Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Thursday, October 16, 2008

Silent Cry

Hujan sedang turun dengan lebatnya. Saya sempat basah sewaktu berkejar dari kereta. Tiba-tiba jiwa rasa terkepit di antara helaian buku-buku yang tersusun di rak dan rasa hiba yang mendekam sejak jam 1.00 pagi tadi membuatkan saya benar-benar rasa seperti sedang mendaki ke langit. Dan saya mula menyelak helaian-helaian buku yang sempat dicapai. Sekeping kertas melayah jatuh. Entah tanggal berapakah saya menulisnya di nota usang ini.

Noble Art Creation
4.00 petang

Tentang Cinta 4

Cinta
telah melongkangkan seluruh jiwaku secara diam
dan membunuhku dalam senyap.

Monday, October 06, 2008

Tentang Cinta 3

Sepurnama kukutip bunga-bunga cinta
di taman Ramadhan
telah layu ia di fajar Syawal.

Oktober 6, 2008 (9.23 pagi)

Sunday, October 05, 2008

Tentang Cinta 2

Akulah kelekatu yang terbakar sayapnya
oleh api pesona cintamu
tergeletak di aspal kata.

Oktober 5, 2008 (7.53 pagi)

Monday, September 22, 2008

Kekasih, Sepurnama Bersama

Kekasih, setelah engkau pamit pergi
tinggallah aku sendirian edan kasmaran
mabuk untuk mereguk anggur cinta
dari aliran maghfirah yang sepurnama
mengalir dari puncak sucimu.

Tinggallah kini aku, kekasih
masih bermimpi malam-malam bersamamu
rahmat yang kau ucapkan pada awal kedatangan
masih ia kutatang dalam bejana ihsan.

Tinggallah kini aku, kekasih
masih meratap segugus keampunan
dari pohon hari lepas, kini dan depan
yang telah kau tanam pada dua pertiga bulan
yang kau titipkan buat bekalan
pada pertengahan pengembaraan ke muara salam.

Tinggallah kini aku, kekasih
masih melaung kalimah pembebasan
menuntut janji yang kau taburkan pada akhir ujian iman.

Dan aku, kekasih
tetap jua mengheret langkah sepanjang sungai rahmat
biarpun sesekali terseradung akar amarah
dalam mencari maghfirah di muara hurriyyah.

Sunday, September 14, 2008

Bila Malam Bertambah Kelam

Khas Untukmu Ubad,
SELAMAT ULANGTAHUN KEPUTERAAN (16 September)

Menatap bintang sedih di langit malam
bulan pun jadi biru
pada pandangan kalbu
dan jiwa ini hilang sinarnya.

Dan bila malam bertambah kelam
seribu kisah duka melintas mata
indera pun terdengar
titis hujan kenangan
jua ombak membenturi
karang kehidupan
dan tebing pilu yang menjulang
terdengar-dengar angin
dan badai keresahan
menampar bunga-bunga pagar
di halaman
dan dedaun rindu pun berserakan.

Namun kutahu hatimu
sentiasa tergantung di langit
cinta itu berputar-putar
di bawah sayap kerinduan
ke alam yang tinggi.

Hati dan perasaanmu
telah lama terbang meninggalkan dunia
meskipun jasad dan tubuh berada di bumi
sekeping rohmu sedang berenang di laut cinta.

Dan katamu
penilaian terhadap perhiasan dan harta benda dunia
tidak lebih dari nilai kerang yang kosong isinya.

* Benar katamu.. dunia makin porak peranda
kerana para pemuka bangsa
sedang berebut kuasa di merata buana.

Tentang Rakan 2

Sedekad telah kita meredah gelombang hidup
Kemarau dan hujan bersilih ganti
Terkadang lemas di sahara
Terkadang garing di pinggir oasis
Sejuk paksina dan dingin daksina kita harungi
dengan sejuta ketabahan.

Kita tetap tega menuruni lembah mehnah
Dan tabah mendaki bukit ujian
Dengan satu kalimah tauhid
Diiringi ikrar rafik.

Segugus janji tak mungkin dimungkiri
Setelah sepohon setia kita tanam di halaman cinta-Nya
Biarpun terkadang ranting-ranting persahabatan
telah cuba mereka patahkan
atau terkadang buah kesabaran mereka pecahkan.

Dan kita tetap tabah mengharung basah dan kering
kerana hati tidak akan pernah berbohong
dalam merisik rindu, mentafsir pilu.

Padang Embun, Pasir Mas
Ramadhan 9, 1426H (3.00 pagi)
September 9, 2008

Monday, September 08, 2008

Kekasih, Setahun Aku Teracun

Setahun aku teracun oleh bisa edan kasmaran
pesona cinta kekasih yang menyuakan madu asmara
dari empat penjuru alam
dari tujuh benua impian
terdamparlah akhirnya di pantai keakuan.

Lalu kau hadir menghulurkan penawar dalam terik mentari
angin beku di daksina dan paksina
letih dan resah yang basah menjerat lapar dan dahagaku
dalam jeritan yang tak tertahankan lagi
menggelepar dalam jaring waktu
dari terbit fajar hingga purnama mengucap salam.

Lapar dahagaku singgah di perut maghrib
bejana malam melimpahkan rona duniawi
kenyang menindih takbir
sebu menghentam tahmid
sengkak mendabrak tasbih
dan terawihku hanyut ke muara subuh
tahajud rebah lumpuh
rasa lapar ini ternyata belum cukup untuk sebuah rasa pasrah.

Setelah bertahun aku gagal mencintaimu
pagi ini, sebuah pesan menyentakkan lenaku
dalam mimpi malaikat menghunjam roh hitam ke kawah amarah
dan jasad legam oleh racun mazmumah.

Berjalan menuju pintumu, aku bersimpuh
berharap engkau menjemputku
hulurlah tanganmu, sambutlah lafazku
kerana tanpamu
setahun kalbuku teracun biru.

Thursday, September 04, 2008

Saya, Ayahanda & Puasa

Sedari dulu sehingga beberapa tahun sudah, saya memang menyedari kehadiran Ramadhan, paling kurang dua minggu sebelumnya. Bersedia menghitung hari, hingga pada hari rukyah. Yang paling seronok, bersama ahli keluarga menunggu depan televisyen seawal jam 8.00 malam untuk menunggu pengisytiharan tarikh permulaan puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu.

Lima minit sebelum pengumuman, kami berdebar-debar, bukan kerana terpaksa berpuasa keesokannya atau pada lusanya, tetapi bimbang tekaan tarikh yang dibuat tidak berpihak kepada diri sendiri. Saya dan terutamanya ayahanda, memilih tempat paling depan, menjadi penghulu kepada kesekian adik beradik yang lain, terdongak tidak berkalih pandangan. Hanya telinga mengawasi suara siapa yang paling tinggi, kelak akan dijerkah oleh kami berdua. Sungguh kurang sopan bising-bising di depan Penyimpan Mohor Besar, kata ayahanda. Saya pula akan angguk kepada setiap apa yang ayahanda tuturkan. Ya, mana boleh bising-bising pada detik paling bemakna!

Saya dan ayahanda sama-sama senyum. Senyum yang penuh makna, kerana kami sedang bertaruh – pertaruhan firasat siapa yang tepat. Namun selalunya, saya mempunyai firasat yang sama dengan ayahanda. Justeru adik-beradik yang lainlah menjadi lawan kami. Bonda pula hanya menerima… puasalah esok atau lusa pun.. bonda tak kisah asalkan lauk yang akan dimasak untuk sahur sudah dibeli.

Petua ayahanda, senang sahaja nak tahu sama ada puasa jatuh pada hari esok atau lusa. Kalau Penyimpan Mohor Besar senyum mesra, itu alamat puasa jatuh pada esok hari. Kalau mencuka dan macam orang kena cirit-birit rupanya, maka puasa akan jatuh lusa.

Cukup waktu, muncullah Penyimpan Mohor Besar yang siap berpakaian sepersalinan baju Melayu di kaca televisyen, begitu gah sekali, mengatur bicara satu persatu. Aduh… menyeksakan betul menunggu butiran kata tersusun rapi, yang itu-itu juga setiap tahun, yang berbeza hanya tarikh setiap kali diumumkan itu meletup keluar. Saya pandang ayahanda, ayahanda mengerling saya. Ayahanda tahu, hati saya membara untuk mencekah mulut Penyimpan Mohor Besar, menarik keluar tarikh yang dikehendaki oleh saya. Melihat saya yang sudah semacam, ayahanda biasanya akan kata.. kan Penyimpan Mohor tu dah senyum…

Adik-beradik lain yang memilih lusa sebagai tarikh puasa, sebaik sahaja dengar ulasan ketua rumah akan memprotes, mana boleh.. esok belum puasa! Bukankah kau paling malas puasa, buat apa sokong puasa esok. Kau dengan ayahanda sama, walhal kau dan ayahanda paling menyedihkan pada bulan puasa, mengalahkan mangsa kebuluran, gumam adik-beradik yang tidak puas hati.

Habis, kenapa Penyimpan Mohor Besar senyum.. macam ayahanda kata? Saya bangga, terasa kemenangan berpihak kepada kami berdua. Maka, akan ada kata-kata dari salah seorang dari mereka – Penyimpan Mohor Besar senyum sebab dia berpeluang makan satu hari lagi esok! Saya dan ayahanda berpandangan, menyembunyikan senyum bermakna.

Setelah pengumuman dibuat, kalau kemenangan tidak berpihak kepada kami, akan ada ulasan – memang yang pergi tengok anak bulan tu semuanya tua-tua, mana nak nampak anak bulan. Saya tolong tambah - macam mana nak nampak, masa anak bulan kelihatan mereka asyik borak. Adik-beradik lain akan mencebik pada saya. Sekiranya puasa ditakdirkan esok, maka saya mengalahkan ayahanda, gembira bukan kepalang – firasat kami boleh dipakai kira. Bukankah aku anak bapa, menelah jarang kesasar? Adik-adik mengumam.. esok kita tengok orang kebulur keluar biji mata!
Begitulah selalunya.

Tahun 2008, saya tak sempat berkumpul seperti biasa. Saya terpaksa bertolak dari Kuala Terengganu ke Pasir Mas pada 30 Ogos. Semasa menyalami ayahanda, ada pandangan yang penuh siratan terlempar oleh matanya. Saya kelu dan cepat-cepat beredar, terlupa untuk menceriakan suasana dengan pertanyaan – ayahanda teka puasa esok atau lusa?

Detik seterusnya, saya sibuk mengqada'kan urusan kerja. Saya sedang menghampiri KB Mall sewaktu ibu angkat @ jiran saya menelefon - puasa tak esok... kalau puasa, Cik (Cik ialah panggilan ibu kepada mereka yang berdarah raja) nak ke madrasah, bertarawih.

Hah! Malam ini pengumuman tarikh puasa? Saya teringatkan ayahanda, saya seakan-akan terlihat Penyimpan Mohor Besar yang sihat-walafiat tersenyum-senyum. Saya pandang sahabat di sisi.. malam ini malam pengumuman tarikh puasa! Habis, puasa tak esok? Saya kalut tanya pengunjung pusat beli-belah itu. Nasib baik ada yang terdengar perisytiharan itu.. sah esok puasa. Saya rasa macam mahu menangis. Saya cuba pandang ayahanda dengan jiwa, tak nampak bayangnya. Saya gagal masuk ke dalam suasana yang melingkungi saya selama ini.

Saya menapak terus ke arah pintu masuk KB Mall. Beberapa orang dari dalam kereta pelik merenung ke arah saya, pandangan yang sama seperti yang dilontarkan oleh adik-beradik saya selepas dijerkah saya setiap kali buat bising semasa menunggu detik pengumuman tarikh puasa. Pedulikan mereka, saya sedang diamuk kerinduan pada suasana bersama ayahanda.

Saya merenung kaki lima, hasta dan kaki, seinci dan kemudian ke kaki. Ya Allah, alas kaki saya! Terlopong. Kaki kanan beralaskan selipar Jepun kusam warna kuning, kaki kiri pula, alas kaki warna hitam beriben. Lantaklah. Saya teruskan langkah ke pusat beli-belah. Sahabat dan rakan di sebelah ketawa separuh pengsan. Untuk tidak memalukan mereka, saya jalan di depan dan jalan ala-ala Oshin. Setiap langkah diatur tak sampai setengah kaki jaraknya. Sungguh menyeksakan bagi orang yang lazimnya berjalan laju seperti saya. Beberapa orang remaja Cina di Chicken Rice Shop sempat mentertawakan saya. Pedulikan, esok puasa! Ayahanda, Selamat Berpuasa..

Tuesday, September 02, 2008

Kawan Yang Datang dan Pergi

Hari ini, 2 September 2008 – berakhirnya sambutan sebulan Hari Persahabatan Sedunia.

Dalam tempoh waktu yang singkat, ada kawan yang datang dan ada juga yang pergi. Datangnya yang tidak disangka-sangka setelah lama menyepi… dan perginya sebelum sempat ditanya apa sebabnya?

Yang datang sudah tentu dialu-alukan walaupun belum pasti apa tujuan, sekadar singgahan atau akan bertamu selamanya di kalbu. Yang pergi pula belum pasti ketemu lagi atau telah pergi selamanya dengan luka di jiwa.

Namun kepada yang pergi tanpa salam setelah jiwa kuberikan, terima kasih atas singgahan. Hanya sejambangan puisi yang tak sempat didendangkan ini jadi teman sepanjang perjalananmu dari kamar hati ini. Selamat pergi dengan tenang hati.

TAMU SEMALAM
Oleh Hashim Yaacob

Tamu kuyup semalam
yang datang di lebat hujan
kuberi makan,
persalinan dan tilam untuk bermalam.

Bila reda hujan dia menghilang
ditinggalkannya padaku
sebilah belati
tercacak pada hati.

Kumpulan Puisi-Puisi Remaja
“Aku Hanya Mahu Ke Seberang”
Task Global (M) Sdn Bhd, 2001

Friday, August 22, 2008

Untukmu Kawan

Saya melilau mencari kawan dalam taman blogspot pada suatu petang yang sepi… lalu terdampar ke rumah maya abahmuizz.com. Kuntuman kata-kata yang juga dipetik oleh beliau dari sebuah laman turut menyentuh hati saya.

Dan sempena bulan persahabatan yang masih bersisa beberapa hari lagi ini, saya petik rangkaian kata tersebut untuk dihiasi di laman ini dengan sedikit suntingan bahasa untuk dikongsi bersama... kerana kadangkala secara sedar atau tidak, kita sering memahkotakan keegoaan dalam melestarikan ikatan persahabatan.

Moga ia jadi embun pada sekeping hati yang gersang,
atau jadi oasis pada perasaan yang kontang.

Kawan
bila rasa ingin menangis hubungilah aku
aku takkan suruh kau berhenti menangis
tapi...aku akan kata, "aku ingin menangis dengan kau
tapi tak boleh lama sangat, nanti habis air mata aku".

Kawan
jika terasa nak larikan diri jauh dari masalah yang menyelubungi
maklumkan aku, aku takkan halang kau
tapi... aku akan kata, "berlarilah bersama aku
untuk kau lupakan sementara masalah
cuma jangan terlalu laju, aku tak larat nak kejar
kaki aku pendek."
Dan lepas itu aku juga akan kata
"Kau tak boleh selamanya lari dari masalah, hadapi ia."

Kawan
jika kau kecewa keluargamu tak bahagia, beritahulah aku
aku takkan minta kau benci pada keluargamu
tapi… aku akan kata, "Kajilah punca kekecewaanmu,
dan paling penting, terimalah segala ketentuan Allah..."

Kawan
jika kau kecewa dengan hubungan kawan kau itu satu hari nanti
ceritalah pada aku, aku takkan memburukkan dia
tapi aku akan kata, "cubalah letakkan diri kau ke dalam dirinya,
dan kau akan mengerti..."

Tetapi kawan
jika suatu hari aku berdiam diri
aku tak balas sms kau, aku tak angkat panggilan dari kau
hubungilah aku segera (melalui emel ke, surat ke)
sebab waktu itu aku
ermmm...
aku sangat perlukan kau (dan aku malu untuk mengakuinya),

atau mungkin...
aku telah kekal bersemadi
di ruang nan dalam dan sepi.

Monday, August 11, 2008

Tautan Erat Sahabat

Setiap kali bersua bulan persahabatan, saya sering teringatkan puisi Zanazanzaly berkenaan prinsip persahabatan. Saya petik sekuntum puisi dari taman tintanya sempena Bulan Persahabatan ini.

Tangisan sahabat kepada sahabat
bukan boleh dibuat-buat
sahabat menangisi sahabat
kerna wujud pertautan yang erat
pertautan erat lagi keramat
kurniaan Tuhan Rabbul Izzat
jika tidak,
masa kan Jebat mengamuk dahsyat
lantaran Tuah difitnahkhianat
walau Jebat digelar keparat
tangisan Tuah tak sejat-sejat
kerna Tuah sedar Jebat lah adijagat,
kerna Tuah sedar Jebat lah… SAHABAT.

Thursday, August 07, 2008

Tangisan Bulan Madu - Suatu Adegan Yang Menjengkelkan

Semalam, saya tengok drama Tangisan Bulan Madu. Kali pertama saya menontonnya. Novelnya telah saya baca semasa di Pusat Matrikulasi UIAM, Lembah Pantai. Saya pun lupa jalan ceritanya, Cuma yang masih ingat nama watak utamanya, Bogatt dan Amira. Dan lagi.. saya ingat Amira jadi janda berhias selepas kematian Bogatt. Habis.

Setelah menonton drama yang diadaptasi ini, saya tidak lena tidur kerana geram dan tidak puas hati dengan adegan Amira “menerima” Bada, suami keduanya selepas Bogatt, sewaktu Bada bertanyakan tempat tidurnya (tilam yang disimpan di bawah katil) kepada Amira. Sebelum ini Bada tidur di atas tilam tersebut, di tepi katil Amira setiap malam sejak berkahwin. Tapi selepas Amira rasa tersentuh oleh kebaikan Bada yang sanggup menolongnya menghidupkan kembali butik yang penuh kenangan dengan Bogatt dengan cara memberi sejumlah wang yang banyak kepada Amira, dia lantas memikirkan untuk “berkongsi katil” dengan Bada.

Apa yang menyebabkan saya “putus angin” ialah cara Amira menjawab sewaktu Bada bertanyakan tilam tersebut. Saya tak ingat dialognya, tapi adegan itu lebih kurang begini:

Bada tanya di mana tilamnya. Amira jawab, dia simpan.
Bada tanya lagi.. Habis abang nak tidur di mana.
Amira jawab, tidur di sini.. sambil tepuk katilnya,
dan dia sedang bersimpuh di birai katil.
Bada terkelip-kelip dan merenung Amira, masih lagi di tepi katil.
Amira pun mula minta maaf atas kesilapan dan dosanya menyeksa batin Bada selama ini. Habis

Huh! Begitu saja adegan yang sepatutnya sangat romantik berakhir. Tak tahulah saya pada siapa saya patut geram. Tapi saya fikir bukan pada penulis novel, kerana bila sudah diadaptasi, sebahagian besar dialog dan isinya telah diubah oleh penulis skrip atau divisualkan mengikut citarasa pengarah.

Pendeknya, saya berasa amat tidak puas hati dengan adegan tersebut. Rasa macam jakun sangat. Rasa betapa tidak romantiknya orang Melayu bermesra. Ahh! Macam bodoh pula. Yerk!

Tidak bolehkah kalau ia digarap begini.
Bada mencari-cari tilamnya di bawah katil,
Amira pula cari gaun tidur dalam almari.
Bada tanya Amira, “Mana “katil” saya?” (tekankan perkataan katil)
Amira akan jawab, “Saya dah jual”
(sambil salin baju kurungnya kepada gaun tidur, dan sembur minyak wangi)
Kemudian Bada akan tanyalah.. “Habis abang nak tidur di mana?”
Amira boleh jawab, “Tak muat lagi ke katil kita sebesar ini?”
Sambil raba-raba cadar di sebelah kanan posisinya dan senyum bermakna pada Bada.
Dan Bada tak payah tanya apa-apa lagi.. senyum dan tutup lampu.

Semudah itu sahaja. Tak payahlah nak berceramah atau membazirkan air liur untuk minta maaf dari Bada pada malam itu juga.

Esoknya, tulislah nota atas kertas merah pada Bada, minta maaf atas apa yang berlaku selama ini. Apa yang terbuku dalam hati, rasa berdosa sebab tak layan Bada selama ini dan sebagainya. Macam gitu tak boleh ke? Penat saya tengok dialog Amira minta maaf secara didaktik itu. Menjengkelkan!

Friday, August 01, 2008

Bulan Persahabatan

Sahabatku Zanazanzaly,Salam Ulangtahun Persahabatan Ke-12.Sesungguhnya, tanpamu
langit itu terlampau luas
bagi helang seperti aku.

Kepada mereka yang mempunyai sahabat, sempena 1 Ogos 2008 ini saya ucapkan “Salam Hari Persahabatan”.

Dan dalam bulan persahabatan ini, saya doakan kepada mereka yang masih keseorangan tanpa SAHABAT (bukan kawan, kenalan, teman tapi mesra, dsb), semoga bertemu seseorang yang boleh menjadi cermin kepada dirinya, teman jiwa dan rakan muhasabah diri. Sesungguhnya sahabat itu adalah ubat yang paling pahit untuk segala penyakit jiwa.

"Semoga bertemu sahabat jiwa!"

Tuesday, July 29, 2008

Menjejak Sahabat

Telah sedekad aku lelah mencarimu, sahabat
hingga bulan pun hampir suram cahaya
dan mentari enggan menebar sinarnya.

Dan aku saban hari serak memanggil
- namamu Zalifah Rozalina
masih dicatat malaikatkah namanya
atau telah gugur daun hayatnya?

Berikanlah sebuah noktah
pada pencarian yang belum bertanda.

Tentang Rakan 1

Hari ini kuseluruhi diriku
dalam cermin seorang rakan
kelihatan cacat-cela pada rupa
tiada hakikat dalam jiwa.

Kutanya seorang sahabat
bagaimana mengindahkan rupa
apa petua menghidupkan jiwa
dalam redup mata dia berpesan
- jauhi khianat, jahat dan tamak haloba.

Monday, July 28, 2008

Tentang Cinta 1

Tuhan,
Jika kutahu betapa peritnya bercinta
pasti kuminta dilahirkan tanpa jiwa!

Monday, July 21, 2008

Pencarian Yang Berkesudahan

  • Alhamdulillah, keresahan saya selama sepuluh bulan berakhir hari ini apabila Google Account dan Password saya jumpai terselit dalam sebuah diari lama. Selama tempoh menyeksakan itu, saya tetap mencari dan mencari. Beberapa orang sahabat yang mengalami nasib serupa menyarankan agar saya membina blog baru untuk menggantikan kehilangan itu. Saya angguk, namun dalam hati berazam untuk tetap meneruskan pencarian saya. Saya mahu setia pada blog pertama saya itu. Benarlah, cinta pertama tidak akan luput dan sirna walau dengan sejuta mehnah dan tribulasi.
  • Terima kasih tidak terhingga kepada rakan-rakan yang sentiasa prihatin dengan "kesihatan" blog ini. Sesungguhnya memang ia sakit dalam tempoh sepuluh bulan. Harapan untuk sihat semula tipis, tapi saya tetap yakin ia akan sembuh jua. Hanya perlukan usaha dan sedikit kesabaran.
  • Kepada Zanazanzaly... Syukran jazilan atas semangat untuk teruskan pencarian.
  • Kepada Salman... Memang kamu selalu menyucuh obor penulisan.
  • Kepada Dahri... Terima kasih atas ingatan tentang perlunya meneruskan hayat blog.
  • Kepada Ana Balqis... Aku tak nak beranak seorang lagi.. sakit!
  • Kepada Mr. Zulkarnain (Majupoint Bina Corporation SB)... Thanks for your effort! I do appreciate it.
  • Kepada Nany Razaly... aku dah pulih dari sakit lupa.. hehe.

Monday, September 10, 2007

Saman kerana status janda

Peguam India Malaysia saman Britain RM13 trilion
Berita ini dipetik dari Utusan Malaysia, 10 September 2007
WASHINGTON 9 Sept. – Seorang peguam hak asasi manusia dari Malaysia memfailkan tuntutan saman AS$4 trilion (RM13.6 trilion) terhadap Britain kerana kekejaman yang didakwa dialami oleh kaum India yang nenek moyang mereka dibawa ke Malaysia sebagai buruh kontrak pada zaman penjajah.
Peguam tersebut, Ponnusamy Waytha Moorthy memberitahu, saman yang difailkan di London minggu lepas menuntut ganti rugi sejuta pound (RM6.8 juta) bagi setiap seorang daripada kira-kira dua juta keturunan India di Malaysia.
“Tuntutan besar ini menggambarkan kesakitan, penderitaan, penghinaan, diskriminasi dan penjajahan berterusan selama bertahun-tahun di bawah kerajaan Malaysia sekarang.
“Ia juga bertujuan memperlihatkan kecuaian dan kegagalan kerajaan Britain kerana tidak memaktubkan hak-hak kaum minoriti India dalam perlembagaan semasa mereka memberi kemerdekaan kepada Malaysia,” katanya.
Ramai rakyat India dibawa ke Malaysia dari selatan India sebagai buruk kontrak oleh penjajah British tetapi keturunan mereka “ditinggalkan dalam keadaan terbiar” apabila kuasa penjajah itu meninggalkan Malaysia, katanya,.
“Kaum India Malaysia telah diasingkan, didiskriminasi dan dipinggirkan di samping mengalami penganiayaan bentuk lain,” dakwa peguam itu.
– AFP

Sebaik membaca berita ini, saya teringat kepada seorang peguam yang pernah meminta khidmat guaman untuk menyaman bekas suaminya kerana memberi gelaran "janda" kepadanya. Katanya jika suaminya itu tidak menceraikannya, sudah tentu gelaran itu tidak diberi kepadanya, dan kerana gelaran itulah dia dipandang serong oleh masyarakat. Sedih juga saya mendengar keluhan kawan saya itu setiap kali dia bercerita tentang masalah hidupnya setelah bergelar janda. Macam-macam tuduhan dilemparkan padanya (memang dia berpakaian alamaklah seksi).

Mutakhir saya dimaklumkan rakan saya yang mengendalikan kesnya, nasib tidak menyebelahi pihak plaintif. Dan terbaharu, saya dapat tahu dia telah pun bertemu jodoh. Syukur, terhapuslah gelaran janda yang menyeksanya itu.

Thursday, June 14, 2007

Balada Hilang Batu

Berkurun lamanya
aku mencari batuku yang hilang
di tanah Jawi ini
hingga aku tak mampu bersujud
di bawah panji dua belas.

Hari ini kutemui

Batu dalam celanaku.