Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Thursday, June 14, 2007

Balada Hilang Batu

Berkurun lamanya
aku mencari batuku yang hilang
di tanah Jawi ini
hingga aku tak mampu bersujud
di bawah panji dua belas.

Hari ini kutemui

Batu dalam celanaku.

Thursday, May 10, 2007

Ditindih dan Menindih

Saya baru pulang dari Bengkel Penulisan Kreatif di Suria Beach Resorts Cherating anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian yang diadakan pada 3-5 Mei. Fasilitatornya adalah Khalid Salleh, Rahimidin Zahari dan S.M. Zakir. Saya terpanggil untuk menerima jemputan tersebut kerana ingin benar "mengenal" Khalid Salleh. Pertemuan pertama tersebut menumbuhkan tunas kekaguman saya terhadap beliau – dirinya sebagai manusia, sekaligus mengusir "zann" saya selama ini.

Namun bukan itu yang saya mahu luahkan di sini. Saya mahu berkongsi kekesalan saya terhadap apa yang berlaku kepada seorang rakan penulis yang menjadi mangsa kepada "penulis muda besar" tanah air yang merupakan sahabatnya. Apa yang saya ketahui, mereka berdua sangat akrab. Keduanya lulusan agama, seorang dari universiti luar negara dan seorang lagi universiti tempatan. Sama-sama mewarnai dunia sastera tanah air dengan bungaan wangi pelbagai warna. Saya syukur dan tumpang gembira setiap kali mendapat tahu mereka sentiasa memenangi pelbagai anugerah sastera negara, kerana bagi saya memang sayugia "orang agama" menceburi dunia sastera sebagai wadah dakwah. Jangan biarkan buku pop dan porno sahaja membunga tahi ayamkan sastera negara.

Alih-alih apabila seorang rakan sebengkel bercerita tentang isu seputar dunia sastera dan menyebut tentang cerita mereka berdua, saya jadi kesal dan sedih yang teramat. Memang rakan penulis tersebut tidak menyatakan nama mereka, tapi saya tahu mereka berdualah yang menjadi subjeknya. Rakan saya menceritakan kisah tersebut untuk dijadikan sempadan dan membuktikan bahawa politik ada di mana-mana, bukan hanya di Machap atau di Ijok.

Sebelum ini saya hanya membaca di media bahawa ramai orang sastera yang tidak bersetuju apabila seorang penobat buku popular diterbangkan ke negara jiran sebagai fasilitator untuk Bengkel Penulisan Novel MASTERA. Sepatutnya tempat beliau didakwa dan diperjuangkan oleh sebilangan besar orang sastera diberikan kepada "penulis muda besar" yang sering menggemilangkan dunia sastera tanah air tercinta yang boleh dikatakan sewaktu dengan Mawi dengan dunia nyanyian dan smsnya. Maka kerana penulis buku pop itu memenangi undian ke MASTERA dan penulis muda besar itu terkuis ke tepi, maka dunia sastera jadi kelam kelibut, haru biru jadinya. Ramai demonstrator muncul menyalak bukit, ada yang menyalak sehingga serak, ramai pula menyalak dalam hati. Bukit tidak juga runtuh, hanya beberapa ketul batu jatuh, terpelanting ke kepala beberapa demonstrator sehingga bengkak-bengkil. Kemudian, isu itu lenyap begitu sahaja. Mungkin mereka sedang merawat bengkak di kepala dan luka di hati setelah bukit yang disalak makin tegap.

Salah seorang peserta yang terpilih ialah ustaz kepada sahabat penulis muda besar. Memang patut pun beliau terpilih sebagai wakil Malaysia bagi genre novel. Beliau telah memenangi beberapa anugerah sastera, dan karya beliau pun bermutu tinggi, bukan cerita cinta murahan. Namun beliau agak bersedih apabila sahabatnya si penulis muda besar yang sepatutnya menjadi pengiring tidak terpilih untuk ikut serta sebagai pembimbing dalam bengkel tersebut kerana tersigung oleh raja buku pop tanah air tercinta. Cerita sedih duka nestapa tentang protes terhadap pemilihan yang tidak adil tersebut berlarutan sehinggalah bengkel MASTERA tersebut berakhir.

Sepulangnya ustaz tersebut, terpacul di muka halaman sastera sebuah media ulasan ustaz terhadap pembimbing bengkel dan isu seputarnya. Memang benar isi kandungan tersebut, dan saya pun bersetuju dengannya. Saya bersyukur dan kagum atas keberanian ustaz yang masih mengamalkan "qulil haq walau kaana murra". Memang ustaz telah berkata benar walaupun akibat yang akan diterima adalah pahit. Saya setuju, saya sokong.

Namun setelah saya mendapat tahu tentang cerita sebenar di sebalik keberanian ustaz tersebut, saya tergagau mencari sinar kemurnian dalam hitam malam dunia sastera. Rupanya sinar tersebut telah dipadamkan oleh seorang yang sepatutnya melindunginya. Si pemain wayang kulit adalah penulis muda besar itu rupanya. Selama ini beliau menjulang bendera agama untuk diikuti supaya nanti pengikutnya boleh menjadi perisai daripada musuh, dan pemalu gendang kepada kejayaannya. Korban pertama adalah ustaz tersebut. Itu yang dituturkan, sebagaimana yang dimaklumkan oleh rakan penulis saya itu.

Menurutnya, ustaz tersebut diprovokasi untuk menulis tentang isu pemilihan itu dari pandangan peserta. Maka menulislah ustaz tersebut bagi menghilangkan kedukalaraan sahabatnya, dengan niat ikhlas "justice prevail", mempraktikkan teori dalam novelnya tentang perjuangan menentang kezaliman. Bukit tidak juga runtuh, makin kukuh sebaliknya, tegap dengan keegoan. Sesekali menghunjamkan batu-batu besar ke jasad si penentangnya. Dan ustaz tersebut kini tertindih oleh seketul batu yang sengaja digolekkan untuk melenyapkannya dari dunia sastera. Sahabatnya si penulis muda besar pula, dengan jiwa oportunisnya memanjat bukit melihat dari atas, dan memilih untuk bertapa di atas sana, menghasilkan berbelas karya untuk stok bulanan di pelbagai media. Berpencak silat setiap bulan di majalah si pemilik bukit dengan cerita-cerita perjuangannya – perjuangan mencaci sahabat Rasulullah s.a.w.

Menyaksikan wayang kulit tersebut, lantas saya terfikir akan makar yang menjadi protokol Zionis la’natullah. Melaga-lagakan umat Islam dan menyembunyikan tangan yang melemparkan batu, meraih keuntungan besar daripadanya. Dan kini pula memukul gendang mazhab untuk memecah belahkan umat Islam. Ramai pula yang berjoget mengikut tariannya. Maka terdapatlah segelintir penulis yang mencanang mazhab yang mencaci sahabat Rasulullah atas nama perjuangan suci – perjuangan yang menggemukkan para pemuka Zionis la’natullah, malah berbangga dengan perjuangan itu - sehinggalah perjuangan itu akhirnya dipraktikkan ke atas sahabat sendiri. Itulah cara Zionis bekerja. Dan si penulis muda besar dan tersohor itu masih, dan masih menempikkan perjuangannya di mana-mana, bak seperti berkokok bergedar-degar, ekor bergelumang tahi (istilah yang dipakai kepada ketua golongan pasdaran di UIAM yang menyokong perjuangan Syiah dahulu).

Saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk membela ustaz tersebut. Saya tahu saya lemah, tiada suara untuk menyalak pusu, malah. Saya hanya ada jiwa yang dapat memahami politik sastera ini, dan mengenal seorang manusia. Hari ini saya kenal seorang "manusia". Apakah sastera, yang sebenarnya?

Tuesday, January 23, 2007

Apa Beza Syiah dan Yahudi

Kesinambungan penggantungan Saddam dan adik-beradiknya... para pengikut syiah rasa terbela dan bergembira sepertimana para sunni KONONNYA beraya ketika terkorbannya Hussein cucu Baginda, saya kira aqidah Syiah tidak sedikit pun berbeza dengan Yahudi. Cuma belum ada yang tampil secara terang-terangan membuktikan yang Syiah itu pendokong makar Yahudi. Dan salahkah Saddam membunuh 148 Syiah di Dujail atas alasan mereka itu musuh Islam? Nilailah artikel yang saya petik dari sebuah blog ini.
PENILAIAN SYIAH TERHADAP AHLI SUNNAH
Ahli sunnah wa Jamaah adalah golongan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. yang sentiasa mendapat petunjuk kerana mereka berpegang dengan Sunnah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat terutama Khalifa Rasyidin. Selain dari Ahlu Sunnah, adalah golongan yang sesat kerana mereka tidak berpaksikan sepenuhnya kepada Sunnah Rasulullah s.a.w. dan Khulafa’ Rasyidin sebagai perjalanan hidup. Walaupun setiap golongan sesat itu mendakwa mengikuti al-Qur’an namun sikap mereka terhadap Sunnah dan para sahabat tidak membuktikan kebenaran dakwaan mereka. Adalah satu asas dalam mengkaji mana-mana aliran atau fahaman sebelum menghukumkannya sebagai sesat atau tidak, harus merujuk kepada sumber asal mereka yang muktabar. Di antara golongan yang sesat itu ialah ajaran Syi`ah.

Sebagai satu ajaran yang telah lama bertapak, Syi`ah mempunyai rujukan-rujukan sendiri yang muktabar. Bagaimanapun sudah menjadi polisi kepada mereka untuk tidak membiarkan kitab-kitab mereka jatuh kepada orang lain oleh kerana itu, mereka menyembunyikannya. Malahan rujukan mereka itu hanya dibaca oleh Ayatullah-Ayatullah sahaja. Adapun Syi`ah yang tidak menjangkaui martabat tersebut tidak layak untuk membacanya sehingga mereka mendakwa orang-orang yang bertaqwa sahaja yang berhak. Alangkah malang sungguh mereka yang menerima ajaran Syi`ah tetapi tidak dapat menatapi sabdaan-sabdaan para Imam. Kitab-kitab berautoriti seperti al-Kafi karangan al-Kulaini, al-Istibsar, Tahzib al-Ahkam dan Man layahduruhu hanya bacaan para Ayatullah sahaja. Keempat-empat kitab ini merupakan kitab yang paling tinggi kedudukannya dan Khomeini menganggapnya sebagai rujukan terpenting. Di samping itu terdapat Wasail al-Syi`ah, Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi, Risalah al-I`tiqadat oleh Ibn Babwaih al-Qummi
Dalam artikel ini, kita akan menyoroti aqidah dan pendirian mereka berhubung dengan orang-orang lain yang bukan Syi`ah berdasarkan kepada rujukan-rujukan mereka.
Aqidah Syi`ah tentang orang yang tidak mengakui imamah

Syiah berpendapat imamah merupakan salah satu usul agama dan Rasulullah s.a.w. menentukan 12 imam dengan jelas. Ibn Babwaih al-Qummi yang mendapat jolokan al-Saduq menyebutkan di dalam kitabnya Risalah al-I`tiqadat, halaman 103, cetakan Markaz Nasyr al-Kitab, Iran:

".. واعتقادنا فيمن جحد إمامة أمير المؤمنين علي بن أبي طالب والأئمة من بعده – عليهم السلام – أنه كمن جحد نبوة جميع الأنبياء، واعتقادنا فيمن أقر بأمير المؤمنين وأنكر واحدًا ممن بعده من الأئمة أنه بمنزلة من أقر بجميع الأنبياء وأنكر نبوة نبينا محمد صلى الله عليه وآله"،
"Kepercayaan kita berhubung dengan orang yang mengingkari imamah Amirul Mukminin Ali a.s. dan para imam sesudahnya seperti orang yang mengingkari kenabian semua nabi. Dan kepercayaan kita tentang orang yang mengingkari salah seorang imam selepasnya seperti orang yang mengakui kesemua nabi tetapi mengingkari kenabian nabi kita Muhammad s.a.w. dan ahli keluarganya."

Pada halaman yang sama, Ibn Babwaih menukilkan satu riwayat yang disandarkan kepada Imam Ja`far al-Sadiq:
" المنكر لآخرنا كالمنكر لأولنا" .
"Orang yang mengingkari imam kita yang terakhir seperti mengingkari imam yang pertama."
Dalam rujukan yang sama, beliau juga menisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. sebagai bersabda :

"الأئمة من بعدي اثنا عشر؛ أولهم أمير المؤمنين علي بن أبي طالب عليه السلام وآخرهم القائم، طاعتهم طاعتي ومعصيتهم معصيتي، من أنكر واحدًا منهم فقد أنكرني".
"Imam-imam setelahku 12 orang, yang pertama Ali bin Abi Talib a.s. dan yang terakhir al-Qaim. Ketaatan kepada mereka seperti ketaatan kepadaku. Menderhakai mereka sama menderhakaiku. Sesiapa menginkari mereka sesungguhnya telah menginkari." Kata-kata al-Saduq ini dinukilkan oleh al-Majlisi dalam Bihar al-Anwar (jil. 27, hal. 61-62)

Mulla Baqir al-Majlisi, yang mendapat gelaran al-Allamah, al-Hujah dan Fakhr al-Ummah (kebanggaan ummat) menulis di dalam Bihar al-Anwar jilid 23 halaman 390:

"اعلم أن إطلاق لفظ الشرك والكفر على من لم يعتقد إمامة أمير المؤمنين والأئمة من ولده عليهم السلام وفضَّل عليهم غيرهم يدل أنهم مخلدون في النار".

"Ketahuilah, ungkapan lafaz syirik dan kufur kepada orang yang tidak beritikad dengan keimaman Ali dan para imam dari anak cucunya a.s. dan kelebihan mereka mengatasi orang lain menunjukkan mereka itu kekal di dalam neraka."

Dalam Bihar al-Anwar (23/391) Baqir al-Majlisi menukilkan daripada al-Mufid bahawa:
"Syi`ah Imamiyah sepakat tentang orang yang mengingkari imamah salah seorang imam dan membantah ketaatan yang diwajibkan Allah kepadanya (imam) sebagai kafir sesat yang selayaknya kekal di dalam neraka".

Lihat bagaimana Syi`ah menghukumkan orang-orang yang beriman sebagaimana mereka beriman. Adakah perkara ini menunjukkan perbezaan antara Ahli Sunnah dan Syi`ah dari fiqh mazhab sahaja? Sebenarnya penilaian mereka ini terhadap Ahli Sunnah jauh lebih dahsyat daripada permusuhan dengan orang-orang kafir lain. Benar sekali kata-kata Shaikh Musa Jarullah di dalam kitabnya al-Wasyi`ah fi Naqd `Aqaid al-Syi`ah, halaman 227: "Saya amat terkejut dan kecewa apabila melihat dalam kitab-kitab Syi`ah, Musuh Syi`ah yang paling ketat dan paling kuat ialah Ahli Sunnah wa Jamaah. Saya melihat sendiri bahawa semangat permusuhan benar-benar menguasai hati semua lapisan Syi`ah."
Darah Ahli Sunnah adalah halal di sisi Syi`ah
Di samping itu, Syi`ah menganggap halal darah dan harta Ahli Sunnah dan inilah yang difatwakan oleh ulama mereka. Syaikh Saduq menyebutkan di dalam kitabnya `Ilal al-Syara’i` halaman 601 cetakan Najaf:

عن داود بن فرقد قال: قلت لأبي عبد الله عليه السلام: ما تقول في قتل الناصب – أي السني- ؟ قال: "حلال الدم، ولكني أتقي عليك، فإن قدرت أن تقلب عليه حائطًا أو تغرقه في ماء لكيلا يشهد به عليك فافعل، قلت فما ترى في ماله؟ قال: توه ما قدرت عليه".

Daripada Daud bin Farqad, katanya aku bertanya kepada Abu Abdullah a.s.: Apakah hukumnya membunuh al-Nasibi- maksudnya ahli sunnah? Jawabnya: Halal darahnya, tetapi aku ingatkan engkau jika dapat hempapkan dinding atasnya atau engkau lemaskannya di dalam air maka lakukanlah supaya tidak dilihat oleh orang lain. Aku bertanya lagi: Apa pendapatmu tentang hartanya. Jawabnya: Binasakanlah apa sahaja yang engkau dapat lakukan.

Apakah yang akan dilakukan oleh Syi`ah terhadap orang yang menyalahi mereka? Shaikh Taifah menyebutkan di dalam kitab fiqhnya, al-Nihayah halaman 302:
"Sesiapa yang memegang kekuasaan bagi pihak yang zalim dalam melaksanakan hukuman hudud atau melaksanakan sesuatu hukum hendaklah dia beritikad bahawa dia sebenarnya memegangnya bagi pihak berkuasa yang hak, maka hendaklah dia melaksanakan hukum mengikut ketentuan Syari`at Imam, dan selagi dia dapat melaksanakan hudud terhadap mukhalif (orang yang tidak mengikut Syi`ah) hendaklah dia laksanakan kerana itulah jihad yang paling agung."

Ni`matullah al-Jazairi menyebutkan dalam kitabnya al-Anwar al-Nu`maniyyah (2/307):
"Harus membunuh mereka (Ahli Sunnah) dan harta-harta mereka adalah halal."
Beginilah sikap permusuhan mereka terhadap orang yang tidak mempercayai imam dua belas.
Sejarah mencatatkan kezaliman mereka terhadap umat Islam. Ni`matullah al-Jazairi menyebutkan dalam kitabnya al-Anwar al-Nu`maniyyah:

"Terdapat dalam beberapa riwayat bahwa Ali bin Yaqtin iaitu menteri al-Rasyid dan seorang Syi`ah yang istimewa, beberapa golongan mukhalifin berada di dalam tahanannya, lalu dia memerintahkan orang-orang suruhannya menjatuhkan bumbung tahan ke atas tahanan-tahanan tersebut, lalu kesemua mereka mati terbunuh, bilangan mereka lebih kurang 500 orang. Bagi melepaskan diri dari tanggungjawab kematian mereka, Ali bin Yaqtin telah menghantar surat kepada Imam Mawlana al-Kazim dan al-Kazim menghantar jawapannya yang berbunyi: Jika anda bertemu saya dahulu sebelum membunuh mereka tentu anda tidak menanggung apa tanggungjawab terhadap darah mereka. Oleh kerana anda tidak berbuat demikian, maka hendaklah anda membayar kaffarah untuk setiap orang yang anda bunuh sebanyak satu tis. Satu tis itu lebih baik dari mereka.

Lihatlah kepada diyat yang sangat sedikit ini yang tidak menyamai diat saudara mereka yang kecil iaitu anjing buruan kerana diatnya sebanyak 20 dirham dan juga tidak menyamai saudara mereka yang besar iaitu Yahudi atau Majusi iaitu 800 dirham dan keadaan mereka di akhirat lebih hina dan lebih rendah."

Riwayat ini juga dinukilkan oleh Muhsin al-Mu`allim untuk berdalil bahawa harus membunuh Ahli Sunnah. (Al-Nasb wa al-Nawasib, halaman 622)

Harta Ahli Sunnah adalah halal
Harta ahli sunnah menurut Syi`ah adalah halal dan boleh diambil tanpa ada halangan. Abu Ja`far al-Tusi meriwayatkan dalam kitabnya Tahzib al-Ahkam, jilid 4, halaman 122:

عن أبي عبد الله عليه السلام أنه قال: "خذ مال الناصب حيث ما وجدته وادفع إلينا الخمس"
Daripada Abu Abdullah a.s. bahawa beliau berkata: Ambillah harta al-nasib di mana sahaja kamu temui dan berikan kepada kami satu perlimanya.
Ahli Sunnah adalah najis menurut syiah
Khomeini di dalam Tahrir al-Wasilah (1/118) menghukumkan Ahli Sunnah sebagai najis, katanya: Adapun Nawasib (Ahli Sunnah) dan Khawarij semoga dilaknati Allah tanpa ragu-ragu adalah najis."
Penghinaan Khomeini bukan setakat Ahli Sunnah dan Khawarij sahaja malah kepada golongan Syi`ah selain dari Imamiyah 12, katanya:
"Kumpulan-kumpulan Syi`ah selain dari Syi`ah Imam Dua Belas yang tidak mempercayai imamah 12 imam, jika tidak kelihatan pada mereka tanda-tanda nasb (mengikuti Ahli Sunnah), permusuhan dan mencela para imam maka ia suci tetapi jika kelihatan pada mereka perkara-perkara tersebut maka mereka seperti nawasib yang lain. (1/119)

Ni`matullah al-Jazairi menulis dalam kitabnya al-Anwar al-Nu`maniyyah 2/306:

"وأما الناصب وأحواله، فهو يتم ببيان أمرين: الأول: في بيان معنى الناصب الذي ورد في الأخبار أنه نجس، وأنه أشر من اليهودي والنصراني والمجوسي، وأنه نجس بإجماع علماء الإمامية رضوان الله عليهم"
"Penjelasan tentang al-Nasibi dan keadaannya dapat dijelaskan dengan dua perkara berikut: Pertama, maksud al-nasibi mengikut dalam hadis-hadis adalah najis, dia lebih jahat daripada Yahudi, Nasrani dan Majusi malah dia adalah kafir, najis mengikut ijmak ulama Imamiyyah."
Dalam kitabnya, Muhammad al-Saduq menunjukkan kebenciannya yang tidak terhingga terhadap ahli Sunnah: Sesungguhnya Nabi Nuh a.s. membawa dalam kapalnya anjing dan babi tetapi baginda tidak membawa anak zina, dan al-nasibi itu lebih jahat daripada anak zina"
Perhatikan lafaz nasb dan nawasib yang memberi erti permusuhan terhadap keluarga Rasulullah s.a.w. digunakan oleh Syi`ah untuk ahli Sunnah yang mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.
Agama adalah menyalahi Ahli Sunnah
Antara tuduhan jahat Syi`ah terhadap orang lain kerana tidak mengikuti mereka ialah riwayat al-Majlisi daripada Imam al-Baqir di dalam Bihar al-Anwar 24/311, katanya: "Demi Allah wahai Abu Hamzah, sesungguhnya manusia itu, kesemuanya anak pelacur melainkan Syi`ah kita." Riwayat ini juga dinukilkan oleh al-Kulaini dalam al-Raudhah nombor 431.
Penutup
Beginilah penilaian mereka terhadap kita ahli Sunnah. Segala usaha yang pernah dirancang oleh ulama untuk mendekatkan antara Sunni dan Syi’ah tidak akan mendatang faeadah kepada umat Islam kerana sebenarnya itu adalah komplot untuk mendekatkan umat Islam kepada Syi’ah. Sesunguhnya tidak ada ruang bagi kita untuk berdiam diri, tidak ada masa untuk berlembut dengan mereka kerana kebatilan aqidah mereka akan mengancam keimanan, syariat dan keselamatan serta keamanan dunia. Oleh itu marilah kita mencurahkan usaha dan tenaga untuk memerangi mereka dengan apa cara sekalipun kerana ia adalah satu jihad bagi mempertahankan kesucian ajaran Islam dan demi keamanan sejagat.

Wednesday, November 22, 2006

Bantulah saya

Saya terpaksa menyusun tindakan terhadap empat situasi yang berlaku SERENTAK. Saya tidak tahu apa yang mahu dilakukan dahulu, dan kemudian dan kemudiannya apa. Tolonglah saya menyusunnya!
1. Cerek air yang sedang bertempik nyaring (sebab air dah menggelegak).
2. Seterika yang sudah dipasang dan berbau hangit (sebab lama terbiar).
3. Anak sedang melalak sehingga hampir keluar anak tekak.
4. Seseorang sedang mengetuk pintu bertalu-talu.
Terima kasih atas bantuan.

Menunggu Izrail

Lapan jam menunggu Izrail
datang mengambil nyawaku-
rohku tersekat di kerongkong
oleh senyum sahabatku
dan Izrail pun berlalu
tanpa sekeping rohku.

Musalla Sinar Harian,
Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
8.57 malam, Nov.21, 2006

Wednesday, November 08, 2006

Saddam, Syiah dan Zaman Fitnah

Malu. Itulah perasaan saya sebaik sahaja terjeling ayat ringkas SF dalam ruangan komen di blog ini. Kenapa saya berasa malu? Saya boleh sahaja untuk tidak berasa malu kerana ikut sayalah untuk memilih untuk mengaktifkan atau membekukan blog saya, orang lain apa peduli. Tetapi saya berasa malu kerana memikirkan tanggungjawab. Bila sudah ada blog, macam orang yang ada anaklah. Rengus orang, beranak pandai tetapi tak pandai jaga. Itulah yang saya rasa. Dan rasa malu ituah memaksa @ mendorong saya untuk menulis hari ini. Terima kasih kepada SF yang telus, saya hargai sikap terus terangnya. Di samping itu, tegurannya itu dapat menyelamatkan saya dari “dihalau” Nisah dari senarai link blognya. Woi, malulah kalau kena halau dari bursa blog Nisah, hehe.
Sebenarnya saya terlekat kuih raya… di kerongkong, tangan, mata mahupun telinga. Sehingga Isnin lepas, kuih yang tercekik di kerongkong terjeluak keluar sebaik menatap “Saddam To Hang.” Sedih, marah, pilu, geram, rasa kasihan, sayu – sehidangan rojak pedih. Celaka Bush! Kemarahan bertambah apabila memikirkan sabit kesalahan yang membawa kepada hukuman tersebut. Ini memang makar dari Yahudi la’natullah dan sekutunya. Sengaja mengorek dosa yang pernah dilakukan Saddam untuk meraih kepentingan dan memecah belah serta melaga-lagakan umat Islam.
Saya bukannya meremehkan pembunuhan 148 penduduk Syiah di Dujail tersebut, bukan juga membenarkan tindakan Saddam. Memanglah mengambil nyawa orang bukan hak manusia, tetapi bila dalam kes Saddam dan kekhilafan dunia hari ini, segala aspek perundangan dan agama perlu diambil kira sebijaksana mungkin.
Saya sedih melihat kebodohan pengikut Syiah yang terkinja-kinja melompat kegembiraan sebaik keputusan Tribunal Iraq menetapkan hukuman gantung sampai mati kepada Saddam dan beberapa orang yang terbabit. Tidak terfikirkah mereka akan maruah umat Islam yang tersiat oleh pisau perencanaan Amerika dan Yahudi la’natullah? Tidak terfikirkah mereka betapa Bush la’natullah bangga melihat seorang Muslim bakal dikuburkan mungkin sebulan nanti? Betapa sanggup pengikut Syiah yang bisu, buta dan tuli akan sirah dan sejarah umat Islam terdahulu. Sikap mereka akan menambahkan keangkuhan bangsa yang dilaknat itu dan meninggikan keyakinan mereka bahawa senjata terbesar mereka bukanlah bom atom atau sebagainya, tetapi cukup dengan serangan pemikiran terhadap bangsa Arab yang kuat rasa asabiyyahnya dan umat Islam yang rapuh tauhidnya. Jika penganut Kristian dan Yahudi sanggup bahu-membahu dalam usaha menghapuskan Islam, umat Islam yang dibekalkan mukjizat yang tidak pernah diubah oleh tangan manusia pula sanggup bersuka ria atas kematian saudara seagama kerana sentimen yang dicipta sendiri.
Syiah dengan sikap kasarnya dan aqidah yang kelabu, berpandukan kitab karangan pendahulu mereka yang entah beroleh ilham atau tuntunan syaitan, menghukum kafir ke atas Sunni dan menghalalkan nyawa umat Muhammad S.A.W menjadi penyembelih kedua umat Islam selepas Yahudi la’natullah. Kerana Saddam pernah membunuh sebilangan kecil pengikut mereka, sanggup mereka bersekutu perasaan dan makar dengan Yahudi untuk melanyak perasaan umat Islam seisi glob demi memuaskan hati mereka. Kerana Saddam anti-Syiah. Bagaimana dengan prinsip mereka yang anti-Sunni? Itulah dasarnya pengikut-pengikut anti sahabat Rasulullah.
Saya tidak pernah mengutuk Syiah sebelum ini sehinggalah saya melihat aksi mereka semalam. Biarpun sebelum ini saya mendengar berita-berita yang membuktikan mereka menghalalkan darah pengikut Sunni dan berasa terkilan kerana kesan perbezaan mazhab telah sampai ke tahap separah itu, namun sikap mereka seperti yang dipaparkan kelmarin menaikkan suhu kemarahan saya atas kezaliman dan keangkuhan mereka yang berkongsi perasaan ceria menantikan kematian Saddam – kekalahan umat Islam, sebenarnya. Bagi mereka, Saddamlah musuh Islam (Syiah) dan wajib diperangi; dan Yahudi serta Bush la’natullah itu penyelamat! Maka bersukarialah mereka. Bukankah prisip Yahudi itu menetapkan nyawa orang lain selain bangsanya itu halal, dan prinsip itu jugalah yang ditatang Syiah?
Saya pernah mengikuti kumpulan Syiah ini sewaktu berada di universiti. Tidak susah untuk menjadi pengikut mazhab ini. Didiklah jiwa sekeras mungkin kerana kita akan jadi revolusioner. Jangan harapkan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana mereka terlampau lembut dan berhikmah. Kita kena guna kekerasan untuk membentuk negara, lembut-lembut sangat lambat nak naik. Dan macam-macam lagilah amanat ketua kami. Kami pengikut setia pun mulalah menyuburkan rasa bangga pada kumpulan kami, “the chosen people” yang akan merubah dunia, melawan kuasa jahat Amerika. Pantang ada rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan negara, tanpa usul periksa kami ambil sikap berkeras membawa kejayaan. Kami rancang demontrasi dan pelbagai perancangan lagi seperti (tuuuuut!). Cuma saya tidaklah sempat bersujud di atas batu sewaktu solat. Dan saya masih ragu-ragu untuk mengaminkan doa yang pembukaannya dibarisi nama imam-imam Syiah.
Pada tahun empat di UIA, saya mula mengesan percanggahan mazhab ini dengan aqidah Islam. Ada keraguan yang bertandang dalam kalbu setiap kali dititip amanat dari “imam kecil’ mazhab di universiti. Jiwa saya memprotes kebanyakan keputusan yang jauh menyimpang dari landasan kebijaksanaan dan hikmah. Secara terang-terangan saya mengisytiharkan pembebasan saya dari bai’ah kumpulan tersebut. Saya dikecam hebat kerana mereka bimbang rahsia mereka akan terbongkar memandangkan saya antara pimpinan tertinggi jamaah yang mendokong mazhab Syiah ini. Para pemimpin tertinggi jamaah mula menyebarkan khabar bahawa saya sudah terpesong iman dan menyebarkan ajaran al-Quran baru yang sesat. Bersembahyanglah mereka 20 rakaat untuk mengembalikan saya kepada jamaah mereka, memimpin semula Lujnah Antarabangsa Muslimat yang telah saya tanggalkan dari diri saya. Saya nekad mencontohi Abu Musa Asya’ari yang berani bertindak dalam memburu kebenaran.
Saya melanjutkan coretan tentang kisah Saddam ini kepada cerita seputar pengikut Syiah ini kerana saya perhatikan ada individu tertentu yang ghairah menjunjung mazhab Syiah mutakhir ini secara jahil sehingga sanggup mengkafirkan sahabat dan mencerca ulama’ terdahulu. Apabila terserempak dengan sebuah blog pro Syiah Rafidi yang sesat aqidahnya, saya fikir saya harus bersuara, kerana kedangkalan mereka terhadap sirah dan sejarah Nabi dan ulama’ terdahulu nampak benar didalangi pihak tertentu dan bermotifkan sesuatu.
Sama-samalah memohon hidayah dan inayah daripada Allah untuk berlari di jalan yang mustaqim dalam zaman fitnah ini.

Tuesday, October 17, 2006

Kutu

Masa kecil-kecil dulu, saya selalu dengar orang tua-tua kata kutu boleh merayap sehingga tujuh bantal. Saya tidak faham bila nenek saya pesan jangan tidur kongsi bantal atau tidur berjiran bantal dengan orang banyak kutu, nanti kutu si penternak kutu atas kepala itu akan merayap ke kepala saya. Saya pun letak bantal agak jauh, selang dua tiga bantal kekabu dengan sepupu yang banyak kutu, tapi masih berbunyi juga mulut nenek saya itu. Katanya kadar itu masih boleh dicapai oleh kutu, nanti bangun penuh kutu di kepala. Saya sebenarnya tidak mahu tidur jauh-jauh dengan sepupu saya, tambah lagi kami sesekali berjumpa. Maklumlah keluarga kami di Kuala Terengganu, manakala sepupu saya serta ibu saudara yang sembilan lagi di Mersing. Sesekali berjumpa hendaklah mesra-mesra, namun dihalang oleh kata-kata nenek. Saya tidak boleh terima larangan yang tidak ada rasionalnya. Saya tanya nenek, kenapa sampai tujuh bantal? Kutu di kepala dia, dia punyalah, kenapa nak merayap ke kepala saya. Takkanlah kutu sekecil itu boleh turun naik tujuh bantal? Nenek saya hanya jawab, “Kutu boleh merayap sampai tujuh bantal!” Iiiiih! Geramnya saya. Saya tak kira, saya nak tidur juga sebelah sepupu saya.
Esoknya kulit kepala saya gatal-gatal. Saya garu dan garu macam kera kena belacan, tapi rasa gatal itu merayap-rayap masih atas kepala. Nenek yang sedang bersembang dengan ibu bertanya keadaan saya yang tergaru-garu kepala. Dipanggilnya saya tidur atas riba sebaik saya menjawab, sambil mencapai sebilah sikat. Disikat rambut saya lapis demi lapis. Hah! Kan nenek dah kata, budak ni bukan nak dengar orang! Terbeliak biji mata saya melihat seekor kutu yang kekenyangan diletakkan olehnya atas sehelai kertas. Ditindasnya sehingga berbunyi keletup dan keluar darah. Ih ih, jahatnya kutu ni hisap darah aku! Saya marahkan sepupu saya. Engkau banyak kutu, tak nak kawanlah. Tengok, dah naik kepala aku, macam mana ni? Nenek heret sepupu saya ke sisi, diambilnya sikat kapit - sikat buluh yang giginya rapat-rapat, ada tulisan Cina atasnya (mesti Cina banyak kutu, fikir saya, sebab itulah sikat kapit ni Cina yang buat). Nenek sikat rambut sepupu saya, dan berderailah jatuh kutu-kutu kembung dari rambutnya yang serabai. Geli geleman saya melihatnya.
Melihatkan sikap saya yang mencebik, nenek bersuara, “Jangan hina orang, cucu nanti pun jadi macam ni jugak. Ibu kutu kan dah ada di kepala tu.” Tapi masih sempat saya membela diri, “mana ada, kan nenek dah sikat tadi.” Saya terseringai bila nenek kata kutu yang disikatnya tadi adalah ibu kutu, bila ada ibu mesti ada anak dan telur-telurnya. Saya terkedu. Dalam hati menyumpah-nyumpah sepupu saya. Kerisauan saya makin subur apabila nenek menyambung, “kalau kutu dah banyak atas kepala, nanti gerombolan kutu itu akan usung si penternaknya ke laut.” Hah! Muka saya pucat. Ya, kutu-kutu akan usung si penternak masa dia tidur, sedar-sedar nanti dah ada di laut. Dia akan sedar bahawa dia telah diusung ke laut bila air pantai menyentuh badan.” Ya Allah, saya tak mahu diusung ke laut. Habis nak buat macam mana ni, tak guna nenek ugut-ugut saya, benda sudah jadi. Apa cara nak hilangkan kutu?
Esoknya, ibu ajak saya ke klinik kerajaan. Katanya nak ambil ubat cacing. Ibu memegang sebotol cecair warna biru dalam botol plastik yang tertampal label Klinik Bukit Tunggal. Tulisan tangan mencatatkan “Ubat Kutu”. Kerani kaunter sengih-sengih pandang rambut saya. Malunya saya tak terkata. Tambah lagi saya baru saja dipaksa minum ubat cacing.
Sampai di rumah, ibu suruh saya bersyampu. Kemudian rambut saya disapu ubat kutu tersebut. Baunya busuk tidak tertahan. Pening rasa kepala saya bila dipakaikan tuala melilit kepala macam serban. Kekallah saya sebegitu rupa hingga pagi esoknya sebab bila pakai ubat kutu, dilarang mandi. Maka berbungkuslah kepala saya dan beberapa orang sepupu lain yang mengalami nasib serupa. Nenek senyum-senyum memandang saya sambil mengusik, “nasib baik tak sempat kena usung ke laut.” Beberapa hari kemudian nenek bersama ibu saudara dan sepupu saya pulang ke Mersing. Kulit kepala saya pun sudah tidak gatal-gatal lagi.
Kisah kutu tersebut berlaku 26 tahun yang lalu, namun ia terimbau kembali sewaktu saya membaca suatu fakta yang tertera dalam sebuah majalah di Pusat Dokumentasi Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur tengahari kelmarin. Fakta tersebut berbunyi: Kutu boleh melompat sebanyak 350 kali ganda panjang tubuhnya, sama seperti manusia melompat sebuah padang.
Saya cepat menghitung, tubuh kutu yang ada atas kepala saya dulu hanyalah sepanjang 0.18 inci. Bermakna kalau 350 kali ganda tubuhya iaitu 0.18 inci – sudah jadi 350 X 0.18 inci = 63 inci. Jika bahagi 12 (ukuran saiz bantal budak), makanya sudah jadi 5.25 bantal. Hampir tepat dengan jumlah bantal yang disebutkan nenek!
Saya mula percaya pada kata orang tua-tua. Walaupun kadangkala mereka tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan, sesungguhnya ada yang tersirat di sebalik yang terhambur dari mulut mereka, secara serius atau semasa gurauan. Saya masih ingat kata-kata nenek sebelah ayah dulu. Katanya pada masa saya nanti, besi boleh melayang di udara, boleh terapung di lautan. Saya memandang remeh kata-kata yang tidak masuk akal saya pada waktu itu kerana tidak faham apakah maksudnya. Bila saya berpeluang naik kapal terbang dan melihat kapal-kapal dagang di Pulau Sentosa, barulah saya teringatkan cerita-cerita nenek yang telah pulang kepada Penciptanya. Banyak lagi pesan-pesanan dan celoteh mereka yang penuh siratan makna, cuma kita alpa membenarkannya dengan penemuan dan pengalaman yang sukar ditemui dalam situasi yang semakin menghakis renungan dan taakulan.

Tuesday, October 10, 2006

Ramadhan penuh ujian

Dalam keadaan separuh sedar, saya bagaikan baru keluar dari satu kepompong yang gelap gelita. Rupanya hari ini merupakan 17 Ramadhan. Hari besar dalam sejarah umat Islam, hari turunnya mukjizat terbesar kepada Rasulullah yang diwariskan kepada umatnya.
Saya baru kembali ke dalam pelukan Ramadhan setelah hampir dua minggu terasa berjauhan dengan suasananya. Selepas menulis entri lepas, rafik saya Zanazanzaly diserang demam yang berpanjangan sehinggalah beliau sihat kelmarin, itu pun masih pening-pening lalat. Dan saya, atas dasar tanggungjawab menemani orang sakit terpaksalah berada di sisi, membantu mana yang perlu. Beliau hanya sempat berpuasa dua hari, dan hari seterusnya muntah-muntah dan diserang demam urat serta panas tak menentu, berlainan dengan demam-demam yang beliau alami sebelum ini. Terlalu dukacita saya melihat keadaannya pada waktu itu.
Saya hanya solat tarawih di rumah, kadangkala berseorangan dan sesekali pula Zana menjadi makmum jika beliau mampu celik mata. Ramadhan terus berlalu. Hampir seminggu ujian buatnya, saya pula diuji dengan demam sejuk-panas. Sempat dua hari terlantar, Zana dengan kepala separuh betul pula merawat saya. Cuma kali ini tiada siapa antara kami berdua jadi imam atau makmum kerana kami sama-sama uzur syari’e.
Ibu saya menelefon dari kampung, memaklumkan ibu saudara pihak ayah saya telah meninggal dua hari lepas. Saya hanya sedekah al-Fatihah buatnya kerana apa lagi yang mampu saya lakukan kerana ibu saya tergamam untuk memaklumkan kepada saya lebih awal, maklumlah saudara mara kami terlalu besar berbanding kapasiti memori ibu saya. Kalau ibu memaklumkan lebih awal pun saya tidak mampu pulang dengan keadaan sendiri pun “tak larat nak angkat hadas”. Saya maklumkan ehwal saya kepada ibu dan apa yang telah berlaku kepada kami berdua. Ibu sempat berjenaka “Kau berdua ni macam kembar, sakit pun nak berdua.” Itu pun saya tak maklumkan bahawa kami sama-sama tak puasa.
Hari ini kepala saya masih berdenyut-denyut. Zana telah masuk ke madrasah Ramadhan kembali, dan saya akan mengekorinya esok. Kami rindu untuk ke balaisah sama-sama. Khabar yang disampaikan oleh Nany, situasi peperangan politik balaisah masih sama seperti malam pertama, cuma tambah ada qunut sahaja. Yang lain tetap serupa. Alahai, moga beroleh hidayah sempena separuh Ramadhan ini, harapnya.

Sunday, September 24, 2006

Tarawih pertama di balaisah

Ramadhan berkunjung lagi. Terkocoh-kocoh turun bas Transnasional Kuala Terengganu-Rantau Panjang yang transit seminit di Pasir Mas, saya tidak singgah ke pejabat; tetapi terus pulang ke rumah. Perjalanan kelmarin begitu lancar sekali, sebagaimana yang sentiasa didoakan, begitu juga sewaktu pulang ke Batu Enam sehari sebelumnya. Saya tidak terus naik ke rumah, sebaliknya ke rumah beberapa orang jiran untuk mengagihkan “kuih cara berlauk” dari Terengganu yang bonda kirimkan untuk mereka. Jam hampir 7.00 malam sewaktu saya masuk rumah. Baru teringat, saya hanya ada lebih kurang satu jam untuk makan, mandi dan bersiap untuk melalui gapura Ramadhan. Memilih untuk mendirikan Maghrib di rumah supaya tidak ‘semput’ masa dan nafas, saya kemudiannya bersedia ke balaisah untuk bertarawih. Sebaik turun tangga, saya dan Zana serta dua orang adiknya disambut oleh sekawan angsa yang seakan-akan sedang menunggu kami dalam keadaan bersedia. Ya Allah, cooooobaaan! Nany cuba menghalau angsa tersebut dengan mengibas-ngibas sejadah - tak dipedulikannya. Dijerkah-jerkah “shuh-shuh”- tak dilayan. Dihulurnya kaki untuk menyarung selipar sambil melibas-libas sejadah lagi. Hasilnya, seekor angsa melentikkan lehernya sambil berlari mara ke arah kami. Tempikan berkumandang dan kami bercempera melompat tangga. Ya Allah, tolonglah kami, kami nak pergi tarawih ni, bukan nak pergi tengok wayang atau melalak di pusat karaoke. Selahzah kemudian, angsa-angsa tersebut pun terkodek-kodek balik ke rumah tuannya.

Kami menapak ke balaisah, bimbang terpaksa solat di luar bangunan. Sangkaan kami meleset, jemaah hanya beberapa orang. Jemaah lelaki juga serupa, beberapa orang sedang merokok luar balaisah, yang di dalam pula sedang urut-urut betis. Di bahagian muslimat, jemaah semuanya veteran sebagaimana tahun-tahun sudah. Makcik-makcik itu juga. Seorang makcik nampaknya memang istiqamah. Tahun lepas pun, dia memang memilih jihat kanan di saf pertama – minal awwalin. Yang lain pula memilih gaya politik partisan. Sekerat di belakang saf pertama di kanan, dan seterusnya. Tiada yang memilih untuk memenuhkan saf yang ditandai oleh ‘makcik istiqamah’ itu. Masing-masing membentuk saf sendiri di penjuru kanan. Masing-masing mahu jadi pemimpin dalam saf. Ruang kiri tiada yang menyambung. Kecuali beberapa orang makcik yang terperuk di dinding kiri bangunan, terasing dari saf. Setiap mereka juga ada saf masing-masing, namun di jihat kiri. Wah, ini sah politiking balaisah ni! Walhal mereka ini taksubkan satu parti berjenama Islam.

Kami dipanggil oleh pemimpin saf kedua supaya hampar sejadah di tepinya. Maka Nany pun duduklah di situ, diikuti Dilla, Zana dan seterusnya saya. Tempat yang paling strategik untuk diiktiraf sebagai “tahu bawa diri”. Ini kerana jika kami memenuhi saf pertama, bermakna kami ini mahu tunjuk pandai kerana pada tahun sebelumnya, saf pertama “dikhaskan” untuk jemaah veteran dan ahli balaisah. Yang masih belum kahwin tidak layak untuk pandai-pandai naik ke situ. Hanya yang tua-tua, pakai bedak sejuk, yang selalu urut-urut kaki dan betis sambil “ter i-ah-i-ah” bangun boleh hampar sejadah di saf itu. Kami yang baru-baru dan bukan ahli balaisah setiap hari ini kenalah pilih saf belakang setelah mereka semua memenuhinya walaupun kami datang dahulu. Tak kiralah.

Saya cuba beramah dengan “si tegar” di jihat kiri, selang beberapa ruang kosong dari saya. Saya cadangkan supaya beliau nyahkan kekosongan di tepi saya. “Makcik nok duk sini, tok apolah. Biarlah guano pong, makcik tok sir beralih, nok duk sini jugok”, sambil gentel biji tasbih coklatnya dan sesekali menyampuk bualan teman-temannya. Lain ceritanya dengan Nany yang diawasi oleh ketua saf kedua, jihat kanan. Sebaik duduk, dia diingatkan supaya solat tahiyyatul masjid. Nany pandang Dilla, Dilla sengih pada Zana. Saya tanya Zana, bukan ke ini balaiasah, setahu aku kalau di masjid bolehlah. Zana pun mengiyakan. Tidak tahulah mungkin kami yang jahil bahawa solat tahiyyatul masjid itu boleh sahaja dikerjakan di madrasah atau musolla. Yang kami belajar, ia hanya sunat dikerjakan di masjid (tempat sujud oleh jemaah yang cukup 40 orang atau lebih).Banyak lagi yang saya wajib belajar.

Setelah suruhannya tidak diendahkan oleh kejahilan kami, dia bersuara kepada saya. Katanya rambut saya menjulur ke dahi. Dia suruh saya kemaskan telekung. Saya raba dahi sambil bercerminkan Zana, walhal saya yakin tiada aurat yang terdedah kerana saya baru sahaja jahit ikatan telekung sebelum ke balaiasah berpandukan pengalaman tahun lepas. Zana mengeleng, membenarkan keyakinan saya. Makcik tersebut masih juga kata rambut saya masih nampak, nanti tak sah sembahyang! Saya buat aksi olok-olok tonyoh rambut ke dalam telekung, tarik sana, simpul sini, biar kalut. Biar dia puas hati, walhal saya tahu dia itu - matanya kurang nampak. Mustahil untuk dia nampak objek sehalus rambut dalam jarak tersebut. Sesudah itu barulah dia tidak mencerlung saya.

Makcik itu jugalah pada Ramadhan lepas marah pada saya kerana saya pakai “kain key” merah sebagai anak telekung dengan amaran bahawa dosa pakai anak telekung selain putih. Saya akur kerana pada hari tersebut saya kelewatan masa untuk bersiap dan mencapai apa sahaja yang ada di depan mata, dan saya tahu Rasulullah sendiri mengelak untuk menyarung pakaian berwarna merah, tapi tidaklah menghukumnya sebagai suatu dosa. Kronik betul makcik seorang ini, tidak sudah-sudah dengan fatwanya mentang-mentanglah dia dahulu cucu mufti.

Itu baru setakat komen tentang individu. Bila jemaah bertambah dan hampir penuh ruang, mulalah pula masalah pasal saf. Sebagaimana pada tahun-tahun sebelumnya, saf diluruskan berpandu kepada teknik bentangan sejadah. Makmum di kiri “makcik istiqamah” di saf pertama, hendaklah menyamakan kedudukan bulu bahagian hadapan sejadah dengan bulu hadapan sejadah “makcik istiqamah”, dan seterusnya. Begitu juga saf kedua dan seterusnya. Biar sama di depan, biar tungang-langgang bulu di belakang. Hal ini pernah saya tanya kepada seorang makmum tahun lepas. Namun jawabnya “ikut sajalah”. Sebagai anak dagang, saya menurut cara setempat biarpun jiwa memberontak tidak bersetuju dengan cara itu. Bukan senang hendak mempraktikkan “Qulil haq walau kaana murra” rupanya. Logik akal saya tidak dapat menerima aturan cara begitu. Bukankah saf itu terbina dengan teknik seia-sekata tumit-tumit kaki makmum? Nak jenguk tumit, kena pandang pandang belakang (bagi muslimat). Yang lelaki tak apalah, boleh intai celah kelangkang, sebab kain pelikat atas buku lali. Kalau bahagian belakang sejadah lintang pukang dan tidak lurus, macam mana nak betulkan tumit. Buat apa samakan bahagian depan, kalau yang nak disamakan adalah tumit yang ada di belakang. Bukan nak kena samakan kepala masa sujud pun!

Maka mulalah acara tarik-menarik sejadah yang tak betul kedudukannya. Makcik sebelah saya tegur kedudukan bulu sejadah saya yang 0.1 cm (bukan inci) tinggi dari bulu sejadahnya. Saya heret lagi sejadah itu turun. Terlebih 1 cm. Kalut dia heret naik pula. Terlebih sentak sampai naik 1 inci pula. Saya tarik ke bawah, perlahan-lahan, betut-betul sama dengan bulu sejadahnya. Saya ukur dengan telapak tangan sambil senyum ke arahnya. Dia pun angguk. Puas.

Tiba waktu solat, jemaah makin bertambah dan ruang tidak mencukupi. Yang sedang berdiri di tepi pintu melilau-lilau cari tempat kosong. Ramai juga yang riuh marahkan ruang yang penuh. Kekalutan pun memeluk makcik-makcik tadi sehingga nampak mereka kelemasan. Lalu bila terdengar takbir imam, makcik-makcik tadi heret sejadah ke ruang depan yang masih berbaki 1 kaki untuk bagi tempat pada muslimat yang merungut-rungut. Jemaah pun sibuk tarik sejadah mereka naik satu kaki ke depan. Bila imam baca al-Fatihah, makcik-makcik pun angkat takbir. Bulu sejadah depan dalam saf depan berbeza sakan, ada yang terlebih naik 5 inci, ada yang ke belakang 1 inci dan sebagainya dari bulu sejadah makmum muslimat pertama. Tumit para makmum saf pertama juga terkedepan dan terkebelakang. Bulu sejadah tidak selari, kedudukan tumit pun lari. Makcik-makcik tidak sempat lagi mahu membebel akan kedudukan bulu sejadah yang tidak sama. Masing-masing terkumat-kamit baca niat sembahyang.

Hal ini nampaknya kecil, tapi saya mengesan falsafah yang besar dalam cara berjemaah di balaisah ini untuk dihubung kaitkan dengan perpaduan, penyatuan, dan aqidah umat Islam akhir zaman ini.

Selamat bermujahadah selamanya, khas dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Beramallah dengan perkasa!

Sunday, September 10, 2006

Mungkinkah akan berulang?

Tahun ini setiap hari kita dihidangkan dengan bertita-berita kekejaman yang bermaharajalela di kebanyakan negara majoriti umat Islam. Dari Palestin yang pada tiap tahun; malam dan siangnya digiliri cerita luka, Lubnan yang mutakhir ini diserbu petaka keangkuhan bangsa terlaknat sehinggalah ke seluruh jihat dunia, umat Islam ditindas, mental dan fizikal. Dengan hidangan penganiayaan yang sentiasa memenuhi meja hari, kita digusarkan pula oleh khabar yang menyatakan bahawa tahun 2007 akan bertamu dengan wajah bala. Ia bakal mengulangi dekad-dekad kegelapan. 1987, dua dekad yang lalu, dan 1997 yang kelam telah kita lalui dengan jerih perih perjuangan untuk kelestarian sebuah bangsa. Dan kini 2007 berputar ke titik yang telah dipijak oleh kedua-dua tahun tersebut. Sama ada hidup perkasa atau mati syahid, mana satukah pilihannya?

Thursday, September 07, 2006

Cakna Cerpen Penulis Wanita Pantai Timur (CAKNA)

Dimaklumkan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Noble Art Creation (NAC) akan menganjurkan majlis Cakna Cerpen Penulis Wanita Pantai Timur (CAKNA).

Tarikh: AHAD, 17 SEPTEMBER 2006
Masa: 9.00 PAGI –12.00 TENGAHARI
Tempat: DEWAN SEMINAR, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA WILAYAH TIMUR

Pemakalah jemputan ialah S.M Zakir yang akan membentangkan kertas kerja bertajuk “Karya Sastera: Antara Drama & Tragedi” sebagai hasil kajian teks antologi cerpen “Janji Mandala Hijau”, terbitan DBP manakala Nisah Haron melalui kertas kerja berjudul “Mencari keindahan dalam cerpen-cerpen empat penulis wanita Pantai Timur” mengupas cerpen-cerpen eceran karya penulis wanita Kelantan, Terengganu dan Pahang.

CAKNA merupakan prakarsa untuk menampilkan karya-karya penulis dari Kelantan, Terengganu dan Pahang kepada khalayak demi membuktikan penulis-penulis wanita dari tiga negeri ini bersungguh-sungguh dalam menghasilkan karya kreatif untuk turut melaksanakan peranan mereka sebagai entiti dunia yang tidak terkebelakang dalam memperjuangkan keadilan, kebenaran dan kemanusian yang kian menipis.

Dijemput semua hadir berkongsi fikiran dan pemikiran, tidak kira lelaki atau perempuan, membuktikan anda CAKNA!
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Zanazanzaly/Rozais Al-Anamy (019-9196679)

Thursday, August 31, 2006

Apakah penyakit orang sastera?

Apakah penyakit orang sastera? Pertanyaan ini paling layak saya kira untuk menyimpulkan perjalanan seharian saya kelmarin. Pertanyaan ini tercetus sebaik sahaja saya sampai ke tapak ekspo XPRI 06 (Ekspo Gerakan Berdikari Kelantan 2006) di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu untuk menghadiri Bengkel Penulisan Berdikari. Saya dijemput oleh rakan penulis melalui SMS beberapa hari sebelum itu. Khabarnya Dr. Lim Swee Tin akan memberi ceramah tentang puisi.

Tepat jam 2.00 petang sebagaimana dimaklumkan, saya dan Zana sudah terpacak di tapak ekspo, mengintai sana dan sini mencari lokasi ceramah tersebut, namun tidak ada sebarang petanda dan makluman tentang tempat akan berlangsungnya ceramah itu. Setelah bertanya kepada beberapa orang yang sedang sibuk mengemas khemah, kami menjadi semakin buntu kerana mereka juga tidak tahu menahu tentang ceramah itu. Kami berlegar-legar lagi, dan akhirnya terjumpalah dua orang rakan penulis, seorang sudah agak lama kenal dan seorang lagi yang baru kami kenali di bengkel novel di Paka, Dungun. Hadapinur lah yang menjemput kami. Maka, kami pun maklum acara akan berlangsung atas pentas depan kami duduk. Kami menunggu sehingga jam 2.45 petang. Kemudian barulah datang petugas ekspo yang berkenaan memaklumkan majlis akan bermula. Kami pun tanyalah, di mana peserta lain memandangkan hanya lima orang sahaja termasuk saya dan Zana yang ada. Jawab beliau, tugas mengundang para jemputan telah diserahkan kepada Setiausaha Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan beliau bersetuju untuk menjemput peserta dan SUDAH PUN MENJEMPUT mereka. Saya mengucap panjang. Tak tahulah siapa yang mereka jemput, cuma yang pasti saya datang atas jemputan orang lain… tak kisahlah. Yang dua tiga orang lagi pun atas jemputan kawan tadi itu juga. Jadi ke mana perginya jemputan PPK. Malah wakilnya pun tak ada!

Akhirnya kami pun dijemput ke pentas setelah Dr. Lim sampai. Saya terharu dengan pengorbanan beliau yang sanggup datang semata-mata ingin bertemu penulis Kelantan yang menurutnya semakin lesu sekarang ini berbanding dahulu, di mana Kelantan masyhur sebagai lubuk pemuisi. Ceramah beliau yang informatif dan menepati tema berdikari ekspo hanya sampai ke lima pasang telinga peserta yang kemudiannya bertambah kepada lapan orang. Sayang sekali, ceramah bermutu sebegitu disia-siakan oleh sikap tidak bertanggung jawab persatuan yang sepatutnya berusaha gigih mengembangkan sastera. Saya tidak tahulah apa masalah di sebalik kegagalan menjemput peserta itu, tetapi saya berpesan kepada diri saya supaya tidak melakukan hal yang sama kerana ia amat merugikan dunia sastera. Sedang orang lain berlumba mendaki gunung, janganlah kita asyik “peteh betis” mereka dengan sifat mazmumah kerana dengkikan mereka, walhal kita sendiri telah kudung! Usahalah langkah bijaksana untuk sama-sama ke puncaknya. Apatah lagi dalam usia kemerdekaan negara kita sudah matang angkanya.

Sunday, August 27, 2006

Apabila orang gila kata kita gila

Setiap kali sesuatu keputusan dibuat secara undi majoriti, saya selalu terhantar ke suatu ruang fikir - akan terapungkan kebenaran dalam lautan majoriti, jika pemilih keputusan itu adalah buih-buih yang berterbangan dihempas ombak? Seperti juga, betulkah seseorang itu akan dianggap gila dalam wilayah orang gila? Memikirkan ketidakadilan ini saya terilham untuk mengarang sebuah puisi.
MINORITI YANG DIBISUKAN
Dan kita terlontar ke penjara majoriti.
Raung kebenaran telah lama dibisukan
oleh tangan-tangan jahil musyawarah
neraca keadilan telah berzaman ditabur kerikil
pada ceper kanannya
kandil kebijaksanaan telah lama terpadam
dihembus taufan kejahilan
dalam zulmat malam.
Putih adalah hitam pada pandangan malam
Hitam adalah putih pada telahan siang.
Dewan Bunga Tanjung,
Hotel Perdana. Kota Bharu, Kelantan.
Sya'ban 1, 1427H

Bahasa dalam kalangan tiga bangsa

Sedang bersiap untuk ke pejabat, saya sempat mengerling siaran Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan MCA Ke-53. PM dan TPM serta beberapa orang menteri lain dari UMNO dan MIC turut hadir. Sebelum Presiden MCA, YB Datuk Seri Ong Ka Ting berucap, semua hadirin berdiri menyanyikan salah sebuah lagu kebangsaan. Apabila kamera menyorot PM dan TPM, kelihatan mereka berdua dengan lancar menyanyikan lagu tersebut. Begitu juga para menteri serta perwakilan lain. Tiga bangsa bergabung menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu. Kemudian lagu tema MCA dimainkan. Para menteri bangsa Cina terkumat-kamit menyanyi dalam bahasa Cina. Apabila kamera menghala lagi ke arah PM dan TPM, kelihatan mereka berdua hanya senyap mendengar lagu yang dinyanyikan.
Kemudian, Ong Ka Ting pun berucap - dalam bahasa Melayu yang fasih. Setelah tiga minit barulah terkeluar beberapa ayat dan terma dalam bahasa Cina. Kemudian menyambung lagi ucapan dalam bahasa Melayu, siap dengan simpulan bahasa dan diksi yang menyegarkan. Saya suka rangkaian kata seperti ... "membesarkan kek ekonomi negara untuk diagihkan lebih banyak..." serta banyak lagi. Saya mengambil sikap baik sangka bahawa beliau menulis sendiri teks tersebut, malah jika tidak pun, kefasihan beliau sudah cukup membuktikan yang beliau tidak memandang remeh bahasa Melayu. Beliau reti bahasa untuk menghormati penduduk asal Tanah Melayu.
Saya tidak sempat mengikuti keseluruhan ucapan beliau. Namun ucapan yang sedikit itu sudah cukup menerbangkan saya ke ruang sedar - betapa bangsa lain cuba memahirkan diri dengan pelbagai bahasa, sedangkan anak peribumi sendiri mengutuk bahasa ibunda. Sama lintas dengan itu, saya teringat pada seorang artis baru yang menjadi isu mutakhir ini yang mendakwa kononnya tidak pandai berbahasa Melayu kerana berdarah campuran Cina, India dan Arab. Saya mahu tergelak dengan alasan jahil tersebut. Ingin saya tanyakan padanya, bukankah Ong Ka Ting itu berbangsa Cina, mengapa beliau fasih berbahasa Melayu, tanpa slang Cinanya. Begitu juga Samy Vellu, walaupun sekali sekala memecahkan tawa kita dengan ayat seperti "... budak-budak tarak boleh hisap dada.." atau "kita dinasihatkan supaya selalu derma dara..". Mereka tidak pula terasa bodoh bercakap bahasa rasmi negara.
Makanya, bagi artis yang tak reti bahasa itu, saya doakan agar beliau pertingkatkan jati diri. Kalau betullah faktor keturunan yang jadi halangan, mengapa beliau tidak bercakap bahasa Arab, Mandarin atau Tamil sahaja. Itu satu kelebihan beliau kalau dapat menguasai tiga bahasa lantaran campuran darah tiga bangsa tersebut. Atau cakap bahasa Al-Quran sahaja demi keturunannya yang baik itu. Lagi banyak pahala kerana bercakap bahasa syurga. Kenapa memilih bahasa penjajah? Tidakkah itu paradok?
Sedang bangsa lain mempertingkatkan diri menguasai lebih dari satu bahasa demi kemajuan diri, bangsa Melayu pula mengagungkan bahasa penjajah dan menghenyak bahasa ibunda. Ini semua terjadi kerana akar jati diri telah reput dimamah anai-anai ghuzwatul fikr kuffar. Dan artis yang dimartabatkan dalam industri perfileman negara itu salah seorang mangsanya.

Catatan sepanjang dua belas hari menyepi

Wah, sedar tak sedar, sudah dua belas hari saya tidak menyumbang sepatah kata untuk blog sendiri. Rasa macam baru kelmarin saya menulis pasal hantu albino. Setelah beberapa orang rakan bertanya, barulah saya sedar bahawa blog saya sedang gersang aksara. Memang benar kata orang tua-tua, bila kiamat semakin hampir, malam dan siang bersilih ganti dengan cepatnya.

Ogos 16, saya menemani Zanazanzaly berceramah di SMK Meranti, Pasir Mas, Kelantan. Majlis anjuran DBPWT dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) itu dihadiri oleh lebih kurang 100 pelajar dan guru PPM, dipilih dari sekolah-sekolah PPD Pasir Mas/Tumpat. Keesokannya pula, saya masih bersama Zana menuju SK Sri Aman, Pasir Puteh atas tujuan yang sama. Zana menyampaikan ceramah bertajuk “Mengkomersilkan produk sastera”. Hadirin pun lebih kurang seratus orang juga. Dalam kedua-dua majlis tersebut, pelajar-pelajar sains lebih menonjol berbanding pelajar sastera yang bercakap segan, menulis tak mahu.

Ogos 19 pula, dari awal pagi kami sudah berada di DBPWT, menghadiri “Sembang Pagi” bersama SN Datuk A. Samad Said. Pada sebelah petangnya pula, beredar ke Hotel Perdana, menyambung program Rakan Dewan – Dialog Editor. Puan Rozninah Mohd Azib dari majalah Dewan Sastera dan Puan Ariza dari buletin Jendela Timur, DBPWT hadir sebagai panel, manakala En. Ku Seman Ku Hussin dari Utusan Malaysia tidak hadir lantaran keuzuran yang tidak dapat dielakkan pada saat akhir. Saya amat kecewa kerana tidak dapat bertemu Ku Seman, namun saya akur - kita hanya merancang dan beliau juga tidak mengundang keuzuran itu.

Hari-hari seterusnya saya sibuk menguruskan kerja-kerja hakiki di pejabat yang banyak tertangguh lantaran selalu ke luar. Sehinggalah pada Ogos 24 malam, jemputan untuk menjadi fasilitator Akademi Sastera Siber oleh eSastera mengheret kami ke Hotel Perdana. Bermesyuarat pada jam 9.00 hingga hampir jam 12.00 malam, saya dan Zana pulang ke rumah dengan mata separuh terbuka. Ogos 25 pula sesi bermula dari pagi hingga malam di mana para fasilitator melatih peserta mendeklamasikan puisi dari teks “Doa Penyair” terbitan eSastera. Saya diamanahkan menjadi mentor kepada protégé yang seramai 10 orang. Walaupun tidak berjaya ke peringkat akhir, saya puas melihat keberanian mereka beraksi di atas pentas walaupun masa yang diperuntukkan untuk berkenalan dengan puisi, memahami puisi, sastera dan dunianya serta mendeklamasikan puisi amatlah singkat. Namun satu perkara yang saya kesalkan ialah penglibatan pelajar aliran sastera dan pelajar sekolah agama/Arab yang pasif, malu tidak bertempat serta jumud berbanding mereka yang belajar dalam aliran sains atau dari sekolah menengah biasa.

Inilah kali pertama saya berpeluang memesrai eSastera dengan lebih dekat memandangkan sebelum ini saya hanya berkirim salam melalui Zana yang sering bertemu secara maya dengan penghuni-penghuni eSastera.com. Walaupun pada awalnya saya bagaikan rusa masuk kampung, sifat peramah dan mesra ahli eSastera berupaya membuang rasa kejakunan saya. Fiezanur yang cilik dan mesra, Hani Hamsyari yang sopan dan brilliant, Fahd Razy yang rendah diri menghantar saya ke suatu dunia sastera yang lain dimensinya.

Setelah mengenal dan memerhati manusia-manusia yang saya temui sepanjang tempoh 12 hari itulah saya menyimpulkan, dunia sastera mutakhir ini lebih dihargai oleh mereka yang berpendidikan bukan sastera. Memang benarlah penggunaan dua belah otak itu lebih baik berbanding menggunakan otak kanan sahaja. Dan saya percaya masa depan sastera negara akan lebih gemilang di tangan mereka seandainya orang sastera sendiri tidak beranjak dari takah yang sedia ada.

Tuesday, August 15, 2006

Ditipu Hantu Albino

Semalam saya menonton filem Kantonis "The Haunted Office" di TV3. Saya memang sukakan cerita hantu. Awal-awal lagi sudah siap dengan bantal dan selimut yang menutupi tubuh sampai ke kepala kecuali dua biji mata yang dilindungi jari-jemari yang sengaja direnggangkan. Beberapa insiden dalam tandas memang menyeramkan sehingga saya terpaksa berselindung di balik belakang Zanazanzaly. Jari jemari pula sudah bertukar bentuk menjadi binokular, kalau hantu keluar saya akan kecilkan kepalan, biar sayup-sayup saja.
Kisahnya tentang sebuah pejabat berhantu yang akan menelan korban seramai sembilan orang pada setiap bulan tujuh. Dalam lif pula selalu ada seorang wanita berambut putih dan berpakaian serba putih, menjeling tajam pada setiap pekerja yang menggunakan lif tersebut. Pada awalnya saya kira itulah hantu yang merasuk penghuni bangunan itu membunuh diri. Pada tiga perempat cerita, seorang pekerja wanita yang berpakaian merah terpilih menjadi mangsa; yang menurutnya hantu berpakaian putih dan berambut serta kening putih (albino) tersebut mahukan dia membunuh diri untuk menyelamatkan adik lelakinya. Maka si kekasih perempuan baju merah itu pun berusaha menyelamatkan kekasih yang baru dikenalinya itu, yang tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun melainkan dia sahaja dari hantu albino. Dalam usaha menyelamatkan kekasihnya, lelaki tersebut dan kekasihnya jatuh dari bangunan; si perempuan baju merah ghaib dan lelakinya hidup. Di tempat kejadian, hantu albino datang dan menyatakan bahawa perempuan baju merah itulah sebenarnya hantu, dan memaklumkan kepada si lelaki yang menyangkakan dia masih hidup itu supaya melihat mayat (si lelaki) yang terdampar di atas bumbung sebuah kereta.
Fuhhh, senangnya tertipu oleh hantu! Filem ini berjaya menipu saya. Sebelum ini saya dapat menelah pengakhiran sesebuah cerita pada setengah atau tiga perempatnya, namun kali ini tekaan saya betul-betul tersimpang. Itulah sifat manusia, kadangkala terbias cahaya pandangan oleh kaca yang telus pandangnya.

Sunday, August 13, 2006

Sebuah Lagu Merdu dari Tunis

Saya sedang mengemas rak buku di pejabat dan mendapati helaian kertas bertaip puisi ini di antara celahan buku dan beberapa dokumen lain. Puisi garapan Ustaz Uthman El-Muhammadi ini dihadiahkan oleh beliau sendiri beberapa tahun yang lalu sewaktu beliau berkunjung ke pejabat kami untuk mencari anaknya, Khalid. Sebelum meminta diri, beliau sempat berpesan, “baguslah menulis. Ajaklah anak saya (Khalid) menulis sama.”
Di hujung perenggan akhir, tercatat dalam tulisan Jawi - 5 Mac 2002 sempena Majlis Penutupan “Wacana Ibnu Khaldun dan Pemerkasaan Budaya dan Tamadun”, anjuran DBP. Saya fikir puisinya ini bertepatan dengan ehwal ummah yang sedang bergelora di merata buana, semoga beroleh kekuatan dengan titisan tintanya ini.
SEBUAH LAGU MERDU DARI TUNIS
Oleh Putera Sunni

I
Ingin kudendangkan wahai sayang lagu merdu dari Tunis
Dengarkanlah wahai sayang nyanyian purba menawan manis
Dari serulingku mengalun senandung pembawa perpaduan
Pemaut hati jiwa teguh kembali bagaikan pahlawan
Alunan jiwa akal budi Ibn Khaldun al-Maghribi
Ingin kujadikannya sebahagian lagu merdu alam pertiwi Dunia Jawi.
II
Beliau bersenandung lagu merdu alunan kasihkan bangsa
Di bawah nama asabiyah pengangkat umat jadi perkasa
Dengarkanlah lagu ini sayang, penyatu padu bukan hanya kerana keturunan
Bahkan kerana kebersamaan dalam kehidupan pengalaman adat kebiasaan
Bagaikan takrifan Melayu yang ada di kalangan kita
Mengambil kira adat agama dan bahasa pengucapaan tamadun kita.
III
Pabila Iqbal membawa Jalaluddin Rumi dalam alam puisi
Inginku bawakan lagu wacana akli Ibn Khaldun ke alam kita berdiskusi
Bicara penguat umat jadi teguh lagi bermaruah tinggi
Sebutan nama dalam sejarah menjadi harum bak setanggi
Dibisikkannya ke telinga kita penuh kasih dan sayang
“Kamu perteguhkan perpaduan bangsa kalau tidak maruah melayang.”
Ini ajaran junjungan dalam rahsia “fi man ‘atin min qaumihi”
Pengajak kepada lindungan kekuatan bangsa teguh penuh kasih
Tali kasih sayang mesti dipererat, diperteguh
Tanpa merugi masa dalam bertangguh kita roboh
Racun bisa pemusnah, perpecahan mesti dihapuskan
Bagai orang memadam api pembakar memusnah perbendaharaan simpanan
V
Beliau memetik lagu pembina akal murni lagi tajam
Lagu “akal tambahan” “pembina tamadun bangsa” Ajam
Terbentuk dalam pendedahan pendidikan ilmu tinggi dan kepakaran
Diperlukan demi peningkatan tinggi bangsa melalui kesedaran
Pelengkap kepada memuncak iman taqwa akhlak dan keperibadian
Membentuk peribadi masyarakat tamadun bangsa dan peradaban.
VI
Beliau menyeru kita kepada imbauan membina kekuatan adat kebiasaan
Terkandung dalam bidalan “Hidup bersendikan adat,
adat bersendikan hukum kenabian
hukum terbina atas Kitab yang diwahyukan”
Terbentuk adat teguh terbina budaya perkasa menyelamatkan
Tertera adat erti maknawi cara berfikir dan nilai
Pembawa ketertiban dalam pemikiran, sikap, peraturan berharga tak ternilai.
VII
Digesanya kita membina budaya lagi tamadun tinggi
Berpaksikan ajaran Nabi dari wahyu, sunnah dan daya pemikiran mengatasi Feringgi
Mewarisi budaya dan tamadun iman dan ilmu menyeluruh sepadu
Terpahat dalam sejarah gemilang umat Islam zaman lalu
Sejarah gemilang dulu bukan ibarat seperti candu
Bahkan sumber kekuatan, pemikiran, nilai, prinsip memandu.
VIII
Mari sayang, kita hayati alunan merdu Maghribi ini
Jadi kita umat berjati diri berprinsip hidup zaman kini
Tergabung kebenaran mampu bertahan zaman bahari dengan kemahiran ilmu terkini
Berilhamkan Ihya’ al-Ghazali dan Muqaddimah Ibn Khaldun al-Maghribi
Tergarap dengannya penguasaan teknologi baru seperti Bill Gates di kota rayanya
Dengan kedalaman penguasaan sains Einstein di bidangnya.
IX
Mari sayang kita binakan kembali kebijaksanaan akal dan tadbir Tun Perak
Sifat adil ‘Ala‘uddin Ri‘ayat Syah harum semerbak
Keberanian kesetiaan Tun Tuah mempertahankan maruah bangsa
Kealiman dan kebijaksanaan para ulama dan budiman sejarah nusa
Keperkasaan pahlawan menjaga umat dari diceroboh
Ketertiban, kemakmuran, keamanan kota Melaka,
Acheh berdiri teguh tiada roboh.
X
Aku lebai Jawi dari Timur Semenanjung ingin bermadah
Berhasrat mengajak umat Dunia Melayu kepada kehidupan paling indah
Membina kembali kehidupan bangsa tamadun perkasa selepas Melaka terjatuh
Hidup dilanda percubaan dan kebencanaan bukan dengan mengaduh
Mampu membina umat semula jadi perkasa beradab lagi bermaruah
Di dunia zaman globalisasi bila tersilap membawa padah.

Saturday, August 12, 2006

Coca-Cola, Colgate, Starbucks

Gesaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya masyarakat pengguna tanpa mengira batasan kaum dan agama memboikot produk terpilih milik Yahudi bagi membantah kekejaman Yahudi di Lebanon mengheret saya ke ruang fikir yang bulat bentuknya. Satu daripada tiga senarai yang disebut, Colgate – selain Coca-Cola dan Starbucks amat mesra dengan saya. Boleh dikatakan sejak mengenal berus gigi, hanya Colgate yang saya tahu, kerana saya ingatkan ubat gigi itu namanya “colgate”, sepertimana “Bata” itu ialah kasut. Saya tidak tahu pun ada jenama lain yang mewakili ubat gigi. Dan Colgate ini amat meyakinkan untuk diguna memandangkan kuasa fluoride yang ada dalam kandungannya. Kuasa itulah yang mendominasi fikiran saya sehingga kini dan setelah saya menyedari ada ubat gigi lain juga atas muka dunia ini, saya masih yakin pada Colgate. Colgate tidak pernah tukar nama seperti Darkie yang sudah dijenamakan Darlie atau macam pelakon yang sudah tukar nama gara-gara tidak “sekun/ngam” dengan nama asal.
Sehinggalah saya terbaca berita tentang produk Yahudi ini, saya berasa amat bersalah kerana hanya setelah tiga puluh tahun menggunakannya, barulah pekung itu terhidu oleh hidung saya yang kurang kuasa hiduannya ini. Terima kasih kepada PPIM. Nasib baik saya bukanlah pelanggan Coca-Cola dan Starbucks kerana saya memang dari dahulu tidak sukakan air berkarbonat, juga alergik kopi. Kemudiannya baru saya tahu air berkarbonat itu juga adalah produk menyilang ajaran Rasulullah s.a.w. yang melarang umat Islam dari menghembus air yang panas untuk diminum kerana karbon dioksida akan masuk ke dalam air tersebut dan memudaratkan si peminum. Jadi, orang Yahudi menggunakan kaedah ini untuk memudaratkan orang Islam mempromosikan produk ini lebih-lebih lagi kepada dunia Islam dan ia menjadi – Muslim bangga dengan Coca-Cola, sekaligus menghina ajaran Rasulnya.
Starbucks pula lambang korporat Melayu – bangsa lain jangan kiralah sebab mereka akan sokong rakan sekutu. Bukan setakat korporat, orang sastera sendiri cukup suka lepak di Starbucks – lambang sasterawan mantap di persada sastera tanah air, sebab sebelum ini orang sastera sering diasosiasikan dengan manusia gelandangan, tak berduit dan merempat; usahkan minum kopi berpuluh ringgit, makan pun kadangkala terabai.
Kalau sebelum ini kita dengar KFC melorongkan berbilion duit kepada Yahudi, dan berpakat-pakatlah warga Malaysia memboikotnya, kemudian selahzah itu pula berbalik semula, saya terfikir selama manakah pula tiga produk ini akan mengalami nasib yang sama? Berjayakah kita memulaukan produk ini dengan minda sejumlah besar umat Islam terjajah oleh ghuzwatul fikr dari Yahudi sudah sekian abad walaupun bumi kita tidaklah gersang oleh produk Bumiputra? Harapnya, dan kita doakan - biarpun kita tidak upaya untuk setabah dan sekuat iman Bilal bin Rabah menanggung beratnya siksa batu di atas perutnya; didiklah iman kita mencegah kemungkaran dengan hati, itupun setelah kita hilang kudrat dan lidah!
Setiap kali rasa ingin meneguk Coca-Cola menggoda, cuba bayangkan suara "ummati.. ummati" Rasulullah dan setiap kali kita diajak atau ingin mengajak rakan ke Starbucks, ingatlah betapa seksanya Rasulullah menderita diracuni Yahudi. Dan pemboikotan ini bukanlah hanya kerana marahkan Yahudi menyerang Lebanon - kerana mungkin selepas mereka berambus dari Lebanon kita akan melanggani produk ini semula; tetapi kerana kita adalah ummah yang bijaksana.

Wednesday, August 09, 2006

Orang sastera dan AF4

Pada 4 Ogos 2006 saya dijemput oleh DBPWT untuk memberi ceramah Motivasi Karya dalam Khemah Sastera Terengganu. Saya berkongsi idea seputar "PENULIS ADALAH PEMIKIR: BERSEDIAKAH KITA?". Saya dimaklumkan peserta terdiri daripada guru, pelajar universiti dan kolej serta pelajar sekolah menengah. Kebanyakannya perempuan dan ada dua tiga orang yang sama-sama mengikuti Bengkel Penulisan Cerpen di Residence Resort, Paka, Dungun, Terengganu pada 7-9 Julai lepas (walaupun saya mengikuti bengkel novel, saya ingat mereka).
Bila saya tanya apakah berita terhangat di pasaran, rata-rata lelaki dan perempuan menjawab dan sesetengahnya bersok-sek tentang percintaan dan perkahwinan Siti Nurhaliza dan Datuk K. Lagi apa? Kisah remaja yang sosial, jawab mereka. Saya sengih sampai ke telinga. Dalam hati terfikir... "penatnya adik-adik ni jadi tukang fikir pasal kisah yang menjadi agenda utama negara. Tak lama lagi capailah matlamat nak jadi penulis yang berfikir!"
Masa rehat pula, saya bersembang dengan Cikgu Tuan Sharif Putera dan Hilmi Rindu. Cikgu Hilmi (sebenarnya beliau bukannya guru, tapi saya panggil cikgu sebab wajah beliau sesuai jadi cikgu) beritahu kami ada seorang penulis yang minat betul pada Faizal AF4 sehingga sanggup undi sms untuk bantu Faizal. Saya tanya Cikgu Hilmi, betulkah penulis itu undi? Betul! Jawab Cikgu Hilmi. Saya intai kiri-kanan, bimbang ada peserta yang dengar. Saya tiba-tiba teringat pada peha dan sayap ayam KFC yang dah lama saya tak makan kerana boikot, namun tiba-tiba pula rasa nak meleleh air liur sebaik mendengar berita tentang penulis yang mengundi membantu AF4.

Tuesday, August 08, 2006

Kembara di Tanah Gersang

Ahad, Ogos 06, 2006
Lagu ini saya minati sejak kecil lagi, ada auranya tersendiri. Seolah-olah mengheret saya ke sahara yang tak berpenghujung, di mana kita berada di antara garis langit yang tak tergapai dan horizon bumi yang tak tergali dasarnya. Dan kita hanya insan yang berkelana antara keduanya sementara menunggu dimensi lain yang bakal tiba apabila langit dan bumi bersatu - nanti di suatu masa
Kembara berjalan bersendirian
Mencari jalan pulang
Bilakah masanya embunkan menjelma
Di tanah gersang yang membakar
Alangkah pedihnya nasib kembara
Di tengah khatulistiwa
Tak siapa yang dapat menghilangkan dahaga
Namun tetap ia bertahan
Kami semua senasib dengan mu
Wahai kembara di tanah gersang
Mencari kebahagian dalam hidup
Menempuh berbagai rintangan yang ada
Namun bahagia masih impian
Kau masih berjalan di bawah sinar
Bulan bintang yang membimbingmu
Suatu hari kau kan bertemu
Sungai mengalir di taman indah
Nanti di suatu masa
posted by rozais al-anamy at
5:49 PM 1 comments