Menoleh sejarah, runtuhnya sesuatu kerajaan kebanyakannya berpunca dari pengkhianatan dalaman yang sering membantu pihak luar atas. Demi harta, pangkat dan kuasa untuk kepuasan diri sendiri, sesebuah kumpulan atau secara individu, mereka ini rela menikam sesama sendiri, atau menjadi tukang buka pintu kepada pencerobohan luar.
Sejarah akan berulang andai sesuatu bangsa keliru membaca sejarah yang banyak dipesongkan musuh, atau tidak menjadikan sejarah sebagai panduan meniti masa depan yang penuh makar dan fitnah. Salah satu pengkhianatan yang berlaku dalam sejarah ialah kemunafikan yang berlaku dalam kalangan bangsa Melayu dalam peristiwa perjuangan Raja Haji Fisabilillah.
Apabila jatuhnya Melaka, seluruh umat Islam bersatu, termasuk kerajaan Acheh dan Uthamiyyah datang untuk membebaskan Melaka. Namun usaha ini gagal kerana terdapatnya pengkhianat dari kerajaan Johor, Pahang, Lingga, Riau yang sanggup bersama dengan Portugis mempertahankan Melaka atas sebab kepentingan masing-masing.
Apabila Melaka diambil alih oleh Belanda pula, semua ulama’ telah bersatu-padu melantik Raja Haji Fisabilillah untuk menjadi komander besar seluruh Alam Melayu menentang Belanda. Beliau mengumpulkan seluruh tentera di Asia Tenggara untuk menentang Belanda, tetapi dalam tentera tersebut, terdapat mereka yang telah diberi rasuah oleh Belanda (yang disebut sebagai wajah Melayu berhati Belanda dalam tulisannya).
Kerana pengkhianatan itu juga akhirnya beliau terkorban syahid di Teluk Ketapang, Telok Mas, Melaka. Sebelum syahid beliau sempat meninggalkan warkah yang menjangkakan perkara pengkhianatan itu telahpun beliau sedari berbunyi;
“Maka pada hari ini, tanggal 19 Rajab 1198 Hijrah bersamaan dengan 17 Jun 1784, di Tanjung Palas Teluk Ketapang inilah warkah yang tertulis. Warkah ini kutulis atas sejadah, mengadap kiblat dalam keadaan berwuduk setelah selesai solat dan doa panjang untuk sekalian umat Melayu. Al-Qurán di sebelah kananku, kitab Dala-il Khairat di sebelah kiriku. Badik pusaka di pinggangku. Sungguh demikian, aku amat menyedari bahawa terdapat di kalangan armada perang Melayu yang aku satukan dan pimpin ini terdapat golongan Melayu yang menjadi musuh dalam selimut: berwajah Melayu berhati Belanda. Usahlah ditanya bagaimana aku mengetahuinya kerana tahu di angin turun naik.
Apabila Allah menghendaki terjadi sesuatu perkara, maka tiada siapa pun yang dapat mengelaknya. Biar sahaja mereka masuk menyelinap ke dalam kubu kami dan mengepung aku. Syak fasik, yakin salih, batulah yang jadi juadah! Nah, wahai si munafik! Aku sesekali tidak pernah takut kepada kalian. Marilah kita berdepan sebagai lelaki Melayu yang sejati. Engkau kendonglah panji perjuanganmu. Aku junjung panji perjuanganku! Nyawa kita di tangan Allah. Matiku di medan perang ini, tandanya sentiasalah aku hidup di sisi Allah. Matimu di medan perang, tandanya celakalah engkau di Akhirat nanti.
Maka Maha Adillah Allah Taala sebagaimana terdapat golongan yang munafik dan petualang bangsa, akan ada golongan di kalangan umat Melayu sesudah kami yang akan menyambung perjuangan kami. Maka sambutlah panji perjuangan kami dengan penuh harga diri. Dalam hati merekalah aku hidup dan menjadi cita-cita mereka pula mati kerana berjuang. Semangat mereka menyerupai kami, walaupun bilangan mereka tidak seramai bilangan munafik dan petualang.”
Sewaktu para pejuang yang setia bersama Raja Haji sedang mendirikan solat, pengkhianat bangsa dan agama yang turut sama solat tersebut bangkit dari sujud tatkala imam dan jamaah lain masih berada dalam sujud yang panjang, lalu mereka secara baculnya menancapkan pisau di belakang antara mereka sehingga syahid.
Raja Haji juga sempat menulis pada akhir warkahnya, sekiranya perjuangannya itu benar, semoga Allah mengekalkan tulisannya itu dan membutakan mata orang Belanda daripada menjumpai warkah ini, supaya warkahnya itu sampai kepada seluruh umat Melayu pada generasi mendatang.
Secuit kisah perjuangan dan pengkhianatan Melayu dalam kisah Raja Haji ini sepatutnya menyedarkan umat Melayu yang kini keliru, memilih pihak yang sepatutnya disokong dalam memartabatkan kembali kedaulatan umat Melayu yang pernah gemilang bermula di Champa suatu ketika dahulu.
Cyberjaya, Julai 19, 2018
Sumber: Malayonesia: Suatu Pencerahan Prof Madya Dr. Mat Rofa (https://www.youtube.com/watch?v=sTLtcaUKVRM)