Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Monday, September 22, 2008

Kekasih, Sepurnama Bersama

Kekasih, setelah engkau pamit pergi
tinggallah aku sendirian edan kasmaran
mabuk untuk mereguk anggur cinta
dari aliran maghfirah yang sepurnama
mengalir dari puncak sucimu.

Tinggallah kini aku, kekasih
masih bermimpi malam-malam bersamamu
rahmat yang kau ucapkan pada awal kedatangan
masih ia kutatang dalam bejana ihsan.

Tinggallah kini aku, kekasih
masih meratap segugus keampunan
dari pohon hari lepas, kini dan depan
yang telah kau tanam pada dua pertiga bulan
yang kau titipkan buat bekalan
pada pertengahan pengembaraan ke muara salam.

Tinggallah kini aku, kekasih
masih melaung kalimah pembebasan
menuntut janji yang kau taburkan pada akhir ujian iman.

Dan aku, kekasih
tetap jua mengheret langkah sepanjang sungai rahmat
biarpun sesekali terseradung akar amarah
dalam mencari maghfirah di muara hurriyyah.

Sunday, September 14, 2008

Bila Malam Bertambah Kelam

Khas Untukmu Ubad,
SELAMAT ULANGTAHUN KEPUTERAAN (16 September)

Menatap bintang sedih di langit malam
bulan pun jadi biru
pada pandangan kalbu
dan jiwa ini hilang sinarnya.

Dan bila malam bertambah kelam
seribu kisah duka melintas mata
indera pun terdengar
titis hujan kenangan
jua ombak membenturi
karang kehidupan
dan tebing pilu yang menjulang
terdengar-dengar angin
dan badai keresahan
menampar bunga-bunga pagar
di halaman
dan dedaun rindu pun berserakan.

Namun kutahu hatimu
sentiasa tergantung di langit
cinta itu berputar-putar
di bawah sayap kerinduan
ke alam yang tinggi.

Hati dan perasaanmu
telah lama terbang meninggalkan dunia
meskipun jasad dan tubuh berada di bumi
sekeping rohmu sedang berenang di laut cinta.

Dan katamu
penilaian terhadap perhiasan dan harta benda dunia
tidak lebih dari nilai kerang yang kosong isinya.

* Benar katamu.. dunia makin porak peranda
kerana para pemuka bangsa
sedang berebut kuasa di merata buana.

Tentang Rakan 2

Sedekad telah kita meredah gelombang hidup
Kemarau dan hujan bersilih ganti
Terkadang lemas di sahara
Terkadang garing di pinggir oasis
Sejuk paksina dan dingin daksina kita harungi
dengan sejuta ketabahan.

Kita tetap tega menuruni lembah mehnah
Dan tabah mendaki bukit ujian
Dengan satu kalimah tauhid
Diiringi ikrar rafik.

Segugus janji tak mungkin dimungkiri
Setelah sepohon setia kita tanam di halaman cinta-Nya
Biarpun terkadang ranting-ranting persahabatan
telah cuba mereka patahkan
atau terkadang buah kesabaran mereka pecahkan.

Dan kita tetap tabah mengharung basah dan kering
kerana hati tidak akan pernah berbohong
dalam merisik rindu, mentafsir pilu.

Padang Embun, Pasir Mas
Ramadhan 9, 1426H (3.00 pagi)
September 9, 2008

Monday, September 08, 2008

Kekasih, Setahun Aku Teracun

Setahun aku teracun oleh bisa edan kasmaran
pesona cinta kekasih yang menyuakan madu asmara
dari empat penjuru alam
dari tujuh benua impian
terdamparlah akhirnya di pantai keakuan.

Lalu kau hadir menghulurkan penawar dalam terik mentari
angin beku di daksina dan paksina
letih dan resah yang basah menjerat lapar dan dahagaku
dalam jeritan yang tak tertahankan lagi
menggelepar dalam jaring waktu
dari terbit fajar hingga purnama mengucap salam.

Lapar dahagaku singgah di perut maghrib
bejana malam melimpahkan rona duniawi
kenyang menindih takbir
sebu menghentam tahmid
sengkak mendabrak tasbih
dan terawihku hanyut ke muara subuh
tahajud rebah lumpuh
rasa lapar ini ternyata belum cukup untuk sebuah rasa pasrah.

Setelah bertahun aku gagal mencintaimu
pagi ini, sebuah pesan menyentakkan lenaku
dalam mimpi malaikat menghunjam roh hitam ke kawah amarah
dan jasad legam oleh racun mazmumah.

Berjalan menuju pintumu, aku bersimpuh
berharap engkau menjemputku
hulurlah tanganmu, sambutlah lafazku
kerana tanpamu
setahun kalbuku teracun biru.

Thursday, September 04, 2008

Saya, Ayahanda & Puasa

Sedari dulu sehingga beberapa tahun sudah, saya memang menyedari kehadiran Ramadhan, paling kurang dua minggu sebelumnya. Bersedia menghitung hari, hingga pada hari rukyah. Yang paling seronok, bersama ahli keluarga menunggu depan televisyen seawal jam 8.00 malam untuk menunggu pengisytiharan tarikh permulaan puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu.

Lima minit sebelum pengumuman, kami berdebar-debar, bukan kerana terpaksa berpuasa keesokannya atau pada lusanya, tetapi bimbang tekaan tarikh yang dibuat tidak berpihak kepada diri sendiri. Saya dan terutamanya ayahanda, memilih tempat paling depan, menjadi penghulu kepada kesekian adik beradik yang lain, terdongak tidak berkalih pandangan. Hanya telinga mengawasi suara siapa yang paling tinggi, kelak akan dijerkah oleh kami berdua. Sungguh kurang sopan bising-bising di depan Penyimpan Mohor Besar, kata ayahanda. Saya pula akan angguk kepada setiap apa yang ayahanda tuturkan. Ya, mana boleh bising-bising pada detik paling bemakna!

Saya dan ayahanda sama-sama senyum. Senyum yang penuh makna, kerana kami sedang bertaruh – pertaruhan firasat siapa yang tepat. Namun selalunya, saya mempunyai firasat yang sama dengan ayahanda. Justeru adik-beradik yang lainlah menjadi lawan kami. Bonda pula hanya menerima… puasalah esok atau lusa pun.. bonda tak kisah asalkan lauk yang akan dimasak untuk sahur sudah dibeli.

Petua ayahanda, senang sahaja nak tahu sama ada puasa jatuh pada hari esok atau lusa. Kalau Penyimpan Mohor Besar senyum mesra, itu alamat puasa jatuh pada esok hari. Kalau mencuka dan macam orang kena cirit-birit rupanya, maka puasa akan jatuh lusa.

Cukup waktu, muncullah Penyimpan Mohor Besar yang siap berpakaian sepersalinan baju Melayu di kaca televisyen, begitu gah sekali, mengatur bicara satu persatu. Aduh… menyeksakan betul menunggu butiran kata tersusun rapi, yang itu-itu juga setiap tahun, yang berbeza hanya tarikh setiap kali diumumkan itu meletup keluar. Saya pandang ayahanda, ayahanda mengerling saya. Ayahanda tahu, hati saya membara untuk mencekah mulut Penyimpan Mohor Besar, menarik keluar tarikh yang dikehendaki oleh saya. Melihat saya yang sudah semacam, ayahanda biasanya akan kata.. kan Penyimpan Mohor tu dah senyum…

Adik-beradik lain yang memilih lusa sebagai tarikh puasa, sebaik sahaja dengar ulasan ketua rumah akan memprotes, mana boleh.. esok belum puasa! Bukankah kau paling malas puasa, buat apa sokong puasa esok. Kau dengan ayahanda sama, walhal kau dan ayahanda paling menyedihkan pada bulan puasa, mengalahkan mangsa kebuluran, gumam adik-beradik yang tidak puas hati.

Habis, kenapa Penyimpan Mohor Besar senyum.. macam ayahanda kata? Saya bangga, terasa kemenangan berpihak kepada kami berdua. Maka, akan ada kata-kata dari salah seorang dari mereka – Penyimpan Mohor Besar senyum sebab dia berpeluang makan satu hari lagi esok! Saya dan ayahanda berpandangan, menyembunyikan senyum bermakna.

Setelah pengumuman dibuat, kalau kemenangan tidak berpihak kepada kami, akan ada ulasan – memang yang pergi tengok anak bulan tu semuanya tua-tua, mana nak nampak anak bulan. Saya tolong tambah - macam mana nak nampak, masa anak bulan kelihatan mereka asyik borak. Adik-beradik lain akan mencebik pada saya. Sekiranya puasa ditakdirkan esok, maka saya mengalahkan ayahanda, gembira bukan kepalang – firasat kami boleh dipakai kira. Bukankah aku anak bapa, menelah jarang kesasar? Adik-adik mengumam.. esok kita tengok orang kebulur keluar biji mata!
Begitulah selalunya.

Tahun 2008, saya tak sempat berkumpul seperti biasa. Saya terpaksa bertolak dari Kuala Terengganu ke Pasir Mas pada 30 Ogos. Semasa menyalami ayahanda, ada pandangan yang penuh siratan terlempar oleh matanya. Saya kelu dan cepat-cepat beredar, terlupa untuk menceriakan suasana dengan pertanyaan – ayahanda teka puasa esok atau lusa?

Detik seterusnya, saya sibuk mengqada'kan urusan kerja. Saya sedang menghampiri KB Mall sewaktu ibu angkat @ jiran saya menelefon - puasa tak esok... kalau puasa, Cik (Cik ialah panggilan ibu kepada mereka yang berdarah raja) nak ke madrasah, bertarawih.

Hah! Malam ini pengumuman tarikh puasa? Saya teringatkan ayahanda, saya seakan-akan terlihat Penyimpan Mohor Besar yang sihat-walafiat tersenyum-senyum. Saya pandang sahabat di sisi.. malam ini malam pengumuman tarikh puasa! Habis, puasa tak esok? Saya kalut tanya pengunjung pusat beli-belah itu. Nasib baik ada yang terdengar perisytiharan itu.. sah esok puasa. Saya rasa macam mahu menangis. Saya cuba pandang ayahanda dengan jiwa, tak nampak bayangnya. Saya gagal masuk ke dalam suasana yang melingkungi saya selama ini.

Saya menapak terus ke arah pintu masuk KB Mall. Beberapa orang dari dalam kereta pelik merenung ke arah saya, pandangan yang sama seperti yang dilontarkan oleh adik-beradik saya selepas dijerkah saya setiap kali buat bising semasa menunggu detik pengumuman tarikh puasa. Pedulikan mereka, saya sedang diamuk kerinduan pada suasana bersama ayahanda.

Saya merenung kaki lima, hasta dan kaki, seinci dan kemudian ke kaki. Ya Allah, alas kaki saya! Terlopong. Kaki kanan beralaskan selipar Jepun kusam warna kuning, kaki kiri pula, alas kaki warna hitam beriben. Lantaklah. Saya teruskan langkah ke pusat beli-belah. Sahabat dan rakan di sebelah ketawa separuh pengsan. Untuk tidak memalukan mereka, saya jalan di depan dan jalan ala-ala Oshin. Setiap langkah diatur tak sampai setengah kaki jaraknya. Sungguh menyeksakan bagi orang yang lazimnya berjalan laju seperti saya. Beberapa orang remaja Cina di Chicken Rice Shop sempat mentertawakan saya. Pedulikan, esok puasa! Ayahanda, Selamat Berpuasa..

Tuesday, September 02, 2008

Kawan Yang Datang dan Pergi

Hari ini, 2 September 2008 – berakhirnya sambutan sebulan Hari Persahabatan Sedunia.

Dalam tempoh waktu yang singkat, ada kawan yang datang dan ada juga yang pergi. Datangnya yang tidak disangka-sangka setelah lama menyepi… dan perginya sebelum sempat ditanya apa sebabnya?

Yang datang sudah tentu dialu-alukan walaupun belum pasti apa tujuan, sekadar singgahan atau akan bertamu selamanya di kalbu. Yang pergi pula belum pasti ketemu lagi atau telah pergi selamanya dengan luka di jiwa.

Namun kepada yang pergi tanpa salam setelah jiwa kuberikan, terima kasih atas singgahan. Hanya sejambangan puisi yang tak sempat didendangkan ini jadi teman sepanjang perjalananmu dari kamar hati ini. Selamat pergi dengan tenang hati.

TAMU SEMALAM
Oleh Hashim Yaacob

Tamu kuyup semalam
yang datang di lebat hujan
kuberi makan,
persalinan dan tilam untuk bermalam.

Bila reda hujan dia menghilang
ditinggalkannya padaku
sebilah belati
tercacak pada hati.

Kumpulan Puisi-Puisi Remaja
“Aku Hanya Mahu Ke Seberang”
Task Global (M) Sdn Bhd, 2001