai selama lebih dari 50 tahun.

Setengah abad kemudian, pada tahun 2001, sekumpulan pengembara melakukan explorasi ke hutan itu. Mereka takjub apabila mendapati anak tangga mendaki ke gunung tersedia. Setelah terserempak dengan pasangan lanjut usia itu, mereka seolah-olah tidak percaya wujudnya manusia di tengah belantara.
.
Liu Ming Sheng, seorang daripada tujuh anak pasangan cinta mengatakan, "Orang tuaku sangat saling mengasihi, mereka hidup menyendiri selama lebih dari 50 tahun dan tak pernah berpisah sehari pun. Selama itu ayah telah memahat 6000 anak tangga itu untuk menyukakan hati ibuku, walau pun dia tidak terlalu sering turun gunung.” Anak yang lahir hasil cinta juga akan dipenuhi cinta jiwanya.
.
Namun pada suatu hari Liu yang sudah berusia 72 tahun pengsan ketika pulang dari ladang. Xu duduk dan berdoa bersama suaminya, sampai Liu akhirnya meninggal dalam pelukannya. Kerana sangat mencintai isterinya, genggaman Liu sangat sukar dilepaskan dari tangan Xu. Sampai mati pun Liu masih membuktikan cinta sucinya. Dan cinta itu terawang-awang, mencari jiwa-jiwa yang membuka jendela dan pintu kalbu seluas-luasnya untuk menerima roh cinta.

"Kau telah berjanji akan memeliharaku dan akan terus bersamaku sampai akan meninggal, sekarang kau telah mendahuluiku, bagaimana aku dapat hidup tanpamu?" Selama beberapa hari Xu terus-menerus mengulangi kalimat ini sambil meraba peti jenazah suaminya dengan untaian air mata membasahi pipi.
.
Pada tahun 2006 kisah ini menjadi salah satu dari 10 kisah cinta yang terkenal di China, yang dikumpulkan oleh majalah Chinese Women Weekly. Pemerintah telah memutuskan untuk melestarikan "anak tangga cinta" itu, dan tempat kediaman mereka telah dijadikan muzium, agar kisah cinta ini dapat terus bersemi.

Thursday, November 27, 2008

Cik dan Ubat Kuat

.
Awal pagi semalam, saya sedang pening lalat kerana tidak tidur semalaman, sewaktu bonda angkat saya datang ke rumah. Sejak musim tengkujuh bermula, saya sukar untuk lena. Hujan yang tumpah sering membawa bersamanya sejuta kenangan, dan waktu diniharilah yang selalu menjadi pilihan nostalgia bertandang.

Bonda angkat berdarah raja yang saya panggil “Cik” itu selalu mengadu masalah rumah tangganya pada saya. Kisah klise bagi mereka yang bermadu - apa lagi kalau bukan rasa cemburu, giliran, ketidakadilan, putar belit dan tipu-tipuan suami, strategi isteri kedua, ubat guna-guna dan sebagainya.

Saban hari saya mendengar cerita yang sama. Sehinggakan saya terpaksa berhati-hati setiap kali berbual dengan Cik, bimbang terlepas sebarang nama yang melibatkan perkataan “madu” seperti tembikai madu, limau madu, salak madu dan apa-apa barang yang terdapat perkataan madu. Pernah sekali saya minta Cik hulurkan limau madu pada saya, Cik dengan muka masam mengomel “Cis… jangan sebut madu-madu depan Cik!” Semenjak hari itu saya hanya menggunakan telunjuk untuk merujuk apa-apa sahaja buah atau barang yang “bermadu", dan tidak lagi menyebutnya depan Cik.

Kerana tidak mahu lagi berterusan dengan keadaan tersebut, saya pun terpaksa bertegas kepada Cik. Walaupun kedengaran agak brutal, tapi saya fikir tidak wajar saya menghabiskan sekian banyak waktu mendengar cerita itu-itu juga. Mungkin kerana azam saya pada tahun ini menjadikan saya tergamak untuk menyarankan pada Cik supaya memilih antara dua – sama ada sabar dan reda dengan hidup bermadu atau pilih untuk bersendirian jika suaminya memilih isteri kedua sewaktu diberi kata dua. Jika tidak, pasti keadaan sekarang berterusan sehingga suatu masa yang belum pasti. Seperti kata Cik “agaknya Cik akan hidup berendam air mata sampai mana-mana seorang mamp...!” Tahu pun dia.

Saya berani mengusulkan kata dua tersebut memandangkan ada ketidakadilan dari segi nafkah batin, apatah lagi dalam musim sebegini, dan di kampung kami pula sering berlaku kejadian kecurian akhir-akhir ini - dia selalu ditinggalkan kesepian kerana mereka hanya tinggal berdua di sebuah rumah besar.

Dan hari ini Cik datang meraung lagi. Kali ini agak parah nampaknya. Kata Cik, Pak Nik suaminya keluar awal pagi atas alasan kerja kerana pada minggu ini giliran di pihak sana hanya pada hari Ahad. Namun Cik syak dia pergi ke sana kerana apabila Cik telefon Pak Nik, kedengaran suara madunya di hujung sana yang sengaja berbual kuat supaya Cik tahu Pak Nik sudah langgar janji.

Sedang hati membara, Cik masuk ke biliknya dan semak ubat kuat Pak Nik. Malam tadi, kata Cik – ubat itu ada enam biji, tapi sekarang dah tinggal dua. Selalunya Pak Nik akan telan dua biji sahaja.

Cik pun mula meraung lagi selepas menceritakan hal itu kepada saya. Saya terpaksa tahan gelak apabila Cik dalam sedu-sedannya sempat mengomel, “cuba bayangkan apa yang dia buat sekarang ni..” Saya bukan mahu gelak pada aktiviti yang mungkin dibuat Pak Nik, tapi saya geli hati memikirkan ikhtiarnya menelan empat biji ubat tersebut. Sedangkan sudah berkali-kali saya beritahu Pak Nik akan bahaya menggunakan ubat dari negara jiran tersebut.

Pernah saya sarankan kepada Cik agar menggantikan isi kapsul ubat kuat tersebut dengan gandum. Namun katanya dia tak reti, macamana caranya. Saya rincikan, buka kapsul tersebut dan curahkan isinya. Masukkan gandum secara cermat dan tutup balik kapsul secara teliti kerana kulit kapsul sangat sensitif.

Tiba-tiba Cik senyum dan kesat air mata. “Memang Cik telah buat macam yang kau suruh tu, tapi sempat buat sebiji sahaja. Susah sangat, kapsul tu kecil. Tapi antara empat biji yang Pak Nik telan tu, termasuk sekali kapsul gandum tu!” Hahahahaha, saya tidak dapat tahan rasa geli hati yang teramat.

“Habis yang Cik meraung ni kenapa?”

Cik senyum kambing. “Sebab Cik dah habiskan baki kapsul yang dua biji lagi tu, tapi Pak Nik tak balik-balik lagi ni, tentu di rumah sana!” Saya tepuk dahi.

“Baliklah tu… baik Cik balik rumah cepat, nanti kalau Pak Nik balik ke rumah dan Cik tak ada, kemungkinan juga dia akan ke sana”, saya menyarankan.

Cik pun minta diri, sambil senyum bergula berpesan kepada saya. “Nanti kalau Pak Nik beli ubat tu lagi, kau tolong Cik isikan gandum dalam kapsul tu, ya?”

Hah, padan muka saya!

Wednesday, November 26, 2008

Dalam Termangu Kusebut Namamu

.
DOA

Tuhanku
dalam termangu
aku masih menyebut namaMu
biar susah sungguh
mengingat Kau penuh seluruh
CahayaMu panas suci
tinggal kerdip lilin di kelam sunyi

Tuhanku
aku hilang bentuk… remuk

Tuhanku
aku mengembara di negeri asing

Tuhanku
di pintuMu mengetuk
aku tidak biasa berpaling

Chairil Anwar

Toya dan Lelaki 48 Tahun

.
Pagi-pagi lagi saya ke kedai kopi seberang jalan. Bukan roti canai sangat tujuan saya, cuma hanya itu sahaja alasan untuk saya bertenggek di situ. Sudah berbulan saya tidak ke sana, jadi sesekali mahu juga 'ambil angin' kampung. Sambil tunggu roti siap, bolehlah saya merisik berita global mutakhir daripada pakcik-pakcik yang selalu membuka hari di situ.

Kali ini, reaksi mereka tidak lagi seperti pertama kali saya ke sana. Kalau dahulu, mereka serentak berpaling ke arah saya dengan mata terbeliak, hari ini pakcik-pakcik berkopiah sudah mula mesra dengan saya; kerana saya sentiasa jawab "ya, pakcik" sambil senyum dengan pertanyaan klise mereka "beli roti canai?" Kalau saya jawab "tak, nak datang ronggeng...", tentu hari ini pakcik-pakcik akan jadikan saya isu utama.

Isu hari ini masih Altantuya, cuma bukan lagi cara dia dibom, C4 dan modus operandi si pembunuh Toya (sebutan mereka bagi Altantuya), tapi kenyataan media oleh salah seorang yang pernah dikaitkan dengan pembunuhan Toya dan dibebaskan kini.

Saya menahan gelak apabila mendengar komen pakcik tertua dalam kelompok, "kalau aku yang jadi dia pun, aku tak mengaku. Cuba taksirkan (andaikan) bini kau dah tahu rahsia kau suka berkendak dengan anu binti anu kampung sekian-sekian, dan bila bini kau tanya kau, sebab nak mulakan sesi mengamuk, ada kau nak mengaku? Paling tidak pun, kau minta tolong aku yakinkan pada bini kau yang kau tak buat maksiat tu!" Hahaha, mereka ketawa sambil jeling saya.

"Itupun kalau kau upah aku juta-juta dollarlah, aku pun takut dengan bini kau tu. Tak pernah aku jumpa bini yang simpan pisau daging bawah bantal". Hahahaha, ketawa mereka makin gempita.

Saya senyum, capai roti canai yang baru siap. Sebelum melangkah keluar saya toleh pada mereka yang melereti saya,
"pakcik, lelaki umur 48 memang suka putar belit dan menipu!"

Ada tanya dalam pandangan mereka. Saya pun berlalu. Esok pagi saya akan pergi lagi.

Wednesday, November 19, 2008

Sebilah Belati Di Hati

.
Dalam entri September 2, 2008, saya ada menulis sesuatu sempena berakhirnya sambutan bulan persahabatan. Sepanjang perjalanan hidup selama 35 tahun, pelbagai jenis manusia ditemui - ada yang terhimpun dalam kategori rakan, kawan, teman, sahabat jiwa dan sahabat; dari sebaik-baik manusia hingga sejahat-jahatnya. Justeru itulah saya memilih untuk mengenal semua golongan manusia - dari ahli sufi, para wali, alim ulama sehinggalah penagih dadah, pencandu, pembunuh, pelacur dan sebagainya. Semuanya ada dalam senarai sahabat dan kawan saya. Kerana saya selalu belajar sesuatu yang berharga dari mereka; dari cerita dan kisah suka duka hidup mereka.

Dalam entri tersebut saya ada menyebut tentang kawan yang datang dan pergi dalam hidup. Dan hati saya yang pernah ditusuk belati oleh seseorang yang pernah bertamu dalam rumah jiwa, yang perginya selepas hujan reda.

Hari ini saya menerima sms daripadanya yang dihantar kerana terpaksa - dia berada di wad, kerana penyakit yang dapat saya teka. Saya menerima berita tanpa jiwa, luka di hati entah bila sembuhnya. Namun saya tetap berdoa, agar dia dipelihara Pencipta, kerana saya amat berharap dia menyedari dan mempelajari sesuatu dari keadaan dan ketentuannya kini. Semoga dia tidak akan mencacakkan sebilah lagi belati pada hati insan di sisi.

Sunday, November 16, 2008

Rajuk Kantan

.
Kantan yang saya tanam beberapa purnama selepas bermastautin di Padang Embun 20 bulan yang lalu kini telah menghasilkan lima kuntum bunga. Saya perolehi anaknya dari seorang kakak yang berniaga di Pasar Besar Wakaf Bharu. Entah mengapa saya sangat teruja untuk menanam kantan sebaik mendiami rumah baru.

Lebih setahun menanamnya, kantan tersebut tidak menunjukkan sebarang tanda hendak berbunga. Mahu dikata mandul, saya pasti kakak tersebut memberi saya anak dari pohon yang memang sihat. Saya hampir putus asa menunggu bunganya kerana saya memang mudah bosan pada penantian yang belum pasti jawapannya. Buat apa saya habiskan masa saban pagi menjengah dari jendela kepadanya jika hanya kekecewaan membalas kunjungan mata dan jiwa saya.

Ramadhan yang lepas, saya nekad. Jika kantan tersebut masih enggan berbunga, nantilah! Akan saya bongkah pokoknya hingga ke akar. Saya beri tempoh sehingga hari pertama saya kembali semula ke rumah setelah pulang beraya di kampung halaman. Janji tetap akan saya kotakan.

Khamis, 2 Oktober 2008 (2 Syawal 1429H), saya pulang ke Padang Embun. Saya menjengah kantan dari jendela kaca. Terkesima. Sekuntum kantan mengorak kelopak, dengan megah dan bangganya, seolah-olah menyambut saya dengan kata - bongkahlah akarku! Saya seka aliran air mata, sambil mengucapkan terima kasih kepadanya. Memang ia mengisi kebahagiaan ke dalam jiwa saya.

Ulangtahun Pemergian Ke-7 (16.11.01)

.
Melalui lorong waktu tujuh tahun pemergianmu
tujuh lapis langit sentiasa kelabu
tujuh bilah warna pelangi
menjadi satu pada pandanganku
dan kantan di belakang kini usang layu.
Semoga kasih Ilahi sentiasa bersamamu
di taman abadi.

Monday, November 03, 2008

Parang Milik Saya

.
Ini parang saya. Jadi kepunyaan saya petang semalam. Saya ke luar beli makanan sewaktu saya terpandang parang ini di sebuah gerai di tepi Jam'iyyah Bandar Pasir Mas. Sudah lama saya berhajat membelinya, sehinggalah semalam, saya berpeluang memilih satu untuk saya.

Saya mengilir mata parang ke tapak tangan. Pakcik tuan punya gerai pun tanya saya akan jenis parang yang saya perlukan. Saya jawab selamba, "parang untuk tebas batang pisang dan tebas…" Pakcik pun terdiam dan tak semena-mena tunjuk ke arah isterinya dengan telunjuk sambil berlalu pergi.

Dalam keadaan isterinya yang masih meleret pemergian suaminya, saya memilih satu parang dan beraksi melibas sana-sini untuk menyelesakan genggaman pada hulunya. Seorang lelaki dalam umur lingkungan 40-an menjerkah. Katanya sajak betul perempuan macam saya pegang parang sepanjang itu, dan ketawa terkekeh-kekeh. Nasib baik dia berada jauh di depan sana.

Saya pulang ke pejabat. Pelanggan yang ramah-tamah bertanya, "ayah suruh beli kah?" Saya jawab, "tak, tapi ayah pernah ajar saya untuk beli parang." Seterusnya dia tanya, "nak guna sendiri kah?" Saya angguk. Saya bertanya "kenapa" sebaik saja saya tengok air mukanya yang penuh kemusykilan.

Katanya dia rasa janggal tengok perempuan macam saya pegang parang, lebih-lebih lagi apabila dia tahu saya nak menebas sendiri. Tak ada lelakikah di rumah? Saya faham maksudnya, terus menjelaskan - Pakcik, jiran saya ada kaum lelaki, remaja pun ramai. Tapi di kampung saya, memang perempuan yang kena buat semua kerja, kecuali satu kerja sahaja. Istilah DIY (Do It Yourself) sudah sebati sangat dengan wanita di kampung kami. Dari anak dara sampai makcik yang tak larat nak angkat hadas pun kena reti DIY. Dari masalah paip bocor, longkang tersumbat, atap tembus, itik pengsan, ayam sawan.. semualah - perempuan akan tangani masalahnya. Kalau nak upah tukang, mereka tak mahu sebab tak berbaloi, kerja remeh-temeh katanya. Yang remaja pula lebih suka ke hulu ke hilir tayang badan.

Itu-itu jugalah saya jawab apabila setiap kali ditanya tentang perkakasan yang saya beli, dari gergaji, tukul, cangkul dan segala keperluan yang sewajarnya ada di sebuah rumah. Saya gembira melihat ayah saya senyum sebaik sahaja saya menghulurkan setiap alat pertukangan atau berkebun yang dia minta sewaktu datang berziarah ke rumah saya. Kali ini, kalau ayahanda tanya, apa lagi tiada dalam koleksi, saya akan jawab "C4 belum ada!"

Monday, October 27, 2008

Ayahanda, Isnin dan 20 Oktober

.
Semenjak 20 September 2008, saya menjadi manusia penakut – takut untuk bertemu hari Isnin. Ruang kenangan sentiasa dibayangi peristiwa menyayat kalbu pada pagi Isnin tersebut. Suatu perasaan yang tidak pernah saya alami selama ini. Saya pulang ke kampung setelah mendapat panggilan kecemasan dari bonda yang memaklumkan keadaan ayahanda yang tenat di ICU Hospital Kuala Terengganu pada pagi 19 September. Sewaktu mengunjungi ayahanda, tiada permintaan lain yang dibuat selain mahu pulang ke rumah. Kata ayahanda, dia tidak mahu menghabiskan sisa usia di wad, dengan wayar yang berselirat. Puas kami memujuk, ayahanda tetap dengan hasratnya, dan kami mengalah jua akhirnya.

Pagi 20 September, saya mencapai minyak angin dan mengurut lengan ayahanda yang terbaring lesu bagi menghilangkan lebam yang teruk kesan suntikan, sambil menyampaikan perasaan saya kepadanya dengan jiwa kerana jarang sekali kami berbual secara verbal tentang perasaan. Saya kuatkan semangat dan menyimpan sedu sebaik terlihat linangan air mata ayahanda mula mengalir ke arah telinganya.

Getar dari jiwa akhirnya terpacul jua dari mulutnya. Bagai ledakan gunung berapi sedang meletus dalam diri saya sebaik ayahanda memaklumkan masa untuk dia pergi sudah terlalu hampir. Saya berpandangan dengan bonda sebaik sahaja ayahanda mewasiatkan sesuatu kepada saya. Saya tinggalkan ayahanda dan bonda seketika untuk berwuduk dan menyempurnakan wasiat ayahanda, kemudian kembali dengan Al-Quran dan berada di kepalanya. Saya minta sahabat di sisi menghubungi semua adik-beradik saya.

Setelah semuanya berkumpul, ayahanda berpesan; usah dirisau pada hutang-piutang kerana ayahanda tiada hutang, segala apa kesalahan anakanda semua telah dimaafkan, usah sesiapa minta maaf lagi, dan ayahanda minta maaf pada semua anakanda. Kepada bonda, ayahanda juga memaafkan segala kesalahan atau kesilapan bonda selama bersama dan ayahanda mohon maaf daripada bonda atas segala dosa sebagai suami. Saya mengirim isyarat kepada bonda supaya jangan meledakkan tangisnya, sedang saya sendiri memendap muka kepada Al-Quran untuk melindungi guguran air mata.

Selesai mengucap, secara perlahan dan tenang, kelopak matanya tertutup, seolah-olah sedang berehat panjang sewaktu azan Zohor berkumandang. Saya terkesima. Teringat kata ayahanda, nenek saya memaklumkan bahawa ayahanda dilahirkan pada hari Isnin, maka hari kepulangannya pun juga jatuh pada hari yang sama. Saya seakan terpandang sinar matahari di langit yang gelap setelah sedar bahawa hari ini ialah Sabtu. Saya rasa nadi ayahanda, masih ada denyutnya walaupun terlalu lemah. Keadaan ayahanda kekal begitu sehingga saya membangunkannya lewat Zohor untuk dia solat menghormati waktu.

Pagi esoknya, saya pulang ke Kota Bharu. Saya tidak sanggup menunggu Isnin menemui saya di rumah itu. Bagi saya, pertemuan jiwa terakhir antara saya dan ayahanda adalah semalam. Dan saya melalui minggu demi minggu dalam debar – sehingga pada suatu tanggal - 20 Oktober. Tepat sebulan, ayahanda tenat lagi.

Dinihari Isnin, 20 Oktober 2008, saya nekad serahkan ketentuan ayahanda pada takdir buat kali kedua. Semoga sejahtera, ayahanda, jiwa anakanda galang gantinya!

Hari ini – dinihari Isnin, 27 Oktober 2008, saya bernyawa tanpa jiwa.

Sunday, October 26, 2008

Salam Hari Sejahtera Buat Sahabat

.
Salam Kesyukuran Ke-35, Sahabatku Si Kala Jengking,
(26 Oktober 2008)
Aku jadi manusia paling bersyukur pada pagi ini kerana masih diberi kesempatan menatap bening matamu sebaik terbitnya fajar.
Terhapus segala keresahan menunggu semalaman.

Maafkan aku kerana selalu memberikan duri semalu sewaktu orang lain menghadiahkan jambangan mawar di hari istimewamu, dan maafi daku jua kerana mengundang awan di hari ceriamu; kerana pasti suatu hari kau perlukan gerimis di tengah kontang sahara.