Saya menerima suatu
pernyataan daripada seorang rakan lama, yang jauh di perantauan.
“You at your
novel (baca: karya) so dif rocky.. still trying to put it together as same person”.
Kata-katanya
meluru terjun ke sukma, bagai aliran sungai deras yang bertimpa ke juram. Saya bahagia,
bukan hanya ditujukan kata yang menunjukkan dia menyedari sesuatu tentang saya
dalam sejumlah keriuhan rakan-rakan kami yang lain, tetapi lebih kerana kagum; setelah
lama berkelana di negara yang berlainan budaya, jiwanya masih seni dan
mempunyai rasa.
Saya fikir untuk
menuturkan ayat tersebut, seseorang itu pasti mempunyai elemen seni dan yang
boleh memahami sesuatu yang juga seni (baca: sehalus halus perkara), suatu
pemerhatian yang sangat seni dalam sebuah keriuhan.
Benar, jawab saya. Penulis
selalunya mempunyai dua atau lebih dunia berbeza, namun bukanlah mereka ini
menghidapi split personality. Ada penulis yang kelihatan sangat puitis,
romantis dan sensitif dalam karyanya, namun di luar sangat berbeza. Kasar dan
suka membuat jenaka tanpa mengira batas waktu, atau beliau seorang wanita yang
sangat polos dan membosankan untuk dijadikan isteri atau lekaki yang sangat menjengkelkan
untuk dibuat suami. Ada seniman yang melarikan diri dari dunia luar untuk
menemui dirinya di dalam dunia seni, dan ada pula sebaliknya. Bergantung kepada
watak sebenar dirinya.
Ramai pula yang memang
sejalur dengan karyanya, namun terlalu berbeza pada penglihatan ramai kerana cuba
menyerap ke dalam masyarakat. Mungkin tidak mahu dilabelkan sebagai bohemian
dan cuba memasyarakatkan karya. Buat apa berkarya andai karya itu karya kamar
yang hanya diri sendiri memahami atau dibaca segelintir rakan sesama bidang? Terpulang
kepada matlamat berkarya. Justeru itulah polemik seni untuk seni atau seni
untuk masyarakat tidak pernah berkesudahan.
Terkadang pula, seniman
ingin sembunyi dan menjadi introvert dengan cara melompat ke dalam dunia
seninya. Kebanyakan masa, seniman mahu bersepi sendiri dan menjauhi ruang yang
riuh untuk melepas lelah – dari tuntutan dunia yang sentiasa menjarah rasa
tenang dan bahagia. Ya, dalam dunia inilah mereka boleh menghitung diri,
menilai rasa dan menjana semula nilai
jati diri yang mungkin sedikit demi sedikit terhakis oleh hambatan kehidupan.
Maka ruang inilah dijadikan ruang escapism untuk mereka.
Maka tidak hairanlah,
terlahirnya karya yang diinginkan rasa dan jiwa seniman. Apa yang terhasil itu
adalah impian yang mungkin sentiasa diimpikan atau sebagai doa supaya ia
menjadi realiti, atau sebuah harapan yang dibina indah hanya melalui karya
kerana sangat yakin ia tak mampu terhasil dalam dunia sebenar. Maka terhasillah
karya yang jika dinilai dan diamati adalah pengkisahan tentang diri sendiri
atau apa sahaja kejadian yang menimpa diri. Teori psikoanalisis ini terkadang
berupaya menelanjangkan seniman, jika mereka tidak mampu menjaga rahsia atau
misteri hidup dari pengetahuan umum.
Bagi segelintir seniman
yang menyedari ‘bahayanya’ teori ini, mereka cuba membentuk watak berbeza dalam
dunia luar untuk mengaburi para pengkritik supaya tidak dapat menjejak sisi
kehidupan sebenar yang sangat kontras dengan karyanya. Tidak semua karya
romantik dan melankolik itu lahir dari pengkarya yang sangat lembut, tawaduk
dan sopan santun wataknya, dan sebaliknya. Malah saya pernah rasa tertipu oleh sebuah blog penulis yang sangat tawadhuk dengan aktiviti sehariannya yang kelihatan sangat Islamik, namun pada hakikatnya beliau merupakan seorang yang sangat berbeza dengan sifat karyanya.
Ramai yang terkeliru
tatkala melihat sisi lain penulis atau seniman yang dikaguminya. Rasa keliru
itu akhirnya membawa rasa kecewa atas kekagumannya selama ini. Bukanlah seniman
itu sesuampah yang pandai menukar warna, namun – ada masanya mereka harus ‘menyamar’ untuk
menjadi manusia yang ‘normal’. Seingat saya, dua nama besar yang saya ingat; yang
tiada garis penyamaran itu hanyalah Fyodor Mikhailovich Dostoyevsky dan Vincent
Willem van Gogh. Watak sebenar Dostoyevsky terserlah dalam novel Crime and
Punishment, dan kita melihat kesunyian van Gogh melalui palitan berusnya di
sebalik The Starry Night.
Terima kasih kepada
rakan yang jauh, yang memberi sebuah ilham untuk menyapu sawang di blog saya
hari ini.
Salam terima kasih dari
jauh,
Rozais - Jalan Perdana, Kuala Lumpur
Februari 22, 2014
Februari 22, 2014
No comments:
Post a Comment