Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Saturday, February 22, 2014

Sebaris Kata Dari Benua Salju



 

Saya menerima suatu pernyataan daripada seorang rakan lama, yang jauh di perantauan.

You at your novel (baca: karya) so dif rocky.. still trying to put it together as same person”. 

Kata-katanya meluru terjun ke sukma, bagai aliran sungai deras yang bertimpa ke juram. Saya bahagia, bukan hanya ditujukan kata yang menunjukkan dia menyedari sesuatu tentang saya dalam sejumlah keriuhan rakan-rakan kami yang lain, tetapi lebih kerana kagum; setelah lama berkelana di negara yang berlainan budaya, jiwanya masih seni dan mempunyai rasa.

Saya fikir untuk menuturkan ayat tersebut, seseorang itu pasti mempunyai elemen seni dan yang boleh memahami sesuatu yang juga seni (baca: sehalus halus perkara), suatu pemerhatian yang sangat seni dalam sebuah keriuhan.

Benar, jawab saya. Penulis selalunya mempunyai dua atau lebih dunia berbeza, namun bukanlah mereka ini menghidapi split personality. Ada penulis yang kelihatan sangat puitis, romantis dan sensitif dalam karyanya, namun di luar sangat berbeza. Kasar dan suka membuat jenaka tanpa mengira batas waktu, atau beliau seorang wanita yang sangat polos dan membosankan untuk dijadikan isteri atau lekaki yang sangat menjengkelkan untuk dibuat suami. Ada seniman yang melarikan diri dari dunia luar untuk menemui dirinya di dalam dunia seni, dan ada pula sebaliknya. Bergantung kepada watak sebenar dirinya.

Ramai pula yang memang sejalur dengan karyanya, namun terlalu berbeza pada penglihatan ramai kerana cuba menyerap ke dalam masyarakat. Mungkin tidak mahu dilabelkan sebagai bohemian dan cuba memasyarakatkan karya. Buat apa berkarya andai karya itu karya kamar yang hanya diri sendiri memahami atau dibaca segelintir rakan sesama bidang? Terpulang kepada matlamat berkarya. Justeru itulah polemik seni untuk seni atau seni untuk masyarakat tidak pernah berkesudahan.

Terkadang pula, seniman ingin sembunyi dan menjadi introvert dengan cara melompat ke dalam dunia seninya. Kebanyakan masa, seniman mahu bersepi sendiri dan menjauhi ruang yang riuh untuk melepas lelah – dari tuntutan dunia yang sentiasa menjarah rasa tenang dan bahagia. Ya, dalam dunia inilah mereka boleh menghitung diri, menilai rasa dan menjana semula  nilai jati diri yang mungkin sedikit demi sedikit terhakis oleh hambatan kehidupan. Maka ruang inilah dijadikan ruang escapism untuk mereka.

Maka tidak hairanlah, terlahirnya karya yang diinginkan rasa dan jiwa seniman. Apa yang terhasil itu adalah impian yang mungkin sentiasa diimpikan atau sebagai doa supaya ia menjadi realiti, atau sebuah harapan yang dibina indah hanya melalui karya kerana sangat yakin ia tak mampu terhasil dalam dunia sebenar. Maka terhasillah karya yang jika dinilai dan diamati adalah pengkisahan tentang diri sendiri atau apa sahaja kejadian yang menimpa diri. Teori psikoanalisis ini terkadang berupaya menelanjangkan seniman, jika mereka tidak mampu menjaga rahsia atau misteri hidup dari pengetahuan umum.

Bagi segelintir seniman yang menyedari ‘bahayanya’ teori ini, mereka cuba membentuk watak berbeza dalam dunia luar untuk mengaburi para pengkritik supaya tidak dapat menjejak sisi kehidupan sebenar yang sangat kontras dengan karyanya. Tidak semua karya romantik dan melankolik itu lahir dari pengkarya yang sangat lembut, tawaduk dan sopan santun wataknya, dan sebaliknya. Malah saya pernah rasa tertipu oleh sebuah blog penulis yang sangat tawadhuk dengan aktiviti sehariannya yang kelihatan sangat Islamik, namun pada hakikatnya beliau merupakan seorang yang sangat berbeza dengan sifat karyanya.

Ramai yang terkeliru tatkala melihat sisi lain penulis atau seniman yang dikaguminya. Rasa keliru itu akhirnya membawa rasa kecewa atas kekagumannya selama ini. Bukanlah seniman itu sesuampah yang pandai menukar warna, namun – ada masanya mereka harus ‘menyamar’ untuk menjadi manusia yang ‘normal’. Seingat saya, dua nama besar yang saya ingat; yang tiada garis penyamaran itu hanyalah Fyodor Mikhailovich Dostoyevsky dan Vincent Willem van Gogh. Watak sebenar Dostoyevsky terserlah dalam novel Crime and Punishment, dan kita melihat kesunyian van Gogh melalui palitan berusnya di sebalik The Starry Night.

Terima kasih kepada rakan yang jauh, yang memberi sebuah ilham untuk menyapu sawang di blog saya hari ini.

Salam terima kasih dari jauh,

Rozais - Jalan Perdana, Kuala Lumpur
Februari 22, 2014